PROTON Melantik Pakar Industri Sebagai Ahli Pengurusan Baharu

SUBANG JAYA, 10 Oktober 2014 – Proton Holdings Berhad (PROTON) mengumumkan perlantikan barisan pengurusan baharu di PROTON dan Proton Edar Sdn Bhd (PESB).

Andreas Prinz yang menyertai PROTON pada Julai 2014 sebagai Pengarah Jualan Antarabangsa kini dilantik ke jawatan Ketua Pegawai Operasi Komersil. Andreas mempunyai pengalaman selama 29 tahun di dalam pelbagai syarikat antarabangsa di mana 23 tahun darinya sebagai eksekutif atasan yang bertanggung jawab di dalam pelbagai bidang di serata dunia. Andreas mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Applied Sciences Rendsburg dengan 15 tahun pengalaman khusus di dalam industri automotif dan pernah berkhidmat di VW dan Bentley Motors. Di antara kejayaan beliau ialah mengasaskan syarikat jualan kebangsaan dan syarikat pengedar VW Group di Timur Tengah, India, Malaysia dan turut bertanggung jawab di dalam pengembangan jenama di pasaran membangun Asia.

Encik Norzahid Mohd Zahudi dan Encik Daniel Tan Soo Liang pula memegang jawatan di PESB dengan masing-masing dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi bermula 1 Oktober 2014. Encik Norzahid mempunyai MBA di dalam Pengurusan Strategik dari Swiss Management Forum St. Gallen, Switzerland. Beliau mempunyai pengalaman selama 32 tahun di dalam industri utama seperti perunding, kewangan dan automotif dan terlibat di dalam bidang perancangan strategik, pengurusan projek dan pemasaran, pembangunan jenama dan capaian pasaran antarabangsa. Beliau telah berada di dalam industri automotif selama 21 tahun termasuklah rangkaian pengedaran antarabangsa dan domestik.

Encik Daniel mempunyai Ijazah Sarjana Muda dari Universti Malaya dengan 26 tahun pengalaman di dalam pelbagai bidang termasuklah 10 tahun di dalam jualan automotif. Sepanjang perkhidmatan beliau di dalam industri automotif, Encik Daniel bertanggung jawab di dalam jualan domestik dan pasaran ASEAN di mana tugas berakhir beliau adalah dengan jenama Jerman di China. Beliau memainkan peranan penting di dalam setiap organisasi yang didudukinya agar sentiasa berkembang dan telah menghasilkan beberapa strategi yang membuahkan hasil.

Dengan perkembangan baharu itu, Encik Azmi Idris yang merupakan CEO PESB kini beralih jawatan sebagai Pengarah Kualiti bermula tarikh yang sama.

Silakan kongsi:

VW Group Meraikan Kejayaan Menghasilkan 200 Juta Kenderaan

VW Golf R 2014.02

Pada 1 Oktober lepas, VW Group telah mengumumkan bahawa mereka telah pun menghasilkan lebih dari 200 juta kenderaan. Syarikat peneraju automotif di Eropah itu kini menyertai kumpulan kecil pengeluar di dunia yang berjaya mencatatkan rekod menggagumkan di mana angka yang besar dan bermakna itu diwakili oleh VW XL Sport. Kereta itu mempunyai kecekapan tinggi yang dikuasakan oleh enjin dua silinder paling berkuasa di dunia. Mengejutkan kerana XL Sport bernadikan enjin V2 Ducati 1199 Superleggera berkuasa 200 PS yang membawa beban badan  daripada gentian dan magnesium yang dapat memacu kereta hingga 270 km/j! VW XL Sport adalah simbol kepada kuasa dan kesungguhan inovasi serta keupayaan teknikal dan kejayaan keseluruhan VW Group.

VW Group berjaya menggandakan produksinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 1999, VW meraikan pengeluaran kenderaan ke 100 juta dengan Beetle baharu. VW Group tidak merujuk kepada sebuah jenama sahaja malah merangkumi pelbagai mode pengangkutan dari motosikal hinggalah kepada kereta berprestasi tinggi yang dihasilkan di 106 fasiliti pengeluaran di 27 negara.

“Kami bangga di dalam kejayaan menghasilkan 200 juta kenderaan. Rekod yang membanggakan ini juga adalah refleksi kepada keyakinan pelanggan terhadap jenama kami. Kejayaan dan tanggung jawab adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan untuk VW,” kata Prof. Dr. Martin Winterkorn, Pengerusi Lembaga Pengurusan VW Group.

Silakan kongsi:

Rasionalisasi Subsidi Oktober 2014: Petrol RON95 = RM2.30/liter, Diesel = RM2.20/liter

Rasionalisasi SubsidiKerajaan mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi terbaharu dengan mengurangkan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM0.20 bermula hari ini. Susulan itu harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30/liter dari RM2.10/liter manakala harga diesel pula RM2.20/liter dari RM2.00/liter. Kali terakhir pengurangan subsidi petrol dan diesel ialah pada September 2013.

Tindakan ini adalah sebahagian daripada proses berperingkat kerajaan untuk memastikan kewangan negara kekal kukuh. Subsidi kerajaan untuk RON 95 ialah RM0.28/liter dan RM0.32/liter. Walaupun dengan penurunan subsidi, kerajaan tetap menanggung lebih dari RM21 bilion pada tahun ini untuk petrol RON95, diesel dan LPG.

Peningkatan harga minyak itu kemudian akan ditebus kembali melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai program bantuan 1Malaysia lain.

Berikut ialah penjelasan KPDNKK mengenai rasionalisasi subsidi:

PENERANGAN MENGENAI ISU RASIONALISASI SUBSIDI

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,

Berikut adalah beberapa penerangan dan pencerahan mengenai persoalan yang timbul mengenai perlaksanaan rasionalisasi subsidi baru-baru ini.

1. Kerajaan ni tak sebut naikkan harga minyak tapi harga dekat pam naik? Apa sebenarnya ni?

Kerajaan sebenarnya melaksanakan apa yang disebut sebagai rasionalisasi subsidi yang mana kerajaan mengurangkan hasil pemberian subsidi yang dibayar kepada syarikat minyak untuk memastikan harga bahan bakar di pam tetap pada harga tertentu. Apabila sebahagian subsidi ini ditarik balik hasilnya harga minyak di pam meningkat, sebab itu kita sebut kerajaan mengurangkan subsidi sebanyak 20 sen seliter maka impak dari keputusan ni ialah harga di pam meningkat kepada RM 2.30 untuk RON95 dan RM2.20 seliter untuk Diesel.

2. Kenapa rasionalisasi ini dilaksanakan?

Ini sebahagian dari langkah kerajaan untuk menangani defisit belanjawan negara serta menstabilkan kewangan negara dalam jangka masa panjang. Defisit bermaksud perbelanjaan kita melebihi dari pendapatan, sebelum ini kerajaan berbelanja lebih bertujuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara. Perbelanjaan disalurkan kepada projek pembangunan seperti pembinaan infrastuktur dan kepada beberapa pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi kita kekal teguh sewaktu pasaran dunia dilanda krisis. Sebab itu sewaktu krisis pinjaman perumahan di Amerika Syarikat yang berlaku beberapa tahun lepas Malaysia tidaklah menerima kesan yang begitu teruk. Kini apabila ekonomi kita stabil dan pasaran dunia juga tidak bergitu bergolak kerajaan mengambil keputusan untuk memperbetulkan kembali perbelanjaan negara.

Salah satu tempat yang paling banyak perbelanjaan dikeluarkan ialah dengan pemberian subsidi bahan bakar yang diberi secara pukal dan tidak bersasar, sebagai contoh kenderaan mewah akan lebih mendapat manfaat subsidi berbanding kenderaan ekonomi (motorsikal dan kereta kecil) yang biasanya digunakan oleh warga berpendapatan rendah. Kerajaan melihat perbelanjaan ini tidaklah begitu efisyen maka sebab itulah rasionalisasi dilakukan terhadap pemberian subsidi di sektor ini.

3. Kenapa rasionalisasi subsidi buat terhadap minyak je? Subsidi lain macam mana?

Di sini kerajaan mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada subsidi bahan bakar kerana dilihat pemberian subsidi ini yang dilakukan secara pukal dan tidak bersasar mempunyai banyak pembaziran dari segi penyeludupan dan ketirisan. Untuk pengetahuan, antara penerima subsidi besar yang lain adalah seperti perbelanjaan kesihatan, persekolahan, subsidi yuran pengajian tinggi dan sebagainya. Pemberian subsidi ini juga (kesihatan, sekolah dll) juga meningkat dari tahun ke tahun akibat dari pertumbuhan penduduk sama seperti perbelanjaan subsidi bahan bakar. Namun kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan bakar (Petrol dan Diesel) supaya kita tidak perlu menyentuh mahupun mengurangkan pemberian subsidi sektor ini yang kita kira jauh lebih penting untuk masa hadapan.

4. Harga minyak dunia turun? Kenapa harga kita naik? Ada berita negara lain siap turunkan harga minyak lagi baru-baru ni, apa cerita?

Berbeza dengan kebanyakkan negara lain kita tidak mengapungkan harga bahan bakar akan tetapi kita tetapkan pada harga tertentu. Kebanyakan negara lain sama ada mengikut harga pasaran secara terus ataupun melaksanakan sistem subsidi terapung. Contohnya untuk setiap liter disubsidi sebanyak 30 sen maka kalau harga minyak dunia naik, naiklah harga di pam, kalau turun maka turunlah harga di pam. Sebab itu harga mereka turun apabila harga minyak dunia baru-baru ini turun. Apa yang sedang kita laksanakan ialah rasionalisasi subsidi, bermaksud kita mengurangkan perbelanjaan terhadap subsidi minyak dan kesan apabila melakukan rasionalisasi sewaktu harga minyak dunia rendah ialah penjimatan terhadap kewangan negara lebih berkesan berbanding sewaktu harga dunia tinggi.

5. Raya Haji dah nak dekat ni, harga minyak naik, kos pun akan beri kesan, macamana?

Pertamanya kementerian sedar dan tahu ianya akan memberi kesan kepada rakyat, kami memberi komitmen bahawa kementerian akan berusaha untuk sekurang-kurangnya memastikan harga barangan asas terutama bahan makanan adalah dalam keadaan terkawal untuk musim perayaan ini. YB Menteri telah mengarahkan penguatkuasa untuk memastikan para peniaga untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Kami telah meningkatkan jumlah pemeriksaan dan operasi di kesemua pasar-pasar utama dan premis perniagaan. YB Menteri juga telah mengarahkan kementerian untuk berjumpa dengan para pembekal untuk memastikan tiada kekurangan dari segi bekalan.

Untuk makluman walaupun harga barangan tertakluk kepada hukum pasaran, KPDNKK masih mempunyai kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sekiranya terdapat aduan dan penguatkuasa kita mendapati ada kenaikan harga barangan yang melampau maka kita boleh mengarahkan peniaga memberi penjelasan sekiranya gagal kita boleh ambil tindakan.

6. Kenapa tak buat lepas raya haji?

Rasionalisasi Subsidi adalah satu tindakan yang tidak popular, ianya perlu dilakukan tetapi sangat tidak popular, jadi walau apa masa sekalipun yang dipilih kesannya tetap dirasai. Sebagai contoh kalau dilakukan selepas Hari Raya haji ada yang akan bertanya mengapa dibuat sebelum Deepavalli pula, kalau selepas Deepavalli mungkin akan memberi kesan untuk perayaan Hari Natal. Apa pun kementerian faham bahawa rakyat akan menerima sedikit beban atas rasionalisasi subsidi ini dan seperti yang telah diterangkan sebelum ini kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan barangan asas seperti makanan terkawal harganya dan bekalan mencukupi untuk musim perayaan.

7. Bagaimana dari segi kos pengangkutan?

Penetapan harga tambang, kos pengangkutan adalah di luar bidang kuasa KPDNKK namun boleh dirujuk pada Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD). Akan tetapi sekiranya pengguna merasakan mereka ditipu atau diambil kesempatan oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab, bolehlah membuat laporan dan aduan kepada kami melalui hotline 1800 886 800.

8. Kesan terhadap harga barangan?

Kementerian akan memantau dari semasa ke semasa khususnya dari segi kesan cost past through yakni kesan kenaikan harga minyak ini terhadap barangan. Kementerian akan mengawasi harga barangan asas dari semasa ke semasa dan kami akan memastikan kesan minima terhadap barangan asas seperti bahan makanan.

9. Kenapa buat lepas PRK Pengkalan Kubor? Nak menang pilihanraya ke?

Pelan rasionalisasi subsidi ini telah lama dirancang tanpa menjangkakan mana-mana pilihanraya kecil diadakan terlebih dahulu, sesungguhnya rasionalisasi subsidi ini kalau dibuat pada masa apa sekalipun ianya tetap tidak popular.

10. Mengapa tidak fokus kepada membasmi penyeludupan dan ketirisan berbanding mengurangkan subsidi?

Kita telah pun fokus kepada membasmi ketirisan melalui Ops Titik yang telah menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan penyelewengan diesel bersubsidi. Namun untuk penyelesaian jangka masa panjang harga di pam tidak boleh terlalu ketara perbezaanya dengan harga pasaran. Lagipun fokus utama rasionalisasi subsidi ialah sebagai salah satu strategi untuk mengawal defisit belanjawan negara.

Pejabat Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Disalin dari Facebook KDNKK, tarikh akses 4/10/2014 – 8:42 pagi

Klik untuk penerangan oleh Timbalan Menteri Kewangan

Silakan kongsi:

Toyota Mencatat Pemeringkatan Tertinggi Di dalam Khidmat Pelanggan dan Kepuasan Jualan 2014

Toyota Previa 2014.04

Khidmat berkualiti yang disediakan UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini disahkan secara rasmi apabila syarikat itu memperolehi tempat pertama di dalam Indeks Khidmat Pelanggan (CSI) dan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) oleh J.D. Power Asia Pacific 2014 Malaysia.

Mengulas mengenai kejayaan berganda tersebut, Datuk Ismet Suki, Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Ini adalah pencapaian yang penting untuk UMW TM dan semestinya keraian berganda buat kami tahun ini. Tahniah kepada kesemua kakitangan terutama sekali petugas barisan hadapan yang terlibat di dalam jualan dan khidmat lepas jualan yang tekun di dalam memberi perkhidmatan yang melebihi jangkaan pelanggan kami”.

Toyota mencatat pemeringkatan tertinggi secara keseluruhan untuk CSI di kalangan jenama utama dengan markah berjumlah 777 dan juga turut mencatat keputusan yang baik di dalam aspek fasiliti servis. Kajian CSI Malaysia adalah berdasarkan respon dari 2,610 pemilik kenderaan baharu di dalam segmen arus perdana yang membeli kereta dari Februari 2012 hingga Mei 2013 dan menggunakan khidmat pusat servis rasmi dari Ogos 2013 hingga Mei 2014. Kajian telah dikumpulkan di antara Februari dan Mei 2014.

Kajian itu menghitung kepuasan pemilik yang menggunakan khidmat pusat servis rasmi untuk penyelenggaraan atau pemulihan atau kerja pembaikan pada 12 hingga 24 bulan pertama pemilikan. Untuk pertama kali juga, kajian pada tahun ini memberi fokus kepada kepuasan servis secara eksklusif untuk pasaran umum. Toyota turut mencatat pemeringkatan tertinggi kepuasan jualan di dalam kelompok jenama arus perdana buat kali kedua dengan jumlah 804 mata. Toyota mencatat keputusan yang baik seperti insiatif jualan, kemudahan pengedar, tawaran, juru jual dan faktor proses penghantaran.

Malaysia_CSI_14MM_Toyota logo-horz

Semangat Kaizen atau pembaikan berterusan yang merupakan sebahagian daripada budaya UMW TM banyak membantu di dalam menghasilkan lebih nilai di dalam dunia bisnes dan pada masa yang sama menghadapi cabaran yang meningkat di dalam dunia automotif. “Kami sentiasa mendengar dan memberi maklum balas keperluan dan kemahuan pelanggan. UMW TM komited terhadap tema utama syarikat iaitu “One Team, Customer First untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan bersama Toyota, tambah Datuk Ismet Suki.

 

Silakan kongsi:

Peraturan Baharu Cermin Gelap 2014 – VLT 70%, 50% dan 30%

Perodua Axia Advance 2014 VLT

Setelah mengambil tempoh yang lama untuk membincangkan kadar ketelusan cahaya cermin kenderaan, kerajaan akhirnya mengumumkan keputusan muktamad di dalam isu ini. Menurut Datuk Seri Ismail Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kadar ketelusan cahaya boleh nampak (VLT) untuk sisi penumpang belakang dan cermin belakang ialah 30% iaitu penurunan dari 50% manakala kadar VLT cermin depan dan sisi pemandu pula tidak berubah di mana masing-masing kekal pada 70% dan 50%.

Kadar baharu yang bakal dikuat kuasakan bermula 1 November depan dikatakan selari dengan standard beberapa negara luar dan terpakai untuk semua kenderaan di atas jalan raya. Walau bagaimanapun, pengecualian pematuhan akan diberikan kepada beberapa pihak berkepentingan seperti kenderaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Ketua Hakim serta agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

Keputusan ini akhirnya memberi nafas lega kepada pengguna kerana tempoh isu yang memakan masa di mana mereka kini sudah mendapat panduan yang jelas sama ada untuk menanggalkan filem penebat haba yang menyalahi atau menambah lagi kadar tidak telus cahaya kenderaan masing-masing selari dengan peraturan baharu ini.

Terima kerajaan kerana mendengar pendapat rakyat!

Berikut ialah nota yang disalin dari laman JPJ dan menariknya turut memberi peringatan kepada kakitangannya supaya mematuhi dan menjadi contoh kepada orang awam.

10380426_10152706601317421_812335325874602394_o

PENGGUNAAN CERMIN GELAP JABATAN & AGENSI KERAJAAN.

Layari www.jpj.gov.my untuk info lanjut dan muat turun borang permohonan penggunaan cermin gelap.

• Ibu Pejabat JPJ akan mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan JPJ melalui Pengarah Negeri supaya memastikan semua kakitangan mematuhi peraturan berhubung penggunaan cermin gelap pada kenderaan masing-masing agar menjadi contoh kepada pengguna jalan raya yang lain

• Ibu Pejabat JPJ juga akan mengeluarkan surat makluman dan peringatan kepada semua Kementerian dan Jabatan kerajaan bagi memastikan pematuhan peraturan berhubung penggunaan cermin gelap pada kenderaan jabatan masing-masing

• JPJ Negeri akan menghantar surat makluman dan peringatan kepada semua Jabatan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) bagi memastikan pematuhan peraturan berhubung penggunaan cermin gelap pada kenderaan jabatan masing-masing .

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Proton Persembahkan Model Prototaip Iriz Active

image

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pengerusi Proton Holdings melancarkan model prototaip Proton Iriz Active sempena Karnival Alami Proton di Shah Alam. Model prototaip tersebut adalah lanjutan varian yang boleh dilakukan kepada model Iriz yang baru dilancarkan Khamis lepas. Jenama Active sebenarnya merujuk kepada varian kereta Proton yang menjurus kepada gaya hidup aktif. Ciri utamanya ialah jarak kelegaan bumi yang tinggi, teknologi moden dan kelengkapan astetik yang menyerlah.

image

Proton | Design telah mengolah semula Proton Iriz dengan menambah beberapa peralatan seperti kit badan, palang bumbung dan ketinggian yang terus merubah konsep asal kereta kompak ini. Reka bentuk lampu LED siang hari, isyarat dan belakang menggunakan teknologi nyalaan baharu yang dikenali sebagai Nexlide dengan bentuk yang boleh dilentur. Warna kusam Earth Grey pula melambangkan sentuhan futuristik sebagai tema kereta prototaip ini.

Pada bahagian dalaman, panel instrumen didominasi oleh skrin sesentuh pelbagai fungsi yang lazim digunakan. Paparan grafik pula boleh diubah mengikut selera peribadi dan lari dari kebiasaan, imej kamera undur ditayangkan pada konsol yang dilekatkan pada lelangit kereta. Senada dengan imej ranggi, kerusi digayakan supaya nampak gagah, dinamik dan meriah ibarat kereta sport mewah.

Kepada yang berminat, Proton Iriz Active tidak susah untuk menjadi model produksi memandangkan varian Cross seperti ini adalah kebiasaan buat pengeluar utama dunia. Cuma sebelum itu model ini dirangka untuk menilai sejauh mana pasaran mahukan varian yang agak asing untuk kita. Jika serius, hebahkan pendapat anda untuk makluman Proton.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Proton Holdings Pamerkan Kereta Konsep Baharu di Karnival Alami Proton

Karnival Alami Proton 2014.04

Proton Holdings Berhad membuka pintu fasilitinya kepada orang ramai sempena Karnival Alami Proton bermula 27 hingga 28 September 2014 di Kompleks Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam, Selangor. Karnival yang bakal berakhir pada pukul 6 petang ini diisi dengan pelbagai program untuk semua kategori umur dan paling menarik lawatan ke Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) serta Kilang Pengeluaran Medium (MVF). Lawatan tersebut membolehkan pengunjung untuk berinteraksi dengan warga Proton dan mempelajari dan melihat sendiri teknologi dan keupayaan syarikat pengeluar kereta nasional itu.

“Objektif utama kami sempena hari terbuka ini ialah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri kemajuan kejuruteraan dan teknologi yang digunakan di dalam penghasilan kereta-kereta Proton. Kali terakhir acara seperti ini diadakan ialah lima tahun lepas. Kawasan pameran adalah dari COE Proton termasuklah kilang pengeluaran Shah Alam yang memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka perjalanan dan keupayaan Proton sepanjang 29 tahun lepas yang ingin dikongsikan bersama”, kata Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Karnival Alami Proton 2014.07

“Pengunjung diberi peluang untuk melawat pusat P&P kami yang melahirkan kesemua model Proton. Dari 197 buah negara di dunia, 33 negara memasang kereta tetapi hanya 14 daripadanya menghasilkan kereta sendiri. Malaysia adalah salah satu dari 14 negara dan OEM tunggal di rantau ini. Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini dan dengan itu ingin menjemput rakyat Malaysia untuk datang dan melawat fasiliti yang ada. Ini adalah antara cara kami untuk mendekatkan jenama Proton dengan orang ramai, tambah Dato’ Harith.

Bagi menambah lagi keseronokan lawatan, pengunjung turut berpeluang untuk memandu uji dan melihat dengan lebih dekat model terbaharu Proton Iriz dan model sedia ada Proton.

“Sepanjang tempoh karnival, pengunjung dapat mempelajari bagaimana peralatan kereta di pasang di depan mata mereka sendiri. Di pusat P&P, pengunjung dapat melihat bagaimana pereka Proton melakukan kerja tangan mereka seperti proses pembuatan model tanah liat, penggunaan mesin CNC, material yang digunakan dan prototaip enjin. Turut dipamerkan ialah keputusan ujian pelanggaran dan secara umumnya memberi kefahaman tentang kesungguhan Proton bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti dan memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan proses perincian sebelum kereta diserahkan untuk penghantaran”, tambah Dato’ Harith lagi.

“Pendedahan ini adalah suatu yang kami berasa bangga untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia dan kami berharap selepas pameran ini, pengunjung akan lebih memahami berapa jauh kami sudah bergerak, industri tempatan yang besar dibangunkan secara bersama dan perjalanan akan datang yang bakal kami tempuhi dari sekarang,” terang Dato’ Harith.

Kemuncak Karnival Alami Proton ialah persembahan kereta konsep sebagai bayangan produk masa depan yang bakal berlangsung petang ini. Ingat bagaimana kereta konsep Proton Emas memberi indikasi kepada Proton Iriz empat tahun lepas? Suatu yang mengujakan untuk dipelajari dan diamati.

Silakan kongsi:

Proton Holdings Berhad Melancarkan Proton Iriz – Kereta Kompak Bergaya Dari RM42,438

SONY DSC

Tanjung Malim, 25 September 2014 – Masa yang ditunggu-tunggu telah pun tiba apabila Proton Holdings Berhad melancarkan produk terbaharu kebanggaan mereka iaitu Proton Iriz. Kereta hatchback yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kilang Proton Tanjung Malim itu menampilkan reka bentuk yang menarik, kejuruteraan berkualiti, kelengkapan teknologi yang inovatif dan pada masa yang sama dipasarkan pada harga mampu milik. Model baharu itu ditawarkan melalui tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.

Rasional pemilihan nama Iriz ialah kerana sifat mata itu sendiri yang diserap dan dijelmakan kepada model terbaharu Proton ini. Ia melambangkan karakter memandang ke hadapan dan menetapkan standard baharu keselamatan untuk rakyat Malaysia. Proton Iriz mempunyai 10 kawalan berkomputer untuk memberi keselamatan aktif dan mewujudkan sinergi di antara kelengkapan keselamatan pasif dan seterusnya perlindung komprehensif untuk pemandu dan penumpang.

Huruf ‘Z’ yang menggantikan S pula adalah lambang kepada penyempurnaan kerja Proton iaitu dari A hingga Z selain daripada lengkapnya projek terbaharu ini dan sebagai tanda bermulanya era baharu Proton dan mengukuhkan lagi komitmen Proton terhadap kualiti tinggi.

Proton Iriz TM 2014.12

Berucap semasa majlis perlancaran, Dato’ Harith Abdullah, Ketua Pegawai Operasi Proton berkata, “Proton Iriz dibangunkan di atas platform baharu oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia dan pasaran global. Kereta kompak ini merupakan simbol komitmen Proton kepada pelanggan dengan menawarkan standard kualiti yang tinggi, selamat dan seronok untuk dipandu yang terbina dengan keselesaan dan kemudahan untuk konsumer”

“Proton Iriz merupakan produk Proton yang serba lengkap setakat ini. Iriz dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif sebagai kelengkapan standard seperti ESC, ABS dengan EBD dan BA, TCS, HHA dan sistem amaran tali pinggang keledar. Kesemua ciri-ciri ini menjadikan Iriz sebuah model yang unik untuk pasaran tempatan dan kebiasaannya kelengkapan tersebut hanya didapati pada kereta premium dan jenama antarabangsa pada harga melebihi RM100,000,” kata beliau.

“Disebalik kelengkapan yang serba lengkap itu, Proton Iriz ditawarkan pada harga bermula dari RM42,438 hingga RM62,888 bergantung kepada varian. Pada masa yang sama kami masih mampu menawarkan harga yang mampu milik dan bernilai untuk wang dengan kesemua ciri-ciri yang kami berikan kepada anda”, tambahnya lagi.

Proton Iriz TM 2014.04

Direka untuk keperluan gaya hidup moden, Proton Iriz dikuasakan oleh enjin VVT baharu dengan transmisi pilihan manual atau CVT. Varian 1.3 didatangkan dengan pilihan Standard atau Executive manakala varian 1.6 pula dengan pilihan Executive dan Premium. Model baharu ini turut dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik pintar (EPS) untuk pemanduan yang menyenangkan dan pengendalian cemerlang. Proton Iriz Premium dipakejkan dengan enam beg udara, tingkap pemandu anti perangkap, sistem kemasukan bebas kunci dan lampu LED siang hari yang kebiasaannya terdapat pada kereta premium.

Selain daripada itu, turut dilengkapkan ialah Sensor Pintu Nyahkunci yang berfungsi dengan menyahaktif penguncian pintu apabila berlaku kemalangan bagi membolehkan pemandu dan penumpang keluar atau diselamatkan dengan pantas. Proton Iriz turut terbina dengan struktur yang kukuh menggunakan teknologi Acuan Tekanan Pemanasan (HPF) yang canggih dan dimiliki oleh Proton. Malaysia merupakan negara keenam yang menggunakan teknologi Jerman tersebut dan satu-satunya negara ASEAN yang menggunakannya. Teknologi HPF membantu di dalam menjadikan berat kereta mencapai kestabilan optimum di samping melindungi pemandu dan penumpang semasa berlakunya impak dari luar.

Proton Iriz TM 2014.11

“Proton telah memberi fokus di dalam menambah baik setiap aspek kereta ini terutama sekali pada kemudahan dan keselamatan. Proton Iriz hadir dengan standard keselamatan tertinggi yang Proton boleh tawarkan dan lebih meyakinkan apabila Iriz mencatat skor lima bintang di dalam ASEAN NCAP dan kami tidak akan berhenti setakat ini dan akan menjadikannya sebagai penanda aras bagi terus menambah baik dan membangunkan kereta di dalam memenuhi standard keselamatan antarabangsa,” ujar Dato’ Harith.

Proton Iriz kini boleh dipandu uji di semua bilik pameran Proton di seluruh negara. Terdapat tujuh warna yang ditawarkan seperti Fire Red, Atlantic Blue, Genetic Silver, Proton White, Tranquility Black dan dua warna baharu yang eksklusif untuk Iriz iaitu Citrus Green dan Moon Dust. Harga di atas jalan Proton Iriz bermula dari RM42,438 (Standard 1.3 Manual), RM46,438 (Executive 1.3 Manual) dan RM59,438 (Premium 1.6 Manual).

Selamat berjaya Proton – Kebanggaan Negara!

@muhd_gt – Lebih entri dan gambar akan menyusul!

Silakan kongsi: