Pandu Uji Subaru Forester 2.0XT

SONY DSC

Jika anda seorang peminat Subaru, pilihan yang ditawarkan Motor Image sebenarnya agak menarik di mana pengedar rasmi Subaru itu membawa masuk model-model yang tersendiri seperti BRZ, Impreza STI, Legacy Sedan GT dan Wagon GT, Forester dan yang paling laris ialah XV. Jika disenaraikan model bilik pameran itu agak komprehensif berbanding jumlah jualan yang diraih dan apa yang harus dipuji ialah setiap model mempunyai legasi dan terletak di aras tersendiri. Subaru XV misalnya yang pernah saya pandu uji sebelum ini mempunyai prestasi yang bagus dengan DNA sukan rali walaupun kereta itu dibina untuk pasaran umum. Subaru masih mengekalkan falsafah ‘sekolah lama’ dengan suntikan teknologi kontemporari. Orang muda sekarang ini mungkin sudah terbiasa dengan rasa kereta baharu dan moden tetapi Subaru mempunyai sesuatu yang kebanyakan kereta masa kini tiada.

Baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji Subaru Forester 2.0XT. Model crossover SUV ini sudah lama saya perhatikan dan sangat menarik perhatian melalui ukurannya yang tinggi dan falsafah rekabentuk yang langsung berbeza dengan pesaing lain (jika ada?). Bentuk badan Subaru Forester generasi pertama lebih kepada wagon dan dari generasi ke generasi saiznya semakin meningkat hinggalah kepada generasi keempat ini yang terus meninggi ibarat remaja yang sudah memasuki alam dewasa. Forester generasi pertama yang dahulunya padat dan kompak kini lebih menyerlah seolah-olah mahu menghebahkan kewujudannya kepada orang ramai. Memasuki ke dalam Forester baharu ini terasa ukuran bumbung yang tinggi dengan saiz cermin yang cukup luas untuk memandang keluar. Saiz kabin memang luas dari depan hinggalah belakang dan cukup untuk anak-anak bergerak bebas. Kerusi yang dibalut kulit pula selesa untuk menyokong pemandu dan penumpang. Peralatan yang menyenangkan semestinya bonet yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik.

SONY DSC

Suasana dalaman Forester adalah tipikal Subaru, menggunakan tona gelap dengan susun atur suis dan kawalan yang mudah dicapai. Suatu yang menarik dan canggih ialah paparan meter bersepadu yang terletak di atas papan pemuka. Paparan yang dipamerkan meriah dan terperinci seolah-olah informasi permainan konsol seperti fungsi AWD, tekanan pengecas turbo, penggunaan minyak, jam dan radio. Paparan yang ditampilkan memberi definisi sebenar mengenai apa yang patut ditampilkan pada sesebuah kereta yang selari dengan era teknologi digital masa kini bukan sekadar informasi ringkas dan cukup syarat seperti sesetengah pengeluar lain.

Dari segi kelengkapan pula, Forester 2.0XT dibekalkan dengan pelbagai peralatan standard sesuai dengan harganya yang hampir RM200 ribu. Antaranya ialah bumbung suria, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, penyaman udara dua zon automatik dengan penapis anti habuk, penggilap cermin automatik, lampu utama HID dengan larasan automatik, sistem audio Harman/Kardon, kamera undur, kerusi pemandu dan penumpang depan automatik dan pencuci lampu utama. Sistem keselamatan juga lengkap dengan beg udara pemandu pada penumpang depan, buku lali pemandu, sisi, bidai sisi. Sistem elektronik turut membantu seperti ABS 4 sensor dengan EBD, Vehicle Dynamics Control System (VDC) dengan butang off, Hill Start Assist dan Hill Descent Control.

SONY DSC

Sewaktu enjin mula dihidupkan, getaran enjin boxer 2.0 turbo tidaklah terasa mana bahkan senyap seperti kereta dengan enjin bentangan menegak. Pulasan stereng kuasa elektrik pula seimbang dan tidak seberat sewaktu memandu uji Subaru XV dahulu. Kereta buatan legenda ini tidak adil jika dipandu uji sekitar bandar Kuala Lumpur sahaja dan untuk itu saya membawa famili ke Pahang. Memandu pada waktu malam dengan penutup cermin suria bertemankan cahaya bulan dan kerlipan bintang memang mengasyikkan, lampu HID yang jelas dan terang menyuluh Lebuhraya Pantai Timur. Kuasa enjin 240ps dengan tork 350Nm lebih dari cukup untuk pemanduan harian atau ke luar bandar cuma mungkin pemandu yang sukakan prestasi terasa tidak puas kerana Forester 2.0XT ditala untuk pemanduan normal. Tambahan pula model AWD ini dibekalkan dengan transmisi CVT Lineartronic yang merupakan suatu pantang untuk kereta berprestasi.

Untuk menebus keseronokan transmisi manual atau klac dual Subaru telah membekalkan tiga mode pemanduan iaitu I (intelligent), S (sport) dan S# (sport sharp). Jika dibandingkan dengan kereta moden lain, ketiga-tiga mode tersebut boleh dirujuk kepada pemanduan Ekonomikal, Normal dan Sport. Di dalam mode I, prestasi enjin terasa biasa dan kurang responsif yang sesuai untuk pemanduan bersahaja atau di dalam bandar. Mode Sport pula merubah sedikit karakter enjin dengan prestasi sederhana manakala mode S# pula langsung merubah karakter enjin menjadi lebih sporty. Di dalam mode itu, pemandu boleh mengeksploitasi tuil anjakan pada stereng hingga 8 kelajuan. Selain dari itu, Subaru turut membekalkan sistem pemanduan bonus iaitu X-Mode yang dapat digunakan untuk mendaki dan menuruni curam dengan darjah tinggi pada kelajuan sangat perlahan di mana kuasa kesemua roda akan dibahagi sama rata dan kuasa akan dialihkan pada roda yang memerlukan bagi mengelakkan gelinciran.

SONY DSC

Dari segi pemanduan dan pengendalian pula, sistem AWD merupakan aset terbesar Subaru yang banyak membantu kenderaan keluarannya kekal di laluan sewaktu melalui selekoh atau permukaan licin. Ditambah dengan sistem active torque-split yang membahagikan kuasa di antara roda depan dan belakang dan sistem VDC menjadikan Forester lekat di atas tar. Cuma faktor ketinggian badan mempengaruhi olengan SUV ini namun kuasa enjinnya yang tinggi dapat diperah agar kereta dapat keluar dan ‘memadam’ olengan semasa melalui selekoh tajam. Suspensi yang digunakan dan tayar bersaiz 225/55 r18 pula selesa untuk membawa keluarga, tidak terlalu keras dan tidak lembut.

Selepas hampir empat hari memandu uji Subaru Forester 2.0 XT saya merasa puas, kereta ini dilengkapi dengan resipi yang mencukupi untuk menjadikannya kereta keluarga yang sempurna. Rupa yang gah, interior yang selesa, berkuasa dan teknologi canggih. Cuma yang menjadi masalah apabila anda membuat perbandingan di dalam segmen terdekat seperti Honda CR-V, Mazda CX-5, Hyundai Santa Fe, Kia Sorento dan seangkatan di mana harga Forester 2.0 XT jauh lebih tinggi berbanding saingannya. Tetapi jika anda mahukan sesuatu yang berbeza dengan kereta yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, spesifikasi penuh, nadi kuasa turbo dan tidak berkira soal wang Subaru Forester 2.0 XT adalah jawapannya. Sehingga kini saya masih terasa kuasa pecutan dan standard binaannya. Secara peribadi saya suka bagaimana Subaru membangunkan produk mereka dan apa yang ditinggalkan untuk generasi masa kini.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

SHELL MELANCARKAN MINYAK SKUTER SHELL ADVANCE AX 5 4T BAHARU

Shell 2014.07

Kuala Lumpur, 6 Mei 2014 – Shell telah melancarkan Minyak Skuter Shell Advance AX 5 4T 15W40 serba baru yang dicipta khas untuk enjin skuter empat lejang.

Minyak Skuter Shell Advance AX 5 4T 15W40 direka untuk melindungi enjin skuter yang beroperasi dalam persekitaran bandar yang sesak dengan trafik dan dan memerlukan kenderaan kerap berhenti. Ia membawakan teknologi inovatif Shell yang menjanjikan prestasi minyak yang boleh dipercayai, kawalan lebih baik menerusi pertukaran gear lebih lancar dan keseronokan menunggang yang disebabkan kurang getaran dan bunyi lebih senyap.

Menurut Troy Chapman, Pengurus Besar Kelompok, Asia Tenggara, Shell Lubricants, Minyak Skuter Shell Advance AX 5 4T 15W40 telah dirumus dengan mengambil kira keperluan penunggang motosikal, khususnya pemilik skuter.

“Keunggulannya ialah aditif antioksidan yang membantu menanggalkan enapan dan mengekalkan kelikatan dan, dengan demikian, mengekalkan minyak dalam keadaan terbaik untuk masa lebih lama. Ini membolehkan anda menunggang dengan yakin kerana skuter anda sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan memberi tindak balas serta-merta kepada setiap sentuhan,” katanya.

Shell 2014.03

Minyak Skuter Shell Advance AX 5 4T 15W40 melengkapkan portfolio minyak enjin motosikal Shell Advance yang boleh didapati di pasaran Malaysia. Pek standard 800 ml berharga RM21.50 di Semenanjung Malaysia dan RM22.00 di Sabah dan Sarawak.

Chapman menjelaskan bahawa pelancaran Minyak Skuter Shell Advance AX 5 4T 15W40 tepat masa masanya memandangkan skuter semakin diminati semula sebagai kenderaan gaya hidup di kalangan generasi muda.

Sempena pelancaran Minyak Enjin Skuter Shell Advance AX 5 4T 15W40, Shell Malaysia juga melancarkan secara rasmi kempen pencarian penunggang muda Malaysia yang berbakat untuk menyertai cabaran Piala Bakat Asia Shell Advance (SAATC) 2015.

Dalam kejohanan sulung pada tahun ini, seramai 22 penunggang muda, termasuk tujuh penunggang Malaysia, telah dipilih oleh bekas pelumba legenda Sepanyol Alberto Puig untuk bersaing dalam lapan perlumbaan di enam pusingan di Qatar, Indonesia, China, Jepun dan Malaysia.

“SAATC adalah peluang sekali seumur hidup untuk berlatih dan berlumba di peringkat yang sangat kompetitif. Kami benar-benar berharap untuk mencungkil lebih ramai bakat Malaysia yang pada suatu hari nanti boleh bertanding di peringkat sukan lumba motor paling tinggi,” kata Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Tuan Haji Azman Ismail.

Silakan kongsi:

ETCM MELANCARKAN NISSAN SYLPHY 2014 – Dari RM115,817

Nissan Sylphy 2014.09

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan Nissan Sylphy generasi ketiga pada 29 April lepas. Sylphy Serba Baharu menawarkan pengguna di Malaysia dengan karekteristik pemanduan mengagumkan, reka bentuk elegan, ruang dalaman yang luas dan senyap. Ia juga dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini untuk prestasi dan penjimatan bahan api yang cemerlang. Nissan Sylphy Serba Baharu adalah salah satu model global utama Nissan yang dipasarkan di kira-kira 120 buah negara termasuklah Jepun, China, Thailand dan Australia (sebagai Pulsar) serta Amerika Syarikat (dikenali sebagai Sentra).

Pada majlis pelancarannya, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, En. Tan Keng Meng berkata, “ETCM berbangga untuk memperkenalkan Nissan Sylphy generasi ketiga serba baharu kepada pengguna di Malaysia. Ia dibina menggunakan platform dan reka bentuk serba baharu yang membuktikan penambahbaikan pada semua aspek. Menerusi pakej sofistikated yang menggabungkan rekaan premium, keselesaan dan keluasan ruang yang menlangkaui kelasnya; ditambah pula dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik dalam segmennya, kami percaya bahawa Sylphy serba baharu akan menawarkan pilihan bernilai tinggi kepada pengguna. Nissan Sylphy serba baharu diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.”

Nissan Sylphy 2014.07

Nissan Sylphy Serba Baharu dikuasakan oleh enjin MRA8DE Twin CVTC yang baru. Enjin Nissan serba baharu ini amat efisien, kompak dan ringan. Ia dilengkapi teknologi-teknologi baru dan kawalan injap pemasaan berterusan (CVTC) pada bahagian pengambilan dan ekzos. Reka bentuk lejang yang panjang menawarkan penghantaran kuasa tork yang lebih baik bagi meningkatkan aspek pecutan ketika berada pada kelajuan rendah. Enjin serba baharu ini kemudian dipadankan dengan kotak gear XCVT (Xtronic Continuously Variable Transmission) generasi seterusnya bersama satu gear sub-planetari untuk penukaran gear yang lancar dan kehilangan kuasa dapat diminimumkan. Rekaan badan baharu yang aerodinamik menawarkan halangan udara yang rendah serta mengoptimumkan laluan angin pada bahagian bawah kenderaan untuk mencapai kadar seretan hanya 0.29. Maka, dengan semua teknologi ini, Nissan Sylphy Serba Baharu adalah lebih menjimatkan.

Rekaan ruang dalaman Nissan Sylphy Serba Baharu generasi ketiga mengekspresikan rasa yang dinamik dan premium, pada masa sama meningkatkan kefungsiannya. Gril hadapan bersepadu tiga dimensi berwarna krom yang menjadi signatur Nissan diintegrasikan dengan enam lampu utama LED yang menyerlah dan memberikan rekaan menarik kepada Nissan Sylphy serba baharu. Melihat dari arah sisi, garis karekternya bergerak dari lekuk dapra hadapan hingga ke lampu belakang yang menampilkan reka bentuk ladam kuda yang besar bersama lampu LED.

Nissan Sylphy 2014.13

Tambahan kepada perubahan signifikan bahagian luarannya, Nissan Sylphy serba baharu menawarkan keselesaan melangkaui kelasnya dengan ruang yang luas serta kehalusan rekaan dalamannya. Keselesaan ruang dalaman ditingkatkan dengan menambah 30mm untuk ruang bahu dan sebanyak 680mm pada ruang kaki. , Nissan Sylphy Serba Baharu juga memiliki kapasiti ruang kargo sehingga 510 liter, terbaik dalam kelasnya.

Untuk ruang kabin, panel instrumen menampilkan seksyen atas dan tengah yang saling melengkapi, selain penggunaan kemasan pad lembut bagi memberikan rasa yang premium. Material-material yang dipilih dan digabungkan dengan berhati-hati digunakan pada kemasan akhir panel tengah nyata memberikan rasa kualiti tinggi yang melangkaui kelasnya di seluruh ruang kabin. Permukaan ‘butiran mikro’ mengurangkan silau pada cermin utama. Sekali gus mengurangkan ketidakselesaan dan gangguan kepada pemandu. Kluster Meter Fine Vision dengan Paparan Multi-maklumat (MID) dan indikator mode ECO merupakan satu lagi ciri yang menawarkan pemanduan lebih selesa serta tidak memenatkan.

Kabin Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan pengalaman yang lebih selesa dan senyap menerusi penambahbaikan yang mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH). Ketegaran badan yang diperkukuhkan, material penebat akustik yang diletak dengan berkesan dan penggunaan suspensi menyerap getaran menawarkan kesenyapan serta pemanduan selesa. Ciri-ciri lain termasuklah sistem Kawalan Suhu Dua Zon Automatik yang menghasilkan persekitaran selesa untuk semua penumpang. Darjah penglihatan pemandu juga ditingkatkan melalui tingkap yang besar. Manakala bonet yang ‘curam’ membuatkan bucu-bucu kereta dapat dilihat dengan lebih senang dan memudahkannya untuk mengubah haluan.

Nissan Sylphy 2014.14

Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan ciri keselamatan terbaik yang memberi keutamaan kepada pemandu dan para penumpangnya. Ia dilengkapi dengan enam beg udara SRS yang mendahului kelasnya, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama sejumlah sistem kawalan keselamatan seperti ABS (Anti-locking braking system), EBD (Electronic Brakeforce distribution), BA (Brake Assist System) dan TCS (Traction Control System) membantu pemandu mengawal kenderaan serta mengelak daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan. Ciri-ciri termaju ini meningkatkan kestabilan kenderaan dan menghalangnya daripada tergelincir di atas jalan yang licin. Sylphy Serba Baharu hadir dengan sistem brek cakera pada keempat-empat rodanya. Ciri keselamatan lain termasuklah lampu utama jenis Xenon dengan pengarasan automatik dan pembersih (varian 1.8L sahaja), kamera pandang belakang (1.8L sahaja), tali pinggang hadapan dengan pengehad beban dan pra-regangan, binaan badan yang kukuh serta rekaan bahagian hadapan untuk melindungi pejalan kaki.

Sewaktu melancarkan tema Nissan Sylphy Serba Baharu, Tan berkata, “ Embrace Distinction” menjadi slogan kata buat Nissan Sylphy Serba Baharu kerana ia melambangkan sikap dan gaya yang mencipta nilai-nilai sesuai dengan identiti peribadi seseorang. Dalam erti kata lain, Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan satu proposisi unik yang melangkaui segmen C dari segi kecantikannya serta ciri-ciri mendahului kelasnya ketika ia melangkah ke skala yang lebih premium.”

Nissan Sylphy 2014.11

Nissan Sylphy serba baharu didatangkan dalam dua varian, 1.8 E dan 1.8 VL. Terdapat lima pilihan warna iaitu merah (Cayenne Red), hitam (Premium Black), emas (Bronze Gold), putih Diamond White) dan perak (Brilliant Silver).

Nissan Sylphy serba baharu hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km mana-mana tiba dahulu. Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Sempena pelancaran Nissan Sylphy serba baharu, ETCM menawarkan pemasangan lapisan cermin (tinting) Solar Gard Armorcoat secara percuma kepada 1,000 pelanggan terawal.

Klik untuk harga dan galeri penuh Nissan Sylphy 2014

Silakan kongsi:

Honda City 2014 Mencatat Rekod Baharu Dengan 10,000 Tempahan Dalam Masa Sebulan

Honda City 2014.01

Honda City 2014 yang dilancarkan pada 20 Mac lepas telah mencatat rekod baharu untuk Honda Malaysia apabila menerima tempahan sebanyak 10 ribu unit di dalam masa sebulan selepas pelancarannya. Rekod itu melebihi tempahan Honda CR-V sebanyak 3 ribu unit selepas sebulan dilancarkan pada tahun 2013.

Walaupun menerima permintaan yang melebihi jangkaan, Honda Malaysia yakin dapat menyerahkan kesemua 10 ribu tempahan pada penghujung bulan Jun 2014. Fasiliti No.2 di kilang Honda Pegoh boleh digunakan bagi mempercepatkan produksi dan menyingkatkan masa menunggu.

Honda City 2014 dilengkapi dengan pelbagai ciri istimewa seperti ruang kabin dan kargo yang luas, enam beg udara, VSA dan ISO Fix manakala ruang bonet bersaiz 536L adalah yang terbesar di dalam segmennya. Selain dari itu, City generasi keempat ini turut dilengkapi Smart Entry, Push Start Button, Cruise Control, Penyaman Udara Sesentuh Automatik, Corong Penyaman Udara Belakang, Paparan Audio 7″ dan 8 Pembesar Suara.

Sebelum pelancaran Honda City 2014, jualan Honda Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 30% pada suku pertama 2014 berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang antaranya disumbangkan oleh jualan Accord dan CR-V. Sebagai model pertama yang dilancarkan pada tahun 2014, Honda Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 76 ribu unit.

Honda Malaysia menghargai dan berterima kasih kepada sokongan dan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Honda dan akan terus mengujakan rakyat Malaysia dengan model-model baharu yang bernilai untuk wang dan berkualiti.

Silakan kongsi:

PROTON PENGANJUR BERSAMA PERTANDINGAN KEMAHIRAN MALAYSIA 2014 – SEKTOR TEKNOLOGI AUTOMOBIL (PERINGKAT PRA-KELAYAKAN)

PIC 2

ALOR SETAR, 20 April 2014 – Seramai 122 belia yang mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan serta organisasi kerajaan dan swasta, telah menyertai Pertandingan Kemahiran Malaysia 2014 – Sektor Teknologi Automobil (peringkat pra-kelayakan) yang dianjurkan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan syarikat kereta nasional PROTON, yang juga merupakan penaja utama pertandingan tersebut bagi Sektor Teknologi Automobil.

Upacara majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan kemahiran Malaysia 2014 ini telah disempurnakan oleh YAB. Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah yang turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Ismail Abdul Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia, merangkap Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM), Pengarah Sumber Manusia Kumpulan PROTON En Wan Roslan Wan Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sendirian Berhad, Encik Azmi bin Idris.

Berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah bermula daripada 17 April 2014 yang lalu, Pertandingan Kemahiran Malaysia 2014 ini juga turut diadakan bersempena dengan Karnival Kemahiran Kebangsaan Zon Utara. Para peserta di peringkat pra-kelayakan sektor Teknologi Automobil ini, telah diuji berdasarkan kemahiran dan prestasi mengendalikan enjin Campro IAFM+. Mereka dikehendaki menggunakan Proton Advance Diagnostic Tools (PADT), mengenalpasti komponen-komponen yang perlu diganti serta melakukan rombak rawat (overhaul) ke atas enjin.

Di pusingan akhir pula, para peserta perlu menunjukkan kebolehan menala enjin petrol, memperbaiki sistem brek, transmisi automatik, dan mengendalikan sistem suspensi, elektrik dan stereng kenderaan. Setelah empat hari menempuhi pelbagai cabaran, para peserta akhir bagi setiap kategori telah dipilih. Antaranya adalah Muhammad Azwan Herzani bin Jahani dan Muhammad Adib bin Mohamad Amran (pasukan daripada Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin), Muhammad Hilmi bin Mohammad Yunus dan Muhammad Zaki bin Md. Salleh (pasukan daripada Kolej Vokasional Muar), Ahmad Maher bin Roslan dan Muhammad Hisyamuddin bin Baharuddin (pasukan daripada Kolej Vokasional Tanah Merah), Mohd Syafik bin Nasharuddin dan Wan Hafiq Saufi bin Wan Sulaiman (pasukan daripada Kolej Vokasional Ampangan), Nur Ahmad Syahiran bin Nordin dan Khairil Farhan bin Ab. Karim (Pasukan daripada Kolej Vokasional Kajang (A), Mohammad Amir Akmal bin Mohd Salasa dan Muhammad Athifi bin Azis (pasukan daripada Kolej Vokasional Kluang), Muhamad Abdul Fattha bin Sambas dan Muhammad Norhanif bin Hasman (pasukan daripada Kolej Vokasional Batu Pahat), dan Nurfarah Nadia binti Zabidi dan Farahain Ashikin binti Abdul Gafar (pasukan daripada Kolej Vokasional Setapak) yang akan mewakili kategori Kemahiran Kolej Vokasional.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

VOLKSWAGEN JETTA CKD DILANCARKAN – RM130,888

VW Jetta 2014.01

KUALA LUMPUR, 28 April 2014 – Volkswagen Group Malaysia dan rakannya DRB-HICOM Berhad memperkenalkan kepada media model kejuruteraan Jerman dan dipasang di Malaysia yang keempatnya ke pasaran tempatan, Volkswagen Jetta dalam satu prebiu eksklusif pada hari ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Jetta telah menjadi salah satu model Volkswagen paling popular dan merupakan antara sedan bersaiz sederhana terbaik yang ada di pasaran Malaysia.

“Jetta menawarkan pemanduan penuh inspirasi yang menggabungkan elemen sporty, elegan dan keselamatan, tanpa berkompromi dengan komitmen Volkswagen terhadap aspek kelestarian menerusi kadar penggunaan bahan api yang efisien. Pemasangan tempatan model Jetta merupakan indikasi terkini mengenai komitmen kami untuk menawarkan pilihan kenderaan lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia yang mahukan kualiti dan jaminan yang ada pada sebuah kenderaan dengan kejuruteraan Jerman,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Christoph Aringer.

Mengulas lebih lanjut mengenai kepentingan pemasangan tempatan model Jetta kepada Volkswagen Group Malaysia, Aringer berkata, “Jetta yang diimport sepenuhnya dan diperkenalkan pada tahun 2011 merupakan penyumbang signifikan kepada kejayaan Volkswagen di Malaysia hingga ke hari ini. Kami amat yakin bahawa jualan Jetta akan terus meningkat memandangkan kereta ini sudah dipasang di sini dan ditawarkan pada harga lebih kompetitif berbanding sebelumnya.”

Jetta merupakan insterpretasi moden Volkswagen ke atas reka bentuk sporty pada sebuah gaya klasik. Sejak diperkenalkan pada tahun 1979, Jetta popular dengan karekternya yang tersendiri. Gayanya yang unik digabungkan bersama reka bentuk sebenar dan ciri-ciri inovatif yang memiliki potensi untuk menarik kelompok pelanggan yang mahukan gaya serta elemen sporty dalam mobiliti mereka.

Bercakap sewaktu taklimat media, Pengarah Reka Bentuk Volkswagen China, Simon Loasby berkongsi prinsip rekaan yang diadaptasi oleh pasukan reka bentuk Volkswagen.

“Jetta memiliki rekaan dengan keseimbangan sempurna di antara elemen sporty dan elegan. Ia kemudian disokong oleh bahasa rekaan dalaman serta luaran yang unik, difikirkan secara mendalam dan konsisten. Ketika reka bentuknya yang bergaya dan tersendiri itu menarik perhatian serta tidak terlalu menonjol, Jetta turut menjanjikan pemanduan yang menyeronokkan. Pada masa sama memberi jaminan dari segi keselamatan dan mesra alam sekitar,” kata Loasby.

VW Jetta 2014.02

Enjin dan Prestasi

Sebagai sebuah kereta yang benar-benar memberi keyakinan menerusi kuasa dan keseimbangannya, Jetta menggabungkan enjin petrol pancitan terus bahan api bersama sistem pengecas berkembar TSI bersesaran 1.4 liter dengan kotak gear direct shift tujuh kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa mengagumkan iaitu 160PS dan tork 240Nm di antara 1,500 hingga 4,500rpm – menjadikannya antara kenderaan paling berkuasa dalam kelasnya.

Menjadi satu-satunya kereta dalam segmennya yang dilengkapi kotak gear tujuh kelajuan, sedan ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 8.3 saat. Ia juga berupaya mencapai kelajuan maksimum 221km/j – sekali gus menyerlahkan kemampuan atletiknya. Di sebalik prestasi sporty ini, Jetta menawarkan gabungan penggunaan bahan api sekitar 6.0l/100 km (16.7 km bagi setiap liter) dengan standard emisi Euro 5. Ini menjadikan Jetta peneraju dalam kelasnya dari segi penjimatan bahan api dan emisi.

Ciri-ciri hiburan yang dipertingkatkan

Ciri-ciri hiburan pada Jetta telah dipilih dengan teliti untuk pasaran Malaysia. Menawarkan rakyat Malaysia dengan pilihan rangkaian ketersambungan yang ekstensif, sedan elegan ini dilengkapi radio RCD320 bersama pelbagai opsyen ketersambungan seperti Bluetooth, slot kad SD, USB dengan antara muka iPod dan AUX-In. Paparan multi fungsi hadir bersama sokongan pelbagai bahasa. Sistem audio itu juga disokong dengan enam unit pembesar suara berkualiti tinggi.

Ciri-ciri Keselamatan

Ciri-ciri Keselamatan menjadi keutamaan buat Jetta. Beg udara hadapan dengan ciri penyahaktifan untuk beg udara penumpang hadapan, dua beg udara sisi, beg udara jenis curtain untuk penumpang hadapan dan belakang; Electronic Stability Control (ESC) dengan Anti-lock Braking System (ABS) dan Brake Assist (BA), serta kawalan ketika mendaki bukit dan alat pengesan hujan telah dipasang pada Jetta. Jetta yang dipasang tempatan juga didatangkan dengan penahan kepala pada tempat duduk hadapan yang dioptimumkan keselamatannya, selain poin meletak tempat duduk bayi (sistem ISOFIX).

Dalaman

Di dalam Jetta, terdapat pelbagai ciri estetik dan fungsi. Antaranya ialah stereng multi fungsi yang melengkapi tuil gear dan pemegang brek tangan yang dibalut kulit. Selain kemasan dekoratif ‘Black Pyramids’ pada papan pemuka dan panel pintu. Ciri-ciri berguna yang ada pada Jetta termasuklah cermin pandang belakang anti-silau, kawalan jelajah, empat tingkap kuasa automatik, ruang penyimpanan barang dengan fungsi penyejukan dan ruang but seluas 510 liter.

Mahu memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang, Jetta dilengkapi upholsteri tempat duduk fabrik ‘Sienna’, ketinggian kerusi hadapan boleh laras dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60/40. Di samping perehat tangan hadapan dan belakang boleh laras, serta sistem pendingin hawa automatik ‘Climatronic’ dengan kawalan suhu dua zon dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

VW Jetta 2014.03

Luaran

Jetta benar-benar memiliki DNA reka bentuk Volkswagen. Ia menampilkan rekaan garis yang cantik dan jelas menyerlahkan intipati sedan ini. Dipasang dengan rim aloi bersaiz 16 inci, gril krom dan paip ekzos berkembar, kereta ini turut dilengkapi lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang, sekiranya ada kabus ketika memandu. Lampu utama halogen hadir dengan ciri pengaktifan automatik bersama fungsi manual ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’. Manakala cermin sisi dengan lampu membantu pemandu ketika berada di kawasan yang gelap. Sedan ini juga dilengkapi Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang, serta cermin sisi yang boleh dilaras secara elektrik bagi memudahkan pemandu terutama ketika hendak memarkir kenderaan.

Jetta boleh didapati dalam empat pilihan warna: putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black). Jetta yang memiliki kejuruteraan Jerman dan dipasang di Malaysia sudah boleh ditempah di semua pengedar Volkswagen di Semenanjung Malaysia bermula 2 Mei pada harga yang semakin menarik iaitu RM 130,888 seunit.

Silakan kongsi:

PELANCARAN KEMPEN KESELAMATAN NISSAN 2014: Tingkatkan Kesedaran Mengenai Ikhtiar Hidup di Jalan dan Pemanduan Selamat

Pic_3

Johor Bahru, 26 April 2014 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini melancarkan Kempen Keselamatan Nissan di LEGOLAND® Malaysia Resort dengan objektif mahu meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mengenai kemahiran keselamatan jalan raya yang penting untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Tahun ini, Kempen Keselamatan Nissan merangkumi tiga program – Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan, ‘The Ride Way’ – Bengkel Keselamatan Jalan Raya Kanak-kanak danProgram Pemanduan Selamat. Bertemakan ‘Happiness in Motion’ yang diambil daripada konsep Nissan Grand Livina, ia mengingatkan kita bahawa kegembiraan paling indah adalah apabila ia dikongsi dengan mereka yang tersayang. Justeru, ETCM merakamkam detik “Kegembiraan adalah dengan Mengutamakan Keselamatan” pada Kempen Keselamatan Nissan yang terbaharu.

Kerjasama ETCM dengan rakan korporatnya, LEGOLAND Malaysia Resort dalam kempen keselamatan ini mampu membuatkan pembelajaran lebih seronok. Ini kerana ia menggabungkan proses pembelajaran dan masa berhibur untuk semua peserta dan keluarga masing-masing.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ David Chen dalam ucapannya menyatakan, “ETCM berbesar hati untuk menganjurkan Kempen Keselamatan Nissan sekali lagi. Keselamatan para pelanggan dan keluarga mereka adalah amat penting kepada kami. Kami harap boleh berkongsi dan menyampaikan mesej-mesej keselamatan jalan raya yang penting bagi mengelakkan kemalangan jalan raya serta membantu menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku kemalangan.”

Pic_1

Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan yang dianjurkan oleh ETCM dan dilaksanakan oleh Pengasas Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, Kapten K. Balasupramaniam bermatlamat untuk berkongsi tip-tip berguna tentang bagaimana untuk menangani situasi berbahaya berdasarkan situasi sebenar kemalangan jalan raya. Maka, pemandu akan lebih bersedia jika berdepan dengan situasi sebegini.

‘The Ride Way’ – Bengkel Keselamatan Jalan Raya Kanak-kanak yang diadakan di Sekolah Memandu Nissan di LEGOLAND Malaysia pula fokus untuk mendidik kanak-kanak mengenai kesedaran keselamatan jalan raya dengan mengajar mereka undang-undang lalu lintas – menghormati dan mematuhinya – serta peka terhadap trafik di sekeliling mereka bagi mengelakkan kemalangan. Pada bulan Jun, bengkel ini akan diadakan di tadika-tadika dan pusat pendidikan swasta di Lembah Klang.

ETCM berhasrat untuk membawakan kempen keselamatan ini kepada semua pelanggan Nissan. Justeru, Bengkel Ikhtiar Hidup di Jalan akan diperluaskan ke seluruh Malaysia, diikuti oleh Program Pemanduan Selamat. Lokasi setiap bengkel adalah seperti berikut:

Silakan kongsi:

Gambar Risikan: Nissan Sylphy 2014?

image

Nissan Sylphy sudah lama berada di dalam pasaran tempatan dan di beberapa negara utama model gantiannya sudah pun dilancarkan.

Sylphy adalah saingan dan alternatif antaranya kepada Honda Civic, Toyota Corolla Altis, Kia Forte dan Hyundai Elantra.

Foto terdedah tanpa sebarang penutup di atas treler pengangkut ini mungkin indikasi kepada tarikh pelancaran yang semakin hampir.

Silakan kongsi: