Honda Melancarkan Jazz 2014 – Harga Dari RM72,800!

Honda Jazz My 2014.02

Kuala Lumpur, 16 Julai 2014 – Honda Malaysia memberi kejutan kepada rakyat Malaysia pada hari ini apabila melancarkan Jazz serba baharu yang versatil dan mampu milik! Jazz generasi ketiga akan terus menjadi pengubah permainan dalam segmen hatchback kompak menerusi pakej versatiliti, mampu milik dan kefungsian yang bernilai tinggi.

Mula diperkenalkan pada tahun 2001, Jazz generasi pertama dan keduanya pantas menetapkan penanda aras dalam segmen hatchback. Model-model ini sangat berjaya dan popular di seluruh dunia apabila mencatat jualan 5.2 juta unit serta menjadi model terlaris Honda. Di Malaysia, lebih 30,573 unit Jazz telah terjual sehingga kini.

Melihat potensinya yang cukup besar, Honda Malaysia telah membuat satu keputusan strategik untuk memasang Jazz Hybrid dan Jazz Petrol di kilangnya di Melaka. Hingga ke hari ini, kedua-dua model Jazz CKD itu menerima sambutan yang amat baik dan terjual hampir 13,000 unit dalam tempoh kurang dua tahun.

Menjadi sebuah model global, Jazz serba baharu dibangunkan dengan matlamat untuk menjadi “Kompak Dengan Fungsi Terbaik di Dunia”.Ketika membangunkan Jazz serba baharu, pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Honda mereka bentuk semula Jazz supaya menjadi model yang Sangat Versatil dan Luas, memiliki Teknologi dan Ciri Ketersambungan Inovatif serta Reka Bentuk dan Prestasi yang mendahului kelasnya.

Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata “Jazz serba baharu bakal menarik minat para pelanggan yang mahukan sebuah kereta yang bukan sahaja seronok untuk dipandu, malah versatil dan memiliki fungsi terbaik demi memenuhi keperluan gaya hidup mereka yang pelbagai. Jazz serba baharu didatangkan dalam satu pakej menarik yang ideal untuk kebanyakan rakyat Malaysia, daripada pelajar kolej dan eksekutif muda hinggalah pasangan yang sudah berkahwin serta keluarga. Jazz serba baharu amat sesuai untuk apa jua gaya hidup: bekerja, beriadah, bersukan, membeli-belah dan mengembara. Jazz ini merupakan Honda Jazz yang paling mengagumkan daripada Honda setakat ini.”

“Jazz serba baharu akan memberikan pakej nilai keseluruhan terbaik dalam segmennya melalui tiga varian (S, E dan V) yang kami perkenalkan. Rangkaian luas ini selari dengan komitmen kami untuk menawarkan produk yang mampu milik dan bernilai tinggi kepada semua orang. Ini pastinya satu peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah Honda!” tambah Ueno.

Jazz serba baharu menampilkan identiti reka bentuk baharu Honda, “Exciting H Design” yang membuatkan kereta ini kelihatan garang dan sporty. Konsep rekaan luaran yang dikenali sebagai “Crossfade Monoform Exterior” itu nyata dinamik dan maju, pada masa yang sama terus mewarisi karekteristik unik sebuah Jazz. Ia menggabungkan kabin yang sporty dan dinamik dengan bahagian bawah badan yang lebih rendah, sekali gus memberi penekanan terhadap kestabilan dan kelebaran rekaannya.

Jazz serba baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang telah ditambah baik dan dipadankan bersama CVT yang baru direka bentuk. Kotak gear CVT ini dibangunkan di bawah “Earth Dreams Technology” Honda. Padanan platform subkompak global baharu Honda yang terdiri daripada struktur ringan dan tegar terus membawa Jazz ke satu tahap baharu dari segi penjimatan bahan api tanpa mengorbankan prestasi dinamiknya.

Apa yang membezakan Jazz serba baharu adalah ruang dalamannya yang sangat versatil dan penuh fungsi. Ia diterjemahkan daripada falsafah “Manusia Maksimum, Mesin Minimum” Honda. Rekaan tangki bahan api yang terletak di tengah-tengah dikekalkan. Ruang kabinnya kini lebih luas, lebih ringan dan tapak rodanya lebih panjang. Pastinya, ciri yang paling disukai iaitu tempat duduk “Magic Seats” kini hadirdengan empat mod konfigurasiyang lebih baik berbanding sebelumnya! Hasilnya, Jazz serba baharu memiliki kabin lebih besar dengan peningkatan ketara pada bahagian bahu dan kaki penumpang belakang serta ruang kargo. Sekali gus menawarkan keselesaan yang mendahului kelasnya.

Jazz serba baharu dilengkapi inovasi serta ciri ketersambungan termaju dan intuitif yang menambah elemen keseronokan pemanduannya. Ia merupakan kereta pertama dalam segmennya yang dilengkapi paparan skrin sentuh Advanced Touch Audio bersaiz 7 inci dengan fungsi MirrorLink (varian V). Turut ditawarkan ialah paparan meter pelbagai maklumat dan sistem pendingin hawa automatik dengan satu panel kawalan sentuh (varian V) dan sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin (varian E & V). Stereng multi fungsi pula menampilkan sistem kawalan telefon bebas tangan (varian V) dan Kawalan Pengecaman Suara (varian V) yang memberi kemudahan di hujung jari pemandu.

Sama seperti semua model Honda yang lain, aspek keselamatan menjadi keutamaan buat Jazz serba baharu. Jazz serba baharu dilengkapi dengan lebih banyak ciri keselamatan seperti 6 beg udara (varian V); yang merangkumi dua beg udara SRS pada bahagian hadapan, beg udara sisi (i-Side) dan beg udara Side Curtain, Emergency Stop Signal (varian E & V), Vehicle Stability Assist (VSA) (varian E&V), kerangka G-CON dan ISO Fix. Ueno turut mengumumkan bahawa Jazz serba baharu telah pun menjalani Ujian Pelanggaran ASEAN NCAP pada minggu lalu dan yakin ia akan menerima penarafan keselamatan 5 Bintang.

Kesemua tiga varian didatangkan dalam lima warna iaitu perak (New Tinted Silver) yang merupakan warna baru sempena pengenalan Jazz serba baharu, biru (Brilliant Sporty Blue Metallic), putih (Taffeta White), hitam (Crystal Black Pearl) dan kelabu (Modern Steel Metallic).

Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan sela penyelenggaraan untuk setiap 10,000km. Ini memberi satu lagi alasan kepada para pelanggan untuk menjadikan Jazz sebagai kenderaan pilihan mereka. Dengan 76 pengedar sah di seluruh negara, para pelanggan Honda dijamin servis berkualiti untuk kereta mereka.

Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 1,200 unit Jazz sebulan. Honda Malaysia percaya bahawa ciri-ciri premium, teknologi termaju dan harga Jazz serba baharu yang berpatutan akan menarik minat ramai di Malaysia. Di samping memacu syarikat untuk mencapai sasaran jualannya pada tahun 2014 iaitu sebanyak 76,000 unit. Sepanjang separuh pertama tahun 2014, Honda Malaysia sudah berjaya menjual 37,178 unit kenderaaan, peningkatan sebanyak 70% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.