BMW adalah jenama premium yang terkenal. Walaupun memandu model tahun 60an sekalipun anda tetap kelihatan hebat. Hairannya di dalam pasaran lokal, susut nilai jenama BMW adalah tinggi tetapi faktor itu masih gagal untuk menghalang popularitinya dan tidak kurang ramai juga yang terpesona dengan harga murah model terpakai jenama Bavarian Motor Works dari Jerman itu. Tetapi harus diingat, BMW juga terkenal dengan akronim Banyak Mau Wang dan kenyataan itu bukan sengaja direka atau sembang kedai kopi sahaja kerana walapun harga model terpakai boleh dijangkaui ramai tetapi belum tentu lagi ramai yang mampu menyelenggaranya. Tambahan pula keunikan kejuruteraan Eropah belum tentu mahir ‘dibela’ oleh kebanyakan mekanik tempatan. Maka, jika BMW berada di dalam radar anda, fikirlah semasak-masaknya sebelum beristerikan atau bersuamikan jenama itu.
Model 3 Series, sebelum lahirnya 1 Series boleh diibaratkan sebagai pintu gerbang bagi pelanggan untuk berkenalan dengan jenama BMW. Model itu lebih digemari oleh golongan yuppie atau young urban professional. Pasarannya juga besar dan tidak hairanlah ianya merupakan model bread and butter (punca pendapatan) BMW. Setiap generasi baharu 3 Series adalah adunan harmoni di antara tradisi dan kemodenan BMW. Sejak lebih dari tiga dekad lepas, wajah 3 Series sentiasa berevolusi di mana perekanya berjaya menerapkan ciri-ciri dinamik, inovasi dan astetik dalam menghasilkan model yang moden tetapi pada yang sama tidak meminggirkan nilai-nilai tradisinya. Hasilnya setiap generasi model itu berjaya mengekalkan identiti jenama dan paling penting mempunyai faktor kejutan setiap kali diperkenalkan kepada pasaran.