Promosi Hari Raya Dari Nissan – Rebat Harga dan Diskaun Pembaikan

Nissan Raya.2016.02

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dan Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS) akan memulakan kempen promosi serta perjalanan selamat Raya 2016 – ‘Jom Balik Kampung Dengan Selamat’ dan ‘Riang Raya with Nissan’.

Inisiatif perjalanan selamat ini bertujuan memastikan pelanggan lebih peka tentang perlunya bersiap-sedia sebelum memulakan perjalanan dan tiba di destinasi masing-masing dengan selamat, selesa dan mudah untuk sama-sama meraikan hari istimewa ini bersama ahli keluarga serta rakan-rakan.

Kempen perjalanan selamat ini menawarkan pelanggan dengan satu siri pemeriksaan, pembaikan dan servis awal. Pada masa yang sama menyediakan perkhidmatan mengecat badan kenderaan sebelum balik ke kampung. Bagi pelanggan Nissan yang juga ahli NISCARE, mereka layak untuk menerima tawaran seperti berikut:

1. Pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan balik kampung secara percuma di semua Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) mulai 20 Jun hingga 5 Julai 2016
2. Diskaun 10% ke atas pembaikan umum mulai 11 hingga 23 Julai 2016 dengan mengemukakan sheet pemeriksaan secara visual percuma.
3. Diskaun 15% ke atas cat untuk satu bahagian kenderaan, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016, tidak sah untuk tuntutan insurans.
4. Diskaun 25% ke atas kenderaan yang dicat sepenuhnya, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016, tidak sah untuk tuntutan insurans.

Mereka yang bukan ahli NISCARE pula akan menerima tawaran seperti:

1. Diskaun 10% ke atas cat untuk satu bahagian kenderaan, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016, tidak sah untuk tuntutan insurans.
2. Diskaun 20% ke atas kenderaan yang dicat sepenuhnya, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016, tidak sah untuk tuntutan insurans.

Pemilik Nissan yang ingin memeriksa dan servis kenderaan mereka dinasihatkan menghubungi outlet TCEAS yang terdekat untuk temu janji semasa musim perayaan ini.

Nissan Raya.2016.01

NISCARE merupakan program ganjaran pelanggan yang eksklusif dan dicipta untuk para pelanggan Nissan. Ia menawarkan pelbagai bentuk keistimewaan serta faedah. Pelanggan Nissan yang berminat dialu-alukan untuk mendaftar pada hari ini dan menikmati faedahnya secara serta-merta.

“Bagi pihak ETCM, kami mendoakan para pelanggan perjalanan yang selamat dan menggembirakan ketika pulang beraya. Kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami. Saya ingin mengambil peluang ini untuk memberitahu bahawa memang penting para pelanggan menghantar kenderaan mereka ke TCEAS terdekat bagi menjalankan pemeriksaan visual dan servis sebelum mengharung perjalanan yang jauh. Waktu operasi TCEAS terpilih akan dilanjutkan sepanjang musim pra-perayaan ini bagi membolehkan para pelanggan mendapatkan servis dan penyelenggaraan. Sebagai tambahan, pusat servis TCEAS yang terpilih akan dibuka dan beroperasi semasa Hari Raya untuk membantu pelanggan yang dalam kecemasan. Kami harap semua pelanggan dapat pulang ke kampung dengan selamat dan menikmati cuti pada Hari Raya ini,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.

ETCM turut menawarkan pelanggan lebih penjimatan buat pelanggan yang membeli kenderaan Nissan sepanjang musim perayaan ini. Sepanjang tempoh promosi ini, rebat menarik dan penjimatan sehingga RM10,000 ditawarkan. Tawaran aksesori dengan hanya RM1 juga diteruskan untuk model-model Nissan yang terpilih.

Silakan kongsi:

Honda RS150R Kini Di Pasaran – RM8,213.94 sehingga RM8,374,94

Honda RS150R.2016.07

Boon Siew Honda melebarkan sayapnya apabila melancarkan RS150R yang merupakan entri pertama syarikat itu di dalam segmen urban muda. Malaysia merupakan negara ketiga di dalam ASEAN selepas dilancarkan di Indonesia dan Vietnam. Boon Siew Honda mensasarkan untuk menjual sebanyak 24,ooo unit RS150R untuk tempoh 12 bulan akan datang dan seterusnya meningkatkan pegangan pasaran yang juga merupakan langkah pertama bagi merebut kembali tempat pertama di dalam industri motosikal. Sasaran itu selari dengan matlamat global Honda untuk menjual sebanyak 20 juta unit berbanding 17 juta unit pada tahun 2015 iaitu 3 kali ganda berbanding pesaing Honda yang berada di kedudukan kedua dunia.

Pelancaran RS150R merupakan refleksi Boon Siew Honda bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. RS150R melengkapi segmen pelbagai harga Honda seperti Wave Alpha yang mampu milik dan Wave Dash pada harga sederhana. Posisi pasaran itu merupakan langkah awal sebelum mencapai cita-cita besar di dalam mendapatkan tempat pertama industri.

Honda RS150R mempunyai tiga ciri utama iaitu rekabentuk yang agresif, lampu utama LED serta kerangka dalaman dan panel cowl. Model itu dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC silinder tunggal dengan penyejuk cecair dan dipadankan kotak gear enam kelajuan. Output kuasa ialah 15.6hp pada 9,000 rpm dengan tork 13.5Nm pada 6,500 rpm. Berat RS150R ialah sebanyak 122kg. Tangki bahan api pula boleh memuatkan 4.5 liter petrol dan motosikal ini dilengkapi brek cakera depan dan belakang seperti pesaing terdekatnya. RS150R ditawarkan melalui dua varian dengan empat warna iaitu Metallic Red, Repsol dan matte blue atau matte black yang menyerlah untuk menarik pelanggan muda.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Khairul Idham Pawi, pelumba Moto3 tajaan Honda dan individu termuda dan warga Asia pertama yang berjaya menduduki podium beberapa bulan lepas.

RS150R dijual pada harga di antara RM8,213.94 sehingga RM8,374,94 termasuk CBP. Model itu akan berada di kesemua pengedar sah bermula Ogos 2016.

Silakan kongsi:

Pandu Uji Singkat Proton Perdana 2.0 dan 2.4 Di litar Ujian Proton, Shah Alam

Proton Perdana Short Test Drive.2016.03

Proton Perdana 2.0 dan 2.4 baharu sudah pun berjaya dilancarkan. Sebelum dijual secara rasmi, Proton telah menjemput pihak media sebanyak dua kali untuk dipertontonkan. Kali pertama ialah previu bersama mantan Pengerusi Proton Holdings, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pengurusan tertinggi syarikat. Sesi previu kedua pula ialah bersama pengurusan baharu di mana pihak media diberi peluang untuk memandu uji model flagship nasional itu. Berikut ialah ulasan mengenai pandu uji singkat di litar ujian Proton di Shah Alam.

Rekabentuk

Proton Perdana baharu menggunakan platform Honda Accord generasi kelapan dan umum diketahui bahawa model itu pada asalnya direka semula eksklusif untuk kegunaan kerajaan. Untuk fasa kedua, Proton dibenarkan mengubah bahagian luar kenderaan dan mengemas kini interior supaya lebih relevan dengan trend semasa.

Untuk model jualan kepada umum, Accord mempunyai lebih kebebasan untuk dijelmakan sebagai sebuah Proton dengan identiti tersendiri. Tambahan pula, perubahan estetik yang signifikan diperlukan memandangkan respon Mitsubishi Lancer yang dijenamakan semula sebagai Proton Inspira agak kurang memberangsangkan jika dihakimi melalui maklum balas warga siber. Dengan Perdana fasa kedua ini, Proton telah mengolah sebanyak mungkin supaya sekali pandang, nampak jelas bahawa kereta yang dibangunkan ini adalah Proton dan bukan sebuah Honda yang ditukar lencana, bampar depan dan belakang sahaja.

Proton Perdana Short Test Drive.2016.01

Perdana baharu berada di dalam segmen D iaitu pasaran yang hampir kepada kategori mewah. Pesaingnya ialah Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Teana, Kia Optima K5, Hyundai Sonata, Peugeot 508 dan Ford Mondeo. Berada di dalam segmen itu ‘memaksa’ Proton untuk tampil dengan rekabentuk setara dan boleh dikatakan hasil akhirnya tidak kalah jika diparkir sebelah menyebelah di antara model keluaran jenama global. Walaupun Perdana diasaskan dari Accord generasi kelapan namun perbezaannya nampak ketara.

Bahagian hadapan menggunakan bahasa rekaan semasa Proton yang sopan dan lembut seperti Iriz namun masih mempunyai bayangan harimau seperti Gen.2, Persona dan Satria Neo. Bilah gril ‘Proton Wings’ kini mempunyai dua barisan dan selari dengan lampu utama dan diserlahkan lagi melalui lampu signal LED. Di bahagian bawah pula, garisan horizontal krom menambah efek mewah Perdana dengan jeriji hitam yang nampak garang, mengimbangi imej lembut pada barisan jeriji dan lampu utama. Pada bahagian sisi, imej premium diteruskan melalui penggunaan sirip pada fender.

Bahagian hadapan Perdana digayakan dengan harmoni hingga ke bahagian belakang yang pada asalnya nampak mengembang pada model Accord generasi kelapan. Tiang C dilandaikan ke belakang dan turun ke bonet seolah-olah sebuah Jaguar XJ dan ianya dilakukan dengan kemas sekali. Lampu belakang direka sempurna yang kelihatan seperti evolusi lampu belakang Persona atau Preve manakala palang krom melintang pula menambah lagi efek premium Perdana.

Bampar belakang pula kelihatan janggal, pada previu pertama kit badan dan peresap (diffuser) Perdana diwarnakan dua tona seperti Iriz manakala muncung ekzos berkembar pula berwarna krom, selari dengan trend kereta mewah. Disebabkan beberapa faktor, pengurusan Proton membuat keputusan untuk mewarnakan kesemua kit badan satu tona dengan warna badan seterusnya menampakkan ekstra ruang pada bahagian belakang sisi kereta. Setidak-tidaknya bahagian peresap bampar tersebut boleh diwarnakan hitam manakala kit badan sisi dan lips depan mengikut warna badan kereta. Mujurlah lampu reflektor bampar dihias dengan bingkai krom yang merupakan identiti Perdana V6 sebelum ini.

Proton Perdana Short Test Drive.2016.02

Bahagian interior pula tidak banyak berubah dari Accord kecuali skema warna, sistem multimedia dan navigasi. Model 2.4 menggunakan kerusi balutan kulit sepenuhnya dengan warna beige dan kelabu gelap. Penggunaan tema warna itu menjadikan Perdana tampak mewah sebaris dengan pesaing di dalam segmen D. Model 2.0 pula menggunakan kerusi campuran kulit dan fabrik dengan interior gelap sepenuhnya. Pereka Proton mengimbas kembali identiti Perdana V6 melalui tulisan Perdana pada kerusi pemandu dan penumpang depan, yang merupakan imbauan manis untuk penggemar Perdana V6.

Menggunakan platform Accord menjadikan ruang penumpang belakang begitu lega dan tidak menjadi masalah untuk penumpang menggerakkan kaki beberapa langkah tanpa terhalang dengan kerusi depan. Penumpang belakang turut boleh merasa hembusan angin sejuk melalui corong penyaman udara pada perehat lengan.

Kelengkapan dan Keselamatan

Honda Accord mempunyai 3 varian iaitu model dengan kelengkapan asas 2.0 VTi-L, model pertengahan 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L. Model VTi-L berkongsi kelengkapan yang sama kecuali sesaran enjin. Strategi tersebut membolehkan lebih akses kepada pengguna dengan bajet tersendiri atau untuk mereka yang merasakan enjin 2.4 terlalu besar untuk kegunaan harian. Proton Perdana dipasarkan melalui dua varian sahaja iaitu 2.0 dan 2.4. Selain dari enjin, kelengkapan kedua-dua model itu tidak banyak berbeza, bergantung kepada apa yang kritikal untuk anda. Berbeza dengan varian 2.0, model tertinggi 2.4 dilengkapi kerusi kulit penuh, lampu LED larasan ketinggian automatik, kit badan penuh, ESC, tuil penganjak gear pada stereng, navigasi GPS, sistem multimedia dengan pemain DVD, subwoofer, kerusi pemandu dan penumpang depan larasan elektrik. Dari segi keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi empat beg udara dan ABS dengan EBD. Agak ralat apabila ESC tidak dijadikan kelengkapan standard pada varian 2.0

Proton Perdana Interior.2016.08

Pemanduan

Pihak media dimaklumkan bahawa Perdana baharu tidak mempunyai pengubahsuaian mekanikal berbanding kereta yang disumbangkan di mana talaan enjin dan transmisi Accord 2.4 dan 2.0 i-VTEC masih dikekalkan. Malah, sistem suspensi juga tidak disentuh dan sejujurnya saya tidak pasti apa yang hendak dijangkakan kerana ianya masih sebuah Honda dengan karakternya yang tersendiri. Ternyata jangkaan itu silap sebaik sahaja Perdana ini dipandu.

Bahagian kejuruteraan dinamik Proton memang pintar menggunakan ruang dengan kebebasan yang terhad di dalam membangunkan kenderaan. Memandangkan Honda tidak membenarkan pengubahsuaian talaan suspensi dan tayar OEM sudah tidak berada di pasaran, apa yang jurutera Proton lakukan ialah mereka membangunkan sendiri tayar dengan pengeluar OEM Goodyear. Suatu yang bijak di mana penggunaan tayar istimewa EfficientGrip untuk Perdana ini berjaya ‘lari’ dari tipikal kenderaan Honda dengan membawa sedikit DNA sebuah Proton yang berasal dari Shah Alam, Selangor berbanding Accord dari Pegoh, Melaka. Pemanduan terasa lebih jitu dengan serapan permukaan jalan oleh tayar baharu ini. Lain-lain aspek seperti pengendalian, bagaimana kereta ini bertindak balas dan daya brek masih lagi terasa seperti Honda Accord termasuklah karakter enjin. Sama seperti model Accord 2.0, karakter enjin Perdana 2.0 terasa lebih lincah berbanding varian Perdana 2.4 dan jika anda tidak kisahkan kelengkapan, model 2.0 sudah memadai yang pastinya dengan harga lebih rendah.

Kesimpulan

Memandangkan sesi pandu uji ini terhad di dalam litar ujian Proton sebanyak 2 pusingan sahaja untuk setiap varian tidak banyak yang boleh diulas. Namun munasabah untuk dikatakan bahawa model ini ialah sebuah Accord yang berwajahkan Perdana. Kebaikannya ialah anda membeli sebuah model dengan kejuruteraan yang telah terbukti ketahanannya dengan pakejing baharu Proton. Tidak juga salah untuk dikatakan bahawa kereta ini ialah sebuah Honda pada harga sebuah Proton.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna Proton hanya menumpang tuah Honda, malah pengeluar kereta nasional itu melalui pengetahuan serta pengalaman rekabentuk dan kejuruteraan yang mereka miliki telah digunakan dengan jayanya di dalam membangunkan sebuah kereta luar dengan pengaruh tersendiri. Apa yang anda lihat ialah sebuah rekaan yang kemas, terkini dan elegan dengan sedikit sentuhan DNA pemanduan dan pengendalian Proton.

Kit badan dua tona seperti previu asal bersama media.

Kit badan dua tona seperti previu asal bersama media.

Proton juga tidak diam malah nampak seronok di dalam projek Perdana ini apabila sudah merancang untuk menggunakan enjin dan transmisi sendiri bagi menggantikan nadi kuasa yang dibekalkan Honda sehingga tahun 2017 sahaja. Jurutera Proton juga kelihatan teruja untuk menyuntik lebih banyak DNA Proton supaya Perdana ini dijelmakan sebanyak mungkin sebagai sebuah Proton di mana apabila anda memandu, dapat dirasakan bahawa kereta ini adalah sebuah Proton yang kita kenali dan bukan setakat sebuah kereta asing yang dilekapkan lencana baharu sahaja.

Setakat ini, keperluan untuk menjadikan Perdana sebagai sebuah kereta segmen D yang kompetitif untuk pasaran semasa sudah dipenuhi oleh Proton.

Perdana ditawarkan melalui 6 pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold. Untuk harga pula, Proton Perdana 2.0 dipasarkan pada RM 113,888.00 manakala Perdana 2.4 pada RM138,888.00 (di atas jalan). Berdasarkan perbandingan secara relatif, harga ini adalah yang terendah di dalam segmen D – suatu yang janggal apabila ada yang membandingkan dengan segmen C iaitu kereta bersaiz lebih kecil dengan konsep berbeza.

Silakan kongsi:

Proton Perdana 2.0 dan 2.4 Dilancarkan – RM113,888.00 dan RM138,888.00

Proton Perdana Exterior Background.2016.01

PROTON Holdings Bhd memperkenalkan Proton Perdana generasi ke-4 baharu, sebuah kereta yang dinanti-nantikan kemunculannya, berintegrasikan reka bentuk dinamik dan anggun bagi pemanduan yang menyeronokkan.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana baharu ini telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, diiringi oleh YBhg. Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON dan YBhg. Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Pelancaran ini menandakan kembalinya PROTON ke dalam pasaran segmen D dengan varian 2.0 dan 2.4 yang menampilkan kereta sedan eksekutif yang sofistikated serta bergaya.

Proton Perdana Exterior Background.2016.03

“PROTON menghentikan pengeluaran Perdana pada tahun 2010 dan harapan orang awam untuk melihat Perdana baharu dikeluarkan telah mendorong kami menghasilkan kereta yang bergaya dengan tahap keselesaan tersendiri. Kami mengambil berat untuk memastikan kereta ini sedia dilancarkan kerana Perdana baharu ini melambangkan PROTON yang baharu – kami mahu menyediakan pengalaman yang baharu kepada para pelanggan di mana, Pelanggan Diutamakan. Perdana baharu ini juga melambangkan hasrat baharu PROTON untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan – lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan bagi kereta dan perkhidmatan selepas jualan,” kata Dato’ Fuaad.

“Kami benar-benar bersyukur kerana mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap Perdana baharu ini sebelum pelancaran dan kami menghargai semua maklum balas yang diterima. Kami tahu bahawa rakyat Malaysia ingin PROTON menjadi lebih maju dan kami tidak akan mempersiakan harapan mereka. Kami telah mengambil sedikit masa demi memastikan Perdana baharu ini bersedia untuk dilancarkan,” tambah Dato’ Fuaad.

Proton Perdana Interior.2016.10

“Sejak mula tempahan dibuka untuk Perdana generasi ke-4 yang baharu ini pada Februari 2016, kami telah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara dan kami jangkakan untuk menjual kira-kira 3,000 buah kereta pada akhir 2016,” tambahnya.

Dibina oleh PROTON melalui kerjasama strategik bersama Honda Japan Ltd di bawah inisiatif perkongsian platform, Perdana baharu ini telah dipertingkatkan dari segi pengendalian kereta dan keselesaan. Di samping itu, PROTON juga telah membuat penambahbaikan dari segi estetik dan aerodinamik untuk memenuhi keperluan pasaran semasa.

Berharga RM113,888.00 dan RM138,888.00, bagi varian 2.0 dan 2.4, Perdana baharu 2.0 didatangkan dengan enjin SOHC 4 silinder 16 injap yang menghasilkan 154 kuasa kuda dan 189Nm tork, manakala bagi Perdana 2.4 pula didatangkan enjin DOHC dengan 4 silinder 16 injap yang menghasilkan 178 kuasa kuda dan 222Nm tork.

Proton Perdana Interior.2016.01

“Dengan menonjolkan ciri berkelas tinggi dan eksklusif serta anggun, ciri-ciri luaran yang aerodinamik, “sayap” jeriji depan PROTON yang tersendiri, lampu utama projector HID, gabungan lampu belakang LED, penghawa dingin dua zon, dan sensor parkir kereta depan belakang beserta kamera undur, serta ciri-ciri lain yang menjadikan kereta ini seronok dipandu. Di bahagian kabin pula, ruangan dalamannya diperhalusi dengan kerusi multi-kontur dan ruang kaki serta kepala yang luas,” tambah Dato? Fuaad lagi.

“Selain mempamerkan reka bentuk yang menawan, Perdana generasi ke-4 ini direka dengan mengambil kira aspek keselamatan. Ciri-ciri yang memudahkan pemanduan dengan suspensi wishbone bebas yang berganda di bahagian hadapan untuk meningkatkan daya cengkaman dan kestabilan yang lebih baik apabila membrek. Tidak kurang juga ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif bagi memastikan perlindungan optimum untuk kedua-dua pemandu dan penumpang,” katanya.

Dengan sistem navigasi GPS dan maklumat hiburan PROTON yang terkini, Perdana baharu ini membenarkan pengguna mengoptimumkan dan menyesuaikan persekitaran pemanduan, menjadikan perjalanan lebih selesa dan yakin.

“Memasuki era baharu selepas 30 tahun, PROTON telah baharu-baharu ini mengumumkan pengalaman yang lebih baik untuk para pelanggan – lebih nilai kepada kereta kami serta pemanduan yang menyeronokkan dan jaminan keselamatan. Dari segi pengendalian yang lancar kepada keluasan dalaman dengan ciri-ciri tersendiri, Perdana baharu ini melambangkan PROTON yang baharu,” tambah Dato’ Fuaad.

Proton Perdana Exterior Background.2016.05

Warna terbaharu “Ruby Red” juga diperkenalkan kepada Perdana generasi ke-4 dengan lima warna lain seperti “Sterling Silver”, “Graphite Grey”, “Cotton White”, “Midnight Black” dan “Citrine Gold” yang boleh didapati untuk kedua-dua varian.

Perdana generasi ke-4 baharu boleh dilihat di semua bilik pameran PROTON Edar di seluruh negara dan ia boleh ditempah dengan RM1,000 deposit. Pandu uji kereta Perdana hanya boleh dilakukan di bilik pameran PROTON yang terpilih dan pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Talian Khidmat Pelanggan di 1 800 888 398 untuk maklumat lanjut mengenai cawangan PROTON yang terdekat bagi memandu uji Perdana generasi ke-4 baharu.

Di bawah ialah slaid luaran, interior dan spesifikasi Proton Perdana baharu.

 

Silakan kongsi:

Lexus ES250 Kini Dengan 2 Warna Terhad Baharu – Deep Blue Mica dan Sleek Ecru Metallic

Lexus ES250 Limited Edition.2016.02

Lexus Malaysia, divisyen UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini menawarkan dua warna eksklusif untuk edisi terhad varian Lexus ES 250 Luxury iaitu Deep Blue Mica dan Sleek Ecru Metallic. Dua warna tersebut hanya dihadkan kepada 50 buah unit iaitu 25 untuk setiap warna. Edisi terhad Lexus ES 250 turut didatangkan dengan kemasan interior matte Bamboo yang sinonim dengan kualiti tinggi jenama Lexus. Kemasan matte Bamboo juga berpadanan dengan warna interior Topaz Brown khusus untuk Lexus ES 250.

Lexus ES250 Limited Edition.2016.01

Model itu dikuasakan ialah enjin 2AR-FE 2.5 liter Dual VVT-I dengan ACIS-III, sistem akustik variable induction yang menggunakan dua injap untuk menghasilkan efek 3 pengambilan udara yang panjang bagi menghasilkan pengambilan tekanan yang tinggi di dalam sistem pembakaran untuk tujahan yang lebih tinggi. Dengan nisbah mampatan 10.4:1, enjin itu mempunyai 181hp pada 6,000 rpm dan 235Nm tork pada 4,100 rpm.

Lexus ES 250 Edisi Terhad dijual tanpa caj tambahan dengan varian Luxury biasa iaitu RM293,000.00. Kesemua model baharu Lexus Malaysia didatangkan dengan waranti selama 5 tahun tanpa had batuan.

Silakan kongsi:

Volvo XC90 T8 Kini Di Pasang Di Malaysia – Negara Pertama Di Dunia Yang Di beri Hak Di luar Sweden

Volvo XC90 CKD.2016.08

Kerjasama Volvo dengan Malaysia sudah lama terjalin. Faktanya ialah, jenama dari Sweden itu telah mula memasang model 144S melalui Swedish Motor Assemblies sejak tahun 1967 lagi. Lebih menarik kilang pemasangannya terletak di Shah Alam dan merupakan fasiliti pengeluaran kenderaan tertua di dalam negara.

Sempena menyambut ulang tahun ke 50 di Malaysia baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah melancarkan model XC90 T8 Twin Engine yang di pasang secara terurai (CKD). Sekali lagi mencipta rekod, kenderaan Plug-in Hybrid Elektrikal (PHEV) itu yang pertama diberi kebenaran pemasangan di kilang luar Sweden susulan pelaburan yang besar dibuat oleh syarikat untuk menambah baik fasiliti di Shah Alam di dalam memenuhi piawaian platform baharu Volvo iaitu Scalable Product Architecture (SPA). Mengikut perancangan Volvo Car Malaysia, kilang di Shah Alam bakal menjadi hab ASEAN untuk Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) seperti yang digariskan Polisi Automotif Negara.

Setakat ini, XC90 T8 Twin Engine merupakan kenderaan tercanggih pernah dibangunkan Volvo Cars.

Volvo XC90 CKD.2016.05

Rekabentuk

XC90 baharu merupakan model pertama Volvo menggunakan bahasa rekaan baharu dengan wajah depan yang lebih menyerlah. Dalamannya pula lebih mewah dari model arus perdana Volvo sebelum ini dengan skrin sesentuh seperti sebuah tablet menjadikan fungsi kawalan secara virtual dan bebas butang. Perkakasan interior dibalut kulit Nappa dengan kombinasi kayu yang diperincikan secara halus. Tuil gear dibuat dari kaca kristal yang diperbuat oleh Orrefors(R), pembuat kaca terkenal Sweeden dan butang start/stop dan kawalan audio dengan potongan berlian.

Volvo sememangnya terkenal di dalam menghasilkan kerusi yang paling selesa dan untuk XC90, rekabentuk baharu kerusi yang lebih slim pula memberikan kelegaan kepada penumpang barisan kedua dan ketiga menjadikan XC90 sebagai kenderaan 7 tempat duduk penuh. Bentuk kerusi baharu adalah refleksi kepada tulang belakang manusia manakala pelbagai larasan pula membolehkan individu menyesuaikan kedudukan mengikut keselesaan ideal. Kerusi di barisan ketiga pula dikatakan dapat diduduki oleh penumpang dengan ketinggian sehingga 170cm.

Dinamik Kenderaan dan Enjin

XC90 dilengkapi casis serba baharu dengan suspensi depan double wishbone manakala suspensi pula diubahsuai secara elektronik melalui lima mod kawalan. Menjana kuasa SUV itu ialah enjin canggih yang mempunyai dua nadi utama iaitu supercaj dan turbo yang digabungkan dengan motor elektrik. Prestasinya ialah 407hp dengan 640 Nm tork dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j di dalam 5.6 saat sahaja. Di dalam pemanduan normal, kenderaan menggunakan mod hibrid tetapi dengan hanya sentuhan suis, pemandu boleh mukar kepada mod bebas emisi dengan kuasa elektrik sepenuhnya sehingga jarak 40km dan apabila diperlukan akan kembali kepada kuasa kombinasi petrol dan motor elektrik.

Volvo XC90 CKD.2016.04

Sistem Sensus

Antaramuka Sensus merupakan di antara sistem kawalan termoden di dalam pasaran. Butang dan suis kawalan digantikan dengan sistem sesentuh pada skrin besar pada papan pemuka yang diintegrasikan dengan sistem kawalan stereng dan arahan suara. Instrumen digital dan paparan head up pula memberikan maklumat yang diperlukan pemandu. Khidmat pengumpulan data (cloud-based) memberikan nilai tambah kepada pemandu seperti restoran pada lokasi yang dituju, strim musik kegemaran dan keupayaan untuk membaca mesej secara bebas tangan.

Sistem Suhu 4 Zon

XC90 boleh dilengkapi dengan sistem kawalan suhu 4 zon dengan talaan berbeza pada barisan depan dan tengah. Penumpang barisan ketiga pula mempunyai unit penyaman sendiri untuk lebih keselesaan. Sistem penapisan udara CleanZone Volvo pula merupakan di antara paling cekap di pasaran yang kini dengan penambahan penapis gentian kaca baharu untuk memerangkap partikel yang kecil dan merbahaya dari udara luar.

Sistem Keselamatan dan Sokongan

XC90 baharu dilengkapi sistem paling lengkap dan sofistikated di dalam industri automotif. SUV itu dilengkapi dua teknologi pertama di dunia iaitu pakej perlindungan run-off road dan keupayaan untuk membrek secara automatik di persimpangan jalan.

Sistem run-off road berfungsi apabila kenderaan mengesan apa yang berlaku di hadapan dan mengetatkan tali pinggang depan untuk mengekalkan pemandu dan penumpang di dalam posisi mereka. Untuk mengelakkan kecederaan tulang belakang, kerusi dan rangka kusyen mampu menyerap tenaga apabila kereta terlibat di dalam kemalangan. XC90 juga merupakan kereta pertama di dunia dilengkapi sistem brek automatik apabila pemandu memasuki selekoh berdepan dengan kenderaan yang mendatang. Senario seperti ini adalah normal di dalam trafik bandar dan di simpang serta lebuh raya di mana had kelajuan lebih tinggi.

City Safety pula adalah pakej teknologi keselamatan Volvo seperti brek automatik yang kini merangkumi kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki yang berdepan dengan kereta.

Volvo XC90 CKD.2016.02

Sokongan Automatik Semasa Trafik Perlahan

Sistem Adaptive Cruise Control dengan Pilot Assist pula membolehkan pemanduan menjadi lebih selamat dan selesa dengan fungsi semi-autonomous yang membolehkan kenderaan dipandu secara automatik mengikut kenderaan di hadapan di dalam trafik yang perlahan. Tingkat pecutan, brek dan stereng kini semuanya boleh dikawal secara automatik.

Memastikan pemandu berada di dalam kawalan dan mengundur di dalam ruang yang sempit, XC90 dilengkap 360° Surround View. Sistem itu membantu dengan menyatukan kesemua gambar kepada imej 360°. Sistem Park Assist Pilot pula membolehkan kenderaan masuk ke petak parkir secara automatik.

Volvo XC90 T8 Twin Engine CKD kini dijual lebih rendah dari model CBU sesuai dengan status EEV nya pada harga RM403,888.00 tidak termasuk insurans. Terdapat lima opsyen warna iaitu Ice White, Onyx Black, Saville Grey, Twilight Bronze dan Bright Silver.

Silakan kongsi:

Proton Kini Dieksport Ke Chile – Proton Prevé Sebagai Model Pertama Dengan Pusat 3S

Proton Chile.2016.02

Sewaktu pelancaran Proton Prevé di Santiago, Chile pada 28 Mei 2016, PROTON Holdings Berhad (“PROTON” atau “Syarikat”) secara rasmi membuka bilik pameran 3S pertamanya bersama Andes Motor, pengedar eksklusif PROTON di Chile. Pusat 3S yang bertempat di Irarrazaval, Santiago, 15 minit dari pusat bandar ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa PROTON, bersama Encik Jorge Greene Diaz, Pengurus Besar Andes Motor dan Encik Maximilliano Sfeir, Pengurus Perniagaan PROTON; disaksikan oleh YBhg Dato’ Dr. Mohamad Rameez, Duta Malaysia ke Chile.

Pusat 3S ini diuruskan oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, pengedar utama bas, lori dan kereta mewah di Chile yang mempunyai rangkaian luas dalam memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

“Pusat 3S ini adalah penting untuk menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Terdapat 3 ruangan servis di belakang bilik pameran yang boleh diperluaskan lagi, sekiranya perlu. Secara keseluruhan, kawasan sebesar 350 meter persegi ini boleh memuatkan 3 sehinga 4 buah kereta untuk diservis pada satu masa, dengan empat ruang letak kereta khusus untuk pelanggan,” kata Khalid.

Proton Chile.2016.06

Di Santiago juga terdapat lima buah pusat 1S lain yang terletak di dalam Plaza membeli-belah Oeste, Ayr, Technocid, Technosur dan Antivero. Selain daripada Santiago, pusat-pusat pameran lain turut berada di Sucursal Pajaritos, Las Parcelas, Quilicura, San Bernado dan Vespucio. Rangkaian ini dijangka akan berkembang dengan penambahan model pemanduan sebelah kiri Exora dan Saga dalam masa terdekat.

Selari dengan pembukaan bilik pameran iaitu pada hari yang sama, Proton Prevé turut dilancarkan di Plaza Oeste, salah satu pusat membeli-belah terkenal di Santiago. Sambutan yang menggalakkan pada majlis pelancaran itu telah menyaksikan seramai 1,000 orang berkumpul untuk menyaksikan acara cabutan bertuah yang memberi peluang kepada seorang pemenang membawa pulang Proton Prevé baharu daripada 2,000 penyertaan yang diterima. YBhg Dato’ Dr Mohamad Rameez dan Cik Ezzwani Ahmad, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Chile juga turut hadir untuk menyaksikan acara tersebut.

Teruja untuk melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, Maximilliano berkata, “Kami amat yakin dengan Proton Prevé. Para media di sini telah memandu uji kereta ini dan memberikan maklum balas yang positif. Pemasaran di sini menjadi lebih kuat sekiranya kereta ini mampu mempengaruhi pasaran dengan mudah.”

Proton Chile.2016.01

Seperti yang dilaporkan pada Mac 2016, PROTON mengumumkan bahawa permulaan jualan bagi Prevé di Chile disasarkan pada Mei 2016 diikuti dengan Exora dan Saga pada bulan November 2016. Pada masa ini, model yang akan disediakan untuk pasaran Chile adalah Prevé 1.6 MT Standard, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT.

Selaras dengan usaha untuk mempromosikan produk-produk Proton di Chile, PROTON turut menyerahkan sebuah Proton Exora kepada Kedutaan Malaysia bagi mempromosikan Malaysia di negara Amerika Latin ini. YBhg Dato’ Dr Mohamad Rameez berbesar hati menerima MPV ini bagi pihak Kedutaan di bilik pameran Irarrazaval selepas perasmian pembukaan itu.

Silakan kongsi:

Perodua Menyumbang RM21,000 Kepada 7 Surau di Selangor Sempena Bulan Ramadan

Perodua Ramadan.2016.02

Dalam menghormati dan meraikan kedatangan bulan Ramadan, Perodua melalui program Ihya Ramadan telah menyumbang wang tunai sebanyak RM21,000 kepada 7 buah surau di Selangor untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di sepanjang bulan puasa.

“Kami percaya melalui program sebegini, kita dapat membantu institusi badan agama Islam ini menampung program-program yang akan mereka jalankan di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.” Perodua Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata.

Usaha sebegini akan dilakukan berterusan dalam mengukuhkan persaudaraan dan seterusnya membina masyarakat ke arah yang lebih baik,” kata Aminar.

Program Ihya Ramadan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Perodua dalam usaha untuk mendekati masyarakat, khususnya melalui surau-surau yang berdekatan.

Surau-surau terpilih yang menerima sumbangan ialah Surau An-Nur, Bukit Beruntung, Surau Kampung Padang, Sg. Choh, Surau Hidayatul Mustaqim, Serendah, Surau Al-Ikhlas, Sg. Buaya, Surau Al-Rashidin, Bukit Beruntung, Suray As Soodiqin, Bukit Beruntung dan Surau Al-Ittihadiah, Shah Alam.

Turut hadir Pengerusi Badan Agama Islam Perodua (BAIP), Encik Noor Hashiman Sulaiman dan Ustaz Fauzi Abdul Hamid, Ketua Hal Ehwal Agama Islam Perodua.

Silakan kongsi: