Kereta yang terlampau niche susah nak cari makan, hakikatnya pembuat kereta perlu realistik, kalau Proton buat Gen.2 dan Neo sahaja boleh jadi dah lama syarikat nasional ini bungkus, begitu juga dengan Porsche dan BMW yang masing-masing mengeluarkan SUV. Sekarang ini kecoh pula mengenai projek baharu Lotus, di forum-forum kita boleh baca kononnya Lotus dah lain, tidak asli dan pelbagai lagi kritikan, walaupun yang mengkritik boleh dianggap sebagai peminat sejati tetapi kita jangan sampai sokong membawa rebah. Tambahan pula sudah berbelas tahun Proton menanggung kerugian Lotus.
Tebaharu Ferrari turut tampil dengan model empat penumpang dan ini bukan isu besar kerana mereka pernah mengeluarkan model seperti itu. Namun yang membuatkan Ferrari FF menarik ialah pacuan empat roda, teknologi yang memecah tradisi kereta jenama Itali ini. Nama FF adalah akronim Ferrari Four, empat tempat duduk dan pacuan empat roda dan bentuk badannya dipanggil GT sports car concept. Direka oleh Pininfarina, bentuk dan perkadarannya [proportion] menterjemahkan adunan DNA sporty dengan penggunaan harian.
Sistem pacuan empat roda FF dibangun dan dipatenkan Ferrari [4RM], beratnya 50kg lebih ringan daripada sistem 4WD konvensional dan juga mengekalkan agihan berat yang sempurna iaitu 53 peratus pada gandar belakang. Diintegrasikan dengan electronic dynamic control system, 4RM mengekalkan prestasi kereta dalam pelbagai jenis bentuk jalan dan keadaan melalui sistem agihan tork berterusan dan pintar kepada keempat-empat roda. FF juga dilengkapi dengan sistem suspensi SCM 3 [magnetorheological damping system] dan brek seramik terkini daripada Brembo.
Enjin FF bersesaran 6262 cc suntikan terus dan digabungkan dengan kotak gear transaxle dual-clutch F1 dan kelajuan pecutannya boleh mencapai 0 – 100km/j dalam masa 3.7 saat sahaja. Keupayaan ini memastikan pemandunya menikmati prestasi dalam pelbagai jenis pemanduan seperti di dalam bandar, bersalji dan pastinya di atas trek perlumbaan.
Di dalam dunia komersil sekarang, tradisi ditolak tepi yang penting ada duit nak makan esok dan lusa.
-Mak/d Uia-
Klik untuk spesifikasi dan galeri foto >>