ETCM BUKA PUSAT 3S PERTAMA DI KUCHING

Nissan Kuching 2014.01

KUCHING (24 Jun 2014) – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) hari ini merasmikan pembukaan Pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) di Kuching, Sarawak, sekali gus menandakan satu lagi kejayaan dalam sejarahnya. Pusat 3S itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Yang Berbahagia Dato James Chan Khay Syn yang ditemani oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Yang Berbahagia Dato’ David Chen.

Berucap pada majlis pembukaan tersebut, Dato’ David berkata, “Pusat 3S Kuching merupakan Pusat 3S ETCM pertama di Kuching dan paling besar di Malaysia Timur, dan kami akan terus berkembang demi meluaskan manfaat kepada para pelanggan. Di sini, para pelanggan dan orang awam boleh menikmati pengalaman Nissan sepenuhnya. Kami juga kekal komited untuk menawarkan produk yang berkualiti, bernilai untuk wang dan servis selepas jualan terbaik bagi memenuhi permintaan serta ekspektasi pelanggan.”

Pusat 3S Kuching ETCM baharu terletak di hab automotif bandar Kuching yang strategik. Ia dibina di atas sebidang tanah seluas 1.58 ekar dengan jumlah kawasan binaan mencecah 42,000 kaki persegi.

Susun atur Pusat 3S yang baru direka bentuk ini nyata segar dan moden. Ia melibatkan sebuah bilik pameran yang mampu mempamerkan sehingga lapan buah kenderaan Nissan pada satu-satu masa. Untuk kemudahan serta keselesaan pelanggan, kelengkapan yang disediakan termasuklah sebuah lounge dan ‘coffee bar’ dengan ketersambungan WiFi. Sudut Kanak-kanak untuk pelanggan yang membawa anak masing-masing juga disediakan. Sebagi tambahan, bengkel yang memiliki 23 ruang servis boleh menyelenggara sehingga 130 buah kenderaan sehari. Di pusat sehenti ini, para pelanggan boleh memandu uji dan membeli model-model baharu Nissan. Ia juga membolehkan kenderaan diservis dan mendapatkan alat ganti untuk kereta Nissan mereka.

“Pada tahun 2013, ETCM telah menjual kira-kira 5,000 unit kenderaan Nissan di Malaysia Timur. Lebih separuh daripadanya datang dari Sarawak dengan pertumbuhan lebih 20% berbanding tahun 2012. Ketika rangkaian produk kami terus berkembang dan bertambah baik, adalah penting bagi kami mengukuhkan sokongan selepas jualan untuk para pelanggan,” tambah Dato’ David.

Sehingga kini, ETCM telah memiliki satu rangkaian 106 bilik pameran yang ekstensif termasuk para pengedar serta 59 bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara. Pusat 3S ETCM dijangka dibuka pada tahun 2014, termasuklah satu pusat di Tawau, Sabah dan Glenmarie, Shah Alam. ETCM mensasarkan untuk memiliki 18 pusat 3S di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2014.

ETCM percaya bahawa hubungan jangka masa panjang dengan pelanggan terjalin sebaik sahaja pembelian dibuat. Justeru, amat penting bagi ETCM membina hubungan ini dengan menawarkan servis yang terbaik secara konsisten pada kualiti tertinggi. ETCM terus menjadikan Kepuasan Pelanggan sebagai keutamaan No. 1 demi memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.

Silakan kongsi:

KEMPEN KESELAMATAN NISSAN 2014 ANJURAN EDARAN TAN CHONG MOTOR DITERUSKAN KE MALAYSIA TIMUR

Nissan owners were given the chance to demonstrate on using the pepper s...

Berikutan kejayaan pelancaran Kempen Keselamatan Nissan 2014 di Semenanjung Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) kini mengembangkan kempen tersebut ke Malaysia Timur. Ia bermatlamat meningkatkan kesedaran serta kemahiran keselamatan jalan raya yang penting di Sabah dan Sarawak.

Sejak dilancarkan pada 26 April 2014, ETCM telah menganjurkan Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan dan Bengkel Keselamatan Kanak-kanak di Legoland Malaysia Resort di Johor Bahru (wilayah Selatan), bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan diadakan juga di Pulau Pinang (wilayah Utara), Petaling Jaya (wilayah Tengah) dan Kuantan (wilayah Timur). Sehingga kini, setiap acara itu mendapat maklum balas memberangsangkan dengan jumlah kehadiran keseluruhan mencecah 700 orang peserta.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ David Chen berkata, “Kami di ETCM berbesar hati untuk membawakan sekali lagi Kempen Keselamatan Nissan. Kami berharap dapat berkongsi mesej-mesej keselamatan jalan raya yang penting kepada pengguna jalan raya di Malaysia. Ia pasti memberi manfaat agar kita kekal selamat di atas jalan raya. Selepas menganjurkan empat acara di Semenanjung Malaysia, Kempen Keselamatan Nissan kini menuju ke Malaysia Timur pula. Selaku sebuah syarikat yang fokus kepada pelanggan, ETCM mahu membawakan kempen keselamatan ini kepada seramai mungkin pemilik kenderaan Nissan. Pada penghujung kempen ini, kami ingin menarik sekurang-kurangnya 1,000 orang peserta sepanjang tempoh tersebut.”

Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan yang dianjurkan oleh ETCM dan dijalankan oleh Pengasas Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, Kapten K. Balasupramaniam menyediakan tip-tip serta nasihat berguna berkaitan keselamatan jalan raya. Ia memberi fokus dalam mendidik para peserta mengenai bagaimana untuk menangani situasi-situasi yang boleh mengancam nyawa, berdasarkan kepada insiden sebenar kemalangan jalan raya supaya para pemandu lebih bersedia.

Tarikh dan lokasi bengkel-bengkel Kempen Keselamatan Nissan 2014 di Malaysia Timur adalah seperti berikut:

untitled

Silakan kongsi:

ETCM MELANCARKAN NISSAN TEANA 2014 – DARI RM139,800

Nissan Teana 2014.01

Kuala Lumpur, 3 JUN 2014 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini melancarkan Nissan Teana serba baharu yang amat ditunggu-tunggu. Dikilangkan di Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), Serendah Malaysia, Nissan Teana serba baharu generasi ketiga menawarkan para pelanggan di Malaysia dengan penampilan yang lebih berprestij. Ia diserlahkan menerusi gayaan hadapan agresif, reka bentuk gril baharu yang kemas dan lampu utama dengan lensa projektor. Ia sememangnya sebuah sedan yang hadir bersama ciri pintar dan kontemporari, lari daripada reka bentuk sedan konvensional untuk segmen D.

Mencatat kejayaan di peringkat global, Nissan Teana serba baharu telah terjual sebanyak 600,000 unit di seluruh dunia sejak ia dilancarkan di pasaran China pada Februari 2013 (dikenali dengan nama lain di pasaran berbeza).

Pada majlis pelancaran, Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Dato’ David Chen berkata: “ETCM berbesar hati untuk memperkenalkan Nissan Teana serba baharu generasi ketiga kepada pengguna di Malaysia. Sedan terbaharu dalam segmen D ini merupakan model utama kami. Tagline Teana serba baharu iaitu “Drive to Greatness” membuktikan prestasi pemanduan, kemewahan dan keselesaan terbaik untuk semua pelanggan kami yang bijak menilai serta golongan usahawan muda. Setiap inci dan perincian Nissan Teana serba baharu telah dihasilkan dengan teliti untuk mereka yang menghargai perkara lebih baik dalam hidup. Kami percaya bahawa gayaan yang kemas, inovasi termaju dan kemewahan Nissan Teana serba baharu akan menawarkan pemanduan yang luar biasa!”.

Nissan Teana 2014.14

Perubahan utama pada Nissan Teana serba baharu ialah enjin QR25DE yang baru dibangunkan bersama penambahbaikan ketara pada julat tork yang rendah dan sederhana. Kebuk pembakaran yang telah dipertingkatkan dan kecekapan emisi juga membuatkan prestasi pemanduan varian 2.5XV lebih lancar dan ekonomikal. Enjin penuh kuasa ini didatangkan bersama sistem CVTC Berkembar (Twin Continuously Variable-valve Timing Control) Nissan.

Teana 2.5XV hadir dengan kuasa maksimum 173hp dan tork lebih tinggi iaitu 234Nm jika dibandingkan dengan model terdahulu (228Nm). Nissan mengekalkan penggunaan enjin MR20DE yang telah terbukti pada varian 2.0XL dan 2.0XE. Enjin empat silinder, 16 injap bersesaran 1,997cc itu menawarkan kuasa maksimum 136hp dan tork 190Nm.

Kesemua tiga varian itu dibekalkan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi seterusnya yang menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan, berkuasa dan pecutan yang tepat terutama ketika hendak memotong kenderaan lain di lebuh raya. Ia juga tahan lasak berbanding transmisi automatik konvensional. 70% komponen XTRONIC CVT telah direka semula untuk mengurangkan tahap geseran dalaman dan menjadikannya lebih kompak. Berdasarkan kepada data ujian dalaman Nissan, Nissan Teana 2.0 liter baharu boleh mencapai jarak 13.5km/l manakala Teana 2.5 liter pula boleh bergerak sejauh 13.3km /l.

Nissan Teana 2014.17

Suspensi belakang Multi-link dan sistem Stereng Kuasa Elektro-Hidraulik (Electro-Hydraulic Power Steering, EHPS) telah digabungkan untuk menawarkan pemanduan yang lancar, selain lebih stabil dan mencengkam di atas jalan raya. Keseimbangan di antara stereng responsif dan pengendalian yang selesa membantu menawarkan pengalaman pemanduan lebih selamat serta meyakinkan ketika membelok.

Ciri AUC (Active Understeer Control) menggunakan logik kawalan pintar dan penggerak brek bermaklum balas tinggi untuk mengaktifkan brek pada bahagian dalam roda hadapan ketika mengambil selekoh tajam. Teknologi inovatif yang turut berfungsi ialah VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System). Ia membantu pemandu meningkatkan kawalan, selain menyediakan belokan yang selamat serta lancar di atas jalan yang licin, basah atau berpasir.
Rekaan luarannya cukup elegan dan menarik. Penampilan baharu yang lebih aerodinamik menyerlahkan rasa sebuah sedan yang premium dan berkualiti. Garis karekter yang beralun dan tajam dari arah hadapan ke belakang mencetuskan aliran momentum dan mengurangkan daya pekali seretan. Gril hadapan diletak dengan kemas di antara lampu utama jenis projektor yang menghasilkan gayaan berani dan sofistikated pada bahagian hadapan. Varian 2.5XV dilengkapi bumbung suria yang menawarkan pandangan dan cahaya semula jadi ke dalam kabin.

Melihat dengan lebih dekat ruang dalaman Nissan Teana serba baharu, anda pasti kagum dengan kemasan berwarna perak serta tempat duduk dibalut kulit yang lembut dan berkualiti tinggi. Kabin ini sememangnya luas dan selesa. Reka bentuk tempat duduk hadapan dioptimumkan untuk rasa lebih luas berbanding saiz sebenarnya. Terdapat penambahbaikan yang ketara pada ruang kaki penumpang belakang berbanding model sebelum ini.

Nissan Teana 2014.12

Nissan Teana serba baharu hadir bersama kapasiti ruang kargo sebanyak 516 liter. Tempat duduk yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 menggantikan reka bentuk yang ada pada generasi terdahulu bagi membolehkan barangan besar dapat disimpan dengan lebih mudah.

Sama seperti menaiki kelas pertama penerbangan, Nissan Teana serba baharu dilengkapi Reka Bentuk Tempat Duduk “Berinspirasikan kepada Sifar Graviti” yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang belakang, selain menambah baik aliran darah. Ia membantu mengurangkan keletihan jika memandu dalam tempoh yang lama. Pada masa sama memastikan pengalaman pemanduan yang selesa sepanjang perjalanan yang jauh.

Bunyi bising di dalam ruang kabin Nissan Teana serba baharu telah dikurangkan secara signifikan. Terima kasih kepada penggunaan material yang menyerap bunyi bising, meredam getaran dan kekasaran (NVH). Bukan itu sahaja, varian 2.5XV dilengkapi Sistem Audio Premium BOSE dengan 9 unit pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi keliling mengagumkan.

Paparan ADAD (Advanced Drive Assist Display) bersaiz empat inci dengan warna grafik 3D diletakkan di hadapan pemandu agar mudah dilihat. Manakala butang kawalan audio dan sistem kawalan jelajah (cruise control) diletakkan pada stereng agar mudah dioperasi. Untuk lebih mudah dan selesa, Nissan Teana serba baharu dilengkapi Kawalan Suhu Automatik Dua Zon dengan corong pendingin hawa di belakang, Kunci Pintar (sistem kemasukan tanpa kunci) dan butang penghidup enjin.

Nissan Teana serba baharu menawarkan satu rangkaian ciri keselamatan inovatif yang mengutamakan aspek keselamatan pemandu dan penumpang. Ia dilengkapi enam beg udara SRS di seluruh kabin untuk melindungi mereka yang tersayang. VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System) bersama beberapa sistem kawalan keselamatan seperti AUC (Active Understeer Control), ABS (Anti-locking Braking System), EBD (Electronic Brakeforce Distribution) dan BA (Brake Assist System) yang membantu pemandu supaya terus dapat mengawal kenderaan dan mengelak halangan dalam situasi cemas. Ciri-ciri termaju ini meningkatkan kestabilan kenderaan dan mengelakkan gelinciran di atas jalan yang licin. Sementara HSA (Hill Start Assist) pula mengelakkan kereta daripada mengundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.

Nissan Teana 2014.08

Lampu utama jenis Xenon dengan Pengaras Automatik dan Pembersih (hanya ada pada varian 2.5XV), mampu meningkatkan pandangan pada waktu malam. Lampu utama itu hadir dengan Sistem Lampu Automatik Termaju yang akan menyala secara automatik ketika hujan (atau kondisi gelap) apabila penggilap cermin hadapan dioperasikan secara berterusan.

Ciri-ciri keselamatan yang lain termasuklah Lampu Brek Ketiga LED yang diletakkan pada posisi tinggi, poin tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, tali pinggang keledar hadapan dengan pengehad beban dan pra-regangan, Emergency Locking Restraint (ELR) 3 poin, penggilap cermin hadapan boleh ubah kelajuannya, binaan badan kukuh serta binaan hadapan kenderaan untuk perlindungan pejalan kaki.

Nissan Teana serba baharu boleh didapati dalam tiga varian: 2.5XV, 2.0XL and 2.0XE. Lima warna disediakan termasuklah satu warna baharu iaitu biru (Storm Blue), selain warna perak (Tungsten Silver), hitam (Diamond Black), emas (Bronze Gold) dan putih (Brilliant White).

Harga Nissan Teana serba baharu di atas jalan ialah RM169,900 untuk varian 2.5XV, RM149,800 bagi model 2.0XL dan RM139,800 untuk 2.0XE. Semua varian ini hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu.

Silakan kongsi:

Honda Automobile (Thai) Melancarkan Honda Jazz 2014 – Dari RM 54,766 Untuk Versi Manual!

Honda Jazz 2014.03

Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd. telah melancarkan Honda Jazz serba baharu susulan pelancarannya di Jepun pada September 2013. Honda Jazz 2014 yang berkongsi platform dan peralatan dengan Honda City 2014 telah dibangunkan dan direkabentuk dengan gaya sporty dari depan hinggalah ke belakang di samping ruang interior yang luas dan selesa. Seperti biasa, Jazz mengekalkan Ultra Seat yang praktikal di mana kerusi itu boleh dilipat untuk lebih ruang kargo.

Honda Jazz 2014 dikuasakan oleh enjin yang sama seperti Honda City iaitu 1.5 liter i-VTEC berkuasa 117 hp dan untuk pasaran Thailand berupaya untuk menerima bahan api E85. Enjin itu dipadankan dengan transmisi CVT yang dibangunkan di bawah teknologi Earth Dreams. Kereta kompak itu turut dilengkapkan dengan sistem Eco Assist untuk lebih penjimatan minyak. Dua warna baharu ditawarkan iaitu Kuning Mutiara dan Brilliant Sporty Blue Metallic.

Honda Jazz baharu dijual dengan harga permulaan THB 555,000 (RM 54,766) untuk spesifikasi asas (manual) hingga THB 754,000 (RM 74,400) untuk versi paling tinggi. Honda mensasarkan jualan sebanyak 20 ribu Jazz dalam masa setahun. Jualan terkumpul Honda Jazz untuk dua generasi di Thailand adalah sebanyak 205 ribu unit sejak 2003 dan sebanyak 5.2 juta unit di seluruh dunia.

Susulan pelancaran di Thailand, Honda Malaysia dijangka melancarkan Honda Jazz 2014 selewat-selewatnya pada suku terakhir tahun ini.

Silakan kongsi:

Tun Dr. Mahathir Mohamad Kini Pengerusi Proton Holdings dan Group Lotus

Tun Dr. Mahathir 2014.01

Proton Holdings Berhad baru-baru ini telah melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya bermula 16 Mei 2014. Tun Dr. Mahathir juga dilantik sebagai Pengerusi anak syarikat Proton iaitu Group Lotus plc.

Tun Dr. Mahathir telah menjadi Penasihat Proton sejak akhir 2003 selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat. Visi beliau bukan sahaja untuk melihat impian kereta nasional menjadi nyata bahkan membangunkan ekonomi negara terutama sekali di dalam mendapatkan pengetahuan dan teknologi pembuatan untuk rakyat Malaysia.

Sebagai mantan Perdana Menteri, beliau memainkan peranan penting di dalam kemajuan industri automotif Malaysia di mana lahirnya Proton pada tahun 1983. Proton sejak itu telah menggalas tugas bagi mencambah ekosistem industri automotif tempatan di mana jurutera Proton sendiri kini dilengkapi dengan kemahiran untuk membina kereta tempatan dari sifar.

Dengan pelantikan itu, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Khamil Jamil akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Proton dan beliau akan kekal sebagai ahli lembaga pengarah Proton Holdings Berhad.

Silakan kongsi:

ETCM Memperkenalkan Nissan Elgrand 2014 – RM 388,000

Nissan Elgrand 2014.04

KUALA LUMPUR (21 Mei 2014) – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini memperkenalkan model import sepenuhnya, Nissan ELGRAND baharu. MPV premium 7 tempat duduk itu memiliki penampilan mengagumkan dan ciri baharu yang menyerlahkan rasa kemewahan sebenar.

Ketika memperkenalkan MPV baharu itu, Pengarah Pemasasan dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Kami di ETCM berbesar hati untuk menawarkan pengguna Malaysia dengan satu lagi MPV yang penuh dengan kemewahan. Sama ada untuk tujuan bersantai dan perniagaan, Nissan ELGRAND baharu memang sesuai kerana ia menawarkan keindahan, pengiktirafan dan ciri-ciri yang di luar jangkaan.”

Gayaan luaran Nissan ELGRAND baharu mempunyai penampilan yang mantap dan tegap bersama gril hadapan disalut krom penuh gaya serta disempurnakan lagi dengan rim aluminum aloi multi-jejari baharu bersaiz 18 inci. Dengan lampu utama jenis LED projektor baharu dengan sistem lampu hadapan aktif adaptif (Active Adaptive Front-Lighting System), pandangan pada waktu malam dipertingkatkan.

Nissan Elgrand 2014.02

Setiap ciri dalaman Nissan ELGRAND baharu memiliki sentuhan mewah bermula daripada Paparan Multi-Informasi (MID) dan Kawalan Jelajah Automatik. Meter Fine Vision dengan Paparan Bantuan Pemanduan bersaiz 5 inci diletakkan di antara meter kelajuan dan takometer, menawarkan pemandu maklumat penting dengan hanya satu satu sentuhan.

Nikmati keselesaan Nissan ELGRAND baharu dengan kabin lebih luas yang telah ditambah baik. Ia menampilkan tempat duduk berasingan jenis kapten dengan Ottoman dan sokongan pada bahu yang boleh dilaras. MPV premium 7 tempat duduk itu turut menampilkan tempat duduk kuasa yang boleh dilaras sehingga 8 cara, sekali gus menawarkan versatiliti terbaik dan selesa bersama ruang kaki yang cukup luas. Untuk menambah ruang kargo, tempat duduk baris ketiga boleh digerakkan ke hadapan sehingga 240mm, biarpun ketika digunakan, memberikan ruang luas untuk meletak barang.

Nissan ELGRAND baharu menampilkan ruang dalaman mewah berwarna hitam dengan kombinasi kemasan kayu. Tempat duduk yang dibalut kulit itu hadir dengan corak berbentuk berlian dan jahitan berkembar berwarna coklat bagi meningkatkan lagi kemewahan Nissan ELGRAND baharu.

Nissan ELGRAND baharu dilengkapi enjin 3.5 liter dan transmisi automatik. Ia didatangkan dalam empat lilihan warna – Imperial Umber serba baharu, Putih Mutiara (Brilliant White Pearl), Perak (Brilliant Silver) dan Hitam (Phantom Black). MPV ini ditawarkan pada harga di atas jalan RM 388,000 (tidak termasuk insurans), bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mena-mana tiba dahulu). Tempahan kini diterima di mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Klik untuk pandu uji Nissan Elgrand 2012 >>

Silakan kongsi:

NISSAN TEANA 2014 KINI DIBUKA UNTUK PREBIU

Nissan Teana 2014.01

Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) kini sudah mula menerima tempahan untuk Nissan TEANA serba baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia.

Bagi Nissan TEANA serba baharu generasi ketiga ini, setiap inci dan perincian kereta ini telah dihasilkan dengan teliti untuk mereka yang menghargai perkara lebih baik dalam hidup. Rekaan yang bergaya dan kemas, inovasi termaju serta kemewahan telah digabungkan dengan sempurna demi menawarkan pemanduan luar biasa yang mewujudkan “Drive to Greatness” (Memacu ke Arah Kehebatan) – selari dengan tagline Nissan TEANA serba baharu.

Nissan TEANA serba baharu menyerlahkan penampilan premium dan berkualiti tinggi. Ia hadir dalam tiga varian: 2.5XV, 2.0XL dan 2.0XE. Penampilan keseluruhanNissan TEANA serba baharu telah dipertingkatkan, terima kasih kepada garis karekter tajam yang bermula dari bahagian hadapan hingga ke belakang yang mencetuskan aliran momentum. Gril hadapan yang menyerlah pula diletakkan di antara lampu utama yang sedikit condong. Profail kereta yang kemas adalah hasil daripada aspek aerodinamik yang telah ditambah baik.

Saya percaya Nissan TEANA serba baharu yang memiliki penampilan sedan premium dan berkualiti akan menarik minat para pelanggan, terutama golongan usahawan muda dan berjaya. Menawarkan gabungan gaya, prestasi dan nilai yang seimbang, ia akan terus menjadi salah satu sedan eksekutif paling popular di Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Dato’ David Chen.

Nissan Teana 2014.35

Dikuasakan oleh enjin QR25DE yang baru dibangunkan, kuasa tork pada julat rendah dan sederhananya telah ditambah baik dengan kebuk pembakaran serta emisi lebih efisien. Enjin penuh kuasa ini dilengkapi Twin C-VTC (Twin Continuously Variable-valve Timing Control) untuk dipadankan dengan pelbagai kondisi enjin. Pada masa yang sama mengoptimumkan penjimatan bahan api, menawarkan pengalaman pemanduan lancar dan lincah di bandar, serta pecutan yang berkuasa dan mudah untuk memotong kenderaan lain di lebuh raya.

Sama seperti tempat duduk pesawat kelas pertama, Nissan TEANA serba baharu hadir bersama Reka Bentuk Tempat Duduk “Diinspirasikan kepada Graviti Sifar” yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang belakang serta memperbaiki aliran darah. Sekali gus mengurangkan kepenatan jika memandu dalam tempoh yang lama dan memastikan pengalaman pemanduan yang selesa. Bunyi bising di dalam kabin Nissan TEANA serba baharu juga telah dikurangkan secara signifikan.

Untuk meningkatkan pengalaman premium Nissan TEANA serba baharu, ia dilengkapi Sistem Audio Premium BOSE dengan sembilan pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi keliling yang mengagumkan.

Menyentuh tentang aspek keselamatan, Nissan TEANA serba baharu didatangkan dengan rangkaian ciri kemudahan dan keselamatan yang inovatif. Ini termasuklah 6 beg udara SRS, Hill Start Assist (HSA), Active Understeer Control (AUC), Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD) dengan Brake Assist (BA), Vehicle Dynamic Control (VDC) dan Traction Control System (TCS).

Nissan TEANA serba baharu dipasang di Malaysia di Kilang Serendah milik ETCM yang dilengkapi dengan beberapa teknologi pengilangan termaju.

Nissan TEANA serba baharu hadir dalam lima warna; biru (Storm Blue), perak (Tungsten Silver), hitam (Diamond Black), emas (Bronze Gold) dan putih (Brilliant White).

Silakan kongsi:

Honda Malaysia Melancarkan Kah Motor Selayang – Pusat 3S Terbesar Honda

Pic 1 - The New Kah Motor Selayang

Selayang, 12 Mei 2014 – Honda Malaysia Sdn Bhd pada hari ini secara rasminya membuka pusat pengedar baharu di Selayang dan juga melancarkan Identiti Korporat (CI) yang baharu untuk pengedar di seluruh Malaysia. Kah Motor Selayang adalah pengedar pertama yang menggunakan identiti tersebut yang menawarkan perkhidmatan premium kepada pelanggan.

Pelanggan adalah fokus utama di dalam pengenalan CI baharu Honda. Kemudahan, keselesaan dan pengalaman pelanggan adalah kunci utama dan Honda Malaysia berharap untuk memperolehi kepuasan pelanggan di dalam setiap aspek melalui fasiliti yang cemerlang, peningkatan produktiviti dan rekaan moden.

Rekaan baharu pusat pengedaran Honda melibatkan tiga bahagian utama iaitu wajah depan dan luaran, interior dan ruang servis. Terdapat beberapa kemudahan yang boleh dinikmati pelanggan seperti ruang rehat, sudut kanak-kanak dan bilik penyusuan dan ruang kerja eksekutif.

Kah Motor merupakan jenama yang tidak asing lagi dengan Honda sejak 60an lagi dan pusat baharu di Selayang adalah seluas 157,000 meter persegi di mana sebanyak RM30 juta dilaburkan untuk pusat 3S ini termasuk pembelian tanah, bangunan, fasiliti dan peralatan. Pusat terbaru itu mempunyai 28 ruang servis dan boleh menyelenggara 140 kereta sehari dan ini termasuk servis pantas dan tayar.

Honda Malaysia mensasarkan untuk membuka 90 pengedar sehingga tahun 2015. Sehingga kini, terdapat 75 pengedar Honda di Malaysia di mana 71 daripadanya adalah pusat 3S dan 4 pusat 1S.

Silakan kongsi: