Galeri: Proton Compact Car “Iriz” 1.6 VVT Premium

Proton Iriz Teaser 2014.05Proton Iriz Teaser 2014.07

Seperti yang diketahui ramai, Proton Holdings Berhad sedang bersiap sedia untuk melancarkan Proton Compact Car (PCC) di dalam masa terdekat. Model yang lebih gemar dipanggil “Iriz” ini berada di dalam segmen super mini seperti Perodua Myvi, Honda Jazz, Kia Rio, Peugeot 208 dan Suzuki Swift. Disasarkan untuk bersaing diperingkat global, PCC bakal dilengkapi dengan sejumlah ciri-ciri keselamatan antaranya enam beg udara, kawalan cengkaman (TCS), ABS dengan EBD dan Hill Hold Assist. Lebih membanggakan apabila kereta nasional baharu ini mencatat skor 5 bintang di dalam ujian pelancaran ASEAN NCAP.

Terdapat dua nadi kuasa PCC iaitu 1.3 dan 1.6 dengan teknologi VVT dan opsyen transmisi manual dan CVT. Varian paling asas dikenali sebagai Standard manakala versi pertengahan dan spesifikasi penuh pula masing-masing dikenali sebagai Executive dan Premium.  Bagi memenuhi pelbagai keperluan pasaran dan bersaing rapat di dalam segmen yang kompetitif, PCC ditawarkan pada paras harga dibawah RM45 ribu hinggalah setara kepada harga model pesaing paling premium.

PCC “Iriz” yang dievolusikan daripada model konsep Proton Emas dengan kos penyelidikan dan pembangunan melebihi RM500 juta memikul tanggung jawab besar untuk mengembalikan penguasaan pasaran Proton di dalam pasaran tempatan selain daripada penjenamaan semula syarikat tempatan ini di pasaran antarabangsa.

PCC “Iriz” bakal dilancarkan pada 25 September ini.

Silakan kongsi:

ASEAN NCAP S3 2014: Perodua Axia Mencatat Skor Empat Bintang

ASEAN NCAP Q3 2014.01

Kuching, 27 Ogos 2014 – Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan keputusan Program Penilaian Kereta Baharu Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) suku ketiga 2014 yang melibatkan empat buah kereta. Jenama dan model yang terlibat ialah Honda City 2014, Honda Jazz 2014, Tata Vista dan paling menarik ialah model baharu yang belum dilancarkan iaitu Perodua Axia.

Berikut ialah ringkasan keputusan;

1. Tata Vista – 3 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 3 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

2. Perodua Axia – 4 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 4 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

Dwi Rating

1. Honda City (2014) – 5 dan 4 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 4 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

2. Honda Jazz (2014) – 5 dan 4 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 4 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

Kedua-dua Honda City dan Honda Jazz dijual di serata negara ASEAN dengan pelbagai lokasi pengeluaran. Walau bagaimanapun Tata Vista dan Perodua Axia masing-masing hanya dijual di Indonesia dan Myanmar manakala Axia hanya di Malaysia dan bakal dilancarkan di dalam masa terdekat.

Honda City telah memecahkan rekod di dalam AOP dengan skor 15.80 poin yang sebelum ini dipegang oleh Ford Fiesta dengan skor 15.73. Perodua Axia adalah kereta pertama yang diuji di bawah ASEAN NCAP yang akan dilancarkan berserta dengan keputusan ASEAN NCAP. Axia merupakan kereta dengan skor 4 bintang pertama yang paling mampu milik di negara ASEAN (walaupun hanya dijual di Malaysia) dengan harga permulaan RM24,900.

Silakan kongsi:

Volvo Car Malaysia Mengembangkan Sayap ke Sarawak

Logo Volvo 2014.01

Volvo Car Malaysia telah melantik Greatwall Group of Companies sebagai wakil servis pertamanya di Sarawak. Dengan perlantikan itu, sebanyak dua Pusat Servis dan Alat Ganti (2S) akan dibuka di Sibu dan Kuching.

“Perlantikan Greatwall sebagai wakil servis kami merupakan langkah pertama yang penting dalam meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan kami di Sarawak,” kata Keith Schäfer, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Kerjasama ini selari dengan falsafah Volvo “Designed Around You” yang menekankan pengalaman holistik kepada pelanggan kami bermula daripada rekabentuk, prestasi dan sistem keselematan di dalam kereta hinggalah kepada perkhidmatan yang ditawarkan,” tambah Schäfer.

Diterajui oleh Toh Chee Wui, Pengarah Urusan Greatwall, beliau adalah individu yang berpengalaman di dalam industri perkhidmatan automotif di Sarawak yang memiliki sejumlah rangkaian pusat servis di seluruh negeri. Selain dari itu, Greatwall juga berkemungkinan akan dilantik menjadi pengedar sah Volvo di Sarawak pada masa depan.

Volvo XC60 2014.03

Sehingga kini, Volvo mempunyai sembilan pusat servis di serata negara seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah dan Labuan. Sejak pelancaran V40 dan V40 Cross Country pada pertengahan tahun lepas, Volvo Car Malaysia aktif meningkatkan tahap perkhidmatan termasuk merombak semula modul servis mereka.

Dengan perluasan tawaran perkhidmatan serta pelancaran beberapa model baharu seperti V40, V40 Cross Country dan XC60 T5 dengan enjin baharu Drive-E, Volvo Car Malaysia telah menerima respon positif dari pasaran yang menyaksikan peningkatan jualan setakat Julai 2014 sebanyak 29 peratus berbanding tahun lepas.

Silakan kongsi:

Karamjit Singh Juara Pusingan Kedua MRC 2014 di Johor

MRC 2 2014.07

Karamjit Singh dan pemandu arahnya , Manohar Menon yang mewakili Pasukan Rali Proton R3 telah memenangi pusingan kedua Kejuaran Rali Malaysia 2014 (MRC) yang dilangsungkan secara serentak dengan Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada 15 – 17 Ogos lalu di Johor Bahru. Dikenali sebagai di antara lokasi rali paling mencabar, pusingan tersebut bertambah sukar apabila hujan lebat melanda menjadikan permukaan tanah licin dan becak.

Karamjit dan Manoharan mencatatkan kejayaan cemerlang apabila memenangi 9 dari 14 peringkat perlumbaan (SS) sepanjang tiga hari perlumbaan di Johor Bahru dan Kota Tinggi. Lebih hebat dan istimewa di mana Karamjit hanya memandu Proton Satria Neo 2WD 1600 dan mengalahkan kereta yang lebih hebat seperti Skoda Fabia S2000, Mitsubishi Evolution dan Subaru Impreza. Kejayaan itu telah mengukir rekod dan sejarah pertama kereta 1600 2WD memenangi Rali Malaysia sejak 10 tahun penganjuran Kejuaraan Rali Malaysia di Johor.

MRC 2 2014.03

Peminat tempatan tidak perlu menunggu lama kerana Karamjit memenangi enam dari 8 peringkat perlumbaan pada hari pertama (Leg 1) dan mendahului pencabar terdekat, Fan Fan dari China sebanyak 1 minit 45 saat yang memandu Mitsubishi Evo X. Fan Fan cuba untuk mengejar namun gelinciran yang dialami membantutkan usahanya apabila kehilangan masa lebih dari seminit. Karamjit terus konsisten dan mendahului dengan jumlah masa yang lebar iaitu 2 minit 47 saat.

“Saya sudah lama tidak memandu dalam keadaan sengit seperti ini. Ianya adalah hasil keras,” kata Karamjit. “Pasukan Rali Proton R3 telah melakukan kerja yang menakjubkan di dalam menyediakan kereta bebas masalah dan telah beraksi dengan bagus walaupun di dalam keadaan yang mencabar,” tambah beliau.

MRC 2 2014.05

Sepasang lagi pemandu Pasukan Proton R3 iaitu Kenneth Koh dan Nicole Perreau  R3 pula terpaksa mengalah semasa  memburu tempat keempat keseluruhan apabila aci pemacu Satria Neo yang dipandunya patah.

Kedudukan di antara Karamjit Singh dan Fan Fan kini seri dengan masing-masing mejuarai pusingan. Pusingan ketiga MRC 2014 bakal berlangsung pada bulan Oktober depan di Negeri Sembilan.

Foto: Proton Motorsports

Silakan kongsi:

Kia Sorento 2015: Kini Dengan Gayaan Matang dan Elegan

Kia Sorento 2014.04

Jenama Kia semakin hari nampaknya semakin disegani. Kita boleh melihat sendiri bagaimana Kia yang entah dari ceruk mana secara tiba-tiba mencipta nama dengan model Sportage belasan tahun lepas. Straterginya mudah, lambakkan sahaja produk pada harga yang jauh lebih murah daripada pesaing tetapi dengan spesifikasi tinggi. Falsafah itu diteruskan dari satu generasi ke satu generasi dengan rekabentuk yang selamat sehingga revolusi terkini mereka. Tidak hairanlah mereka menggunakan slogan “The Power to Surprise” yang bukan setakat retorik tetapi benar dipraktiskan seperti apa yang kita boleh lihat melalui barisan produk terkini mereka.

Transformasi rekabentuk di samping kempen pemasaran yang efektif telah membuka pasaran baharu di serata pasaran global. Terkini Kia bersiap-siap untuk melancarkan model terbaharu Sorento yang akan dipertontonkan di Korea pada penghujung Ogos dan kemudian di Paris pada Oktober depan sebelum dijual secara rasmi di Eropah pada tahun 2015. Harus tahu Sorento sedia ada walaupun berkongsi platform dan rekabentuk dengan model lama namun telah mengalami perubahan yang ketara sementara model 2015 dilancarkan. Sorento mempunyai konfigurasi kerusi yang unik di mana SUV itu mempunyai kapasiti tujuh tempat diduduk seterusnya merupakan alternatif ideal untuk mereka yang tidak berapa gemar dengan imej keluarga yang besar pada MPV. Jika dibuat perbandingan, ternyata Sorento mempunyai kelebihan bersaing dan nilai yang tinggi di dalam kelasnya.

Kia Sorento 2014.05

Sorento baharu yang bakal dilancarkan ini dijangka meneruskan kecemerlangan model sedia ada. Cuma penggayaan model generasi ketiga itu dilembutkan dengan penampilan yang lebih matang seolah-olah Kia menekan brek kepada gayaan agresif mereka. Boleh jadi begitulah strateginya, bermula dengan rekabentuk normal kemudian lebih agresif untuk menarik perhatian pasaran seterusnya menghalusi bahasa rekabentuk supaya tak lekang masa (timeless). Menurut Kia, rekabentuk kali ini adalah evolusi kepada model sedia ada dengan pengaruh model konsep Cross GT yang dipertontonkan di Chicago pada 2013. Antara elemen yang dibawa ialah bonet yang panjang dan tiang D yang lebar seperti model sebelum ini. Model baharu lebih panjang, rendah dan lebar dengan jarak roda yang dipanjangkan dan hasilnya ialah lebih ruang selain dari sejumlah ciri-ciri inovatif.

Walaupun Kia kini lebih bersifat global namun rekaan luaran Sorento diterajui oleh studio Namyang di Korea dengan input yang signifikan dari studio antarabangsa Kia di Frankfurt dan California. Wajah depan Sorento dihias dengan ‘tiger-nose’ yang lebih besar dan tegap selain daripada corak tiga dimensi berlian. Lampu utamanya pula lebih panjang dan ditarik ke belakang selari dengan trend terkini. Rekabentuk badan diolah semula melalui garis bumbung yang lebih rendah, garis pinggang yang dinaikkan dan lebih maskulin serta bentuk ‘bahu’ yang lebih membujur pada bahagian belakang menjadikan SUV ini tampak lebih dramatik. Dari segi ukuran, panjang Sorento baharu meningkat 95mm kepada 4,780mm, direndahkan 15mm kepada 1,685mm manakala jarak roda yang 80mm lebih panjang kepada 2,780mm menjadikan ruang penumpang di barisan ketiga lebih luas.
Menurut Soon-Nam Lee, Naib Presiden Pemasaran Luar Negara Kia Motors Corp, “Walaupun kami mengekalkan nama model yang telah mencatat kejayaan tinggi ini namun Sorento serba baharu ini mempunyai rekabentuk baharu sepenuhnya dan bakal mengejutkan pelanggan dengan gayaan, sejumlah ciri-ciri praktikal dan teknologi keselamatan selain daripada ruang yang lebih luas, keselesaan pemanduan dan tindak balas pengendalian.”

Kia Sorento 2014.03

Kepada peminat tempatan atau pun mereka yang menunggu SUV dengan tujuh tempat duduk, lazimnya model baharu Kia akan dipasarkan beberapa bulan selepas pelancaran global setelah urusan pemasangan tempatan selesai. Namun terdapat juga model-model Kia yang tidak dipasarkan di sini tetapi sukar rasanya untuk Naza tidak menjual model arus perdana itu memandangkan Sorento mempunyai pengikutnya yang tersendiri sejak dari generasi pertama lagi. Bahkan Naza membuat nama dek kerana model SUV Sportage selain daripada tarikan pasaran semasa dan desakan dari pesaing lain. Kepada mereka yang tidak gemarkan rekaan Kia yang agresif kini pemain global itu cuba menyeimbangkan falsafahnya dan tampil lebih matang dan elegan. Sorento juga menampilkan imej yang lebih ranggi dan maskulin berbanding kenderaan pelbagai guna rekondisi yang mahal harganya dan tidak menepati selera sesetengah orang. Sorento adalah jawapan yang boleh dipertimbangkan.

Garaj Kosmo

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Pandu Uji: Volvo V40 T5 Dengan Kit R-Design

SONY DSC

Volvo V40 telah pun berjaya menarik minat peribadi lama sebelum ianya dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2013. Model itu begitu menyerlah sewaktu mula-mula dipertontonkan di Geneva pada tahun 2012. Tarikan utamanya ialah reka bentuk era baharu Volvo yang lebih beremosi dan jenis badan hatch back yang begitu sporty serta berlawanan dengan tradisi reka bentuk jenama dari Sweden itu. Harus tahu, model V40 sebelum ini dikenali dengan jenis badan wagon manakala S40 pula untuk jenis badan sedan. Lazimnya siri V digunakan pada model wagon dan kali ini Volvo mengubah tradisi dengan menggunakannya pada model hatch back. Lebih menarik, siri 40 kali ini hanya didatangkan dengan jenis badan hatch back manakala jenis badan sedan masih tidak kedengaran untuk diperkenalkan dan mungkin dipengaruhi oleh selera Eropah yang menggemari model hatch back berbanding sedan. Volvo Car Malaysia memasarkan tiga varian V40 iaitu T4, T5 dan Cross Country yang masing-masing berharga RM174,178, RM191,460 dan RM200,888. Perbezaan ketara ketiga-tiga model tersebut ialah saiz enjin dan spesifikasi serta gayaan dengan sasaran pasaran untuk lebih dimiliki oleh rakyat tempatan.

SONY DSC

Setelah lama dipasaran global dan Malaysia, saya akhirnya berpeluang untuk memandu uji atau lebih tepat menyambut Aidil Fitri lepas ke Pantai Timur dengan Volvo V40 T5. Lebih menarik model itu dilengkapi dengan kit aksesori penggayaan badan R Design yang terdiri daripada penutup cermin sisi, roda aluminium Ixion II 17 inci, peresap bampar belakang dan muncung peredam bunyi. Walau pun model R-Design sinonim dengan warna Rebel Blue namun warna Ice White pada model pandu uji ini berjaya menonjolkan rekaan badannya yang seksi dan beralun. Bahasa rekaan V40 menggunakan falsafah baharu iaitu “Designed Around You” yang melambangkan posisi tinggi pelanggan kepada Volvo. Walau pun begitu gayaan V40 masih mengekalkan pengaruh yang sama dengan model Volvo lain seperti XC60 dan S60/V60. Jika diamati lama, persamaan V40 dengan model V60 semakin ketara ibarat sebuah wagon yang dipendekkan terutama sekali pada bahagian sisi. Memberi ekspresi lebih segar ialah wajah depan yang menggunakan signatur korporat baharu dengan bampar yang lebih berlekuk dan lampu utama tunggal yang turut akan diulang pada model Volvo baharu lain. Lampu LED DRL pada bawah bampar pula memperlihatkan lagi keanggunan reka bentuk V40.

SONY DSC

Diadili dari luar, memang jelas V40 dipengaruhi gayaan coupé dengan bumbungnya yang tirus ke belakang dan lazimnya rekaan begitu akan membuatkan pemandu dan penumpang cepat terasa lemas. Pereka Volvo berjaya mengimbangi di antara rekabentuk dan fungsi melalui manipulasi ruang kabin dengan merendahkan paras dan ketebalan kerusi seterusnya memberi kelegaan pada bahagian kepala. Secara visualnya terasa kepala hampir dengan bumbung tetapi apabila disukat dengan tangan ternyata masih ada lagi ruang selesa dan secara peribadinya tidak menganggu konsentrasi pemanduan atau pun berasa lemas. Namun, kompromi pada ruang bawah kabin mengakibatkan papan pemuka terasa tinggi dan kadang-kala badan pemandu perlu dilonjakkan sedikit untuk meninjau luar kereta terutama sekali semasa melalui ruang sempit atau parkir. Lama-kelamaan kejanggalan itu diatasi dengan bantuan sensor undur yang mesra pemandu dan sensitif serta visual grafik pada paparan LCD. Semestinya lebih lengkap jika kamera undur dijadikan peralatan standard untuk model kemas kini pada masa akan datang. Sementara itu, ketiadaan kamera undur ditimbal balas dengan sistem yang lebih mahal dan canggih iaitu Park Assist Pilot yang boleh mengemudi kereta secara automatik untuk memasuki ruang kanan atau kiri parkir. Untuk mengaktifkannya, pemandu hanya perlu menekan suis Park Assist dan menolak tuil isyarat kanan atau kiri. Sistem akan membuat imbasan bagaimana untuk memasuki ruang parkir dan setelah selesai biarkan sahaja stereng berputar secara automatik dan pemandu hanya perlu mengawal pedal minyak dan brek di kaki. Teknologi ini ternyata menyenangkan cuma masa imbasan yang diambil sedikit lama dan mungkin tidak akan kerap digunakan oleh pemandu yang sudah mahir dan berpengalaman.

SONY DSC

Selain dari perbezaan pada aras bumbung gayaan coupé, interior V40 saling tidak tumpah dengan model lain seperti XC60 dan S60/V60. Rekaan papan pemuka dengan panel kawalan tengah yang nipis dengan ruang simpanan pintar dibelakang masih dikekalkan. Kulit pintu pula ringkas anggun dan diolah supaya peha dan lengan mempunyai lebih ruang. Kerusi pemandu dan penumpang depan dibalut kulit dan boleh dilaras secara elektronik dengan bentuk dan kontur yang kemas menangkap badan selari gayaan sporty yang dibawa. Kerusi belakang pula sedikit keras dibentuk khusus untuk dua penumpang di mana ruang tengah dikhaskan untuk perehat lengan dan pada hujung sudut tengah kerusi disorokkan dua pemegang cawan. Ruang bagasi pula agak sederhana sesuai dengan saiz sebuah hatch back. Ciri baharu yang ketara diperkenalkan Volvo ialah paparan meter digital sepenuhnya yang dipanggil Adaptive Digital Display. Segala informasi seperti meter kelajuan, minyak, odometer dan sebagainya dipaparkan melalui format digital dan lebih menarik pemandu boleh memilih tiga paparan berbeza dengan fungsi tersendiri. Dengan memilih mode Sport, pemandu akan diserikan dengan latar belakang meter berwarna merah yang garang dan kontra dari seleksi tersebut ialah mode Eco yang akan memberi segala indikator bagaimana untuk mencapai pemanduan yang ekonomikal. Untuk seleksi Elegance pula, pemandu boleh kembali ke dunia normal dengan grafik yang tenang dan ringkas tanpa perlu menghiraukan soal pemanduan berprestasi atau penjimatan. Pemandu turut diberikan kemudahan untuk menala sistem audio, keselamatan dan pemanduan melalui skrin 5 inci pada papan pemuka.

SONY DSC

Memandu V40 T5 sememangnya menyeronokkan dan terasa begitu sebati sekali. Volvo mengguna pakai semula enjin lima silinder 2.0 turbo dan dibekalkan transmisi enam kelajuan automatik. Cuma kelemahan yang agak terasa ialah lengahan turbo (turbo lag) yang menggangu prestasi sewaktu kuasa diperlukan, selebihnya kuasa yang dibekalkan begitu bertenaga sekali. Kepada yang bosan memandu dengan mode automatik, anda boleh memilih transmisi mode S yang melonjakkan lagi putaran enjin (rpm) secara standard. Dari segi dinamik pula, pemanduan yang jitu bukanlah kubu kuat Volvo. Para jurutera dilihat cuba untuk menjadikan kedinamikan pemanduan V40 T5 sesuai dengan reka bentuknya yang sporty namun lebih banyak usaha diperlukan. Sistem suspensi terasa keras dengan tayar Pirelli Cinturato 225/45 R17 yang agak bising. Memandu di dalam kelajuan tinggi pula masih lagi tidak setanding BMW begitu juga dengan keupayaan sewaktu mengambil selekoh yang terasa begitu ‘artificial’ dek kerana sejumlah bantuan elektronik yang tersedia. Senarai sistem elektroniknya mengagumkan seperti DSTC (Dynamic Stability and Traction Control) yang digabungkan dengan Advanced Stability Control dan Corner Traction Control by Torque Vectoring and Sport Mode.

SONY DSC

Sistem elektronik tersebut mengambil alih pengemudian kereta sewaktu melalui selekoh atau gelinciran dan fungsi tersebut harus difahami bersama dengan konsep keselamatan yang diutamakan oleh Volvo. Tidak semua pemandu mahir dan berpengalaman dan tidak semestinya pemandu di dalam kategori tersebut sentiasa berada di dalam keadaan bersedia dan alasan tersebut mungkin justifikasi kenapa Volvo tidak memberi fokus besar kepada pemanduan yang dinamik secara semula jadi. Seperkara yang menyeronokkan memandu uji Volvo ialah fungsi auto cruise yang mudah digunakan. Iya, kebanyakan kereta lain juga mempunyai sistem tersebut namun simbol fungsi suis pada stereng mudah dan praktikal untuk digunakan dan ada ketikanya saya tidak menggunakan langsung pedal minyak pada laluan lurus mahu pun selekoh. Cukup bermain-main di antara suis on, melahu dan nyah aktif tetapi teknik tersebut tidak wajar dicontohi kerana ianya berisiko tinggi jika salah digunakan.

Walaupun V40 tidak dilengkapi dengan sistem Adaptive Cruise Control dan Collision Warning with Full Auto Brake yang menjadi kemegahan Volvo dan kenapa semua orang patut membeli Volvo tetapi sistem asas seperti City Safety akan memberhentikan kenderaan secara automatik sehingga kelajuan 50 km/j yang dapat membantu sewaktu kecemasan. Tidak ketinggalan ialah Blind Spot Information System (BLIS) yang sangat diperlukan untuk memberi indikator objek pada sisi kereta terutama sekali di dalam hiruk-pikuk kesesakan trafik di pusat bandar. Lebih canggih dan membantu di dalam mencapai pemanduan ekonomikal, V40 T5 dibekalkan sistem Start/Stop dengan operasi yang agak cekap di dalam mematikan dan menghidupkan semula enjin sewaktu trafik henti dan jalan. Efek menghidupkan semula enjin secara automatik tidak terasa mana. Memandangkan cuaca negara kita yang panas, sistem tersebut tidak akan diaktifkan di dalam keadaan suhu yang tinggi. Kecekapan sistem brek V40 T5 patut dipuji dan benar berkerja di dalam menghentikan kereta sehingga saya merasakan pakejnya yang terdiri dari ABS, EBD, Ready Alert Brake, Emergency Brake Assist dan Fading Brake Support lebih berkuasa dari kuasa enjin itu sendiri. Tidak dilupakan ialah sejumlah beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan, buku lali pemandu dan tingkap.

SONY DSC

Secara kesimpulannya, saya gembira dapat memandu uji V40 yang ditunggu-tungu sejak pelancarannya. Bagaimana kereta ini direka dan dibangunkan adalah refleksi bagaimana Volvo ingin dilihat disamping membawa konsep keselamatan yang harus ditiru oleh pengeluar lain. Sokongan pasaran diperlukan di dalam memberi signal tentang apa yang dibawa oleh Volvo ini berbaloi dan harus dipertahankan. Iya, dinamik pemanduan V40 T5 mungkin tidak setara dengan pesaing premium sekelasnya namun merit harus diberikan terhadap gayaan beremosi dan sistem keselamatan yang menerajui kelasnya. Volvo Car Malaysia boleh dipuji di mana sasaran baharu mereka ialah untuk memasarkan barisan model Volvo pada harga yang mampu dijangkau oleh pasaran yang lebih luas. Cuma mungkin beberapa sistem seperti Park Assist Pilot dan Start/Stop boleh dikompromikan untuk sistem keselamatan yang menjadikan Volvo sebuah Volvo seterusnya memberi lebih kelebihan bersaing di dalam pasaran kereta hatch back premium. Pembeli Mercedes A-Class dan BMW 1 Series memilih kerana jenama dan prestij, VW Golf GTi pula kerana prestasinya manakala Volvo V40 pula kerana sistem keselamatannya. Jika ditanya mana satu pilihan peribadi, tanpa berlengah saya akan memilih V40 kerana falsafah dan idea disebaliknya di samping ikatan emosi yang menebal dan kini sudah tiba masanya usaha yang dilakukan oleh Volvo ini diberi perhatian serius. Simply put, I just love this car!

@muhd_gt

Silakan kongsi:

ETCM MEMPERKENALKAN NISSAN SYLPHY TALAAN IMPUL

Nissan Sylphy Impul 2014.01

Kuala Lumpur, 15 Ogos 2014 – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah menambah elemen sporty ke dalam rangkaian produknya menerusi pengenalan model Nissan Sylphy Talaan IMPUL.

Varian baharu ini diperkenalkan selepas pelancaran Sylphy serba baharu ke pasaran Malaysia pada April lalu. Sylphy serba baharu menyertai X-Gear, Grand Livina dan Almera sebagai model yang menerima talaan IMPUL di Malaysia. IMPUL merupakan sebuah syarikat talaan Nissan dari Jepun yang kaya dengan warisan sukan bermotornya. Ia meningkatkan aspek estetik dan prestasi model-model Nissan melalui aksesori-aksesori yang menerima kejuruteraan IMPUL.

Antara ciri yang menyerlah pada Nissan Sylphy Talaan IMPUL ialah bampar spoiler pada bahagian hadapan dan belakang, skirting sisi serta rim aloi bersaiz 17 inci dengan teknologi rekaan roda terkini. Varian itu 25mm lebih rendah berbanding model standard. Ia juga dilengkapi wing spoiler yang menjadi signatur IMPUL dan berfungsi mengoptimumkan aliran udara. IMPUL Sports Springs pula menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lincah dan responsif, sekali gus menambah elemen sporty ke dalam varian terbabit.

Nissan Sylphy Impul 2014.03

Ketika memperkenalkan Nissan Sylphy Talaan IMPUL, Pengarah ETCM, Dato’ David Chen berkata, “Kami di ETCM teruja untuk memperkenalkan varian Nissan Sylphy talaan lMPUL yang lebih sporty kepada para pelanggan. Dengan karekteristik dan kelincahan yang telah dipertingkatkan, ia pastinya mampu menawarkan pengalaman pemanduan lebih dinamik. Bagi memperkenalkan varian baharu ini kepada orang ramai, Nissan Sylphy Talaan IMPUL akan membuat penampilan di Acara Pandu Uji Awam Sylphy dan Teana yang kami anjurkan di Desa Park City pada hujung minggu ini.”

Sama seperti Teana dan Sylphy serba baharu, Nissan Sylphy Talaan IMPUL boleh dilihat secara dekat serta dipandu uji di Acara Pandu Uji Awam Sylphy dan Teana. Acara tersebut akan diadakan di Car Park 2, Desa Park City pada 16 dan 17 Ogos 2014, bermula dari 10am hingga 10pm.

Para pengunjung juga boleh menikmati ‘Teana Car Theatre’ (Teater Kereta Teana) untuk merasai sendiri pengalaman sistem bunyi keliling Teana serba baharu. Sistem Audio Premium BOSE dengan sembilan unit pembesar suara itu menawarkan kualiti bunyi yang mengagumkan. Sebagai tambahan, hadiah-hadiah istimewa seperti sistem musik BOSE SoundTouch™ Portable Wi-Fi® (bernilai RM2,290)

Silakan kongsi:

EDARAN TAN CHONG MOTOR ANJUR PROGRAM PEMANDUAN SELAMAT UNTUK PEMILIK KENDERAAN NISSAN

Nissan Safety Driving Experience Invitation

KUALA LUMPUR, 04 OGOS 2014 – Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan pemanduan yang bijak dan selamat di bawah Kempen Keselamatan Nissan 2014, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) akan menganjurkan satu Program Pemanduan Selamat untuk pemilik kenderaan Nissan di Malaysia.

Program Keselamatan Nissan bertujuan mendidik para pemilik kenderaan bagaimana untuk berdepan dengan pelbagai kondisi pemanduan, menggabungkan teknologi dan kemahiran memandu dalam usaha mengelak bahaya di jalan raya. Yuran penyertaan hanya RM100 untuk setiap orang. Bengkel ini berperanan memberi keyakinan dan melengkapkan peserta dengan teknik-teknik pemanduan yang betul apabila berdepan kemalangan jalan raya. Pendaftaran bermulai sekarang dan akan tamat pada 29 Ogos 2014.

Dijalankan selama enam jam, Program Keselamatan Nissan merangkumi satu sesi teori dan lima bahagian amali. Para peserta akan diajar bagaimana untuk mengelak kemalangan, mengawal kereta yang tergelincir, brek kecemasan dan teknik melalui slalom dalam sesi kursus halangan. Para peserta juga akan dinilai menerusi satu siri ujian untuk mengukur tahap kemahiran pemanduan mereka.

Mengulas mengenai pemanduan selamat, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ David Chen berkata, “Kempen ini bukan sekadar satu cara ETCM menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Malah, sebagai sebuah syarikat, ia sudah menjadi tanggungjawab kami untuk bekerjasama dalam meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan memastikan para pelanggan kami tahu mengenai pelbagai kondisi pemanduan bagi menangani bahaya yang mungkin berlaku di atas jalan raya. Justeru, saya ingin menjemput para pemilik kenderaan Nissan supaya menyertai Program Pemanduan Selamat Nissan untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran yang pastinya memberi manfaat kepada peserta dan mereka yang tersayang.”

Sejak dilancarkan pada April 2014, Kempen Keselamatan Nissan telah mencatat jumlah kehadiran mencecah 1,000 orang peserta. Maklum balas yang diterima juga cukup menggalakkan. Bengkel-bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan telah dijalankan di bawah kempen ini di seluruh negara seperti di Johor Bahru, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

untitled

Penyertaan Program Pemanduan Selamat Nissan adalah berdasarkan kepada ‘siapa cepat dia dapat’. Para pemilik kenderaan Nissan yang ingin menyertainya boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Pelanggan ETCM di talian +603-4047 8788 atau hantar e-mel ke alamat: crd@tanchong.com.my.

Silakan kongsi: