Proton Persona 2019 Kini Dibuka Untuk Tempahan

Proton Persona 2019 secara rasminya diumumkan kepada media tempatan di Pusat Rekaan Malaysia PROTON di Shah Alam.

Sedan keluarga segmen B telah diberikan reka bentuk semula luar serta unit multimedia pintar yang sama seperti Iriz 2019 dan berdasarkan sistem yang digunakan dalam Proton X70.

Kedua-dua Persona dan Iriz adalah model pertama yang dikemas kini berikutan kerjasama dengan Geely dan pelancaran rasmi kedua-dua kenderaan kini dirancang untuk dibuat secara serentak pada Mac 2019.

PROTON akan mengadakan promosi kilat untuk 2019 Persona. Pembeli yang berminat boleh membuat tempahan dalam talian dengan hanya RM9.99, bermula daripada 11 Mac 2019 hingga 11.59 malam pada 22 Mac 2019.

Disebabkan permintaan hangat, tawaran promosi kilat untuk Proton Iriz juga akan dipanjangkan sehingga hari yang sama dengan Persona 2019 Persona.

Pratonton pelanggan pertama Persona dan Iriz akan berlangsung hujung minggu ini 16 – 17 Mac di pusat Proton Edar 3S di Plentong, Johor Bharu.

Reka bentuk Persona 2019 dikemaskan oleh pasukan yang diketuai oleh Ketua Reka Bentuk PROTON, Azlan Othman dan turut mendapat manfaat daripada kepakaran yang diperoleh dari pusat reka bentuk lain dalam kumpulan syarikat Geely.

Persona 2019 hadir dengan slogan Intelligence That Cares dan merangkumi tiga tarikan utama iaitu sambungan tanpa henti, fungsi praktikal dan keselamatan yang telah terbukti.

Elemen gaya pada Persona 2019 turut mempunyai hubungan visual dengan model Proton lain.

Di bahagian depan, Persona 2019 tampil dengan gril luar yang diilhamkan daripada busur panah seperti dimulakan pada X70 dan dilanjutkan pada Iriz 2019.

Bahagian gril tampil dengan sulaman infiniti manakala bampar gayaan baharu dan lampu LED siang hari menyerlahkan lagi penampilan hadapan kereta sedan ini.

Pada bahagian belakang, logo harimau digantikan dengan tulisan PROTON pada pintu but dengan spoiler halus yang memberikan kesan aerodinamik.

Bamper belakang turut direka semula dan kini nampak lebih harmoni dengan reka bentuk keseluruhan kereta.

Roda aloi 15 inci kini dengan reka bentuk corak vertikal dan tampak lebih sesuai dengan bentuk kereta.

Sama seperti Iriz 2019, Proton Persona 2019 dilengkapi set multimedia pintar yang dilengkapi kad eSIM dan menawarkan aplikasi untuk penstriman muzik, kemas kini cuaca, navigasi dan pengecaman arahan suara.

Skrin sentuh berwarna penuh 7-inci dilengkapi memori dalaman 16GB. Set ini juga boleh disambungkan dengan Wi-Fi dan perangkaian dengan telefon pintar Android melalui aplikasi.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.