Perodua Memilih PETRONAS Sebagai Pembekal Minyak Enjin – Kontrak Bernilai RM355 Juta

image

Berapakah nilai bekalan 17 juta liter minyak pelincir enjin? Jawapannya ialah RM355 Juta.

Itulah nilai kontrak yang dimeterai oleh dua syarikat tempatan iaitu Perodua dan Petronas.

Perodua Sales Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) baru-baru ini memeterai perjanjian pembekalan sebanyak 17 juta liter minyak pelincir enjin yang merupakan peningkatan 21% berbanding kontrak sebelum ini untuk tempoh 5 tahun. Perodua dan Petronas telah bekerjasama sejak 2003 di mana ianya merupakan refleksi kepada pembekalan dan produk berkualiti dari Petronas.

Pembaharuan kontrak ini turut mempunyai nilai baharu di mana minyak yang dibekalkan mempunyai gred yang lebih tinggi melepasi piawaian API SM dan khusus untuk pelanggan Perodua yang memilih bengkel luar atau membuat penyelenggaraan sendiri.

image

Minyak pelincir baharu itu menawarkan perlindungan penuh untuk enjin di mana ianya lebih tahan oksida, lebih perlindungan pada sisa karbon, tahan lama serta lebih bagus sepanjang tempoh penggunaan minyak pelincir. Ciri-ciri tersebut memenuhi keperluan enjin Perodua.

Teknologi yang digunakan juga membolehkan jarak penggantian minyak pelincir dianjak lebih lama dan pada masa yang sama lebih cekap bahan api memandangkan pelincir tersebut memberi perlindungan penuh semasa pemanduan.

Produk baharu ini bakal ditawarkan bermula September 2016 serentak dengan pemberitahuan harga.

image

Perodua mensasarkan sebanyak 2 juta kenderaan menggunakan khidmat mereka pada tahun ini melalui 189 pusat servis di seluruh negara. Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 40,000 kenderaan pada tahun 2015.

Perodua turut berterima kasih kepada Petronas secara am terutama sekali PLMM di atas sokongan mereka dan mengharapkan kerjasama yang terus positif pada tahun mendatang.

Silakan kongsi:

Jaguar XJ Wajah Baharu Kini Di Malaysia – Harga Bermula Dari RM645 Ribu

image

Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) telah melancarkan sedan mewah bersaiz penuh Jaguar XJ yang berwajah lebih menarik di Malaysia hari ini, dengan memperkenalkan ciri baru menarik bagi pelanggan yang arif memilih.

Versi terbaru model kebanggaan Jaguar ini menggabungkan kecantikan, kemewahan anggun dan kuasa luar biasa dalam satu kenderaan yang tiada tandingan.

image

Sedan mewah XJ bersaiz penuh baru ini lebih menonjol dan menyerlah, dengan gril depan baru yang menawan, lantas mencetus penampilan yang lebih segak dan yakin.  Penampilan ini diperkukuh dengan lampu depan adaptif LED penuh bersama lampu kendalian siang ‘J Berganda’ tersendiri serta lampu belakang yang menarik perhatian.

Binaan aluminium penuh memastikan XJ lebih kuat, lebih tegar tetapi masih lebih ringan, menampilkan kereta yang lebih responsif, tangkas dan menjimatkan minyak.

image

Hasilnya, XJ baru menjanjikan pengalaman memandu yang lebih dinamik bagi pemandu yang serius. Malah, pengalaman lebih menarik bagi penumpang yang menaiki sedan mewah ini kerana kabin dibina untuk memanjakan penumpangnya, dengan ruang mencukupi untuk meregangkan kaki dan bersantai sambil menikmati hiburan yang disediakan oleh Sistem Bunyi Meridian Digital Surround 825W dengan 20 Speaker.

Bagi pasaran Malaysia, JLRM menawarkan XJ baru dengan jarak roda yang panjang bersama tiga pilihan enjin yang digandingkan dengan Transmisi Automatik Elektronik 8 Kelajuan yang dilengkapi Jaguar Sequential Shift™.

Pilihan enjin Petrol Cas Turbo 4 Silinder 240Ps 2.0-liter dijual pada harga daripada RM645,000. Pelanggan juga boleh memilih enjin Petrol Supercaj V6 340PS 3.0-liter yang dijual pada harga RM830,000 dan ke atas atau Diesel Cas Turbo 300PS 3.0-litre V6 yang ditawarkan pada harga RM800,000 dan ke atas. Harga yang dinyatakan adalah termasuk 6% GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Continue reading

Silakan kongsi:

UMW Toyota Bina Kilang Baharu Di Bukit Raja, Klang – Nilai Pelaburan Sebanyak RM2 Bilion

image

Untuk menjual kenderaan perlu ada kapasiti pengeluaran. Untuk mencapai sasaran perlukan perancangan yang terperinci. UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) yang merupakan pengedar dan pengeluar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus nampaknya mempunyai pelan besar untuk masa depan apabila mengumumkan pelaburan sebanyak RM2 Bilion melalui pembinaan kilang pengeluaran kedua di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang.

Kilang pembuatan kereta penumpang itu akan melengkapi sebuah lagi kilang milik UMWT iaitu Assembly Services Sdn Bhd (ASSB). Kilang baharu diperlukan susulan Toyota menjangkakan bahawa kecenderungan akan lebih meluas pada masa depan.

Berapakah saiz kilang baharu tersebut? 670,000 meter persegi. Kos bernilai RM2 Bilion itu merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di mana pembinaan akan bermula pada separuh kedua tahun ini. Kilang itu akan mengeluarkan kereta penumpang termasuk kenderaan cekap tenaga (EEV) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan produksi pertama pada awal 2019. UMWT mensasarkan untuk mengeluarkan 50 ribu unit kenderaan buat permulaan dan akan ditingkatkan bergantung kepada permintaan pasaran.

image

Kilang baharu akan dilengkapi teknologi termaju pengeluaran bagi mencapai matlamat utama Toyota untuk membangunkan kilang “Simple, Slim and Flexible” di seluruh dunia. Ianya bakal mempunyai 5 ciri-ciri utama iaitu Kualiti Tinggi, Lebih Efisyen, Skil Pekerja Lebih Tinggi, Mesra Pekerja dan Mesra Alam Sekitar.

UMWT positif bahawa kilang baharu ini akan menyumbang kepada pembangunan industri automotif Malaysia dan menyokong Polisi Automotif Nasional yang menggalakkan produksi kenderaan tempatan. Untuk kilang sedia ada pula, UMWT akan memindahkan sebahagian lajuran produksi kereta penumpang ke kilang baharu. Kilang itu juga akan diperbaharui dengan kenderaan komersil sebagai produk utama.

Dengan fasiliti pengeluaran yang digabungkan, UMWT bakal mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 90 ribu hingga 100 ribu unit setiap tahun. Selain dari itu, Toyota Boshoku UMW yang merupakan syarikat kerjasama di antara UMWT dan Boshoku Corporation bagi mengeluarkan kerusi dan komponen interior untuk Toyota turut akan berpindah ke kilang baharu nanti.

Silakan kongsi:

Perhatian Kepada Pemilik Kenderaan Honda dari Tahun 2011 – 2013; Peledak Beg Udara Kereta Anda Perlu Diganti dan Ianya Penting.

 

Concept M_Honda Civic

Jika anda atau mengenali pemilik kenderaan Honda dari tahun 2011-2013, harus tahu bahawa peledak beg udara kereta yang dipandu perlu diganti baharu.

Penggantian itu susulan puluhan juta beg udara yang dibekalkan oleh Takata mempunyai masalah dan perlu dipanggil semula. Laporan mengatakan sekeping plat akan terlepas sewaktu pelepasan beg udara dan boleh mendatangkan kecederaan kepada penumpang. Terdapat juga beberapa kes yang melibatkan nyawa.

Kesemua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat dengan butiran lanjut mengenai panggilan itu. Pelanggan yang menerima makluman itu dinasihatkan untuk menghantar kenderaan mereka ke pusat servis Honda terdekat untuk pemeriksaan dan penukaran akan dibuat sejurus alat ganti berada di dalam simpanan. Kos buruh dan alat ganti akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia.

 

Concept M_Honda Jazz

Sementara menunggu makluman rasmi dari Honda, pelanggan boleh memeriksa status kenderaan mereka dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau melayari www.honda.com.my

Honda Malaysia menyesali kesusahan yang bakal ditanggung pelanggan dan memberi jaminan bahawa kesemua model jualan di pasaran semasa tidak terlibat dengan panggilan ini.

Berikut ialah senarai model Honda yang terjejas.

Honda Airbag Recall May 2016

Silakan kongsi:

Perhatian Kepada Pemilik Proton Inspira dan Exora CPS: Kereta Anda Perlu Diperiksa dan Berikut Adalah Tindakan Susulan Yang Diperlukan

wp-1464016310441

Jika anda atau mengenali sesiapa yang memiliki Proton Inspira dan Exora CPS, sila ambil maklum bahawa kedua-dua model itu perlu diperiksa semula.

Pengumuman ini dibuat susulan kenyataan yang dibuat oleh Mitsubishi Motors Japan (“Mitsubishi”) pada 18 Februari 2016 di mana pengeluar itu mengumumkan pemanggilan semula model-model terpilih di seluruh dunia bagi kerosakan pada suis indikator.

Memandangkan Proton Inspira diasaskan dari Mitsubishi, PROTON Holdings Berhad (“PROTON”) ingin mengumumkan pemanggilan semula unit yang dikeluarkan dari tahun 2010 sehingga 2014 yang mempunyai suis indikator oleh Mitsubishi. Panggilan ini melibatkan kira-kira 20,330 unit Proton Inspira.

 

image

Pada masa yang sama, PROTON turut mengambil kesempatan ini untuk menasihati pemilik Proton Exora CPS 1.6 yang dikeluarkan dari tahun 2009 hingga 2015 atau kira-kira 90,000 unit Proton Exora CPS 1.6 untuk membuat
pemeriksaan pada laluan saluran bahan api di bahagian enjin kenderaan mereka.

Oleh itu, semua pemilik Proton Inspira dan Exora dinasihatkan untuk membuat temujanji dengan pusat servis  terdekat bagi pemeriksaan lanjut.

Mengenai kos pula, pemilik tidak perlu bimbang kerana semua kos pekerja dan bahagian-bahagian yang berkaitan dengan isu-isu ini akan ditanggung oleh pihak PROTON.

Pelanggan disarankan untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan PROTON di talian 1-800-888-398 atau e-mel kepada customercare@proton.com untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

 

Proton-Inspira-Super-Premium-R3-2014.02

Pelanggan juga boleh melayari laman web www.proton.com untuk maklumat lanjut atau ke laman mikro di www.carinquiry.proton.com untuk mengenalpasti sekiranya kereta anda terlibat dalam pemeriksaan ini dan membuat temujanji dengan pusat servis terdekat.

PROTON ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan mereka dan syarikat akan memaklumkan perkara ini kepada semua pelanggan yang terlibat.

Silakan kongsi:

Volvo S60 T6 Dilancarkan – Lebih Berkuasa Dengan Enjin Drive-E dan Transmisi 8 Kelajuan Baharu

Volvo S60 T6.2016.06

Setelah beberapa tahun di pasaran Volvo Car Malaysia baru-baru ini telah merasionalisasi model S60 dengan menawarkan enjin dan transmisi baharu. Model mewah itu kini ditawarkan dengan varian tunggal iaitu T6 2.0 Turbo berbanding dua varian sebelum ini iaitu T4 dan T5 yang masing-masing dikuasakan oleh enjin 1.6 Turbo dan 2.0 Turbo.

Walaupun bersesaran 2.0l seperti varian T5 namun enjin T6 merupakan siri baharu dari famili teknologi Drive-E. Enjin tersebut berupaya menghamburkan 306 metrik kuasa kuda dengan tork setinggi 400 Nm. Enjin Drive-E T6 menggunakan dua nadi utama iaitu supercaj yang berfungsi pada kelajuan rendah dan kemudiannya diambil alih oleh pegecas turbo pada kelajuan yang lebih tinggi. Dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan automatik baharu, S60 T6 berupaya memecut dari pegun hingga ke 100km/j hanya dalam 5.9 saat. Selain daripada perubahan mekanikal, model itu turut dilengkapi beberapa peralatan yang menjadikannya relevan mengikut peredaran semasa dan ke hadapan berbanding pesaing mewah lain. Perincian Volvo S60 T6 adalah seperti berikut:

Lane Keeping Aid:  Memberi amaran jika stereng tersasar secara tiba-tiba dan membetulkan kembali kenderaan secara automatik jika tiada respon dari pemandu. Sistem ini berfungsi pada kelajuan di antara 65km/j sehingga 200km/j.

Park Assist Pilot: Kereta akan memarkir ke ruang sisi yang kosong secara automatik tanpa pemandu bersusah payah untuk memulas stereng ke kiri dan kanan.

Tuil penukar gear stereng: Untuk kecekapan dan gaya pemanduan yang lebih sporty.

Auto Stop/Start: Enjin direhatkan sewaktu melahu dan dihidupkan semula apabila pedal minyak ditekan.

Volvo S60 T6.2016.07

Pengawalan dan Pengendalian yang ditambah baik: Nisbah gear stereng kini memberi respon lebih pantas dan ‘tajam’. Balutan gegelung pada batang stereng kini lebih tebal dengan sesendal ekstra pejal seterusnya meningkatkan kekejalan kilasan sebanyak 100 peratus. Di antara hasilnya ialah ‘rasa’ yang lebih jitu pada tayar dan permukaan jalan.

Adaptive Digital Display: Paparan informasi meter secara digital menjadikan komunikasi lebih interaktif dan pelbagai. Terdapat tiga tema iaitu Elegance, Eco dan Performance.

Sensus Connect: Tema Digital Display yang berwarna turut disambung dengan sistem informasi hiburan Sensus Connect. Khidmat pengumpulan data (cloud-based) memberikan nilai tambah kepada pemandu seperti restoran pada lokasi yang dituju, strim musik kegemaran dan keupayaan untuk membaca mesej secara bebas tangan.

Ciri Bluetooth turut memberi sambungan kepada penstriman musik dari telefon bimbit.

Lampu Puncak Dengan Tahap Nyalaan Automatik: Terganggu apabila kenderaan hadapan tidak merendahkan lampu puncak? Volvo prihatin dengan keadaan itu dan memperkenalkan Active High Beam Control yang memudahkan dan tidak menganggu kenderaan hadapan apabila pemandu tidak perlu bersusah payah menukar kepada mod lampu rendah. Sistem ini berfungsi apabila cahaya dimalapkan secara automatik pada kenderaan mendatang dengan bantuan modul projektor yang terletak pada kelongsong lampu.

Volvo S60 T6.2016.04

Teknologi Pengesanan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal: Sistem ini membolehkan kenderaan Volvo mengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal seterusnya mengelak dari pelanggaran. Melalui radar yang dipasang, kereta akan mengesan kedua-dua kategori bahaya itu dan jika wujud pemandu akan diberi amaran dan kereta akan dihentikan secara automatik.

City Safety – Kini sehingga 50km/j: S60 dilengkapi sistem City Safety sehingga kelajuan 50km/j berbanding 30km/j sebelum ini. Kereta akan diperlahankan secara automatik dan dihentikan apabila kenderaan di depan memperlahankan kelajuan atau berhenti. Sistem yang sama akan diaplikasi apabila kereta yang dipandu bergerak laju menghampiri kenderaan yang tidak bergerak.

Cornering Light: Sistem ini adalah tambahan kepada Active Bending Light di mana lampu utama turut sama ‘membelok’ mengikut darjah pusingan kenderaan. Cornering light pula membantu dengan memberi pencahayaan pada kelajuan rendah.

Cross Traffic Alert: Teknologi ini berfungsi dengan menggunakan radar pada belakang kereta untuk memberi amaran kepada pemandu jika ada objek sewaktu keluar dari parkir.

Road Sign Information: Paparan papan tanda jalan raya akan disiar semula pada instrumen meter. Sistem ini boleh digabungkan dengan fungsi Speed Alert yang membolehkan amaran visual dipaparkan pada meter kelajuan jika dipandu melebihi had yang ditetapkan.

Volvo S60 T6.2016.05

Electrical Power Assist Steering (EPAS): Sistem EPAS menggunakan motor elektrikal dan pemandu boleh memilih tiga mod kuasa iaitu Low yang menjadikan stereng ringan untuk dipulas, mod Medium untuk kuasa bantuan yang lebih rendah terutama sekali pada kelajuan yang lebih tinggi manakala mod High pula untuk pemandu tegar yang cenderung kepada prestasi dan pengendalian dinamik.

Selain dari teknologi di atas, Volvo S60 T6 turut dilengkapi sistem standard seperti BLIS (Blind Spot Information System) untuk mengesan objek pada titik buta yang kini sudah sinonim dengan jenama Volvo.

Volvo S60 T6 merupakan model premium yang sarat dengan ciri-ciri keselamatan canggih dan ianya boleh dimiliki pada harga RM280,888 (dengan GST, tanpa insurans). Model terhad ini ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Ice White, Seashell. Ember Black, Saville Grey dan Bright Silver.

Silakan kongsi:

Bilakah Lampu Kabus Belakang Perlu Dinyalakan? Tonton Video Toyota Vios Ini.

Proper Usage of Rear Fog Lamps

Did you know – rear fog lamps are now a requirement for Malaysian cars? Not everyone may be familiar with using them, so here's a quick guide on its proper usage! 🙂

Posted by Toyota Malaysia on 20hb Mei 2016

 

Jika diperhatikan trend kenderaan sekarang ini, terdapat pemilik yang memasang lampu kabus pada bampar belakang. Mungkin berniat mulia supaya kenderaan jelas dilihat dan pemandu di belakang berhati-hati terutama sekali untuk mengelak dari pelanggaran. Tambah pula pemandu yang leka dengan platform media sosial. Harus tahu, lampu kabus belakang kini sudah menjadi keperluan asas di kebanyakan negara dan bakal menjadi peralatan wajib pada semua kenderaan baharu di negara kita.

Walau bagaimanapun, peralatan yang bermanfaat ini boleh mengundang gangguan visual apabila dinyalakan pada situasi yang salah seperti di dalam cuaca yang elok dan tanpa keperluan munasabah. Nyalaan yang tidak kena masa tersebut akan membuat pemandu di belakang silau dan menganggu konsentrasi.

Menyedari trend penyalahgunaan lampu dan untuk mendidik pemandu, UMW Toyota telah melancarkan video ini yang menerangkan bilakah waktu yang sesuai untuk lampu kabus belakang dihidupkan. Video berdurasi 53 saat itu menggunakan Toyota Vios sebagai ‘watak’ utama dan usaha UMW menerbitkan video ini layak dipuji.

Silakan kongsi:

Selingan Proton Perdana Baharu dan Pameran Proton Suprima Active Concept di My Auto Fest 2016

Proton Perdana.2016.04

My Auto Fest 2016 berlangsung di dalam dewan dan suasana sederhana namun terdapat dua model kereta yang menjadi perhatian utama. Selain dari Honda Civic baharu, turut dipamerkan di sebelah ruang Honda ialah Proton Perdana baharu. Model itu ditutup kemas dengan selubung hitam namun Proton membuat sedikit selingan dengan mendedahkan bucu lampu hadapan dan belakang.

Di sebalik bungkusan itu, terserlah saiz Perdana yang panjang dan lebar menampakkan bentuk badan yang sporty dan eksekutif. Berbeza dengan Perdana semasa previu media, model yang dipamerkan kali ini hadir tanpa riasan dua tona pada kit badan dan dicat mengikut warna badan. Moden pada kelongsong lampu utama ialah nyalaan projektor Xenon dengan drl LED yang juga sama pada lampu belakang, kemas dengan pencahayaan LED. Kit badan penuh memberi indikasi bahawa model ini ialah versi 2.4 i-VTEC yang merupakan varian tertinggi. Sebuah lagi model ialah bersesaran 2.0 i-VTEC di mana kedua-dua versi dipadankan dengan transmisi automatik Honda lima kelajuan.

Model flagship Proton ini khabarnya bakal dilancarkan di dalam masa terdekat dengan harga di antara RM100 ribu hingga RM150 ribu. Proton Perdana berada di dalam segmen D iaitu yang bakal bersaing dengan kereta eksekutif seperti Honda Accord, Mazda6, Toyota Camry, Kia Optima K5, Hyundai Sonata dan Ford Mondeo.

Proton Suprima Active Concept.2016.01

Selain dari itu, hadir senyap tanpa hebahan besar ialah Proton Suprima Active Concept. Masih ingat Proton Iriz Active Concept susulan pelancaran Proton Iriz? Nampaknya Proton semakin serius dengan kenderaan gaya hidup aktif ini dengan membuat model susulan Active Concept. Menggunakan tema yang sama seperti Iriz Active Concept, badan kereta disalut warna kelabu dengan perincian jingga pada kit badan, rim dan kemasan interior. Suprima ini turut mempunyai ruang kelegaan bumi lebih tinggi dari model standard untuk menepati tema gaya hidup aktif. Adakah Proton bakal melancarkan segmen baharu yang belum diterokanya? Tidak mustahil. Model kereta lain yang menggunakan tema seperti ini ialah Volvo V40 Cross Country, Subaru XV dan Mercedes GLA.

Silakan kongsi: