Pandu Uji Volvo XC60: Selamat, Bergaya dan Mewah!

Jika ditanya kebanyakan penggemar kereta mengenai Volvo, saya yakin jawapan mereka ialah sebuah jenama kereta yang selamat. Penjenamaan tersebut memang melekat di dalam minda dan ianya bukan hanya setakat pelaris jualan sahaja. Inovasi keselamatan Volvo bermula sejak berpuluh tahun dahulu yang di antaranya ialah cermin hadapan berlamina, talipinggang keledar 3 poin, zon remuk bahagian depan dan belakang kereta dan paling baharu sekali ialah beg udara untuk pejalan kaki yang dipasangkan pada bahagian luar cermin hadapan. Dengan inovasi tersebut, boleh dikatakan Volvo bukan sahaja mementingkan keselamatan nyawa pemandu dan penumpang bahkan nyawa mereka yang berada di luar kereta. Ini merupakan inovasi besar dalam sejarah keselamatan kenderaan dan diyakini langkah tersebut bakal menjadi turutan pesaing seperti inovasi lain yang telah dicetuskan oleh Volvo. Harus tahu, Volvo tidak mempatenkan ciptaan talipinggang keledar 3 poin supaya kemudahan tersebut dapat dinikmati semua.

Baru-baru ini saya berpeluang memandu uji Volvo XC60 T5 yang merupakan anggota famili siri XC selepas model XC90. XC60 T5 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi Powershift enam kelajuan. Ekstrak kuasa daripada enjin tersebut ialah 240hp dengan 320Nm. Sewaktu mengambil model ini daripada wakil Volvo, saya dimaklumkan bahawa XC60 adalah model tempatan terlaris jenama dari Sweden itu. Di peringkat global pula, katanya XC60 turut menjadi model terlaris sejak tahun 2009. Jualan pada tahun 2011 ialah sebanyak 97,183 unit. Tidak hairan kenapa XC60 begitu laris, sebab utamanya ialah rekabentuk yang beremosi dan menangkap mata. Walaupun rekabentuknya kelihatan lari daripada kebiasaan Volvo hakikatnya apa yang dibuat oleh perekanya ialah dengan mengevolusikan bahasa rekaan sedia ada. Identiti Volvo masih dikekalkan seperti bahu sisi dan rekaan lampu belakang yang diteruskan hingga ke model V40 baharu. Cuma beza ketara di antara bahasa rekaan lama dan baharu ialah lenggokan yang keras kini dilembutkan dan nampak lebih fluid dan seksi. Selain daripada ciri-ciri tersebut, XC60 mempunyai nyalaan lampu belakang yang cantik. Tidak seperti lampu belakang kenderaan lain yang hanya menyala pada satu atau dua kelompok, nyalaan lampu belakang XC60 lebih menarik dengan jaluran dari atas ke bawah yang membentuk satu garisan.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

NISSAN ALMERA TALAAN IMPUL KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

KUALA LUMPUR (15 Oktober 2012) – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dengan bangganya mengumumkan bahawa Nissan ALMERA yang bakal dilancarkan tidak lama lagi turut hadir bersama penampilan lebih dinamik, signifikan dan tanda individu menerusi alat ganti sports IMPUL. Bagi menjadikan jentera itu lebih personal, para pelanggan boleh memilih Aksesori Pilihan ALMERA yang ditawarkan untuk varian Nissan ALMERA Talaan IMPUL dan Nissan Almera standard.

Sporty elegan merupakan lambang penting kepada Nissan ALMERA Talaan IMPUL. Ia menampilkan komponen-komponen eksklusif yang telah direka khas untuk memenuhi citarasa peminat kereta di Malaysia. Tempahan bermula pada 15 Oktober 2012.

“ALMERA serba baharu ialah kereta yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Ini termasuklah mereka yang mahukan elemen lebih sporty kepada kereta yang dipandu atau dimilikinya. Kami berbesar hati kerana mampu menawarkan pilihan itu menerusi Nissan ALMERA Talaan IMPUL kepada pasaran tempatan,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng.

Dato’ Dr. Ang juga menyatakan bahawa varian IMPUL semakin popular di pasaran tempatan, terutama dalam kalangan pemandu muda kerana IMPUL terkenal dengan komponennya yang eksklusif ke atas jentera-jentera Nissan.

Nissan ALMERA Talaan IMPUL

Peredam Ekzos IMPUL Blast 2

Bunyi yang sedap dan mengagumkan dikeluarkan daripada peredam ekzos sports IMPUL. Bahagian belakang peredam yang diperbuat daripada besi tahan karat ini ditempa dengan logo IMPUL. Ia juga diintegrasikan dengan bahagian belakang dengan sempurna.

Rim Aloi IMPUL HS-06 (16”)

Merupakan penambahan terbaharu dengan warna perak dan hitam bersama kemasan matte. Rim aloi 16 ‘’ ini menambah penekanan dinamik kepada kenderaan. Material aloi dan proses Super Cast yang digunakan oleh IMPUL mengurangkan berat rim sehingga 20% – 30%, sekali gus meningkatkan prestasi pemanduan tanpa berkompromi dengan aspek kualiti dan keselamatan.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Kia Sorento Baharu: Sama Tetapi Berbeza!

Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, SUV popular Kia iaitu Sorento telah disemak semula. Bukan ubah sana sikit, sini sikit dan kemudian diwar-warkan sebagai facelift tetapi Kia langsung menukar platform yang digunakan pada SUV tersebut. Perubahan yang dilakukan daripada belakang sampai depan dan dari atas ke bawah yang hasil akhirnya menambah baik ciri-ciri keselamatan, keselesaan, kemewahan dan kedinamikan pemanduan. Perubahan tersebut juga menjadikan Sorento lebih jimat minyak, kurang emisi dan paling penting kos pemilikan yang lebih rendah. Kesemua varian Sorento kini menggunakan sistem pacuan semua roda kekal dan dikuasakan oleh enjin Kia 2.2 liter CRDi turbodiesel yang turut disemak semula.

Seperti yang dikongsi di atas, Sorento menggunakan platform serba baharu dengan kerangka badan yang lebih tegar dengan penambahan struktur pada bahagian depan, sisi dan belakang untuk mengalihkan tenaga impak sewaktu pelanggaran. Ketegaran torsi (torsional rigidity) juga telah ditingkatkan kepada 18 peratus berbanding model sebelum ini yang diperoleh melalui penggunaan 25% besi ultra high strength pada struktur kenderaan. Paling menarik Sorento lama telah pun mencapai rekod 5 bintang Euro-NCAP dan pastinya tiada masalah untuk Sorento baharu walaupun standard ujiannya telah ditingkatkan. Dari segi saiz, panjang dan lebar Sorento tidak berubah kecuali tingginya yang kurang 10mm berbanding model lama. Pengurangan tersebut menjadikan titik gravitinya lebih rendah dan mudah untuk akses keluar masuk barang-barang.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Kia cee’d Sportswagon: Wagon Ada Gaya!

Hanya selepas tiga bulan Kia melancarkan cee’d hatchback, famili cee’d disertai oleh varian baharu iaitu cee’d Sportswagon. Menggantikan model cee’d SW, nama yang dipilih dikatakan menyempurnai karakter baharu model itu yang sukakan cabaran, sporty, moden dan menggunakan teknologi moden dengan lebih ciri-ciri praktikal dan bernilai.

cee’d Sportswagon dipertontonkan kepada umum bersama-sama dengan model hatchback pada Pameran Kenderaan Geneva 2012 yang sepadan dengan gayaan, kualiti, teknologi, peralatan dan keselamatan. Seperti model yang digantikannya, cee’d Sportswagon direkabentuk dan dijuruterakan di studio rekaan dan pusat teknikal Kia di Frankfurt, Jerman dengan kilang produksinya di Žilina di Slovakia.

Model aras kemasukan (entry-level) menggunakan enjin 1.4 CRDi berkuasa 89bhp dengan tork 220Nm bermula dari 1500rpm. Model 1.6 CRDi pula berkuasa 126bhp dengan tork 260Nm yang bermula dari 1900rpm. Transmisi automatik yang dipadankan mempunyai enam kelajuan manakala model transmisi manual pula dipasangkan sistem Intelligent Stop & Go (ISG) yang menjimatkan bahan api serta kurang emisi.

Praktikal

cee’d Sportswagon bukan hanya menjual stail sahaja tetapi juga praktikal. Dengan ukuran panjang 4.5 meter, model itu lebih kompak jika dibandingkan dengan pesaing Eropah lain dan hanya 15mm lebih panjang berbanding cee’d SW yang digantikannya. Kapasiti ruang bagasi turut lebih besar berbanding majoriti pesaing iaitu 528 liter dengan penutup ruang bagasi dan meningkat kepada 1642 liter maksimum jika kerusi belakang dibaringkan. Setiap varian cee’d Sportswagon mempunyai ruang penyimpanan bawah lantai dan sisi, penutup bagasi, lampu bonet dan soket kuasa 12 volt.

Varian dengan spesifikasi tinggi pula didatangkan dengan rel aluminium dan pengikat pada ruang bagasi dan jaring untuk menyimpan barang-barang dan menghalangnya daripada jatuh ke ruang penumpang. Rel bumbung pula standard untuk setiap model untuk penyimpanan barangan di luar kenderaan. Wagon itu mampu menampung muatan sebanyak 500kg dan model manual boleh menunda dengan berat 1500kg.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Honda 4S Kini di Petaling Jaya

Sebuah pengedar Honda dengan kemudahan 3S yang ditubuhkan pada 2002 dan sebelum ini terletak di Jalan 222, Petaling Jaya iaitu Tenaga Setia Resources Sdn. Bhd. (Tenaga Setia Resources) telah menaik taraf fasilitinya kepada pusat 4S.

Pusat 4S Honda itu menawarkan perkhidmatan jualan, servis, alat ganti dan semburan cat di bawah satu bumbung. Tenaga Setia Resources telah melabur sebanyak RM28.5 juta untuk proses naik taraf tersebut.

“Proses naik taraf dan pengembangan pusat 4S Honda ini benar-benar menjadikannya satu pusat sehenti. Kami ingin memberikan perkhidmatan dan produk berkualiti kepada para pelanggan. Kami juga mahu memastikan para pelanggan gembira, selesa dan berpuas hati setiap kali datang ke sini,” jelas Pengarah Urusan Tenaga Setia Resources. Yeap Swee Chuan.

 Pusat 4S berkeluasan 115,853 kaki persegi itu mempunyai 26 ruang baik pulih kenderaan. Ia mampu menyelenggara sehingga 120 buah kenderaan sehari bergantung kepada baik pulih yang diperlukan.

Majlis pembukaan dirasmikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno. Dalam ucapan alu-aluannya, Ueno memuji komitmen Tenaga Setia Resources untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan Honda.

 

Untuk makluman, Selangor dan Kuala Lumpur merupakan pasaran terbesar buat Honda dengan mencatat 50 peratus daripada jualan keseluruhannya.

“Honda Malaysia sentiasa mencari peluang untuk menambah bilangan pusat 4S di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk mencapai Kesetiaan Pemilikan Sepanjang Hayat atau Lifetime Ownership Loyalty (LOL) dalam kalangan pemilik kenderaan Honda dengan cara menyediakan perkhidmatan pelanggan yang terbaik dan konsisten,” kata Ueno.

Buat masa sekarang, terdapat 61 pengedar Honda di seluruh negara. 56 daripadanya beroperasi sebagai pusat 3S dan lima telah dinaik taraf kepada pusat 4S.

 

Untuk membuat temu janji, sila hubungi Tenaga Setia Resources di talian: 03-7784 8311 (Servis) dan 03-7784 8511 (cat). 

 -Syuk-

Silakan kongsi:

Caltex Tawar Kad Debit dan Telefon Pintar

Sempena meraikan Hari Kemerdekaan Hari Malaysia, Caltex  telah bekerjasama dengan radio Era FM,  MY FM dan Hitz.FM untuk memberi  ganjaran kepada para pelanggan  setianya serta pendengar radio.

Peraduan Caltex Spot My Journey  Sticker Contest itu bermula sejak 3  September lalu dan akan berakhir pada 7 Oktober depan.  Ia menjanjikan  keseronokan, permainan dan hadiah  sehingga RM100,000 dalam bentuk  debit Caltex StarCard serta 15 unit  telefon pintar Samsung Galaxy SIII.

Tiada pembelian diperlukan. Untuk  menyertainya, anda hanya perlu  mendapatkan pelekat ‘Make way. I’m on  a JRNY 2 W1N’ (macam kat atas tu) daripada stesen Caltex terdekat dan pasukan peronda radio  terbabit. Pelekat dengan jumlah terhad  akan diberikan setiap hari. Langkah  seterusnya, tampal pelekat tersebut di  tempat yang mudah dilihat.

Pendengar radio boleh meningkatkan  peluang mereka untuk menang dengan  cara mengetahui lokasi pasukan  peronda. Sepuluh buah kenderaan  pertama yang memiliki pelekat  berpeluang menyertai permainan Get  My StarCard untuk merebut hadiah  bernilai RM150, RM100 dan RM50  dalam Caltex StarCard Debit.

 

Pemilihan secara rambang juga  dilakukan di stesen-stesen Caltex pada  hujung minggu. Pemandu yang dipilih  perlu menjawab soalan berkaitan Caltex  dengan betul untuk memenangi Caltex  StarCard Debit bernilai RM500.  Pemenang kemudian boleh menyatakan  interpretasi terbaik mengenai ‘Enjoy My  Journey’ untuk membawa pulang satu  daripada 15 unit telefon pintar Samsung  Galaxy SIII.

“Peraduan ini merupakan satu  peluang unik untuk  kami berinteraksi  dengan pelanggan menerusi pelbagai  saluran. Sama ada di atas jalan, radio,  dalam talian dan di stesen minyak,” kata  Pengerusi Negara, Chevron Malaysia  Limited, Jeremy Oh.

 -Syuk

Silakan kongsi:

GIVI Perkenal Kotak Motor Baharu!

Selain daripada topi keledar dan kunci tambahan, kotak motosikal memang menjadi salah satu aksesori penting. Kalau tak ade box, mana nak letak helmet dan baju hujan dengan selamat. Betul dok?  

Cakap pasal kotak ni, jenama paling popular pastinya GIVI. Jadi, sebagai menambah rangkaian produk sedia ada, GIVI Asia baru-baru ini memperkenalkan dua kotak untuk dipasang di motosikal anda.  

Dikenali sebagai E30RN dan E350RN, kedua-dua kotak itu boleh menampung beban sehingga 3 kilogram. Apa yang membezakannya adalah kapasitinya. Maksudnya, satu kecik dan satu lagi besar sikit.

Selain itu, pembias cahaya (reflector) juga telah dipertingkatkan. Feadahnya benda itu adalah bagi membuatkan pengguna jalan raya yang lain menyedari kehadiran anda.

Kotak E30RN and the E350RN didatangkan dengan jaminan global GIVI selama setahun. Untuk menikmati jaminan itu, GIVI mencadangkan supaya kotak tersebut dipasang menggunakan sistem monorack yang dihasilkan oleh GIVI.

Kalau berminat, kotak-kotak tersebut boleh diperoleh di pengedar GIVI berhampiran anda.  E30RN ditawarkan pada harga RM164 dan E350RN yang lebih besar boleh dimiliki pada harga RM245 seunit.

-Syuk-

Silakan kongsi:

Beli Chery Dapat Kondo

Minggu ini semua orang sibuk cerita pasal Bajet 2013. Macam-macam harapan dinyatakan oleh rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dan makmur.

Antara impian ramai, selain mengharapkan harga kereta diturunkan, perkara yang sering disentuh adalah rumah mampu milik. Memang betul, kalau kita tengok iklan jual rumah, harganya sudah jadi merepek. Jadi, makin ramailah yang tidak mampu beli rumah kalau harganya tidak dikawal.

Jangan sedih dulu. Anda sebenarnya berpeluang memiliki sebuah rumah dengan cara membeli kenderaan jenama Chery. Sebabnya, Chery Automobile (Malaysia) Sdn. Bhd. (Chery Automobile) baru-baru ini melancarkan kempen My Chery, My Condo.

Kempen itu memberi peluang kepada pelanggan baharu Chery untuk memenangi hadiah mewah iaitu sebuah kondominium! Kempen yang berlangsung selama lima bulan itu, bermula 14 September 2012 hingga 15 Februari 2013 memerlukan anda menghasilkan slogan paling kreatif.

50 penyertaan terbaik akan dipilih oleh Chery Automobile sebelum seorang peserta bertuah akan menerima kunci kondominium mewah dua bilik di Lagoon Suites, Kota Kemuning bernilai hampir RM400,000!

Jika hadiah itu masih belum cukup untuk membuatkan anda membeli kereta Chery, banyak lagi hadiah yang ditawarkan. Antaranya adalah:

Hadiah Utama:        Kondominium mewah bernilai RM400,000

Hadiah kedua:         RM5,000 tunai

Hadian ketiga:         RM3,000 tunai

Hadiah ke-4 hingga 19:     baucar petrol RM400 + RM300 baucar Chery  

Hadiah ke-20 hingga 39: baucar petrol RM300 + RM200 baucar Chery  

Hadiah ke-40 hingga 50:  baucar petrol RM200 + RM100 baucar Chery  

So, ada berani?

-Syuk-

Silakan kongsi: