Balik Raya Punya Cerita 2014

Safety

Ini merupakan tahun keempat gua menulis berkenaan Balik Raya Punya Cerita. Lama juga gua bersama keluarga GT ini. Kalau nak diikutkan, gua memang tak punya idea nak menulis bagaimana lagi dah. Tapi gua anggap, ini sebagai Khidmat Sosial jadi gua rasa tidak salah untuk berkongsi dengan Sekutu semua. Mana yang bermanfaat, silalah guna. Kalau gua merapu, anggap sahaja itu sebagai pemanis mulut untuk menyedapkan lagi bahan cerita.

  1. Seperti biasa, perkara-perkara rutin untuk pemeriksaan berkala gua fikir tak patut nak bagi ingat lagi dah. Besar panjang dah masing-masing, iya tak?
  2. Berkenaan timing belt, walaupun odometer baru menunjukkan perbatuan hanyalah sekitar 70,000km, tapi gua rasa elok juga tukar jika tempoh hayat kenderaan telahpun melebihi usia 4 tahun. Getah dah mati orang kata. Ibarat bom jangka boleh putus sewaktu mendaki Bukit Putus. Clutch Plate kalau dah kematu pun elok pergi tukar juga.
  3. Pastikan juga keadaan angin tayar mencukupi untuk menampung lebihan bebanan kenderaan. Angin tayar simpanan pun jangan lupa juga untuk diperiksa.
  4. Afdalnya, bacalah doa minta dipermudahkan sebelum memulakan perjalanan waima lu orang hanya nak balik kampung setakat Beranang sahaja. Minta dengan Dia, Insya Allah Dia pasti bagi.
  5. Usai membaca doa, pakailah tali pinggang kaledar demi keselamatan. Patutnya perangai tarik tali pinggang kaledar hanya sewaktu berhadapan dengan Penguatkuasa tidak lagi berlaku. Berhadapan dengan sekatan jalanraya takut. Berhadapan dengan kemalangan haram nak beringat.
  6. Buatlah isian petrol yang berhampiran dengan perjiranan rumah anda. Ketahuilah, punya berderet kenderaan yang beratur untuk mengisi petrol di kawasan yang berhampiran dengan Plaza Tol serupa malam hari waktu harga petrol menaik.  Buang masa bukan? Isian semula kad Touch n Go pun boleh dilakukan bersekali.
  7. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan diri pemandu berada cukup cergas.  Apatah lagi nak memandu siang hari di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mengantuk dan dahaga memang berkawan baik pada masa ini.  Jadi, silalah sedar diri dan berhentilah berehat buat seketika di Rehat & Rawat.
  8. Buat mereka yang memandu MPV buatan Thailand berjenamakan Jepun, silalah sedar diri sekali lagi bahawasanya yang dipandu itu adalah MPV bukannya GT86. Usah dicuba untuk memotong kenderaan di hadapan sekiranya kadar ketewasan kepada Lori Balak yang bertentangan sangat tinggi. Ingat, destinasi akhir yang dituju adalah Felda Chiku, Gua Musang dan bukannya Hospital Bentong.
  9. Genggam erat stereng dengan menggunakan kedua belah tangan pada had kelajuan kebangsaan. Jangan dibuat perangai belum cukup umur pegang stereng tangan sebelah sahaja.
  10. Kalau boleh memandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah selaju itu. Karang dah bertembung dengan kesesakan lalu lintas yang dasyat, nak menyesal pun tiada guna. Itu jam baru lu orang sedar apa itu ertinya jiwa kelajuan.
  11. Nak pandu laju boleh, tapi tolonglah jangan konsisten erti. Er, maksud gua pedal minyak tu sentiasa berada di lantai. Jenis merembat tak tentu hala. Ingat, lu orang bukanlah Lewis Hamilton yang punya tahap konsentrasi yang cukup tinggi untuk memandu laju.
  12. Memandu laju di lebuhraya dengan jumlah kenderaan yang banyak agak ekstrem juga sebenarnya. Kebarangkalian kenderaan di hadapan menekan brek akibat ada kenderaan lain yang menukar lorong sesuka hati tanpa memberikan signal memang lumrah. Jadi, jarakkanlah dengan kenderaan di hadapan.
  13. Bila dah bertembung dengan kesesakan lalu lintas di lebuhraya, janganlah dibuat perangai menggunakan Laluan Kecemasan itu. Berbuih dah pesan, masih nak guna juga atas alasan nak cepat sampai. Kalau nak cepat sampai, balik kampung dua minggu sebelum raya derr!!
  14. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  15. Sewaktu menghampiri Plaza Tol Sg Petani Utara misalannya, silalah keluarkan Kad Transit & Kad Touch n Go dengan kadar segera. Patutnya tak dibuat lagi dah perangai terhegeh-hegeh nak cari kad & wang sewaktu berhadapan dengan Akak Jurutol itu. Ingat, ini bukannya macam cerita Tol Gate Girl. Kenderaan di belakang beratur bukan main banyak lagi.
  16. Sewaktu dah selamat sampai ke kampung halaman, silalah panjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Bukan semua orang mampu sampai dengan selamat dan bergaya. Masih ada lagi insan-insan yang hanya mampu sampai setakat Wad Kecemasan sahaja.

P/S: Pesanan akhir gua cuma satu, berhati-hatilah dan sentiasa berwaspada dengan keadaan kenderaan & jalanraya. Moga Sekutu semua selamat sampai ke destinasi yang dituju. Selamat Hari Raya Eidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Sama-sama kita doakan agar perjalanan pergi dan pulang semuanya selamat dan di bawah lindungan Nya. Amin.

#prayforgaza #prayforworldpeace

-min-

Silakan kongsi:

PEMENANG BERTUAH BAWA PULANG SEBUAH VW POLO SEDAN UNTUK AIDIL FITRI

VW Polo Sedan 2014.01

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2014 – Volkswagen Malaysia dan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi bergabung untuk menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia memandu pulang sebuah jentera berkejuruteraan Jerman, Polo Sedan baharu pada musim perayaan ini yang selari dengan kempen “Safe & Stylish Balik Kampung”.

Dipilih daripada lebih 6,000 penyertaan, Ahmad Amirul Ehsan bin Alias dinobatkan sebagai pemenang kempen “Safe and Stylish Balik Kampung”. Replika kunci telah diserahkan kepada beliau pada satu majlis penyampaian hadiah sempena pameran jenama ‘Volkswagen On Tour’ di pusat beli-belah Paradigm Mall di Kelana Jaya.

Ahmad yang datang dari Rawang tidak dapat menyembunyikan keterujaannya selepas terpilih sebagai pemenang. “Saya amat terkejut dan teruja apabila mendapat tahu bahawa saya telah memenangi sebuah Volkswagen Polo Sedan baharu. Saya memang ingin memiliki sebuah kereta Volkswagen sejak sekian lama. Jadi, sangat mengagumkan apabila impian saya itu menjadi kenyataan pada Hari Raya ini. Saya sangat bersyukur kerana berpeluang memiliki sebuah kereta Volkswagen.”

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Volkswagen Malaysia, Petra Schreiber berkata, “Kami mengadakan satu kempen yang bertemakan gaya dan keselamatan kerana kedua-dua elemen ini selari dengan jenama Volkswagen. Kami benar-benar gembira kerana dapat berkongsi keseronokan memiliki dan memandu sebuah kenderaan Volkswagen dengan pemenang bertuah ini sempena sambutan musim perayaan kali ini.”

Dilancarkan di Malaysia pada tahun 2013, Polo Sedan yang dipasang tempatan menawarkan prestasi mengujakan menerusi kuasa tork terbaik dalam kelasnya iaitu 153Nm @ 3,800rpm. Polo Sedan yang dibina dengan kejuruteraan Jerman itu turut menyediakan penjimatan bahan api mengagumkan – menawarkan gabungan penggunaan bahan api sekitar 6.5 liter bagi setiap 100km atau 15.4km seliter. Ini menjadikannya kenderaan yang sempurna untuk pemanduan harian di kawasan urban atau luar bandar.

Polo Sedan dilengkapi ciri keselamatan yang impresif termasuklah dua beg udara di hadapan dan sisi, Intelligent Crash Response System (ICRS), sistem brek anti-kunci (ABS) dengan Brake Assist (BA), tingkap keselamatan pada keempat-empat pintu, tali pinggang keledar tiga poin standard untuk semua penumpang, cagak tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX) dan sistem penggera anti kecurian demi keselamatan maksimum sepanjang masa.

Silakan kongsi:

Honda Melancarkan Jazz 2014 – Harga Dari RM72,800!

Honda Jazz My 2014.02

Kuala Lumpur, 16 Julai 2014 – Honda Malaysia memberi kejutan kepada rakyat Malaysia pada hari ini apabila melancarkan Jazz serba baharu yang versatil dan mampu milik! Jazz generasi ketiga akan terus menjadi pengubah permainan dalam segmen hatchback kompak menerusi pakej versatiliti, mampu milik dan kefungsian yang bernilai tinggi.

Mula diperkenalkan pada tahun 2001, Jazz generasi pertama dan keduanya pantas menetapkan penanda aras dalam segmen hatchback. Model-model ini sangat berjaya dan popular di seluruh dunia apabila mencatat jualan 5.2 juta unit serta menjadi model terlaris Honda. Di Malaysia, lebih 30,573 unit Jazz telah terjual sehingga kini.

Melihat potensinya yang cukup besar, Honda Malaysia telah membuat satu keputusan strategik untuk memasang Jazz Hybrid dan Jazz Petrol di kilangnya di Melaka. Hingga ke hari ini, kedua-dua model Jazz CKD itu menerima sambutan yang amat baik dan terjual hampir 13,000 unit dalam tempoh kurang dua tahun.

Menjadi sebuah model global, Jazz serba baharu dibangunkan dengan matlamat untuk menjadi “Kompak Dengan Fungsi Terbaik di Dunia”.Ketika membangunkan Jazz serba baharu, pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Honda mereka bentuk semula Jazz supaya menjadi model yang Sangat Versatil dan Luas, memiliki Teknologi dan Ciri Ketersambungan Inovatif serta Reka Bentuk dan Prestasi yang mendahului kelasnya.

Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata “Jazz serba baharu bakal menarik minat para pelanggan yang mahukan sebuah kereta yang bukan sahaja seronok untuk dipandu, malah versatil dan memiliki fungsi terbaik demi memenuhi keperluan gaya hidup mereka yang pelbagai. Jazz serba baharu didatangkan dalam satu pakej menarik yang ideal untuk kebanyakan rakyat Malaysia, daripada pelajar kolej dan eksekutif muda hinggalah pasangan yang sudah berkahwin serta keluarga. Jazz serba baharu amat sesuai untuk apa jua gaya hidup: bekerja, beriadah, bersukan, membeli-belah dan mengembara. Jazz ini merupakan Honda Jazz yang paling mengagumkan daripada Honda setakat ini.”

“Jazz serba baharu akan memberikan pakej nilai keseluruhan terbaik dalam segmennya melalui tiga varian (S, E dan V) yang kami perkenalkan. Rangkaian luas ini selari dengan komitmen kami untuk menawarkan produk yang mampu milik dan bernilai tinggi kepada semua orang. Ini pastinya satu peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah Honda!” tambah Ueno.

Jazz serba baharu menampilkan identiti reka bentuk baharu Honda, “Exciting H Design” yang membuatkan kereta ini kelihatan garang dan sporty. Konsep rekaan luaran yang dikenali sebagai “Crossfade Monoform Exterior” itu nyata dinamik dan maju, pada masa yang sama terus mewarisi karekteristik unik sebuah Jazz. Ia menggabungkan kabin yang sporty dan dinamik dengan bahagian bawah badan yang lebih rendah, sekali gus memberi penekanan terhadap kestabilan dan kelebaran rekaannya.

Jazz serba baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang telah ditambah baik dan dipadankan bersama CVT yang baru direka bentuk. Kotak gear CVT ini dibangunkan di bawah “Earth Dreams Technology” Honda. Padanan platform subkompak global baharu Honda yang terdiri daripada struktur ringan dan tegar terus membawa Jazz ke satu tahap baharu dari segi penjimatan bahan api tanpa mengorbankan prestasi dinamiknya.

Apa yang membezakan Jazz serba baharu adalah ruang dalamannya yang sangat versatil dan penuh fungsi. Ia diterjemahkan daripada falsafah “Manusia Maksimum, Mesin Minimum” Honda. Rekaan tangki bahan api yang terletak di tengah-tengah dikekalkan. Ruang kabinnya kini lebih luas, lebih ringan dan tapak rodanya lebih panjang. Pastinya, ciri yang paling disukai iaitu tempat duduk “Magic Seats” kini hadirdengan empat mod konfigurasiyang lebih baik berbanding sebelumnya! Hasilnya, Jazz serba baharu memiliki kabin lebih besar dengan peningkatan ketara pada bahagian bahu dan kaki penumpang belakang serta ruang kargo. Sekali gus menawarkan keselesaan yang mendahului kelasnya.

Jazz serba baharu dilengkapi inovasi serta ciri ketersambungan termaju dan intuitif yang menambah elemen keseronokan pemanduannya. Ia merupakan kereta pertama dalam segmennya yang dilengkapi paparan skrin sentuh Advanced Touch Audio bersaiz 7 inci dengan fungsi MirrorLink (varian V). Turut ditawarkan ialah paparan meter pelbagai maklumat dan sistem pendingin hawa automatik dengan satu panel kawalan sentuh (varian V) dan sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin (varian E & V). Stereng multi fungsi pula menampilkan sistem kawalan telefon bebas tangan (varian V) dan Kawalan Pengecaman Suara (varian V) yang memberi kemudahan di hujung jari pemandu.

Sama seperti semua model Honda yang lain, aspek keselamatan menjadi keutamaan buat Jazz serba baharu. Jazz serba baharu dilengkapi dengan lebih banyak ciri keselamatan seperti 6 beg udara (varian V); yang merangkumi dua beg udara SRS pada bahagian hadapan, beg udara sisi (i-Side) dan beg udara Side Curtain, Emergency Stop Signal (varian E & V), Vehicle Stability Assist (VSA) (varian E&V), kerangka G-CON dan ISO Fix. Ueno turut mengumumkan bahawa Jazz serba baharu telah pun menjalani Ujian Pelanggaran ASEAN NCAP pada minggu lalu dan yakin ia akan menerima penarafan keselamatan 5 Bintang.

Kesemua tiga varian didatangkan dalam lima warna iaitu perak (New Tinted Silver) yang merupakan warna baru sempena pengenalan Jazz serba baharu, biru (Brilliant Sporty Blue Metallic), putih (Taffeta White), hitam (Crystal Black Pearl) dan kelabu (Modern Steel Metallic).

Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan sela penyelenggaraan untuk setiap 10,000km. Ini memberi satu lagi alasan kepada para pelanggan untuk menjadikan Jazz sebagai kenderaan pilihan mereka. Dengan 76 pengedar sah di seluruh negara, para pelanggan Honda dijamin servis berkualiti untuk kereta mereka.

Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 1,200 unit Jazz sebulan. Honda Malaysia percaya bahawa ciri-ciri premium, teknologi termaju dan harga Jazz serba baharu yang berpatutan akan menarik minat ramai di Malaysia. Di samping memacu syarikat untuk mencapai sasaran jualannya pada tahun 2014 iaitu sebanyak 76,000 unit. Sepanjang separuh pertama tahun 2014, Honda Malaysia sudah berjaya menjual 37,178 unit kenderaaan, peningkatan sebanyak 70% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Silakan kongsi:

Proton Melancarkan Persona dan Saga Varian Eksekutif

PERSONA_EXEC

Proton Holdings Berhad kini menawarkan varian eksekutif untuk model popularnya iaitu Saga dan Persona. Proton Saga dan Persona Executive didatangkan dengan kemasan baharu untuk menarik perhatian pelanggan muda sama ada yang sudah atau belum berkeluarga. Persona Executive turut didatangkan dengan warna istimewa iaitu Elegant Brown sebagai tambahan kepada enam warna sedia ada.

Persona Executive dilengkapi dengan kit badan, kerusi kulit, roda aloi 15 inci, stereng dengan butang audio, 4G wi-fi (dengan langganan percuma terhad selama setahun), lampu kabus depan, spoiler belakang, pembuka pintu sama warna badan dan pelbagai lagi peralatan. Saga Executive pula antaranya dilengkapi dengan kit badan warna tunggal, konsol tengah hitam satin, corong penyaman udara hitam satin, pembuka pintu dalam hitam satin dan kerusi kulit.

Proton Persona Saga 2014.04

Selain daripada peralatan tambahan, Proton turut menawarkan tiga tahun servis percuma untuk pendaftaran yang berjaya. Saga Executive didatangkan dengan tiga tahun atau 60 ribu km jaminan pengilang manakala Persona Executive pula dua tahun atau 50 ribu km jaminan pengilang.

Perbandingan harga di antara Proton Persona SV dan Executive:

Proton Persona Saga 2014.01
Perbandingan harga di antara Proton Saga SV dan Executive:

Proton Persona Saga 2014.03

Silakan kongsi:

Volvo Melancarkan XC60 T5 Dengan Wajah dan Enjin Drive-E Baharu

Volvo XC60 2014.03

Volvo Car Malaysia pada pertengahan Jun lalu telah melancarkan XC60 T5 wajah baharu. Model itu ditampilkan dengan fasia baharu dan kemaskini interior. XC60 juga merupakan model Volvo pertama yang menggunakan nadi kuasa Drive-E iaitu pakej enjin baharu untuk model akan datang yang dibina berdasarkan konsep Scalable Product Architecture (SPA).

Bahagian depan kereta kini mempunyai bentuk bonet baharu dan gril krom yang menyerlahkan lebar kereta selain dari garisan melintang yang menyerlahkan lagi imej kereta. Muncung ekzos pula digabungkan pada peresap belakang dan sebagai simbolik kepada enjin baharu. Bahagian dalaman pula diceriakan dengan hiasan dan bingkai silk metal selain dan penganjak gear pada stereng.

Perubahan terbesar pada Volvo XC60 T5 ini ialah penggunaan enjin 4 silinder Drive-E yang berkuasa 245hp pada 5,500rpm dan tork maksimum 350Nm dari 1,500 – 4,800rpm. Walaupun enjin baharu ini lebih berkuasa dari model sebelumnya namun penggunaan bahan api tetap menjimatkan di samping emisi CO2 yang lebih baik iaitu 157g/km.

Ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari model terdahulu iaitu RM288,888, XC60 T5 direncana untuk menarik lebih perhatian pasaran supaya lebih mampu dimiliki. Strategi itu adalah selari dengan hasrat Volvo Car Malaysia untuk menawarkan produk mereka pada harga yang lebih kompetitif tanpa mengabaikan aspek keselamatan yang telah terbukti berjaya dengan pengenalan Volvo V40.

Volvo XC60 2014.01

Sebagai sebahagian daripada komitmen Volvo di dalam mencapai visinya iaitu “Menjelang 2020, tiada sesiapa pun akan cedera dengan serius atau terkorban di dalam Volvo baharu” di mana jenama itu akan sentiasa menghasilkan teknologi dan inovasi yang menjadikan kereta lebih selamat untuk dipandu. XC60 baharu akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselematan yang diperbaharui seperti City Safety, BLIS dengan Closing Vehicle Warning (CVW), Cross Traffic Alert dan Whiplash Protection System.

Sistem City Safety baharu kini mampu untuk membrek secara automatik pada kelajuan sehingga 50 km/j. BLIS juga telah dipertingkatkan dengan menggunakan sistem berasaskan radar yang mampu untuk mengawasi dan memberi amaran kepada pemandu jika ada kenderaan yang menghampiri dengan laju sehingga 70 meter di belakang kereta.

Selepas memperkenalkan XC60 T5, Volvo Car Malaysia merancang untuk melancarkan varian XC60 T6 yang bakal dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan pada awal 2015.

Klik untuk pandu uji Volvo XC60 pra 2014

Silakan kongsi:

Honda Jazz 2014 Di Jangka Akan Mencetus Fenomena Baharu Di Dalam Segmen Hatchback

Honda Jazz 2014.01

Honda Jazz 2014 – Kereta yang menjadi idaman ramai dek kerana rekabentuknya yang comel dan ciri-ciri yang praktikal kini dibuka untuk tempahan. Menariknya model itu bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan ini. Honda Jazz Generasi Ketiga masih mengekalkan rekabentuk asal yang menarik serta ciri-cirinya yang praktikal, bergaya dan kompak dan kini di dalam rekaan serba baharu. Aspek lain seperti keselesaan dalaman, penjimatan minyak, rekabentuk dan prestasi pemanduan ditingkatkan kepada aras baharu.

Honda Jazz berjaya menarik banyak perhatian di seluruh dunia dan sejak pertama kali dilancarkan pada tahun 2001, model ini telah terjual melebihi 4.87 juta unit sehingga kini. Kedua-dua generasi juga telah banyak memenangi anugerah di serata dunia dan menjadi bukti kejayaan falsafah pembangunannya.

Sejak penjualan Honda Jazz CKD Petrol pada Julai tahun lepas, Honda Malaysia telah mencatat jualan melebihi 6770 unit dalam masa tidak kurang dari setahun. Ianya angka yang menakjubkan jika diambil kira jualan Jazz CBU Petrol di dalam tempoh 5 tahun sebelum itu hanyalah pada purata 650 unit setahun. Lonjakan jualan itu adalah bukti strategi pemasangan tempatan berjaya di dalam mengikut sentimen pasaran semasa.

Honda Jazz 2014 bakal ditawarkan di dalam tiga varian iaitu Jazz S, Jazz E dan Jazz V. Kesemua tiga varian itu dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang dikemaskini dan dipadankan dengan transmisi CVT dari famili Earth Dreams Technology yang menggabungkan prestasi pemanduan dan penjimatan minyak.

Dari segi luaran, Jazz baharu menampilkan identiti rekaan baharu Honda yang dikenali sebagai Solid Wing Face yang dibangunkan berdasarkan konsep Exciting H Design. Pada bahagian interior pula, tema futuristik yang sofistikated dijelmakan dalam rekaan yang praktikal dan pintar. Pertama kali ditawarkan di dalam kelasnya ialah paparan audio 7 inci, panel penyaman udara sesentuh dan 9 pemegang bekas air. Ciri keselamatan pula tidak kurang canggih dan lengkap dengan 6 beg udara, VSA, Emergency Start Stop Signal, dan Hill Stop Assist (HSA).

Dengar kata Honda Malaysia bakal menawarkan Jazz 2014 ini dengan harga yang sangat menarik iaitu di bawah atau sekitar RM70 ribu selari dengan strategi jualannya yang mahu mendominasi carta jualan kereta bukan nasional. Di negara jiran, Honda Jazz versi manual boleh didapati pada harga serendah RM55 ribu sahaja.

Silakan kongsi:

VW Golf R Kini Di Malaysia: RM245,888 – RM285,888

VW Golf R 2014.02

Pada awal bulan Jun lalu, VW Group Malaysia telah melancarkan Golf R iaitu varian terpantas model popular Golf. Model keempat Golf R itu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem pancitan terus (TSI) yang menghasilkan 380Nm tork dan kira-kira 290hp dengan pecutan dari sifar ke 100 dalam masa 5 saat. Untuk memastikan kuasa tersebut tertawan di atas jalan raya, Golf R dipasangkan sistem pacuan kesemua roda 4MOTION dengan coupling generasi kelima Haldex.

“Golf R baharu ini adalah kombinasi di antara teknologi perlumbaan, kuasa dan pemanduan harian yang menghasilkan ciri-ciri sporty. Varian ini dibangunkan oleh VW R GmbH bagi memenuhi kemahuan peminat permotoran yang mencari-cari sebuah kereta dengan prestasi pemanduan menggagumkan,” kata Christoph Aringer, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia.

VW Golf R 2014.04

Golf R baharu meneruskan legasi model sebelumnya di dalam pemindahan teknologi perlumbaan VW di dalam siri kenderaan yang kini boleh di dapati di Malaysia dengan pelbagai ciri baharu dan diperkemaskan.

“Dibangunkan untuk perlumbaan tetapi praktikal untuk pemanduan harian,  Golf R adalah kemuncak kereta yang diinspirasikan dari perlumbaan dan ianya mengujakan untuk dipandu. Ianya adalah gabungan ciri-ciri yang sporty, keselesaan dan keselamatan dan kami yakin Golf R baharu ini akan memenangi ramai penggemar kereta sport di Malaysia,” tambah Aringer.

Golf R turut ditampilkan dengan teknologi penjimatan seperti sistem Stop-Start dan janaan semula bateri di mana ianya mengguna semula kuasa yang dihasilkan semasa memandu atau membrek untuk mengecas semula bateri kenderaan. Brek Parking Elektronik dengan Auto Hold pula mengekalkan Golf R di dalam keadaan statik tanpa memerlukan brek ditekan dan memberi lebih keselesaan sewaktu kesesakan trafik. Sistem Dynamic Chassis Control (DCC) dengan 5 mode Driving Profile Selection (tech pack) pula memberi lebih kebebasan kepada pemandu untuk memilih profail pemanduan yang bersesuaian dengan pilihan dan keperluan peribadi.

VW Golf R 2014.03

Untuk ciri-ciri keselamatan pula, Golf R dilengkapi Multi-collision Brake System yang dapat membrek secara automatik apabila pelanggaran awal dikesan. Terdapat tujuh beg udara pada Golf R ini selain daripada sistem stereng progresif, ABS dengan ESC 2 peringkat dan TPMS. Jika ada yang mahukan situasi yang lebih luar, sistem ESC boleh dinyahkan dengan menekan butang lebih dari 3 saat yang mana ciri ini hanya ditawarkan untuk model Golf R berbanding siri Golf yang lain.

Kepada yang berminat, VW Golf ditawarkan pada harga permulaan dari RM245,888 hinggalah RM285,888 untuk model Tech Pack dengan pelbagai ciri tambahan seperti bumbung panoramik, roda 19 inci Cadiz dan kamera bantuan belakang . Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Lapiz Blue Metallic, Tornado Red, Pure White dan Deep Black Pearl.

Silakan kongsi:

Proton Melancarkan Pertandingan Rekabentuk Dengan Tema #PROTONCITYCAR2020

DesignContestLogo

Proton Holdings Berhad kini melancarkan Pertandingan Rekabentuk 2014 khusus buat remaja tempatan yang berminat untuk menyumbang idea mereka di dalam rekabentuk kereta Proton. Pertandingan dengan tema #PROTONCITYCAR2020 bermula dari sekarang hingga 11 Ogos 2014.

Rakyat Malaysia yang berusia di antara 13 hingga 25 dipelawa untuk menyertai pertandingan ini yang bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada dunia rekabentuk dan juga sebagai platform bagi menunjukkan bakat sedia ada. Hadiah lumayan menunggu pemenang bertuah antaranya wang tunai, komputer MacBook dengan perisian rekabentuk dan latihan amali di Pusat Rekabentuk Kreatif Proton dengan nilai keseluruhan lebih dari RM58,000.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua iaitu Kategori 1 untuk remaja berusia 13 hingga 17 tahun dan Kategori 2 pula untuk remaja berusia 18 hingga 25 tahun. Penyertaan secara berkumpulan tidak akan diterima. Kesemua peserta diwajibkan untuk menghantar lakaran luaran kereta di dalam kertas bersaiz A3 termasuk 3/4 pandangan hadapan, pandangan perspektif sisi dan belakang. Sebagai tambahan untuk Kategori 2, peserta dikehendaki menghantar interior kereta tersebut.

Untuk penyertaan layak diterima, peserta haruslah menyediakan Ringkasan Kenyataan Rekabentuk di dalam kertas bersaiz A4 yang mengandungi nama dan konsep rekaan, keunikan jualan dan cadangan jenis enjin (petrol, diesel, hybrid, elektrik dll). Setiap peserta dibenarkan untuk menghantar tidak lebih dari 3 rekabentuk sama ada melalui emel, pos atau muat naik ke laman web citycar2020.proton.com. Borang penyertaan boleh didapati di Pusat Servis Proton terpilih di seluruh negara.

Selamat Berjaya!

Silakan kongsi: