Toyota Rush Dengan Gayaaan Baharu Untuk Tahun 2015

Toyota Rush 2015.03

Toyota Rush telah dilancarkan dipasaran tempatan sejak 2008 dan semenjak itu menjadi sebuah SUV kompak 7 tempat duduk yang popular. Rush digemari kerana fungsinya yang versatil dengan reka bentuk yang rugged. Perubahan terkini Rush menampilkan imej yang lebih sporty di samping mengekalkan elemen moden sedia ada.

Perubahan kosmetik yang dilakukan ialah pada bahagian hadapan seperti bampar, jeriji radiator dan bonet. Kemasan gentian kaca dan dua tona pada bampar menambahkan lagi imej seperti pada SUV itu. Selain dari itu, Rush 1.5S dilengkapi lampu penunjuk LED pada kelongsong lampu utama. Bahagian belakang pula turut dipasangkan lampu dengan kombinasi LED yang disimpan di dalam lensa gelap. Turut digantikan ialah reka bentuk rim 16 inci dengan dua tona yang tampil lebih sporty. Saiz tayar juga kini lebih lebar dari saiz asal 215/60 kepada 235/60 supaya kenderaan lebih stabil dan mencengkam selain dari memperbaiki daya membrek.

Bahagian dalaman pula mengekalkan reka bentuk lama tetapi dengan tema warna gelap baharu. Balutan kerusi pula dirias dengan sulaman merah yang senada dengan tema meter berwarna putih dan merah. Toyota Rush merupakan satu-satunya SUV di dalam kelasnya yang mempunyai tiga baris kerusi di mana kerusi paling belakang boleh dilipat separa atau penuh untuk lebih ruang kargo. Suatu ciri yang penting pada Rush ialah sistem penyaman udara depan dan belakang dengan corong penyaman pada siling untuk penumpang belakang yang didatangkan dengan penghembus berasingan.

Toyota Rush 2015.01

Toyota Rush dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (3SZ-VE) VVT-i dengan output 109ps dan tujahan 141 Nm. Memberi lebih keselesaan ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) yang digerakkan oleh motor elektrik berbanding sistem lama yang menggunakan minyak. Dari segi keselamatan, ketiga-tiga varian Rush dilengkapi dua beg udara dan ekstra untuk Rush 1.5G ialah sistem ABS dengan EBD. Suatu yang manis apabila Rush dibekalkan dengan pam tayar mudah alih.

Berikut ialah harga di atas jalan Toyota Rush untuk semenanjung Malaysia termasuk CBP.

  • Rush 1.5S Automatic – RM103,300
  • Rush 1.5G Automatic – RM 100,300
  • Rush 1.5G Manual – RM98,000

Terdapat lima pilihan warna iaitu Champagne Metallic, Putih, Hitam Metalik, Silver Mica Metallic dan Kelabu Metalik yang merupakan warna baharu. Seperti model UMW Toyota Motor lain, Rush baharu didatangkan dengan jaminan 36,000/100,000km yang mana dahulu.

Silakan kongsi:

ETCM LANCAR KEMPEN KESELAMATAN NISSAN 2015 DI LEGOLAND® MALAYSIA RESORT

Nissan Safety Campaign 2015.01

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini telah melancarkan Kempen Keselamatan Nissan 2015 di LEGOLAND® Malaysia Resort. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosialnya terhadap para pelanggan dan orang awam. Kempen Keselamatan Nissan telah dibangun dan dijalankan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran-kemahiran penting berkaitan keselamatan jalan raya kepada golongan dewasa serta kanak-kanak. Pada tahun ini, kempen tersebut akan memberi fokus kepada mendidik kanak-kanak dan orang dewasa menerusi dua program – Karnival Keselamatan Kanak-kanak ‘Program Keselamatan Pertama Saya dengan Nissan’ dan Pengalaman Pemanduan Selamat.

Menurut Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng, maklum balas yang diterima oleh ETCM terhadap Kempen-kempen Keselamatan sebelum ini amat memberangsangkan. Justeru, ia menjadi motivasi buat ETCM untuk meneruskannya pada tahun ini.

“Memang sangat membanggakan apabila dapat melihat Kempen Keselamatan Nissan menjadi semakin berpengaruh dari tahun ke tahun hasil sokongan padu daripada para pelanggan kami. Tahun ini, fokus kami adalah untuk mendidik generasi muda dengan pengetahuan asas keselamatan menerusi aktiviti-aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan. Lagi pun, mereka adalah harapan masa depan negara.

“Kami harap dapat berkongsi dan menyampaikan mesej-mesej penting berkaitan keselamatan bagi mengelak kemalangan jalan raya serta kebakaran daripada berlaku. Sekali gus memupuk kemahiran ini sejak dari usia muda. Justeru, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan korporat kami, LEGOLAND Malaysia atas sokongan mereka dalam menjayakan Kempen Keselamatan ini,” katanya.

Nissan Safety Campaign 2015.02

Karnival Keselamatan Kanak-kanak 2015 akan dikendalikan oleh Pengasas Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, Kapten K. Balasupramaniam. Untuk tahun 2015, ETCM turut menambah satu inisiatif baharu yang dikenali sebagai ‘Menyelamatkan Diri daripada Kebakaran’. Ia fokus kepada mendidik para peserta bagaimana untuk menangani kebakaran dengan selamat serta kemahiran ikhtiar hidup pada waktu kecemasan. Dalam usaha untuk menjangkau lebih ramai audien, Karnival Keselamatan Kanak-kanak akan diperluaskan ke seluruh negara. Kempen pada tahun ini akan berakhir dengan Program Pemanduan Selamat kepada para pemilik kenderaan Nissan.

Para pemilik kenderaan Nissan yang ingin menyertai program ini boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Pelanggan ETCM di talian +603-4047 8788 atau hantar e-mel ke crd@tanchonggroup.com. Penyertaan adalah berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Silakan kongsi:

HONDA MENGEKALKAN KEDUDUKAN NO. 1 DALAM SEGMEN KENDERAAN BUKAN NASIONAL PADA SUKU PERTAMA 2015

Honda Jazz My 2014.02

Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia atau Syarikat) pada 1 April lalu berkongsi prestasi terkini untuk suku pertama 2015 serta mengumumkan perubahan harga kenderaannya sempena pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Syarikat ini turut mengumumkan strategi bagi tahun 2015 untuk mengukuhkan lagi perniagaannya di Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Yoichiro Ueno berkata, “Untuk tahun 2015, TIV dijangka mencecah 697,000 unit dengan pertumbuhan sebanyak 4.6%. Sasaran jualan pada tahun ini ialah 85,000 unit dan kami melangkah ke tahun 2015 dengan pencapaian yang memberangsangkan. Kami telah berjaya menjual *21,563 unit dalam suku pertama 2015 (pertumbuhan sebanyak 37% berbanding tempoh sama tahun lalu) dengan bulan Mac mencatatkan jualan paling tinggi dalam sejarah dengan *9,000 unit. Dengan angka jualan yang kukuh ini, kami mampu mengekalkan kedudukan No. 1 untuk menerajui Segmen Kenderaan Bukan Nasional.”

Setakat ini, Honda Malaysia telah melancarkan dua model baharu pada tahun ini iaitu CR-V baharu dan HR-V serba baharu. HR-V serba baharu yang amat ditunggu-tunggu itu telah mencatat tempahan lebih 10,000 unit sejak ia dilancarkan dan menyebabkan tempoh menunggu menjadi semakin lama. Syarikat akan memaksimumkan pengeluaran HR-V dalam usaha memendekkan tempoh menunggu. CR-V baharu dan HR-V serba baharu kini menerajui segmen SUV diikuti model City, Jazz, Civic dan Accord yang menjadi peneraju dalam segmen masing-masing untuk bulan Januari serta Februari 2015.

Selain menyediakan produk – produk berkualiti, Honda turut berkongsi matlamat untuk tahun 2015 iaitu mahu menawarkan “Kecemerlangan Sepenuhnya” ke atas produk – produk dan perkhidmatannya dengan pelan utamanya untuk mengembangkan rangkaian pengedar serta meningkatkan kualiti servis dan menawarkan lebih banyak aktiviti yang inovatif dalam usaha mencapai aspek kepuasan pelanggan.

Kini, Honda mempunyai 75 cawangan 3S, 4 bilik pameran 1S dan 12 pusat BP dalam rangkaian pengedarnya. Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat, Honda akan menambah 11 cawangan 3S dan 5 pusat BP, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pengedar kepada 90 dan 17 pusat BP menjelang akhir tahun ini. Selain itu, Bilik Pameran Konsep Baru akan dibuka di Bangsar, Bukit Bintang, Ampang dan Pulau Pinang. Identiti Korporat (CI) baru yang diperkenalkan pada tahun lalu akan diimplementasikan ke atas para pengedar sedia ada demi menawarkan keselesaan serta kemudahan terbaik kepada para pelanggan. Dalam usaha memberikan perkhidmatan yang sama kepada semua pelanggan di Malaysia, terutama di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur, Honda turut mengumumkan bahawa pusat 3S baharu akan dibuka di kawsan seperti Pontian dan Teluk Intan. Honda juga akan membuka pusat servis satelit di kawasan tersebut.

Honda juga berkongsi perancangan mereka untuk Malaysia Timur yang akan menjadi salah satu fokus mereka pada tahun 2015. Honda mendapati perkongsian pasarannya di bandar-bandar utama dan metropolitan adalah tinggi, tetapi secara relatifnya agak rendah di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur. Tambah Encik Ueno lagi, “Pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur baru-baru ini cukup signifikan dan kami percaya bahawa wujud potensi yang besar untuk Honda mengembangkan perniagaan di sana sekarang.” Untuk menyokong serta mengukuhkan operasi di Malaysia Timur, Honda akan memperkemaskan operasinya dengan membuka sebuah pejabat serantau, kemudahan latihan, pusat pengedaran dan gudang alat ganti.

Selari dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% yang akan menggantikan 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa pada 1 April 2015, Encik Ueno berkongsi mengenai implikasinya terhadap perniagaan Honda. “Dalam industri automotif, perbezaan harga kereta tidaklah semudah seperti 10% tolak 6% kerana ia melibatkan banyak faktor. Perbezaan utama dalam pengiraan cukai adalah kelainan pada asas yang boleh dikenakan cukai pada SST dan GST. Sebagai contoh, SST berasaskan kepada nilai pengedaran sesebuah kenderaan dan ia kemudian dikenakan cukai sebanyak 10% tidak termasuk margin pengedar, kos pengangkutan, yuran pengendalian, aksesori serta kos-kos pengedaran yang lain sementara pengenaan cukai GST pula berdasarkan kepada harga jualan akhir kereta di atas jalan.”

Honda Malaysia mengumumkan bahawa model-model Pemasangan Tempatan (CKD) Honda seperti Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan HR-V akan mengalami penurunan harga sebanyak **RM500 sehingga RM2500. Pengurangan harga ini berdasarkan kepada ciri-ciri dan aksesori yang menyebabkan harga untuk setiap model dan varian tersebut berbeza. Secara keseluruhannya, penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada para pelanggan Honda yang menyebabkan penurunan harga model-model CKD keluarannya.

Namun begitu, berdasarkan kepada pengiraan GST import, harga Odyssey yang merupakan model Import Sepenuhnya (CBU) akan mengalami sedikit kenaikan di antara harga **RM500-RM1000.

Tambah Encik Ueno lagi, “Harga alat ganti juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak **3.7% untuk semua model. GST bagaimanapun akan ditambah ke dalam kos buruh. Tetapi, memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak **2% – 4% bergantung kepada model.

Honda Malaysia percaya bahawa ia dapat mengekalkan momentum positifnya sejak tahun lalu. Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang kukuh dan harapan pasaran akan stabil selepas pengenalan GST, Honda yakin bahawa pihaknya mampu mencapai sasaran jualan untuk tahun 2015 dan mencipta impak terhadap pertumbuhan Honda di Malaysia pada masa akan datang.

*Jangkaan jualan Mac 2015 / Termasuk jangkaan jualan Mac 2015
**Berkuat kuasa 1 April 2015
Harga boleh berubah tanpa notis pemberitahuan terlebih dahulu

Silakan kongsi:

Senarai Harga Kereta Pasca GST April 2015 – Proton, Perodua, Honda, Nissan, Volvo, Lexus dan Toyota

Kereta GST 2015

Pasca GST 1 April 2015 menyaksikan pengeluar dan pengedar kereta mengumumkan senarai harga baharu. Boleh dikatakan majoriti harga kereta mengalami penurunan walaupun ada di antaranya di dalam julat yang kecil. Berikut adalah ringkasan harga pasca GST yang diedarkan oleh pengeluar dan pengedar. Harus diketahui bahawa kadar GST/CBP yang bermula dari 6% tidak bersifat statik dan kerajaan boleh menyemak semula dari semasa ke semasa.

1. Proton

Proton Price GST 2015

2. Perodua

Perodua GST 2015

Klik untuk senarai harga pengeluar lain

Silakan kongsi:

INFINITI Melancarkan SUV Premium QX80 Di Malaysia

Infiniti QX80 2015.07

KUALA LUMPUR (18 Mac 2015) – Pengeluar global kenderaan mewah Infiniti hari ini memperkenalkan model terbaharunya QX80, untuk pasaran Malaysia. Model QX80 ini juga melengkapi rangkaian model SUV dari jenama tersebut. QX80 yang tersergam gah dan terserlah kemampuannya dalam segmen SUV mewah, tampil dengan gabungan inspirasi ciri reka bentuk unik dan kecekapan prestasi bertaraf tinggi.

Keupayaan memukau QX80 terletak kepada asas kuasa yang mantap dan daya kekuatan yang diilhamkan untuk menarik perhatian setiap yang memandang. Rekabentuk dinamik dan keselesaan saiz ruang dalaman kabin yang elegan dan luas mampu menempatkan lapan orang penumpang dewasa lengkap dengan bagasi masing masing dengan cukup selesa. Rekaan signatur dwi lengkung hadapan berserta gril dengan alunan corak gelombang memaparkan keseirasan gaya takrif model sports sedan popular Q50. Fascia hadapan lampu LED yang baharu tampil dengan inspirasi “brow and eye”, dilengkapi pancaran tinggi/rendah dan juga lampu pancaran siang (DRL).

QX80 3

“Overfenders” hadapan dan belakang yang bersepadu dengan pemijak sisi dipadankan dengan warna badan QX80 adalah sebahagian daripada ciri luaran yang nyata ketara. Ketrampilan SUV ini ditambah gahnya dengan rim aloi bersaiz 22 inci yang ringan, pelindung bampar belakang tahan karat dan pintu belakang kuasa.

Nadi kepada QX80 terletak pada enjin 5.6-litre yang terbukti mutu keunggulannya menggabungkan pecutan responsif teknologi VVEL (Variable Valve Event & Lift) Infiniti dengan kecekapan system Direct Injection Gasoline (DIG) bagi menjana kuasa pemanduan mencecah 405hp dan tork 560Nm. Enjin V8 dipadankan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan dengan ciri Adaptive Shift Control (ASC) dan mode penukaran gear secara manual, dengan ciri Downshift Rev Matching (DRM).

Infiniti QX80 2015.02 (2)

QX80 didatangkan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) Infiniti bersama mode Auto, 4H dan 4L. Sistem ini direka untuk mengagihkan kuasa tork ke keempat-empat roda bergantung kepada kondisi jalan (sebanyak 50 peratus kuasa tork boleh disalurkan ke roda hadapan jika perlu) bagi membantu meningkatkan cengkaman. Apabila keadaan laluan off-road menjadi semakin mencabar, satu suis pelbagai mode permukaan jalan yang terdiri daripada mode Snow, Mud dan Rock akan mengubah talaan parameter kuasa tork enjin, 4WD serta VDC (Vehicle Dynamic Control).

“Penampilan dan saiz QX80 yang gah, secara rasmi menjadikannya SUV paling besar yang ada dijual di Malaysia,” ujar Ketua Unit Perniagaan Infiniti, Christopher Tan.

Sambungnya, “SUV ini menawarkan tahap keselesaan luar biasa, kuasa dan tork tiada tolok bandingan serta rasa yang tegap pada keseluruhan kenderaan yang pastinya memberi keseronokan kepada semua penumpang. QX80 merupakan sebuah SUV mewah yang sempurna untuk Ketua Pegawai Eksekutif dan para pemimpin industri yang mahukan prestasi serta tahap keselamatan terbaik di dalam SUV mereka.”

2015 Infiniti QX80

Sistem Hydraulic Body Motion Control diperkenalkan buat pertama kalinya pada kenderaan Infiniti. Sistem ini mengurangkan olengan tubuh kenderaan ketika membelok untuk memberikan pemanduan yang lebih selesa. Dengan menggunakan silinder-silinder hidraulik yang diletakkan pada penyerap hentak (disambung menerusi paip bersilang dan dua unit akumulator), ia mengubah suai olengan tubuh dengan mengalihkan bendalir di antara bahagian kiri dan kanan kenderaan melalui pemindahan berat pasif sewaktu pemanduan normal. Ia juga membantu mengurangkan lantunan keras dengan menala tenaga redaman lantunan dan olengan secara berasingan.

Kabin QX80 bertaraf dunia menawarkan ruang yang selesa dan kawalan peribadi kepada setiap penumpang. Tempat duduk yang dibalut kulit semi-aniline mewah juga tersedia untuk lapan orang penumpang. Kawalan suhu (fungsi penyejukan dan panas) ditawarkan pada tempat duduk baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan konfigurasi 60/40 melalui suis, ia memudahkan urusan keluar masuk penumpang di tempat duduk baris ketiga. Tempat duduk baris ketiga yang hadir dengan rekaan konfigurasi 60/40 boleh disandarkan. Ini membolehkan penumpang mengubahsuai posisi tempat duduk mereka secara elektronik.

QX80 2

QX80 menawarkan sistem audio dan hiburan termaju. Sistem bunyi Bose Cabin Surround terdiri daripada pengekodan 5.1, 15 unit pembesar suara, pemain DVD/CD tunggal dengan kemampuan memainkan muzik daripada format MP3, port penyambungan USB untuk digunakan oleh iPod® Interface atau peranti-peranti lain, serta penstriman audio melalui Bluetooth®. Sistem audio itu juga merangkumi skrin sentuh berwarna beresolusi tinggi bersaiz lapan inci, dua unit monitor pada perehat kepala bersaiz tujuh inci, dua pasang fon kepala dan alat kawalan jauh tanpa wayar. Sistem itu membolehkan penumpang di tempat duduk belakang memainkan kembali permainan video atau filem, manakala pemandu dan penumpang hadapan terus mendengar radio pada masa yang sama. Dua unit monitor 7 inci berwarna pula mempunyai sistem ciri kecerahan automatik yang mengubah suai tahap kecerahan bergantung kepada waktu siang/petang dan malam atau ketika di dalam terowong.

QX80 dilengkapi Pakej Bantuan Pemandu yang terdiri daripada sistem teknologi terkini seperti:

Intelligent Brake Assist (IBA) dengan Forward Emergency Braking
Predictive Forward Collision Warning (PFCW)
Backup Collision Intervention® (BCI)
Intelligent Cruise Control (Full-Speed Range)
Blind Spot Warning (BSW)
Distance Control Assist (DCA)
Around View Monitor
Moving Object Detection
Suis-suis pada stereng untuk operasi teknologi Safety Shield

Infiniti QX80 2015.08

Penampilan luaran QX80 disempurnakan dengan empat warna pilihan iaitu Majestic White, Graphite Shadow, Dark Currant dan Black Obsidian. Ruang dalamannya dimonopoli oleh tempat duduk yang dibalut dengan kulit berwarna kelabu gelap dan kemasan kayu Stratford Burl.

Jentera ini diimport sepenuhnya dari Jepun. Harga di atas jalan tidak termasuk insurans ialah RM799,000 seunit untuk pendaftaran peribadi atau RM799,200 bagi pendaftaran syarikat.

 

Silakan kongsi:

Honda Malaysia Menerima Lebih Dari 7 Ribu Tempahan HR-V Di dalam Masa Sebulan

Honda HR-V 2015.09

Honda HR-V yang dilancarkan kira-kira sebulan lalu mencatatkan rekod yang memberangsangkan dengan tempahan melebihi 7 ribu unit di dalam masa sebulan. Varian V mencatat tempahan tertinggi sebanyak 65% manakala varian S dan E masing-masing 15% dan 20&.

Dengan tempahan di luar jangkaan itu tempoh menunggu adalah selama empat bulan dan Honda Malaysia sedang menyemak semula jadual produksi mereka. Memandangkan HR-V dipasang di barisan produksi No.2 di kilang Honda Pegoh yang mempunyai jadual produksi anjal, Honda Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengubah semula jadual produksi dengan segera dan berusaha keras untuk mengurangkan waktu menunggu. Honda Malaysia meminta maaf kepada pelanggan kerana terpaksa menunggu lebih lama dan akan mengumumkan tempoh baharu selepas pengesahan akhir.

Honda Malaysia berusaha keras untuk menyerahkan kereta di dalam tempoh munasabah dan pada masa yang sama tidak akan tergesa-gesa di dalam proses pengilangan demi untuk tidak berkompromi dengan kualiti. Kepuasan pelanggan merupakan aspek yang penting untuk Honda dan penting untuk syarikat mengekalkan reputasinya.

Honda City Jazz S1K 2014.09

Selain daripada itu, Honda Malaysia telah mencatat rekod baharu di dalam bulan Februari 2015 dengan tempahan tertinggi yang diterima syarikat iaitu sebanyak 11,047 unit dan lebih dari 6,000 unit jualan. Rekod itu disumbangkan oleh HR-V, City dan diikuti oleh Jazz.

Dengan barisan produk yang menarik termasuk CR-V baharu, Honda Malaysia berjaya mempertahankan kedudukan No.1 di dalam segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional pada bulan Januari 2015 dengan jualan sebanyak 6,522 unit. Rekod itu disumbangkan oleh jualan City dan Jazz yang mendahului segmen modelnya. Civic dan Accord turut menerajui segmen masing-masing pada bulan Januari.

Dengan momentum positif ini dan berbekalkan prestasi HR-V, Honda Malaysia yakin untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 85 ribu untuk tahun 2015. Honda Malaysia berkerja rapat dengan rangkaian 78 pengedarnya di seluruh negara di dalam memberikan khidmat lepas jualan berkualiti dan pengalaman pemilikan yang baik untuk para pelanggan Honda.

Silakan kongsi:

Proton Exora Wajah Baharu Dilancarkan Dengan Harga Yang Lebih Rendah

Proton Exora 2015.01

Proton Holdings Berhad baru-baru ini telah melancarkan model facelift Proton Exora dan varian baharu Super Premium (SP) yang menggantikan varian Prime. Lebih menarik, varian Premium dan Super Premium dilengkapi empat beg udara, kawalan penstabilan elektronik (ESC) dan lampu siang hari (DRL). Kedua-dua varian itu turut dilengkapkan dengan fungsi auto cruise, suis kawalan audio pada stereng dan pemain DVD. Selain daripada itu, kesemua varian Exora dilengkapi cermin depan dan belakang berkuasa serta kamera undur dengan visual undur pada cermin pandang belakang.

Proton Exora Price 2015

Menambah tarikan pada Proton Exora facelift ini ialah harga baharu yang lebih rendah selari dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan harga kereta. Harga baharu Proton Exora kini 5.8% atau RM4,710 lebih rendah untuk varian terpilih. Terdapat tujuh pilihan warna untuk Exora iaitu Solid White, Elegant Brown, Cocoa Grey, Genetic Silver dan Tranquility Black. Terdapat dua warna baharu iaitu Luxury Blue dan Indiana Grey untuk pilihan bakal pembeli.

Proton Exora 2015.04

Sehingga kini sebanyak 128,824 unit Proton Exora telah terjual sejak pertama kali dilancarkan pada 2009 di mana MPV nasional itu turut popular di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Proton optimis untuk menjual sebanyak 2 ribu unit Exora sebulan dan pelanggan bakal menikmati 3 tahun waranti pengeluar atau 100,000km yang mana dahulu.

Silakan kongsi:

Proton Perjelas Isu Proton Exora Terbakar Yang Tersebar Di Media Sosial

Exora Burnt

Proton Holdings Berhad di dalam satu kenyataan baru-baru ini ingin menjelaskan mengenai gambar yang tersebar luas di dalam media sosial mengenai Proton Exora yang terbakar di laluan keluar Cheneh di Lebuh raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada 17 Februari 2015.

Di dalam gambar yang disebarkan terdapat ulasan yang mengatakan bahawa punca kebakaran adalah kerana peningkatan suhu susulan pengisian yang melebihi had manakala sesetengah lagi membuat spekulasi yang insiden itu berpunca dari kebocoran tangki minyak.

Proton di dalam kenyataan media ingin menjelaskan bahawa syarikat tidak berkompromi dengan sebarang isu kualiti yang akan menjejaskan kegagalan enjin atau kereta keluaran mereka. Proton Exora merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) nasional pertama dan telah terjual melebihi 140 ribu unit di serata dunia.

Proton mengambil berat serta membuat siasatan mengenai kejadian ini dan telah menghubungi pemilik untuk memastikan keselamatan beliau dan ahli keluarganya selain daripada untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Exora tersebut. Proton telah mengambil langkah sewajarnya setakat ini dan menggesa masyarakat supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu.

Silakan kongsi: