Proton Catat Jualan Lebih 5 Ribu Unit Pada Feb ’19, SUV X70 Laku Keras!

PROTON terus mencatatkan permulaan yang cemerlang bagi 2019 dengan pendaftaran jualan bagi Februari 2019 sebanyak 5,283 unit.

Jumlah tersebut mewakili anggaran pegangan pasaran sebanyak 12.7% iaitu peningkatan sebanyak 3% berbanding bulan yang sama pada 2018.

Keseluruhan jualan meningkat berbanding pesaing-pesaing lain pada bulan Februari yang merupakan tempoh singkat disebabkan Tahun Baru Cina.

Majoriti jenama automotif juga menjangkakan tempoh yang perlahan.

Walau bagaimanapun, PROTON memecahkan trend tersebut melalui jualan yang meningkat sebanyak 37% dari tahun ke tahun.

Bagi dua bulan pertama 2019 jualan telah meningkat sebanyak 42% berbanding 2018.

PROTON mendahului pesaing lain dalam peningkatan jualan untuk dua bulan berturut-turut dan dengan selesa mengukuhkan kedudukan sebagai jenama automotif ketiga yang menjadi pilihan di Malaysia.

PROTON melihat peluang ini untuk kembali ke tempat kedua menjelang akhir tahun.

Proton X70 mengekalkan posisi sebagai SUV paling laris di Malaysia. Pendaftaran bagi model Proton X70 terus melonjak kerana lebih banyak unit model tersebut telah tiba di Malaysia.

Sebanyak 2,823 unit telah didaftarkan pada Februari termasuk 1,000 unit yang telah diserahkan secara serentak kepada pelanggan di seluruh negara sebelum Tahun Baru Cina lalu.

Sehingga akhir bulan Februari, lebih 20,000 tempahan telah diterima untuk SUV pertama PROTON, melebihi jangkaan seterusnya menjadikan Proton sebagai pemimpin segmen meskipun baru menerokai pasaran ini.

Setelah menyerahkan sebanyak 6,927 unit Proton X70 sejak model dilancarkan pada 12 Disember 2018, PROTON telah mencatatkan rekod baharu bagi pendaftaran model tersebut dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya.

Jumlah yang direkodkan adalah melebihi daripada sebelum ini dan mengesahkan populariti SUV pintar itu di kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, Proton telah mempertontonkan Iriz 2019 kepada media tempatan bagi membina publisiti untuk model hatchback segmen-B itu.

Promosi kilat turut dilancarkan di mana tempahan boleh dibuat dengan hanya RM9.99 manakala siri jelajah pratonton pelanggan yang pertama juga diadakan pada minggu pertama bulan Mac di cawangan PROTON Edar Chan Sow Lin.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.