Toyota Rush Dengan Gayaaan Baharu Untuk Tahun 2015

Toyota Rush 2015.03

Toyota Rush telah dilancarkan dipasaran tempatan sejak 2008 dan semenjak itu menjadi sebuah SUV kompak 7 tempat duduk yang popular. Rush digemari kerana fungsinya yang versatil dengan reka bentuk yang rugged. Perubahan terkini Rush menampilkan imej yang lebih sporty di samping mengekalkan elemen moden sedia ada.

Perubahan kosmetik yang dilakukan ialah pada bahagian hadapan seperti bampar, jeriji radiator dan bonet. Kemasan gentian kaca dan dua tona pada bampar menambahkan lagi imej seperti pada SUV itu. Selain dari itu, Rush 1.5S dilengkapi lampu penunjuk LED pada kelongsong lampu utama. Bahagian belakang pula turut dipasangkan lampu dengan kombinasi LED yang disimpan di dalam lensa gelap. Turut digantikan ialah reka bentuk rim 16 inci dengan dua tona yang tampil lebih sporty. Saiz tayar juga kini lebih lebar dari saiz asal 215/60 kepada 235/60 supaya kenderaan lebih stabil dan mencengkam selain dari memperbaiki daya membrek.

Bahagian dalaman pula mengekalkan reka bentuk lama tetapi dengan tema warna gelap baharu. Balutan kerusi pula dirias dengan sulaman merah yang senada dengan tema meter berwarna putih dan merah. Toyota Rush merupakan satu-satunya SUV di dalam kelasnya yang mempunyai tiga baris kerusi di mana kerusi paling belakang boleh dilipat separa atau penuh untuk lebih ruang kargo. Suatu ciri yang penting pada Rush ialah sistem penyaman udara depan dan belakang dengan corong penyaman pada siling untuk penumpang belakang yang didatangkan dengan penghembus berasingan.

Toyota Rush 2015.01

Toyota Rush dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (3SZ-VE) VVT-i dengan output 109ps dan tujahan 141 Nm. Memberi lebih keselesaan ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) yang digerakkan oleh motor elektrik berbanding sistem lama yang menggunakan minyak. Dari segi keselamatan, ketiga-tiga varian Rush dilengkapi dua beg udara dan ekstra untuk Rush 1.5G ialah sistem ABS dengan EBD. Suatu yang manis apabila Rush dibekalkan dengan pam tayar mudah alih.

Berikut ialah harga di atas jalan Toyota Rush untuk semenanjung Malaysia termasuk CBP.

  • Rush 1.5S Automatic – RM103,300
  • Rush 1.5G Automatic – RM 100,300
  • Rush 1.5G Manual – RM98,000

Terdapat lima pilihan warna iaitu Champagne Metallic, Putih, Hitam Metalik, Silver Mica Metallic dan Kelabu Metalik yang merupakan warna baharu. Seperti model UMW Toyota Motor lain, Rush baharu didatangkan dengan jaminan 36,000/100,000km yang mana dahulu.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.