Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd melancarkan Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL yang membuatkan MPV versatil serta popular itu tampil lebih sporty dan sofistikated.
Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL kini didatangkan dalam dua varian tambahan; 2.0L IMPUL Highway Star, berharga RM145,578.59 dan 2.0L IMPUL Premium Highway Star, berharga RM155,863.43 (harga di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia).
Pasukan pereka IMPUL telah mereka semula Bampar Hadapan serba baharu. Penampilan eksklusif itu ditingkatkan lagi dengan Spoiler Bampar Belakang, Skirt Sisi dan Spoiler Bumbung. Sekali gus memberikan MPV ini profil yang bergaya dan menyerlahkan perinciannya yang karismatik.
Konsep reka bentuk IMPUL disempurnakan dengan IMPUL Chrome Sport Ducts dan Kemasan Bonet Krom yang meningkatkan lagi tahap daya tarikan estetiknya. Sekali gus melengkapkan penampilan sporty dengan sentuhan yang lebih elegan.
Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL menjanjikan kawalan yang selamat menerusi Rim Aloi IMPUL Aura SX-50 bersaiz 18″ dengan kelabu metalik dan kemasan berkilat yang dibalut bersama tayar MICHELIN Pilot Sport 3.
Eksklusif untuk 2.0L IMPUL Premium Highway Star, Serena S-Hybrid menawarkan tempat duduk kombinasi kulit yang dijahit dengan bentuk permata bersama logo IMPUL pada tempat duduk hadapannya.
Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata,“Nissan Serena S-Hybrid memang amat popular dalam kalangan keluarga di Malaysia. Untuk disesuaikan dengan trend sekarang di mana MPV ditala dengan lebih gaya dan sofistikasi, ETCM telah memperkenal Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL kepada rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa penampilan segar ini akan memberi nilai tambah kepada kenderaan tersebut. IMPUL kini tidak lagi terhad kepada model sedan, SUV dan crossover, malah MPV juga.
IMPUL ialah sebuah syarikat talaan untuk kenderaan Nissan dari Jepun yang kaya dengan warisan sukan bermotor serta meningkatkan aspek estetik dan prestasi model-model Nissan menerusi aksesori yang dihasilkannya. Pencapaian sukan permotoran terkini bagi pasukan IMPUL adalah tempat kedua dalam Super GT 2015 dalam kelas GT500 dengan Calsonic IMPUL GT-R.