PUSAT SERVIS PROTON TERPILIH DIBUKA 7 HARI SEMINGGU DAN HARGA ALAT GANTI KINI SEHINGGA 30% LEBIH MURAH

Proton Iriz R3 MCS 2015.07

PROTON Holdings Berhad telah memperluaskan operasi 7 hari di pusat-pusat servis terpilih yang terdiri daripada cawangan 3S dan 2S, berkuatkuasa pada 6 Ogos 2016. Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengutamakan pelanggan, Proton kini memperhebatkan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya.

Operasi selama 7 hari ini bertujuan untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan untuk kereta mereka dibaiki dan memberikan lebih pilihan untuk mereka menghantar kereta bagi tujuan servis dan penyelenggaraan pada hujung minggu.

“Apabila kita memulakan operasi selama 7 hari di pusat-pusat servis yang terpilih sebelum ini, ianya hanya menyediakan perkhidmatan servis biasa dan waktu operasi hanya sehingga pukul 12 tengahari pada hari minggu. Tetapi sekarang, bagi pusat-pusat servis yang terpilih kami telah melanjutkan waktu operasi pada hari Ahad iaitu sehingga jam 5 petang. Yang lebih penting, kami juga membenarkan tuntutan jaminan dilakukan pada hujung minggu di mana sebelum ini hanya boleh dilakukan pada waktu bekerja sahaja,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

“Dengan penambahbaikan yang diberikan ini, pelanggam kami kini lebih mudah untuk menghantar kereta mereka untuk diservis dan membuat tuntutan jaminan pada hujung minggu. Ini merupakan antara langkah bagi menyediakan kemuadahan kepada mereka terutamanya jika mereka tidak berkesempatan untuk mengambil cuti pada hari biasa,” tambah Dato’ Fuaad.

Fasa 1-tile

Bermula 6 Ogos 2016, 9 pusat servis akan menyediakan perkhidmatan 7 hari ini termasuk tuntutan jaminan dan pembaikan. Dari Johor ke Pulau Pinang, cawangan-cawangan kami yang akan menyediakan perkhidmatan tersebut adalah Plentong, Johor Bahru; Peringgit, Melaka; Senawang, Seremban, Negeri Sembilan; Temerloh, Pahang; Alor Setar, Kedah; Jalan Tunku Abdul Rahman, Ipoh, Perak; Juru, Seberang Prai, Pulau Pinang; Mutiara Damansara, Petaling Jaya dan Pusat Kecemerlangan kami di Subang, Selangor.

Bermula 1 Oktober 2016, penambahan 14 lagi pusat servis akan menyusul dan 4 cawangan seterusnya akan mula memberikan perkhidmatan yang sama pada 1 Disember 2016. Waktu perniagaan bagi kesemua cawangan ini adalah dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dari Isnin hingga Ahad, dan untuk memastikan kekosongan slot bagi servis, pelanggan dinasihatkan untuk membuat temujanji di cawangan-cawangan ini, temujanji secara ‘walk in’ juga sangat dialu-alukan. Cawangan-cawangan ini telah dikenal pasti berdasarkan permintaan dan keperluan pelanggan. Walau bagaimanapun, Proton terus mengkaji dan memgembangkan perkhidmatan ini sekiranya perlu.

Selaras dengan usaha untuk memperbaiki kepuasan pelanggan, berkuatkuasa 1 Ogos 2016, PROTON telah melaksanakan kajian semula harga bagi alat-alat ganti terpilih termasuk pengecas turbo, ECU dan perkakasan transmisi. Kajian semula harga pada alat-alat ganti ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pelanggan menggunakan alat ganti tulen yang sepatutnya dipasang di semua pusat perkhidmatan yang diiktiraf dan membantu memperbaiki kos pemilikan kereta-kereta Proton. Pengurangan harga bagi alat-alat yang terlibat dalam kajian semula harga ini akan menyaksikan pengurangan sekitar 12%-30%.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau emel kepada customercare@proton.com.

Silakan kongsi:

Perodua Bezza Tampil Berbeza Dengan Aksesori GearUp Ini

Perodua Bezza GearUp.2016.02

Dengan ribuan tempahan Perodua Bezza yang diterima dan jangkaan jualan Perodua dengan 7 ribu stok tersedia selamat untuk dikatakan bahawa model itu akan membanjiri jalan raya seluruh negara. Ditambah dengan ratusan ribu lagi model seperti Myvi, Alza dan Axia, produk keluaran Perodua semakin jelas menguasai takhta jualan kenderaan tempatan.

Bagi memberi sedikit ruang ‘bernafas’ supaya kereta di atas jalan raya tidak nampak tipikal dan sama sahaja di antara satu sama lain, Perodua memberi alternatif dengan menawarkan barisan aksesori GearUp yang mula ditawarkan pada Axia, Myvi dan kini Bezza.

Pembeli diberi pilihan untuk memasang aksesori GearUp yang komprehensif dari luar hingga ke dalam bagi membezakan sedan kompak itu dengan ribuan unit lain sebaik sahaja keluar dari bilik pameran.

Senarai kelengkapan GearUp Bezza adalah seperti di bawah.

Perodua Bezza GearUp.2016.30

Luaran:

  1. Kit bampar depan dan belakang
  2. Skirt sisi
  3. Spoiler bonet belakang,
  4. Visor pintu
  5. Pelindung sisi pintu
  6. Pemegang pintu krom (Standard G).

Dalaman:

  1. Balutan kerusi corak berlian
  2. Kemasan pintu dua sulaman
  3. Pelindung pemijak kaki krom
  4. Pelindung ruang bonet belakang
  5. Penebat haba bonet enjin
  6. Penebat bunyi pintu

Pakej aksesori GearUp.

Perodua menyediakan pakej belian seperti berikut:

  1. Dynamic Body Kit: Kit bampar depan dan belakang, skirt sisi, spoiler bonet belakang – RM2,000
  2. Dynamic Seat Covers and Door Trim: Balutan kerusi corak berlian dan kemasan pintu dua sulaman – RM900

Perodua turut menyediakan pakej di bawah untuk pembeli yang mahukan gabungan aksesori yang ditawarkan dengan lebih penjimatan.

  1. Dynamic Package: Dynamic Body Kit + Dynamic Seat Covers and Door Trim 2 = RM2,600
  2. Stylish Package: Dynamic Body Kit + Pelindung sisi pintu + Visor pintu = RM2,265

Lebih menarik dan untuk menjamin hak pengguna, Perodua memberi 6 bulan waranti untuk aksesori GearUp yang sah.

Berikut ialah galeri dengan 32 gambar aksesori GearUp Perodua Bezza.

Silakan kongsi:

Perodua Bezza 1.3 Advance, 1.3 Premium X dan Standard G 1.0L: Varian Mana Yang Patut Saya Pilih?

Perodua Bezza Tiles01

Di dalam tempoh hanya 5 hari sebelum pelancaran rasmi pada Khamis minggu lepas, Perodua Bezza menerima sambutan hangat di mana kemuncaknya ialah tempahan yang sudah pun melebihi 5 ribu unit pada minggu yang sama. Kereta sedan pertama kompak itu dijangka terus menerima tempahan tinggi dan Perodua sudah bersedia dengan 7,000 stok untuk dihantar kepada pembeli.

Jika Perodua Axia gempar dengan harga permulaan sekitar RM25,000, Bezza pula riuh dibincangkan dek bonet belakang yang luas dan harga kompetitif untuk sebuah sedan. Untuk mereka yang mengikuti rapat dunia automotif, laras harga Bezza dari RM36 ribu hingga RM49 ribu bukanlah mengejutkan kerana faktanya ialah kedua-dua sedan Proton iaitu Saga dan Persona berada di dalam lingkungan harga yang sama. Sebagai contoh varian paling murah iaitu Saga Plus MT berharga sekitar RM32 ribu manakala varian paling mahal iaitu Persona 1.6 Executive AT berharga sekitar RM51 ribu. Isunya ialah kedua-dua sedan itu sudah lama di pasaran dan model penggantinya akan dilancarkan pada tahun ini.

Untuk pemahaman lebih jelas, harga permulaan Perodua Bezza ialah RM36 ribu untuk model 1.0 Standard G Manual, RM38 ribu untuk 1.0 Standard G Automatik, RM41 ribu untuk 1.3 Premium X Manual, RM43 ribu untuk 1.3 Premium X Automatik dan akhir sekali, RM49 ribu untuk varian 1.3 Advance Automatik dengan spesifikasi penuh.

Sebagai perbandingan tambahan, Perodua Axia 1.0 Standard E Manual pula dijual pada harga RM23 ribu, Axia Standard G 1.0 Manual RM31 ribu, Axia Standard G 1.0 Automatik RM34 ribu, Axia SE 1.0 Manual RM35 ribu, Axia SE 1.0 Automatik RM38 ribu dan akhir sekali Axia Advance 1.0 Automatik RM40.5 ribu.

Varian Mana Yang Patut Saya Pilih?

Strategi pemasaran dengan berbilang varian dan harga kadang kala boleh mengelirukan. Terdapat harga yang murah tetapi tiada pula spesifikasi yang kita mahukan. Ada yang ingin berjimat dengan memilih varian pertengahan tetapi selepas dibuat kira-kira, beza ansuran bulanan tidak signifikan berbanding varian paling premium. Jadi yang mana satu hendak dipilih? Di bawah ialah perbandingan mudah di antara varian Perodua Bezza.

1. Perodua Bezza 1.3 Advance

Perodua Bezza Advance

Perodua Bezza 1.3 Advance Automatik merupakan varian paling mahal sedan kompak ini. Model tersebut dijual pada harga RM49,176.89 (tanpa insurans dan cukai jalan). Varian yang paling premium dengan kemudahan dan spesifikasi lengkap seperti:

Enjin

  1. 1.3 1NR-VE dengan Dual VVT-i
  2. Sistem Eco-Idle

Luaran

  1. Cermin sisi kawalan elektrik dengan lampu isyarat dan boleh lipat
  2. Lampu halogen dengan fungsi tutup automatik & lampu kabus
  3. Skirt sisi

Dalaman

  1. Bingkai meter iluminasi
  2. Kerusi kulit separa bucket
  3. Kerusi belakang dengan perehat kepala boleh laras
  4. Kemasan pintu fabrik
  5. Kerusi pemandu dengan larasan ketinggian

Sistem Multimedia

  1. Sistem multimedia dengan sistem navigasi, smart link Waze dan Google Map dan kamera undur
  2. 2 pembesar suara depan dan 2 pembesar suara belakang
  3. Slot henpon dengan USB
  4. Smart Entry dan Suis Push/Start
  5. Multi info display dengan Eco Idle Indicator

Kelengkapan Elektronik

  1. Stereng kuasa elektronik (EPS) dengan balutan kulit
  2. Stereng dengan butang kawalan audio
  3. Tingkap kuasa dengan satu sentuhan dan anti perangkap pada sebelah pemandu
  4. Pembuka bonet melalui alat kawalan jauh dan tuil
  5. Sensor depan & sisi depan dan belakang
  6. Sensor undur

Sistem Keselamatan

  1. Dua beg udara depan
  2. ABS dengan EBD
  3. Penggera, immobiliser dan kunci stereng
  4. Pencangkuk anti ragut
  5. Vehicle Stability Control
  6. Brake Assist
  7. Cermin dengan filem penebat haba dan keselematan
  8. ISOFIX dengan penyangkuk atas
  9. Peringatan lampu utama dengan buzzer
  10. Hill-start Assist
  11. Traction Control

2. Perodua Bezza 1.3 Premium X

Perodua Bezza Premium X

Perodua Bezza 1.3 Premium X merupakan varian pertengahan sedan kompak ini. Model Automatik dijual pada harga RM43,342.25 (tanpa insurans dan cukai jalan) manakala model Manual pula berharga RM41,397.37 (tanpa insurans dan cukai jalan). Varian ini mempunyai spesifikasi yang hampir dengan 1.3 Advance. Berikut adalah perbandingan di antara kedua varian itu.

Enjin

  1. 1.3 1NR-VE dengan Dual VVT-i
  2. Sistem Eco-Idle

Luaran

  1. Cermin sisi kawalan elektrik dengan lampu isyarat dan boleh lipat
  2. Lampu halogen dengan fungsi tutup automatik & lampu kabus
  3. Skirt sisi

Dalaman

  1. Bingkai meter iluminasi
  2. Kerusi kulit separa bucket
  3. Kerusi belakang dengan perehat kepala boleh laras
  4. Kemasan pintu fabrik
  5. Kerusi pemandu dengan larasan ketinggian

Sistem Multimedia

  1. Sistem audio dengan Bluetooth dan USB multimedia dengan sistem navigasi, smart link Waze dan Google Map dan kamera undur
  2. 2 pembesar suara depan dan 2 pembesar suara belakang
  3. Slot henpon dengan USB
  4. Smart Entry dan Suis Push/Start
  5. Multi info display dengan Eco Idle Indicator

Kelengkapan Elektronik

  1. Stereng kuasa elektronik (EPS) dengan balutan kulit
  2. Stereng dengan butang kawalan audio
  3. Tingkap kuasa dengan satu sentuhan dan anti perangkap pada sebelah pemandu
  4. Pembuka bonet melalui alat kawalan jauh dan tuil
  5. Sensor depan & sisi depan
  6. Sensor undur

Sistem Keselamatan

  1. Dua beg udara depan
  2. ABS dengan EBD
  3. Penggera, immobiliser dan kunci stereng
  4. Pencangkuk anti ragut
  5. Vehicle Stability Control
  6. Brake Assist
  7. Cermin dengan filem penebat haba dan keselematan
  8. ISOFIX dengan penyangkuk atas
  9. Peringatan lampu utama dengan buzzer
  10. Hill-start Assist
  11. Traction Control

3. Perodua Bezza 1.0 Standard G

Perodua Bezza Standard G

Perodua Bezza 1.0 Standard G Manual dijual pada harga RM36,035.17 (tanpa insurans dan cukai jalan) manakala model Automatik pula berharga RM37,980.05 (tanpa insurans dan cukai jalan). Berikut ialah spesifikasi dan kelengkapan pada varian paling murah sedan kompak ini.

Enjin

  1. 1.0 1KR-VE dengan VVT-i, 3 Silinder
  2. Sistem Eco-Idle

Luaran

  1. Cermin sisi kawalan elektrik dengan lampu isyarat dan boleh lipat
  2. Lampu halogen dengan fungsi tutup automatik & lampu kabus
  3. Skirt sisi

Dalaman

  1. Bingkai meter iluminasi 
  2. Kerusi kulit separa bucket
  3. Kerusi belakang dengan perehat kepala boleh laras
  4. Kemasan pintu fabrik
  5. Kerusi pemandu dengan larasan ketinggian

Sistem Multimedia

  1. Sistem audio dengan Bluetooth dan USB multimedia dengan sistem navigasi, smart link Waze dan Google Map dan kamera undur
  2. 2 pembesar suara depan dan 2 pembesar suara belakang
  3. Slot henpon di konsol belakang dengan USB
  4. Smart Entry dan Suis Push/Start
  5. Multi info display dengan Eco Idle Indicator

Kelengkapan Elektronik

  1. Stereng kuasa elektronik (EPS) dengan balutan kulit
  2. Stereng dengan butang kawalan audio
  3. Tingkap kuasa dengan satu sentuhan dan anti perangkap pada sebelah pemandu
  4. Pembuka bonet melalui alat kawalan jauh dan tuil
  5. Sensor depan & sisi depan
  6. Sensor undur

Sistem Keselamatan

  1. Dua beg udara depan
  2. ABS dengan EBD
  3. Penggera, immobiliser dan kunci stereng
  4. Pencangkuk anti ragut
  5. Vehicle Stability Control
  6. Brake Assist
  7. Cermin dengan filem penebat haba dan keselematan
  8. ISOFIX dengan penyangkuk atas
  9. Peringatan lampu utama dengan buzzer
  10. Hill-start Assist
  11. Traction Control

Kesimpulan

Secara mudahnya, varian Perodua Bezza dibahagikan mengikut kemampuan dan sensitiviti harga pasaran tempatan. Terdapat tiga gred utama iaitu Advance, Premium X dan Standard G. Memasarkan kereta pada harga mampu milik dengan pelbagai kemudahan dan aksesori merupakan tugas yang mencabar untuk pengeluar manakala strategi berbilang harga dan spesifikasi pula membuatkan pembeli sukar untuk membuat pilihan. Jika diringkaskan transmisi automatik yang merupakan pilihan utama pembeli, setiap varian mempunyai perbezaan harga sekitar RM6 ribu. Namun pembuatan keputusan menjadi lebih mudah jika anda mempunyai sasaran bajet sama ada RM39 ribu, RM43 ribu atau RM50 ribu.

Perodua Bezza Spec 6

Kepada yang masih berbelah bahagi, tidak salah untuk menunggu dua lagi model baharu Proton iaitu Persona dan Saga. Membeli kereta adalah keputusan jangka masa panjang dan bukan sekadar ikut-ikutan. Mengikut pendapat peribadi, Perodua Bezza adalah pilihan yang lebih nilai untuk wang jika anda berkira-kira hendak membeli Perodua Axia.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak memerlukan ruang tambahan Bezza, berikut ialah panduan memilih Perodua Axia yang boleh dibaca melalui pautan ini:

Perodua Axia Advance, SE, Standard G dan E: Varian Mana Yang Patut Saya Pilih?

Rujukan harga: CarBase.my (Julai 2016)

Galeri pelbagai varian dan spesifikasi Perodua Bezza

Silakan kongsi:

Pandu Uji Volvo S60 T6 Drive E – Mewah, Selamat dan Berprestasi

Volvo S60 T6 GT.2016.07

Jika diperhatikan di dalam segmen mewah, rata-rata pelanggan akan memilih model keluaran BMW, Mercedes, Audi dan MPV popular Toyota Vellfire. Lihat sahaja di dalam garis masa media sosial, kebanyakan individu terkenal memiliki model itu sebagai kenderaan harian. Sekali-sekala akan terlihat Mini Cooper, Range Rover atau VW atau Ferrari atau Lamborghini atau McLaren atau pun yang terkini Mustangs. Model-model yang dinyatakan itu adalah refleksi kepada pencapaian status bisnes atau kareer yang menjadi.

Di sebalik jenama mewah tersebut, ada satu pengeluar yang sudah lama bertapak di dalam negara di mana kilang produksinya di Shah Alam, Selangor yang sudah memulakan operasi sejak tahun 1967 lagi. Tidak lain tidak bukan ialah Volvo yang berasal dari Sweden. Syarikat itu mempunyai sejarah yang panjang, bertukar dari satu pemilik ke satu pemilik namun falsafahnya yang mementingkan keselamatan tetap tidak berubah. Harus tahu, Volvo adalah pereka tali pinggang keledar tiga poin dan ianya tidak memerlukan sebarang royalti dibayar kepada pengeluar itu oleh kerana hasrat syarikat yang ingin menyebar kebaikan teknologi seluas-luasnya.

Tetapi adalah natural untuk anda memenangi sesuatu dan pada masa yang sama terlepas sesuatu. Kenderaan Volvo dimuatkan dengan pelbagai jenis teknologi keselamatan, dari pasif hingga ke aktif sehinggakan saya rasa itu sahaja kerja juruteranya. Walaupun begitu, faedah keselamatan tidak dapat ditonjolkan secara langsung atau kerap melainkan anda terselamat dari kecelakaan jalan raya. Apa yang senang dihargai secara langsung ialah rekabentuk, prestasi, keselesaan dan khidmat lepas jualan. Jadi apabila anda mempunyai sebuah syarikat yang menjual teknologi keselamatan, bagaimana pula anda dapat menyaingi syarikat mewah lain seperti Mercedes, BMW dan Audi?

Volvo S60 T6 GT.2016.10

Di situ terletak kekurangan dan kelebihan Volvo. Apabila banyak sumber dan tenaga dihabiskan untuk teknologi keselamatan, aspek seperti perincian premium, prestasi dan pengendalian secara langsung atau tidak terpaksa dikurangkan untuk memberi laluan kepada fokus syarikat. Melalui pengalaman memandu uji beberapa buah kenderaan Volvo moden, terakui bahawa teknologi menyelamatkan nyawa Volvo menggagumkan tetapi jenama itu belum mampu menyaingi jenama premium Eropah selain daripada sistem keselamatan. Volvo mempunyai idea ke arah itu namun tidak kesampaian dan tidak memadai. Meletakkan dari sudut pandang, BMW adalah sinonim sebagai kenderaan pemanduan dan prestasi, Mercedes dengan imej mewah manakala Audi pula memberi alternatif untuk mereka yang mencari kelainan di antara kedua-dua jenama tadi. Jadi, di manakah posisi Volvo? Model-model baharu sedang dan akan memberi jawapan kepada persoalan ini.

Tranformasi Volvo boleh dikatakan jelas di bawah penguasaan Ford, dengan falsafah rekabentuk yang kontemporari serta nadi kuasa moden selain mengekalkan identiti keselamatan Volvo. Di situ, sudah jelas ke mana arah tuju Volvo namun menggunakan nadi kuasa yang dibekalkan Ford tidak memadai. Ianya terasa seperti sebuah Ford yang lebih mahal dan dinamik pemanduan pula jauh ketinggalan berbanding BMW. Fasa itu masih belum memadai untuk menyaingi jenama premium lain. Volvo bertukar tangan lagi, kali ini dari Ford kepada syarikat China iaitu Geely pada tahun 2010. Transformasi Volvo tetap diteruskan dengan falsafah rekabentuk Design Around You yang diterjemahkan pada model baharu V40. Di bawah pemilikan baharu, Volvo nampak bebas untuk menentukan nadi kuasa dan hasilnya ialah teknologi Drive-E yang dibangunkan sendiri.

Volvo S60 T6 GT.2016.08

Di pasaran tempatan, Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan teknologi canggih Drive-E pada model terkini XC60, XC90, V40 dan S60 T6 – model yang saya diberi peluang untuk dipandu uji baru-baru ini. Sebelum mengambil kereta itu, saya tidak pasti apa yang hendak dijangka memandangkan saya pernah memandu uji S60 T5 dan V60 T4 sebelum ini. Jika diimbas, dua perkara yang saya kagumi ialah sistem keselamatan, kuasa dan ketangkasan transmisi PowerShift. Cuma apa yang buat saya teruja kali ini ialah nadi kuasa Drive-E menggunakan dua teknologi iaitu gabungan supercaj dan pengecas turbo selain transmisi 8 kelajuan.

Rekabentuk Luaran

Mengambil kereta di parkir VCM adalah momen pertama saya dengan S60 facelift baharu. Bahagian depan kereta menerima lampu utama, bonet dan bampar baharu. Ianya nampak lebih atletik ibarat muscle car yang digabungkan dengan selera ringkas Sweden. Menambah lagi keterampilan S60 T6 ialah roda aluminium 18 inci Ixion dan peresap belakang R-Design. Spoiler bonet belakang yang ringkas pula menambah keanggunan kereta. Di dalam lautan Mercedes, BMW dan Audi, penampilan sedan dari Sweden ini adalah suatu yang menyegarkan dan membuktikan Malaysia tidak kekurangan jenama mewah yang tidak tipikal. Warna Ember Black yang digunakan pada model pandu uji menyerlahkan S60 sebagai objek yang jelas dan sesuatu.

Rekabentuk Dalaman

Interior S60 T6 segar dengan warna hitam yang mendominasinya. Mengikut pemerhatian peribadi, warna Beige lebih sesuai pada Mercedes dengan perincian yang tersendiri manakala hitam yang digunakan pada S60 T6 ini lebih harmoni pada imej dan prestasi yang ingin ditampilkan Volvo. Suasana dalaman S60 T6 baharu terasa segar dan setahap lebih berbanding model sebelum ini. Ianya kemas dan ringkas dan canggih melalui meter digital sepenuhnya (Adaptive Digital Display) dengan tiga mod iaitu Performance, Eco dan Elegance. Informasi untuk kegunaan pemandu tidak terhad pada paparan meter malah lebih banyak fungsi talaan dan bacaan pada meter digital di papan pemuka. Di situ anda boleh menetapkan pelbagai fungsi tetapan kenderaan seperti sistem keselamatan, Drive-E, multimedia, navigasi sehinggalah mod stereng. Kerusi pemandu dan penumpang depan adalah tipikal Volvo, menyokong badan pada poin yang penting dan standard untuk kereta di dalam segmen ini ialah sistem larasan elektrik. Seperkara mengenai jenama dari Eropah ialah mereka mempunyai definisi keselesaan tersendiri terutama sekali untuk kerusi penumpang belakang. Berbeza dengan kerusi dari pengeluar Asia yang empuk dan menenggelamkan badan, kerusi belakang kereta Eropah lebih keras tetapi tidak pada Volvo ini kerana ianya seimbang di antara dua ciri-ciri tersebut. Ianya tidak terlalu keras seperti kerusi kayu yang dibalut kulit atau terlalu lembut seperti sofa, tahap keselesaannya boleh diterima terutama sekali untuk merentas negeri-negeri bagi urusan kerja atau peribadi.

Volvo S60 T6 GT.2016.17

Teknologi Drive-E

Dengan larasan kerusi yang tegap serta menyokong badan dan suasana interior yang mewah, saya tidak sabar untuk meneroka model ini lebih jauh. Enjin Drive-E bersesaran 2.0 liter ini sedikit bising jika berada di luar kenderaan. Tetapi itu bukanlah masalah utama kerana di dalam bonet yang berbonjol itu ialah enjin berkuasa 306hp dengan 400 Nm tork. Gabungan supercaj dengan pengecas turbo pada enjin ini bermakna kuasa supercaj digunakan pada kelajuan rendah untuk menggerakkan kereta tanpa lag atau kurang bermaya di dalam trafik henti dan jalan seterusnya pengecas turbo ditugaskan semasa kereta hendak bergerak laju di dalam membekalkan kuasa tanpa gangguan dan kekal bertenaga. Pengalaman memandu di lebuh raya mengiyakan konsep itu dan ternyata kuasa pada model baharu ini adalah segar dan sesuatu yang lain berbanding model S60 sebelum. Pengalamannya tidak sama seperti Volvo yang dipandu uji sebelum ini.

Dinamik Pemanduan

Apabila pedal minyak ditekan kuat, kereta meluncur laju dengan pergerakan meter yang pantas melebihi 100km/j. Ianya adalah sesuatu pengalaman baharu dan lebih menarik, dinamik pemanduan berbeza dari Volvo yang biasa saya pandu. Teorinya adalah ringkas, jika anda mempunyai sebuah enjin yang berkuasa, bagaimana anda harus mengendalikannya. Oleh itu, jurutera Volvo telah berjaya menemui titik sasaran, di dalam peningkatan pecutan, S60 T6 kemas pada laluannya dan memandangkan stereng EPAS (Electrical Power Assist Steering) mempunyai tiga mod kuasa iaitu Low, Medium dan High, seleksi paling berat iaitu High lebih sesuai semasa pemanduan agresif supaya stereng tetap pada laluan dan tidak beroleng ke kiri dan kanan. Sistem pengendalian juga diperbaharui, bahagian depan bertindak balas selari dengan pusingan stereng pemandu dan bukan malu-malu seperti sebelum ini. Bahagian belakang walau bagaimanapun terasa membuai pada kelajuan tinggi di mana faktor tersebut mungkin dipengaruhi talaan kereta yang condong kepada keselesaan dengan set suspensi yang mampu menyerap hentakan, gegaran serta lambungan secara kemas. Baru terasa seperti sebuah Volvo yang ditala untuk negara Asia dan bukan sahaja negara dengan permukaan jalan elok seperti sesetengah negara Eropah.

Volvo S60 T6 GT.2016.15

Sistem Bantuan Elektronik

Sistem bantuan elektronik banyak memberi kelebihan kepada kereta ini. Di dalam membuat keputusan membeli kereta mewah, seseorang harus bertanya selain dari jenama dan prestij apakah ada kelebihan lain yang dimiliki? Kadang-kala, sesebuah model itu mewah pada nama sahaja dengan kelengkapan lebih kurang sama dengan jenama kebanyakan. Volvo memberi definisi tersendiri apabila anda mencari jawapan kepada persoalan ini. Teknologi canggih yang terbina di dalam S60 T6 memberi justifikasi kenapa ianya sebuah kereta premium dan bagaimana Volvo memberi nilai terhadap harga yang dibayar pembeli.

Di antara kelengkapan bantuan pemanduan S60 T6 ialah Lane Keeping Aid (LKA) yang akan memusingkan stereng mengikut laluan yang perlu diikuti secara automatik jika pemandu tersasar secara tiba-tiba dan tiada respon dari pemandu. LKA berfungsi pada kelajuan di antara 65km/j sehingga 200km/j. Sistem ini sangat berguna ditetapkan pada pemanduan santai di atas lebuh raya atau trafik yang sibuk. Pemanduan berprestasi kurang sesuai menggunakan tetapan ini memandangkan input automatik dari stereng akan menggangu fokus dan kebebasan putaran stereng secara manual. Adaptive Cruise Control pula adalah seleksi yang saya gemarkan di mana kereta bergerak secara automatik mengikut kelajuan kenderaan hadapan dan tidak memerlukan pemandu untuk menekan brek apabila kenderaan depan diperlahankan atau dihentikan sepenuhnya. Kelajuan S60 T6 akan direset secara automatik mengikut tetapan asal oleh pemandu sebelum kereta hadapan diperlahankan. City Safety pula berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j dengan kereta akan diperlahankan secara automatik dan dihentikan apabila kenderaan di depan memperlahankan kelajuan atau berhenti sepenuhnya.

Volvo S60 T6 GT.2016.22

S60 T6 tidak didatangkan dengan kamera undur dan pembeli perlu memilih opsyen ini sebagai tambahan, suatu yang agak ralat pada masa kereta kebanyakan pun sudah dilengkapi dengan fungsi tersebut. Walau bagaimanapun, pemandu dibantu oleh Cross Traffic Alert yang berfungsi dengan menggunakan radar pada belakang kereta untuk memberi amaran kepada pemandu jika ada objek sewaktu keluar dari parkir. Berbeza dengan buzzer undur kebanyakan kereta, sistem ini mempunyai jangkauan yang lebih meluas cuma lebih sempurna jika digabungkan dengan kamera undur sebagai aksesori standard. Menyentuh mengenai parkir, Park Assist Pilot akan mengesan ruang sisi kiri atau kanan yang kosong secara automatik dan kemudiannya memarkir kereta tanpa pemandu bersusah payah untuk memulas stereng ke kiri dan kanan. Walaupun membantu, kadang kala sistem ini berjaya mengesan slot kosong dengan kadar yang cepat dengan senyuman puas pada pemandu atau ada masanya agak lambat dan boleh meresahkan pemandu termasuk kereta belakang yang menunggu.

Sistem bantuan pemanduan diperkayakan lagi dengan Road Sign Information iaitu paparan papan tanda jalan raya yang disiar semula pada instrumen meter. Sistem ini boleh digabungkan dengan fungsi Speed Alert yang membolehkan amaran visual dipaparkan pada meter kelajuan jika dipandu melebihi had yang ditetapkan. Teknologi Auto Stop/Start turut dilengkapi pada model ini. Sistem itu berfungsi dengan enjin direhatkan di dalam keadaan melahu dan dihidupkan semula apabila pedal brek dilepaskan. Memandangkan penyaman udara tidak disejukkan semasa sistem itu berjalan, fungi Auto Stop/Start dinyahkan pada cuaca panas. Menjadikan penggunaan bahan api lebih cekap, S60 T6 mempunyai mod pemanduan Eco yang merendahkan prestasi enjin dan juga mematikan penyejuk udara. Volvo turut melengkapi S60 T6 dengan teknologi khusus untuk pemanduan malam iaitu Active High Beam. Volvo prihatin dengan suluhan yang menyilaukan kenderaan mendatang, teknologi itu membantu apabila pemandu tidak perlu bersusah payah menukar kepada mod lampu rendah. Sistem ini berfungsi apabila cahaya dimalapkan secara automatik  apabila berselisih dengan kenderaan melalui bantuan modul projektor yang terletak pada kelongsong lampu. Active Bending Light pula ciri yang menyenangkan di mana lampu utama turut sama ‘membelok’ mengikut darjah pusingan kenderaan. Manakala Cornering Light pula memberi pencahayaan tambahan pada sisi depan kenderaan semasa kelajuan perlahan yang berguna untuk memarkir kereta.

Volvo S60 T6 GT.2016.11

Kesimpulan

Volvo S60 T6 Drive-E tanpa kelengkapan R-Design dijual pada harga RM280,888 (dengan CBP, tanpa insurans). Sepanjang 8 hari bersama kereta ini, fikiran saya ligat berfikir adakah harga tersebut memadai dengan nilai yang diberikan. Saya seronok memandunya malah suka bermain dengan teknologi canggih yang dilengkapi terutama sekali Adaptive Cruise Control. Lane Keeping Aid dan sistem pengesanan mengantuk membantu saya di dalam keadaan lalai manakala bunyi amaran pelanggaran pula memberitahu saya semakin hampir dengan kenderaan depan. Kuasa yang dibekalkan enjin Drive-E pula sedap diteroka dengan purata penggunaan minyak 9.8l/100 km.

Secara perbandingan terus, harga S60 T6 lebih rendah dari BMW 330i M Sport (RM297.8 ribu) dan Mercedes-Benz C 250 AMG Line (RM287,888 ribu) tetapi lebih mahal berbanding BMW 320d M Sport (RM268.8 ribu). Selain daripada jenama terkenal, terdapat aspek lain yang harus dipertimbangkan seperti kelengkapan teknologi terutama sekali sistem keselamatan. Jenama Volvo mungkin tidak selalu melintasi garis masa media sosial atau dimiliki personaliti tetapi jika anda mengkaji dan membuat perbandingan, insya Allah kelebihan S60 T6 akan nampak jelas. Membeli kereta bukan sekadar ikut-ikutan dan itulah rungkaian jawapan kepada kepada persoalan saya tadi.

Rujukan harga: CarBase.my (Julai 2016)

Galeri Volvo S60 T6 Drive-E

Silakan kongsi:

Perodua Bezza Kini Dilancarkan – 5 Tanggapan Awal Mengenai Sedan Pertama Perodua 

Perodua Bezza.2016.02

Perodua berjaya mewujudkan suasana hype untuk Bezza, model kesebelas syarikat di dalam tempoh 22 tahun operasi. Buktinya kereta kompak sedan pertama keluaran Perodua itu menerima sebanyak 4,028 tempahan di dalam tempoh 5 hari sahaja. Jumlah tersebut merangkumi 50% untuk model 1.3 Advance, 35% model 1.3l Premium X manakala 15% model 1.0l Automatik dan Manual.

Berikut merupakan 5 tanggapan awal susulan majlis pelancaran Bezza malam tadi.

1. Memang berbeza. Bezza sememangnya berbeza dengan apa yang pernah ditawarkan Perodua sebelum ini. Walaupun diasaskan dari model Axia, namun ianya tidak nampak seperti sebuah Axia yang disedankan. Dari luaran tim pereka berjaya mengolah semula Axia untuk menjadikan Bezza sebuah sedan yang tersendiri. Ianya nampak seperti sebuah sedan yang sempurna melalui proportion (perkadaran) badan yang seimbang pada bahagian depan, sisi dan belakang.

2. Bonet belakang luas. Ini adalah antara faktor utama kenapa Bezza menerima sambutan hangat dan bualan ramai. Sebuah Perodua dengan bonet yang sempurna. Melalui ‘permainan’ ruang, tim pereka berjaya menyorok bonet yang luas hinggakan apabila ianya dibuka, terasa seperti magik dari mana ruang sebesar itu datang. Saiz 508 liter untuk sebuah kereta sedan kompak adalah suatu yang mengagumkan.

Perodua Bezza.2016.01

3. Kompromi interior. Dari awal, model ini disasarkan pada harga mampu milik dan beberapa aspek perlu dikompromi. Kemasan interior Bezza biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan Perodua Myvi. Kerusi belakang jenis bench mempunyai kurang lekuk atau kontur untuk menyokong badan penumpang dewasa. Walau bagaimanapun, ruang kaki belakang tidak terhad susulan saiz kerusi depan yang secukup rasa. Sama seperti Axia, stereng tidak boleh dilaras ke bawah manakala kerusi penumpang depan dan pemandu varian 1.0 tidak boleh di laras untuk turun dan naik. Terasa janggal untuk saya dengan ketinggian 177cm.

4. Sistem Eco Idle. Penggunaan teknologi ini memang mengejutkan. Teknologi yang mampu menghentikan operasi enjin sewaktu melahu secara automatik ini biasanya dipasangkan pada kereta yang berharga ratusan ribu dan tidak sangka Perodua mampu menawarkan pada varian Advance dengan harga sekitar RM50 ribu sahaja. Penggunaan teknologi ini dijangka memberi tekanan kepada pengeluar lokal atau asing sama seperti Perodua yang akhirnya berjaya mendapat skor 5 bintang ujian pelanggaran ASEAN NCAP melalui Bezza Advance selepas beberapa pengeluar mencapai skor tertinggi itu.

Perodua Bezza.2016.03

5. Pelbagai guna. Walaupun Bezza adalah sebuah sedan kompak namun saya boleh membayangkan pelbagai fungsi untuk menepati gaya hidup pembeli. Saiz bonet yang luas membolehkan rakyat menyahut seruan kerajaan supaya mencari pendapatan kedua. Bonetnya boleh mengisi barangan jualan untuk berniaga hujung minggu di pasar flea atau jualan bonet. Pelbagai stok boleh diisi seperti pakaian serta penyangkutnya, kasut dan meja lipat kecil. Bukan setakat itu, ianya sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan perkongsian jika anda berminat untuk menggunakan aplikasi UBER, Grab atau seumpamanya. Malah sekarang ini kerajaan di dalam proses membuat kajian untuk melesenkan khidmat itu secara sah. Jika tidak khidmat perkongsian pun, Bezza sangat sesuai untuk dijadikan teksi atau kereta sewa. Operasi ekonomikal menyumbang kepada overhead rendah dan lebih perolehan bersih kepada pemilik.

6. Poin bonus. Perodua Bezza dihasilkan oleh Perodua dengan kerjasama Daihatsu. Model Perodua seperti Myvi telah dijenamakan semula sebagai Daihatsu Sirion di Indonesia. Dengan pakejing Bezza, model ini dijangka akan menembusi pasaran negara membangun dengan lebih meluas lagi. Suatu yang membanggakan jika menjadi realiti – rekabentuk anak tempatan digunakan semula oleh pengeluar dari negara maju. Selepas Keon berjaya menaiki pentas pertama di dua pusingan Moto3, kini Perodua pula mendaki pentas global. Tahniah Yob!

Silakan kongsi:

Perodua Bezza Bakal Dilancarkan Hari Ini – 5 Poin Utama Kenapa Bezza Sebuah Sedan Yang Menarik

Kereta sedan pertama Perodua bakal dilancarkan hari ini. Ianya momen istimewa untuk Perodua kerana model ini yang pertama direka sepenuhnya oleh mereka. Berikut adalah 5 Poin kenapa Perodua Bezza adalah sebuah sedan yang menarik.

1. Permintaan pasaran.
Perodua Bezza dihasilkan susulan maklum balas dan permintaan pelanggan yang mahukan kenderaan Perodua dengan bonet belakang. Walaupun Perodua sudah hampir 10 tahun mendominasi pasaran dengan kereta kompak seperti Myvi, Viva dan kini Axia namun segmen utama negara ialah kereta sedan. Perodua hanya memberikan apa yang pasaran kehendaki.

2. Sedan kompak. Walaupun Bezza adalah sebuah sedan, namun saiznya masih mengikut tradisi Perodua iaitu di dalam segmen kompak. Bezza diasaskan dari model Axia yang walaupun kecil namun penggunaan ruang begitu optimum. Tidak hairanlah saiz bonet belakangnya ialah 508 liter! Saiz ini adalah setara dengan Honda City.

3. Model Perodua paling selamat. Walaupun kompak tetapi skor ujian pelanggaran ASEAN NCAP untuk varian Advance ialah 5 bintang! Lebih tinggi dari beberapa jenama import. Varian ini dilengkapi sistem kawalan cengkaman yang membolehkannya mencapai skor tersebut. Varian lain mencatat skor 4 bintang. Namun kelengkapannya tidak kurang apabila dilengkapi ABS dan EBD untuk pemberhentian kenderaan yang lebih cekap.

4. Eco Idle. Saya baharu sahaja memandu uji Volvo S60 T6 berharga RM280 ribu. Model itu dilengkapi sistem start/stop yang menghentikan operasi enjin di dalam keadaan melahu bagi menjimatkan petrol. Menarik apabila Perodua Bezza Advance dilengkapi sistem sama yang dikenali sebagai Eco Idle. Sistem ini adalah yang pertama untuk pengeluar nasional dan pada model kebanyakan seperti Bezza. Berbeza dengan Perodua Axia, model ini mempunyai enjin 1.0 liter VVT-i dan 1.3 liter Dual VVT-i baharu.

5. Ekonomikal. Perodua Bezza 1.0 manual berupaya bergerak sehingga 22.8km dengan hanya seliter petrol manakala transmisi automatik pula sejauh 21.3 km dengan pemanduan eco. Perodua Bezza 1.3 manual pula mampu bergerak sehingga 21.7 km seliter, manakala versi automatik sehingga 22 kilometer dengan tetapan ‘Eco Idle’. Setangki penuh boleh bergerak sehingga 792km.

Hakikatnya terdapat beberapa lagi poin yang menjadikan Perodua Bezza sebuah sedan menarik. Ciri di atas sudah memadai kenapa model ini boleh laku keras dan menepati selera pelanggan yang mahukan sebuah sedan ringkas melalui jenama dengan rekod yang boleh dipercayai.

Harga permulaan Perodua Bezza ialah RM37,300 untuk model basik iaitu 1.0L Standard G manual. Harga paling tinggi ialah RM50,800 untuk 1.3L Advanced automatik. Perodua Bezza boleh dilihat di bilik pameran bermula malam ini.

Silakan kongsi:

Perodua Bezza Kini Dibuka Untuk Tempahan – Harga Bermula Dari RM37,300!

Kepada mereka yang tertanya dan berminat dengan sedan kompak pertama Perodua Bezza, syarikat automotif nasional kedua itu sudah pun membuka tempahan sejak 16 Julai 2016. Khabarnya tempahan yang diterima sudah pun melebihi 1200 unit.

Lebih menarik, harga permulaan yang ditawarkan ialah RM37,300 untuk model basik iaitu 1.0L Standard G manual. Harga paling tinggi ialah RM50,800 untuk 1.3L Advanced automatik.

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, mereka mensasarkan untuk menjual sebanyak 7,600 unit sebulan.Sasaran utama syarikat ialah pasangan baru berkeluarga dan keluarga muda yang memerlukan tambahan bonet belakang selari dengan peningkatan hidup mereka.

Perodua Bezza merupakan model kompak segmen A yang diasaskan dari Perodua Axia dengan rekabentuk pertama direka sepenuhnya oleh tenaga tempatan. Kos pembangunan model itu ialah RM300 juta dengan 95% konten tempatan dan dimulakan pada tahun 2014.

Mengenai nama yang dipilih pula, Bezza adalah adaptasi perkataan Beza di dalam bahasa Melayu yang bermaksud berbeza. Dua huruf Z itu pula adalah refleksi 22 tahun operasi Perodua di dalam pasaran. Terdapat 5 varian Perodua Bezza iaitu 1.0l Manual dan Automatik, 1.3l Premium X Manual dan Automatik dan varian paling tinggi 1.3L Advanced Automatik.

Perodua Bezza dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti:

  • VSC, ESC, Brake Assist dan Traction Control (Advance) 
  • Hill Start Assist (Advance) 
  • Eco Idle (Advance) 
  • Sistem multimedia dengan keupayaan fungsi Android dan sambungan Waze/Google Map (Advance) 
  • Push Start Button dan Smart Entry (Advance) 
  • Kamera undur 
  • Sensor bampar depan
  • ABS, EBD
  • Pengilap cermin mengikut kelajuan kereta 
  • Kerusi belakang pisahan 60:40
  • Bonet belakang 508 liter 

Perodua Bezza EEV dikuasakan oleh enjin baharu iaitu 1.0l 1KR-VE dengan VVT-i dan 1.3l 1NR-VE dengan Dual VVT-i. Transmisi manual seperti lazimnya mempunyai 5 kelajuan manakala transmisi automatik elektronik dengan 4 kelajuan.

Perodua Bezza 1.0 manual berupaya bergerak sehingga 22.8km dengan hanya seliter petrol manakala transmisi automatik pula sejauh 21.3 km dengan pemanduan eco. Perodua Bezza 1.3 manual pula mampu bergerak sehingga 21.7 km seliter, manakala versi automatik sehingga 22 kilometer dengan tetapan ‘Eco Idle’. Setangki penuh boleh bergerak sehingga 792km.

Kereta sedan kompak ini ditawarkan melalui 6 pilihan warna iaitu Sugar Brown and Ocean Blue for 1.3L yang merupakan warna baharu Perodua serta warna sedia ada seperti Lava Red, Ebony Black, Glittering Silver & Solid Ivory White.

Silakan kongsi:

Kenderaan Proton Boleh Dibantu Mula (Jump Start) dan Panduan Ini Berguna Sewaktu Kecemasan

Bagaimana untuk bantu mula kenderaan anda - BM

PROTON Holdings Berhad ingin menyangkal imej yang tersebar baru-baru ini di media sosial, yang mengesyorkan pengguna Proton untuk tidak melakukan sebarang tindakan bantu mula pada model-model Proton yang tertentu kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU). Kami ingin menegaskan bahawa semua kereta boleh melalui tindakan bantu mula.

Walau bagaimanapun, seperti OEM yang lain, kereta-kereta Proton telah dilengkapi dengan sistem elektronik yang sensitif kepada lonjakan kuasa. Proton ingin memberi panduan yang lebih tepat mengenai perkara ini dan untuk memberi jaminan kepada pemilik Proton bahawa penggunaan kabel bantu mula adalah selamat untuk menghidupkan enjin selagi berpandukan langkah-langkah yang betul, seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan Pemilik Proton.

Berikutan dengan ini, PROTON ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa prosedur yang betul untuk melakukan bantu mula kereta adalah dengan menyambungkan terminal (+) bateri dari kereta yang membantu kepada terminal (+) bateri kereta yang terjejas. Akan tetapi, terminal (-) dari kereta yang membantu mesti disambungkan ke badan kereta yang terjejas, dan BUKAN di terminal (-) kereta terjejas tersebut. Apabila berasa ragu, selalulah merujuk kepada buku Panduan Pemilik Proton.

Langkah-langkah yang perlu diambil seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan apabila menggunakan kabel jumper yang disambungkan kepada bateri dari kenderaan lain, seperti:

  • Kenderaan mestilah dirapatkan supaya kabel jumper boleh disambungkan, tetapi pastikan kenderaan tidak menyentuh satu sama lain. Sekiranya bersentuhan, ia boleh menyebabkan sambungan bumi yang tidak diingini. Kenderaan mungkin tidak akan dapat dihidupkan dan pembumian tidak diingini boleh merosakkan sistem elektrik (Unit Kawalan Transmisi, TCU).
  • Kenderaan yang membantu mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri penggalak tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang tidak boleh digunakan, ini adalah untuk mengelakkan kerosakan litar pintas pada kedua-dua kenderaan.
  • Gunakan hanya kabel jumper dengan pengapit bateri berpenebat.
  • Kenderaan mestilah berada dalam keadaan “P” (PARK) untuk transmisi automatik dan “N” (NEUTRAL) untuk transmisi manual.
  • Matikan pencucuhan pada kedua-dua kenderaan terlebih dahulu.
  • Apabila menyambungkan kabel penggalak, jangan sambungkan positif (+) kabel ke negatif (-) terminal atau ia akan menyebabkan percikan api dan bateri boleh meletup.
  • Kabel jumper negatif (hitam) tidak boleh dikapitkan ke saluran bahan api dengan sarung logam atau ke penapis bahan api atau garisan brek kerana ini boleh menyebabkan kebakaran.
  • Hidupkan enjin kenderaan yang mempunyai bateri penggalak, biarkan enjin hidup untuk beberapa minit dan kemudian hidupkan enjin kenderaan yang terjejas.
  • Selepas enjin dihidupkan, buka sambungan kabel mengikut urutan terbalik.

Untuk panduan yang lebih terperinci, pemilik kereta Proton dinasihatkan untuk merujuk kepada buku panduan kenderaan mereka sebelum melakukan apa-apa bantu mula kecemasan kepada bateri. PROTON sentiasa memastikan kereta-keretanya dikeluarkan mengikut piawaian keselamatan yang tinggi dan tidak menjejaskan keselamatan pelanggan.

Untuk pemeriksaan lanjut dan penukaran bateri, sila hubungi Talian Khidmat Pelanggan kami di 1800 888 398 atau emel kepada customercare@proton.com untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

Silakan kongsi: