Di pasaran tempatan kini, kita ditawarkan dengan pelbagai jenama automotif dunia. Ada dari Jerman, Perancis, Sweeden, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan China. Syarikat-syarikat automotif itu berebutkan kek pasaran yang agak besar iaitu lebih dari setengah juta unit setahun. Walaupun majoriti pasaran dibolot oleh syarikat nasional seperti Proton dan Perodua namun bakinya tetap lumayan. Pengedar tempatan pula tidak lokek untuk berbelanja besar bagi memasang kenderaan import di dalam negara melalui kaedah pemasangan terurai (CKD). Harus tahu, pengeluar kereta mewah seperti Mercedes, BMW dan Volvo telah lama memasang beberapa model mereka secara CKD. Jadi, apabila VW heboh dengan program pemasangan CKD mereka saya tidaklah berapa teruja kerana keupayaan rakyat tempatan untuk memutar skru dan memasang kembali peralatan-peralatan kenderaan sememangnya sudah terbukti.
Sejak kebelakangan ini juga kita dapat lihat beberapa jenama lama cuba untuk bertapak kembali di dalam pasaran tempatan. Misalnya Mitsubishi, Mazda, VW dan Peugeot. Dahulu jenama-jenama itu kukuh tetapi dek kerana persaingan, nama jenama itu semakin dilupakan. Kini mereka kembali dengan misi dan membuka buku baharu. Jika diperhatikan harga yang ditawarkan untuk beberapa model sangat kompetitif dan bersaing secara berdepan dengan jenama Jepun seperti Toyota dan Honda. Walaupun perjalanan mereka masih jauh namun asas yang dibina nampak meyakinkan. Sebutkan jenama Eropah yang paling murah boleh diperolehi di pasaran tempatan? Mungkin ada yang ingin menjawab VW tetapi hakikatnya bukan. Jawapannya adalah Peugeot dan terima kasih kepada Naza selaku pengedar dan pemasang utama CKD kereta jenama Perancis itu. Langkah asas mereka nampaknya betul, harga mestilah kompetitif supaya pembeli mempunyai alternatif dan tidak tertutup kepada satu-dua jenama sahaja.