Pusat 3S NISSAN Kini Dibuka di Tawau, Sabah

image

KUALA LUMPUR, 22 Sept 2014 – Demi memenuhi keperluan para pelanggan Nissan di Malaysia Timur, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) telah membuka pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) secara rasmi di Tawau, Sabah, sekali gus menjadikannya pusat 3S Nissan yang ke-18 di Malaysia.

Dengan binaan sepenuhnya mencecah lebih 3,458 kaki persegi danmelibatkan pelaburan sebanyak RM1.5 juta, Pusat 3S Tawau yang baru ini terletak di lokasi strategik di bandar, sekali gus memberi kemudahan kepada masyarakat di Tawau. Susun atur Pusat 3S yang baru direka itu nyata segar dan moden. Ia mampu mempamerkan sehingga lima model Nissan pada satu-satu masa. Pusat 3S ini dikendalikan oleh 12 orang penasihat jualan dan enam juruteknik terlatih. 

Bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan, antara fasiliti yang ada ialah  sebuah lounge serta bar dengan ketersambungan WiFi, dan ruang kanak-kanak (Kid’s Corner) untuk para pelanggan yang datang bersama anak-anak mereka. Sebagai tambahan, bengkel pula dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden yang mempunyai kapasiti untuk menyelenggara sehingga 40 buah kenderaan sehari. Di pusat sehenti ini, para pelanggan boleh memandu uji dan membeli model-model baharu Nissan, melakukan servis dan mendapatkan alat-alat ganti untuk kenderaan Nissan mereka.

image

“Memandangkan rangkaian produk kami terus berkembang dan semakin maju, adalah penting bagi kami mengukuhkan sokongan dari segi perkhidmatan selepas jualan untuk para pelanggan. Kami percaya bahawa pusat-pusat 3S ini mampu menawarkan pelanggan dengan pengalaman Nissan yang lengkap. Lagipun ETCM sentiasa menambah baik perkhidmatannya untuk mencapai No.1 dalam aspek Kepuasan Pelanggan,” tambah Dato’ David Chen, Pengarah Eksekutif ETCM.

Sehingga kini, ETCM mempunyai rangkaian yang ekstensif melibatkan 106 bilik pameran termasuk para pengedar dan 59 Bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara. Lebih banyak pusat 3S ETCM telah dirancang untuk dibuka termasuklah di Glenmarie, Shah Alam.
ETCM percaya bahawa hubungan yang berterusan dengan pelanggan terjalin apabila pembelian dibuat. Maka, adalah amat penting bagi ETCM agar terus komited dalam menawarkan produk yang berkualiti dan bernilai untuk wang, serta perkhidmatan selepas jualan yang terbaik demi memenuhi kehendak dan ekspektasi para pelanggan.

Silakan kongsi:

18 Poin Informasi Awal Proton Compact Car “Iriz”

Proton Iriz Teaser 2014.04

Beberapa minggu sebelum pelancaran Proton Compact Car (PCC) “Iriz yang dijadualkan pada 25 September ini, Proton telah menjemput pihak media untuk sesi pra tonton model terbaharu itu. Sesi yang berlangsung lebih dari dua jam itu diadakan di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Shah Alam, Selangor. Persembahan dan taklimat produk yang saya hadiri dilakukan oleh Encik Abdul Rashid, Ketua Pegawai Teknikal Proton Holdings dan Encik Azlan Othman dari Proton | Design.

Berikut adalah 18 poin utama mengenai PCC “Iriz”

1. Proses pembangunan mengambil masa selama 4 tahun. Pengesahan reka bentuk dibuat 2 tahun lepas. Masa yang panjang itu memberikan pereka Proton lebih masa untuk meneliti hasil kerja mereka.

2. Kos pembangunan ialah sekitar RM560 juta di mana banyak penjimatan berjaya dicapai hasil daripada penggunaan teknologi realiti maya.

Proton Iriz Teaser 2014.13

3. PCC “Iriz” berjaya mencatat skor 5 bintang Asean NCAP dan direka bentuk untuk mencapai lima bintang Australian NCAP yang merangkumi ujian pelanggaran depan dan sisi. Varian premium dilengkapi enam beg udara setanding dengan pengeluar asing lain untuk segmen sekelasnya.

4. Kesemua varian PCC “Iriz” dilengkapi sistem kawalan cengkaman (ECS dan TCS), ABS dengan EBD dan BA dan Hill Hold Assist (HHA).

5. Proton pertama kali menggunakan teknologi Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) Pintar pada model buatannya, PCC “Iriz” dan berat stereng berubah mengikut kelajuan. Stereng lebih ringan semasa pemanduan perlahan dan bertambah berat sesuai dengan kelajuan semasa.

Proton Iriz Teaser 2014.08

6. Jarak pemberhentian kereta lebih pendek dan cekap berbanding pesaing lain yang lebih ringan. Berat PCC “Iriz” adalah sekitar 1.1 tan.

7. Terdapat dua pilihan enjin yang ditawarkan iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter. Kedua-dua enjin tersebut mempunyai opsyen transmisi manual atau CVT. Enjin 1.6 CamPro VVT lebih berkuasa dari enjin aspirasi normal Proton sedia ada dan pada sektor tertentu lebih berkuasa daripada enjin CamPro CPS. Enjin ini juga paling menjimatkan di dalam famili CamPro. Membandingkan dengan kereta yang lebih kecil, ringan dan bersesaran 1.0 liter adalah suatu yang melucukan.

8. Proton | Design sudah bergerak atau berevolusi dari falsafah tidak lupus masa “Timeless” yang dipegang sekian lama dan menjurus kepada tarikan emosi melalui beberapa elemen yang dipakejkan di dalam gaya bahasa Reka Bentuk Progresif. Bahagian depan kereta yang menampilkan “sayap Proton” dan wajah tunggal “single face” kini diserlahkan lagi dengan reka bentuk lampu utama dan gril yang lebih jelas disepadukan.

Proton Iriz Teaser 2014.05

9. Garisan bahu kini dilembutkan namun garisannya secara halus tetap bersambung di sekeliling kereta.

10. Corak trapezoid berbentuk 3D pada bahagian bawah sisi kereta merupakan di antara identiti baharu Proton yang akan diteruskan untuk model masa depan. Corak tersebut dibina menggunakan kaedah “stamping” dan bukan plastik terpisah yang dilekatkan pada pintu.

11. Proton pertama kali mengarus perdanakan reka bentuk “chamfer” atau bingkai bonet belakang. Sebelum ini chamfer tersebut sudah pun wujud pada Gen.2, Saga, Persona, Prevé dan Suprima S.

12. Reka bentuk, material dan kemasan dalaman kereta tampak lebih menarik, berkualiti dan selari dengan trend semasa.

A Pillar Look

13. Rasa atau “feel” kabin terasa seperti kereta buatan Eropah dengan kerusi pemandu dan penumpang bersaiz penuh yang selesa. Walau bagaimanapun ruang kaki penumpang belakang terpaksa dikompromikan.

14. Kecuali lelangit bumbung, warna hitam pada bahagian dalaman dipilih melalui kaji selidik orang ramai.

15. Terdapat tiga varian PCC “Iriz” iaitu Standard, Executive dan Premium. Varian paling asas tidak terasa murah dan kosong seperti kereta sekolah memandu atau chasis rali kerana reka bentuk keseluruhan yang menarik selain daripada pemadanan pakej. Varian asas mempunyai dua beg udara dan seperti poin sebelum ini ESC dan TCS, ABS dengan EBD dan BA dan lebih menarik Hill Hold Assistant (HHA) turut dikekalkan.

Proton Iriz Teaser 2014.07

16. Proton sedang berunding dengan PIAM bagi mendapatkan kadar premium insurans yang lebih rendah. Sistem keselamatan PCC “Iriz” dibangunkan mengikut piawaiaan Thatcham. Fokus tidak sahaja diberikan kepada kebolehcurian malah kecurian dari dalam (pecah tingkap dan sebagainya).

17. Tanpa mengambil kira khidmat lepas jualan, PCC “Iriz” merupakan kereta yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

18. Datuk Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Operasi Proton Holding mengelak untuk bertemu media kerana beliau sibuk turun padang memastikan ittisoq dan itqan (konsistensi dan kesempurnaan) PCC “Iriz”.

Poin Bonus

1. Fokus kini tertumpu kepada projek lain yang berkait dengan PCC “Iriz”

2. Proton akan mempamerkan sesuatu yang istimewa pada hari terbuka hujung minggu ini.

3. R3 turut akan mempunyai varian PCC “Iriz” yang tersendiri.

Nota: Informasi di atas tidak boleh dianggap sebagai fakta tepat dan hanya boleh disahkan selepas PCC “Iriz” dilancarkan dan maklumat rasmi diterima.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kit Badan R3 Proton Suprima S – Kini Dengan 20% Diskaun, RM1017

Proton Suprima S R3

Selepas lama menunggu akhirnya Proton R3 mengeluarkan kit badan untuk Proton Suprima S. Pada Januari lepas Proton telah melancarkan Suprima S Super Premium yang lengkap dengan kit badan dan roda aluminium R3 17 inci yang berharga RM87,929.45. Walau bagaimanapun kit badan R3 tersebut ‘tertinggal’ skirt belakang dengan sudut bampar diwarnakan hitam kusam.

Proton Suprima S R3 Rear Skirting

Kit badan R3 yang baharu sahaja diperkenalkan ini terdiri daripada lips depan, skirt sisi dan belakang. Reka bentuknya sama seperti kit badan Proton Prevé kecuali skirt belakang yang mengambil gayaan kit badan Proton Inspira R3 . Sama seperti kit badan Prevé R3, kit badan Suprima S tidak didatangkan dengan spoiler bonet belakang kecuali spoiler standard pengeluar Proton.

Kepada yang berminat, kit badan Proton Suprima S boleh ditempah dengan 20% diskaun (RM1017 ke atas) sehingga 28 September dan harga tersebut bergantung kepada warna badan standard dan tidak termasuk kos pemasangan.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Perodua Axia Advance, SE, Standard G dan E: Varian Mana Yang Patut Saya Pilih?

Perodua Axia Combined 2014.01

Selepas pelbagai hebahan dan promosi Perodua Axia akhirnya dilancarkan secara rasmi pada Isnin lepas dan lebih manis sehari sebelum negara menyambut Hari Malaysia. Kereta cekap tenaga pertama (EEV) negara itu mencatat rekod buat Perodua apabila menerima tempahan tertinggi sebanyak 13,500 unit. Sambutan terus meningkat apabila khabarnya tempahan kereta segmen A ini sudah pun melebihi 18,000 unit.

Semasa pengumuman indikasi harga oleh Perodua kira-kira sebulan yang lalu, pasaran menjadi riuh dek kerana tanda harga yang rendah iaitu sekitar RM25,000. Untuk mereka yang mengikuti rapat dunia automotif, harga tersebut bukanlah perkara baharu kerana Perodua Viva BX 660 MT Solid dijual pada harga RM21,936.45 (di atas jalan). Secara perbandingan terus, Perodua Viva bersesaran 1.0 liter transmisi manual dan automatik dipasarkan dari harga RM29,486.45 hingga RM32,586.45 manakala Perodua Axia 1.0 Standard E Manual pula dijual pada harga RM24,600. Perbandingan mudah ialah Axia 1.0 liter dijual sekitar RM5 ribu hingga RM8 ribu lebih rendah daripada Viva dengan sesaran enjin sama di mana pengurangan harga dan penjimatan yang berjaya dilakukan Perodua boleh dipuji dan mengagumkan.

Perodua Axia Comparison

Klik untuk besarkan imej

Varian Mana Yang Patut Saya Pilih?

Strategi pemasaran dengan berbilang varian dan harga kadang kala boleh mengelirukan. Terdapat harga yang murah tetapi tiada pula spesifikasi yang kita mahukan. Ada yang ingin berjimat dengan memilih varian pertengahan tetapi selepas dibuat kira-kira, beza ansuran bulanan tidak signifikan berbanding varian paling premium. Jadi yang mana satu hendak kita pilih? Di bawah ialah perbandingan mudah di antara varian Perodua Axia.

Perodua Axia Advance Automatik

Perodua Axia Advance 1.0 Automatik Solid dijual pada harga RM42,130. Varian yang paling premium dengan kemudahan dan aksesori lengkap seperti:

1. Stereng kuasa elektronik (EPS)
2. Lampu meter iluminasi merah dan paparan meter pelbagai info
3. Lampu projektor & lampu kabus
4. Lampu belakang dan brek ketiga LED
5. Kit badan
6. Roda aluminium 14 inci
7. Filem cermin penebat haba dan keselamatan
8. Kerusi separa bucket dan stereng balutan kulit
9. Cangkuk anti ragut pada kerusi depan
10. Tingkap kuasa depan dan belakang
11. Cermin sisi automatik boleh lipat dengan lampu indikator
12. Sensor undur dan depan
13. Sistem multimedia dengan navigasi.
14. Dua beg udara, ABS dengan EBD dan BA.

Perodua Axia EEV 2014.01

Perodua Axia SE Manual dan Automatik

Perodua Axia SE 1.0 Manual Solid dijual pada harga RM36,800 dan RM39,800 untuk Axia SE 1.0 Automatik. Varian pertengahan ini mempunyai aksesori yang hampir sama dengan Axia Advance kecuali sistem multimedia dengan navigasi, kerusi dan stereng balutan kulit dan suis kawalan audio pada stereng.

Perodua Axia Standard G Manual dan Automatik

Perodua Axia Standard G 1.0 Manual Solid dijual pada harga RM29,800 dan RM32,800 untuk Axia Standard G 1.0 Automatik. Kedua-dua varian ini mempunyai perbezaan ketara dari segi aksesori standard seperti lampu utama halogen, kerusi depan standard dengan balutan fabrik, pemain cakera padat tanpa sambungan bluetooth dan kemasan kulit pintu tanpa fabrik. Axia Standard G juga hadir tanpa lampu kabus, kit badan, sensor depan, filem cermin penebat haba dan keselamatan dan paling ketara ialah sistem keselamatan ABS dengan EBD dan BA. Menarik dan juga aneh, Perodua memasang cermin sisi boleh lipat automatik tetapi tanpa lampu signal seperti dua varian teratas.

Perodua Axia Standard E Manual

Perodua Axia Standard E 1.0 Manual Solid dijual pada harga RM24,600. Varian yang menarik dan menggegarkan pasaran ini hadir tanpa aksesori utama. Anda bayar apa yang anda dapat. Axia Standard E dijual tanpa sejumlah kemudahan dan aksesori seperti cermin sisi automatik, roda aluminium, penggilap dan penghilang kabus cermin belakang, kit badan, filem cermin penebat haba dan keselamatan, sistem keselamatan ABS dengan EBD dan BA. Walaupun tanpa pelbagai kelengkapan dan aksesori utama, Perodua membekalkan tingkap kuasa untuk kesemua varian Axia termasuklah yang paling asas ini.

Berikut adalah ringkasan di antara kemudahan dan aksesori Axia Standard E Manual:

1. Stereng kuasa elektronik (EPS)
2. Lampu meter iluminasi merah Lampu meter amber dan paparan meter pelbagai info
3. Lampu  projektor & lampu kabus halogen
4. Lampu belakang dan brek ketiga LED
5. Kit badan
6. Rim aluminium 14 inci Rim besi
7. Filem cermin penebat haba dan keselamatan
8. Kerusi separa bucket dan stereng balutan kulit Kerusi standard balutan fabrik tanpa larasan naik dan turun
9. Cangkuk anti ragut pada kerusi depan
10. Tingkap kuasa depan dan belakang
11. Cermin sisi automatik boleh lipat dengan lampu indikator
12. Sensor undur dan depan
13. Sistem multimedia dengan navigasi.
14. Dua beg udara, ABS dengan EBD dan BA.
15. Penggilap cermin dan penghilang kabus cermin belakang

16. Sistem penggera, kunci berpusat

Perodua Axia Safety 2014.01

Kesimpulan

Secara mudahnya, varian Perodua Axia dibahagikan mengikut kemampuan dan sensitiviti harga pasaran tempatan. Memasarkan kereta pada harga mampu milik dengan pelbagai kemudahan dan aksesori merupakan tugas yang mencabar untuk pengeluar manakala strategi berbilang harga dan spesifikasi pula membuatkan pembeli sukar untuk membuat pilihan. Namun pembuatan keputusan menjadi lebih mudah jika skop pemilihan dikecilkan dan secara relatifnya varian SE dan Standard G boleh dimasukkan di dalam senarai pendek pembelian.

Kelebihan ketara varian SE terletak pada sebahagian aksesori yang turut terdapat pada varian Advance. Ketiadaan sistem multimedia dengan navigasi, kerusi dan stereng balutan kulit dan suis kawalan audio pada stereng ditebus dengan perbezaan harga sebanyak RM2,330 (automatik). Walau bagaimanapun, pemilihan menjadi lebih sukar apabila perbezaan ansuran bulanan di antara varian SE dan Advance hanya di bawah RM50 (dan beberapa ratus untuk setahun). Lebih menyukarkan pembuatan keputusan ialah apabila Perodua Myvi dan Proton Compact Car “Iriz” dengan saiz binaan dan enjin yang lebih besar dijual pada harga yang tidak jauh beza dengan Myvi Advance.

Sebuah lagi varian yang wajar berada di dalam senarai pendek ialah Standard G. Perbezaan jelas di antara varian SE dan Advance ialah harganya iaitu dari RM7,000 hingga RM9,330 dan apabila diterjemahkan di dalam bentuk ansuran menjadi sekitar RM65 hingga RM95 sebulan. Harus tahu bahawa varian Standard G hadir tanpa sejumlah aksesori dan yang paling ketara ialah ketiadaan sistem keselamatan ABS dengan EBD dan BA. Pakej sistem keselamatan tersebut diperlukan terutama sekali sewaktu berhadapan dengan situasi kecemasan di mana proses pemberhentian kereta menjadi lebih yakin, stabil dan selamat. Namun fakta yang menarik dan melegakan  apabila kesemua varian Axia dilengkapi dua beg udara dan mencatat skor empat bintang ASEAN NCAP.

Klik untuk besarkan imej

Klik untuk besarkan imej

Perodua Axia Standard E Manual dijual pada harga RM24,600 dan varian paling asas ini boleh diabaikan sekiranya anda tidak termasuk di dalam kategori pengusaha sekolah pemandu, pemilik bisnes yang sekadar memerlukan kereta semata-mata atau pelumba rali yang mahukan chasis baharu daripada pengeluar. Pada harga tersebut terdapat pelbagai model menarik dengan saiz yang lebih luas asalkan anda atau keluarga tidak kisah menaiki kenderaan terpakai.

Masih lagi mengenai saiz, perlu diakui Axia yang dibangunkan bersama Daihatsu yang merupakan rakan teknikal Perodua mempunyai ukuran ruang bonet yang lebih luas berbanding Myvi dan PCC ‘Iriz’. Tidak setakat itu, ruang kaki penumpang belakang juga berasa “lega” hasil daripada  kompromi ruang pemandu depan dan penggunaan kerusi “bench” penumpang belakang.

Kira (dan berkira-kira) kemampuan kewangan dan apakah keutamaan serta tujuan anda di dalam pembelian kereta. Jika ditanya secara peribadi, saya mengesyorkan varian yang mempunyai teknologi keselamatan tambahan walaupun dengan ekstra bajet.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Galeri: Perodua Axia Advance, Axia SE, Standard G, Standard E dan Majlis Pelancaran

wpid-1410791076963.jpg

Perodua Axia telah mencatat rekod baharu sebagai kenderaan cekap pertama negara malah kereta kompak itu ditawarkan pada harga yang paling murah di pasaran iaitu RM24,600 untuk Axia Standard E Manual. Harga tersebut meneruskan legasi model terdahulu seperti Kancil dan Viva. Dengan harga yang murah dan spesifikasi paling minimum (tanpa radio, rim aluminium, pengilap cermin belakang, sensor undur) varian itu dilihat lebih sesuai untuk sekolah memandu atau pun sukan permotoran (RS).

Untuk pasaran umum, Perodua Axia Standard G dibekalkan dengan aksesori standard seperti cermin sisi lipat automatik, pemain cakera padat, kamera undur dan rim aluminium. Harga untuk transmisi automatik bermula dari RM32,800 dan RM29,800 untuk transmisi manual.

SONY DSC

Buat pelanggan yang mahukan lebih aksesori, mereka boleh memilih Axia SE atau varian paling premium iaitu Axia Advance. Kedua-dua varian ini mempunyai aksesori yang sama iaitu kit badan, lampu utama projektor, lampu belakang LED, lampu kabus, rim aluminium dan sistem keselamatan seperti ABS dengan EBD dan BA.

Varian Advance dibezakan dengan sistem multimedia dengan navigasi, kerusi separa ‘bucket dan stereng yang dibalut kulit. Axia SE automatik dijual pada harga RM39,800 manakala Axia Advance pada harga RM42,130. Merentasi varian, Perodua Axia dilengkapi dengan dua beg udara dan lebih menarik apabila mencatat skor 4 bintang Ujian Pelanggaran ASEAN (ASEAN NCAP).

Berikut ialah imej semasa majlis pelancaran dan foto studio pelbagai varian Perodua Axia.

Majlis Pelancaran Perodua Axia

Perodua Axia Advance

Perodua Axia SE

Perodua Axia Standard G

Perodua Standard E

Silakan kongsi:

Perodua Axia Dilancarkan Dengan 13,500 Tempahan dan Harga Baharu

AXIA_GREEN_1_4_LEFT

Kuala Lumpur, 15 September: Perodua melancarkan model kesepuluh mereka, Axia dengan 13 500 tempahan sejak tarikh tempahan dibuka pada 15 Ogos lalu dan lebih menarik model kompak itu turut didatangkan dengan harga baharu.

Perodua Axia mencipta sejarah sebagai kereta cekap tenaga (EEV) pertama negara dan juga rekod baharu dari jumlah tempahan yang diterima. Perodua Axia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yasin di KL Convention Centre.

image

Axia boleh dipandu sejauh 21.6km/l, luas dan dibekalkan dengan pelbagai ciri-ciri unik mengikut keperluan rakyat Malaysia dan lebih menarik dengan kos pemilikan yang rendah dari RM24,600 hingga RM42,530.

“Kami percaya bahawa Perodua Axia adalah tawaran yang kompetitif di rantau ini dan merupakan salah satu sebab nama Asia dipilih di samping model ini juga adalah standard baharu untuk kami.”

“Standard itu boleh dibahagikan kepada empat 4 teras (4E) iaitu mesra alam, luas untuk sebuah kereta kompak, senang dipandu dan ekonomikal,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Perodua Axia Price List 2014

Perodua Axia ditawarkan melalui 4 varian iaitu Standard E, Standard G, Special Edition dan Advance. Axia juga dilindungi dengan 5 tahun waranti – suatu yang baharu untuk Perodua. Terdapat 8 warna pilihan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ebony Black, Moonlight Blue, Cherry Blossom, Lemon Grass Green, Sunflower Yellow dan Lava Red.

Silakan kongsi:

Tun Dr. Mahathir Pandu Proton Compact Car “Iriz” Ke Pavilion

Proton Iriz TDM 2014.03

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pengerusi Proton Holdings membuat kejutan dengan cara tersendiri apabila beliau memandu Proton Compact Car “Iriz” ke The Loaf, Pavilion Kuala Lumpur. Kejutan yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir telah menggamatkan alam maya apabila sejumlah gambar “tanpa segan silu” disebarkan dengan pantas. Nampaknya, promosi jalanan dan kurang kos ini telah berjaya mengeksploitasi kemudahan media sosial dan menjadikannya viral. Tambahan pula, syarikat automotif nasional kedua akan melancarkan model Axia pada malam ini.

Proton Iriz TDM 2014.01

Teknik pemasaran yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir ini berjaya membesarkan dan merancakkan lagi arus kesedaran jenama model baharu PCC “Iriz” dan begitulah aturan alam maya. Make it viral!

PCC “Iriz” yang berada di dalam segmen Perodua Myvi, Honda Jazz dan Ford Fiesta akan dilancarkan pada 25 September ini dengan harga permulaan di bawah RM45 ribu hingga RM62 ribu bergantung kepada varian dan spesifikasi.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

ETCM AKHIRI KEMPEN KESELAMATAN DENGAN PENGALAMAN PEMANDUAN SELAMAT NISSAN

01 Instructor Ian Khong_Briefing

KUALA LUMPUR, 8 September 2014 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menganjurkan sesi Pengalaman Pemanduan Selamat Nissan yang diadakan di Malaysia Agro Exhibition Park (MARDI) di Serdang pada Sabtu.

Pengalaman Pemanduan Selamat Nissan bermatlamat memberi keyakinan dan melengkapkan para peserta dengan teknik pemanduan yang betul. Di bawah seliaan tenaga pengajar profesional, para peserta diajar mengenai teknik pemanduan yang betul untuk mengelak kemalangan, mengawal kereta yang tergelincir, brek kecemasan dan kemahiran mengelak slalom di laluan berhalangan.

Pengalaman Pemanduan Selamat yang berlangsung selama sehari itu merupakan program terakhir di bawah Kempen Keselamatan Nissan 2014 anjuran ETCM. Dilancarkan pada April lalu, ia merangkumi aktiviti-aktiviti seperti Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan, Bengkel Ikhtiar Hidup Kanak-kanak dan Pengalaman Pemanduan Selamat. Bengkel Ikhtiar Hidup Kanak-kanak dan Pengalaman Pemanduan Selamat diadakan sekali sahaja, manakala Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan dilaksanakan di enam lokasi di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ David Chen berkata, “Secara keseluruhannya, Kempen Keselamatan Nissan 2014 menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan dengan penglibatan lebih 1,000 orang peserta. Pengetahuan dan kemahiran keselamatan jalan raya yang diperolehi sememangnya mampu melindungi para peserta dan mereka yang tersayang di jalan raya. Ini bukan program yang bersifat sekali sahaja. Para pelanggan kami boleh menyertai lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang.”

05 Nissan Safety Driving Experience_Emergency Braking

Mengulas mengenai aspek khidmat pelanggan, Dato’ David Chen memberitahu, “Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memberi kemudahan kepada pelanggan, nombor Pusat Penjagaan Pelanggan Nissan kini telah digabungkan menjadi satu nombor sahaja iaitu 1800-88-3838. Ia beroperasi 24 jam, 7 hari seminggu serta menawarkan servis yang ekstensif seperti Bantuan di Tepi Jalan, Temu Janji Servis, selain pertanyaan mengenai produk dan promosi jualan.”

Sebagai tambahan, ETCM telah mengambil langkah proaktif untuk terus menambah baik dan meningkatkan pengalaman selepas jualannya. Ini termasuklah pengembangan rangkaian dan melanjutkan waktu operasi di bengkel-bengkel serta cawangannya.

Lagi pun, JD Power Asia Pacific baru-baru ini meletakkan ETCM di tempat kedua pada Indeks Khidmat Pelanggan dan tempat ketiga dalam Indeks Kepuasan Jualan untuk tahun 2014, di mana Nissan telah mengekalkan kedudukan tiga teratas sejak empat tahun lalu. Pencapaian Ini menjadi bukti komitmen ETCM terhadap aspek kepuasan pelanggan.

ETCM percaya bahawa keselamatan dan hubungan jangka masa panjang dengan para pelanggan adalah sangat penting. Justeru, ETCM akan terus menjadikan Kepuasan Pelanggan sebagai keutamaan No. 1 dengan menawarkan servis yang bagus dan berkualiti secara konsisten.

Silakan kongsi: