Honda Malaysia Membuat Panggilan Semula Untuk Mengganti Beg Udara City, Civic, CR-V, Jazz dan Accord

Honda Malaysia mengumumkan untuk memanggil semula 46,710 model terpilih. Sejumlah 26,186 unit model yang terdiri daripada City (2008-2009), Civic (2007 – 2009), CR-V (2007 – 2008) dan Jazz (2007 & 2009). akan menerima gantian peledak beg udara penumpang hadapan. Manakala 20,524 unit Accord (2003 – 2007) pula akan menerima gantian peledak beg udara pemandu.

Langkah berjaga-jaga ini adalah untuk menggantikan peledak beg udara pemandu dan penumpang untuk model yang terjejas. Honda Malaysia mengambil langkah proaktif ini bagi memastikan keselamatan pelanggan dan menyesali sebarang kesulitan yang dialami pelanggan. Honda juga memberi jaminan kesemua model jualan sedia ada tidak terlibat dengan program ini.

Honda Malaysia akan memaklumkan kesemua pelanggan terjejas melalui surat yang mengandungi butiran penggantian. Pelanggan yang menerima surat tersebut dinasihatkan untuk menghantar kenderaan mereka ke pusat bertauliah Honda berkaitan untuk pemeriksaan. Kerja penggantian akan dilakukan apabila alat ganti tersebut berada di dalam stok dan sebarang kos akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Pemilik kenderaan boleh memeriksa status kemaskini produk mereka dengan membuat panggilan ke talian bebas tol Honda 1-800-88-2020, mengunjungi pusat bertauliah Honda atau melayari www.honda.com.my

Air Bag Honda Recall

Silakan kongsi:

Perodua Sumbang Baucar RM250 – RM450 Kepada 9,400 Pekerja

Masjid Perodua 2015.01

Sebagai inisiatif membantu pekerja dalam masa yang mencabar, Perodua menyumbangkan baucar membeli-belah berjumlah RM250 hingga RM450 kepada 9,400 pekerjanya di seluruh negara.

“Dengan peningkatan kos hidup, kami mengambil langkah yang terbaik untuk membantu staf kami. Kami percaya baucar membeli-belah ini dapat membantu terutama sekali bagi mendapatkan barang keperluan sempena Ramadan dan Aidil Fitri,” kata Datuk Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua.

Baucar membeli-belah itu boleh ditebus di pasar besar terpilih.

“Penerima baucar adalah staf yang telah menerima pengesahan kerja dan di dalam kategori bukan eksekutif dan eksekutif junior dan kami berharap ianya akan digunakan untuk kebaikan famili dan yang tersayang,” kata Aminar.

Masjid Perodua 2015.02

Selain daripada itu, Perodua turut menambah baik kemudahan pekerja dengan membina Masjid dan pusat jagaan kanak-kanak di Ibu pejabat Perodua di Sungai Choh yang dijangka akan beroperasi pada tahun depan. Masjid tersebut yang mampu memuatkan 4,000 jemaah turut dibuka untuk komuniti berhampiran.

Perodua mempunyai 11,000 staf di 6 syarikat iaitu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (syarikat induk), Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Sales Sdn Bhd.

 

Silakan kongsi:

RAIKAN “RIANG RAYA” BERSAMA ETCM

Photo_Riang Raya Campaign

Sempena kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan “Kempen Riang Raya”, satu kempen unik yang tidak pernah ETCM tawarkan kepada para pelanggannya sebelum ini.

Kempen Riang Raya berlangsung sepanjang bulan Jun dan Julai, dan ETCM akan menghadiahkan enam pemenang bertuah peluang untuk menganjurkan Rumah Terbuka mereka sendiri. Rumah terbuka itu bernilai RM50,000 yang merangkumi semua kemudahan untuk menganjurkan majlis. Ini termasuklah dekorasi, sewa tempat, sistem bunyi, makanan, minuman serta banyak lagi (tertakluk kepada terma dan syarat). Apa yang perlu dilakukan oleh pelanggan adalah menghantar borang penyertaan dengan setiap pembelian sebuah kenderaan Nissan.

Kami sentiasa mencari cara yang inovatif untuk memberi ganjaran kepada para pelanggan. Kami percaya bahawa konsep “Kempen Riang Raya” tidak pernah dilakukan lagi sebelum ini,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng. “Peluang untuk merancang sambutan perayaan mereka adalah satu cara kami di ETCM untuk lebih dekat dengan para pelanggan. Kami juga boleh terlibat dalam menghasilkan momen-momen indah untuk dikongsikan bersama rakan-rakan dan mereka yang tersayang. Jadi, kami sangat berbesar hati untuk melaksanakan rumah terbuka ini.”

Sebagai sebahagian daripada sambutan Riang Raya, ETCM turut melanjutkan Kempen Promosi RM1.00. Dengan hanya RM1.00 pelanggan boleh membeli NISMO Aerokit untuk model Almera atau IMPUL Aerokit untuk Grand Livina atau Sylphy. Promosi RM1.00 juga melibatkan paparan Sistem Navigasi Multimedia bersaiz 8 inci dengan pembelian Teana atau X-Trail 2.5. Sebagai tambahan, pelanggan yang membeli X-Trail 2.0 layak menambah tempat duduk kulit pada harga hanya RM1.00.

Kempen RM1.00 turut dilanjutkan kepada beberapa varian Navara terpilih yang membolehkan pelanggan mendapatkan Pakej Navi-Plus. Sebagai tambahan, untuk promosi Serena S-Hybrid, pelanggan boleh menikmati servis penyelenggaraan percuma selama dua tahun (tertakluk kepada terma dan syarat).

Bagi memeriahkan lagi Hari Raya, ETCM juga menawarkan pelanggan peluang untuk memenangi sebuah iPad Air 2 apabila mereka memandu uji kereta di mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Silakan kongsi:

INFINITI LANCAR Q70 SERBA BAHARU DI MALAYSIA

Infiniti Q70 2015.05

Infiniti Malaysia melancarkan kereta sedan mewah prestasi unggulnya, iaitu Infiniti Q70, sekali gus menambah lagi barisan model keretanya selepas pelancaran Sedan Sport Premium Infiniti Q50 tahun lepas. Infiniti Q70 serba baharu ini merangkumi semua ciri intipati Infiniti dari segi gaya, prestasi, kemewahan, kehalusan pembinaan dan teknologi.

“Matlamat kami ialah untuk menawarkan kepada mereka yang tidak berselesa dengan sekadar kesederhanaan. Malah untuk mereka yang mengejar kepelbagaian dalam hidup serta berani untuk mendampingi kepelbagaian dan perbezaan. Bagi mereka yang ingin mencapai impian dengan Infiniti Q70 serba baharu ini,” ujar En. Michael Cope, Pengurus Kanan Serantau, Pasaran Asia & Oceania, Infiniti Motor Ltd.

Dengan pengenalan ini, Infiniti seiring dengan strateginya menawarkan tiga jenis enjin V6 iaitu varian Q70 2.5L, 3.7L dan 3.5L Hibrid bagi pasaran Malaysia.

Infiniti Q70 2015.27

REKABENTUK FLAGSHIP EKSPRESIF

Keharmonian rekabentuk teperinci Infiniti Q70 menyerlahkan luaran yang tegap dan penuh gaya, menjadikan ia lebih menonjol berbanding dengan kereta sedan mewah tradisional buatan Eropah. Infiniti Q70 serba baharu ini didatangkan dengan lampu depan LED yang menggerunkan, rekaan signatur dwi lengkung hadapan berserta gril dengan alunan corak gelombang, bamper depan sport dan lampu kabut LED bersepadu. Manakala bahagian belakangnya menampilkan lampu kombinasi LED, bentuk bonet yang baru dengan kemasan krom di belakang. Bamper belakang dipasang dengan dwi ekzos yang besar dengan kemasan berkilat menampilkan kestabilan dan kekuatan.

Luaran Infiniti Q70 yang dengan pelbagai lapisan menyeimbangkan sistem pacuan roda belakang dengan hod yang panjang dan rendah, serta dek yang lebih tinggi, bagi menghasilkan pemalar heretan aerodinamik yang rendah pada 0.27 (Cd) di samping menyediakan ruang kabin yang cukup lapang. Penampilan sporty Q70 diserlahkan dengan rim standard Infiniti 18 inci (atau rim 20 inci yang tersergam gah sebagai pilihan) serta garis lekuk dapra dan pintu yang lebih tegap, menjadikan ia tampil sporty, dinamik dan penuh bertenaga.

Ciri-ciri luaran Infiniti Q70 serba baharu termasuk bumbung moonroof kaca gelap yang dibuka/ditutup dengan satu sentuhan, peredup sendeng dan gelongsor, cermin sayap pemanasan boleh lipat dan sendeng terbalik yang diintegrasikan dengan lampu penunjuk LED, bilah pengelap cermin hadapan dengan pengesan hujan dan lampu aluan pada pemegang pintu.

Infiniti Q70 2015.07

REKAAN DALAMAN YANG MANAMBAT HATI

Di samping rekaan luaran yang menawan, keselesaan pemandu dijadikan tumpuan rekabentuk dalaman. Tujuannya demi menghasilkan rekabentuk berfungsi dan memperlihatkan penampilan elegan, yang menggabungkan kemahiran seni dengan kejituan, keselesaan dengan inovasi – memberi sokongan kepada peningkatan mutu memandu dan nikmat buat penumpang.

Kerusi balutan kulit, kawalan suhu, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan berkuasa 10 cara dengan penyokong lumbar berkuasa 2 cara merupakan ciri standard bagi semua varian, bersamaan dengan sistem peringatan dua penumpang untuk tempat duduk pemandu, roda steering dan cermin sayap – boleh dipautkan dengan kunci pintar individu. Tambahan pula, setiap kunci pintar ini dilengkapi daya ingat kawalan suhu dan audio terakhir. Kemasan kayu White Ash berkilat bersama kemasan perak menyerlahkan lagi kemewahan dan keanggunan Infiniti Q70.

Kawalan Bunyi Aktif menjana bunyi “pembatalan” dari empat pembesar suara pintu (dan subwufer untuk model yang dilengkapi dengan sisitem audio Bose®) untuk mengurangkan harmonik enjin. Tahap bunyi dalam kabin dikawal oleh dua mikrofon yang terletak di bumbung kereta Q70, membolehkan pemandu dan penumpang menikmati ketenangan dan keselesaan dalam kabin tanpa melakukan apa-apa.

Dalam Sistem Audio Premium BOSE®, 10 unit pembesar suara dilengkapi dengan pembesar suara Neodymium yang ringan dan berkuasa tinggi mengelilingi anda, untuk menghasilkan kualiti bunyi yang lebar dan luas, lagi imersif. Sistem Navigasi Cakera Keras Infiniti dipaparkan melalui skrin sesentuh warna beresolusi tinggi saiz 8-inci. Pemainan audio melalui Bluetooth dan Music Box® 9.3GB dapat menyediakan koleksi lagu-lagu pilihan peribadi.

Infiniti Q70 2015.26

KEUNGGULAN ENJIN, PEMANDUAN DINAMIK SEMULA JADI

Q70 serba baharu berenjin 2.5L V6 218hp dan 253Nm berputaran tinggi dipadankan dengan CVTCS (Continuosly Variable Valve Timing Control System). CVTCS mampu mengoptimalkan pembukaan injap pengambilan dan ekzos untuk mempertingkatkan tindak balas dan kecekapan.

Sementara enjin 3.7L V6 Q70 pula dilengkapi dengan sistem VVEL (Variable Valve Event & Lift). Sistem VVEL menggabungkan hydraulic-controlled variable valve timing dengan electronically controlled variable valve lift di bahagian pengambilan untuk membantu meningkatkan prestasi dan tindak balas. Enjin V6 bersesaran VVEL dan DOHC 24 injap, model Q70 3.7L ini menghasilkan kuasa sehingga 320hp pada 7,000rpm dan tork 360Nm pada 5,200rpm.

Prestasi Q70 model 3.5 hibrid yang tiada tandingannya menampilkan rangkaian kuasa hibrid selari 2-klac, 1-motor, menerusi sistem kombinasi menjana kuasa 360hp dan 350Nm. Ia mampu memecut dari 0 – 100km/j dalam tempoh kurang daripada 6 saat. Rekabentuk dengan kejuruteraan mahir, teknologi kawalan bermotor kelajuan tinggi ini membenarkan peralihan tanpa jeda di antara enjin petrol dan motor elektrik, menawarkan pemanduan yang lancar dan responsif dengan daya pecutan yang menakjubkan yang menjangkaui apa yang biasa difikirkan daripada hibrid.

Semua varian Q70 dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan terperinci Infiniti yang standard dan disertakan dengan teknologi Adaptive Shift Control (ASC) dan mod peralihan manual. Salah satu kelebihan ialah Downshift Rev Matching yang sangat agresif, ia mampu membantu kuasa enjin meningkat kepada rpm yang betul secara mendadak demi anjakan menurun yang cepat dan lancar.

Ciri-ciri unik seperti Pilihan Mod Memandu (Drive Mode Selector), merupakan sistem kawalan integrasi yang membenarkan pemandu membuat pilihan daripada empat jenis mod pemanduan bergantung kepada keadaan jalan atau corak pemanduan yang diingini, dengan satu butang dail yang terletak di konsol tengah. Setiap mod pemanduan, sama ada Standard, Eco, Sport atau Snow, menyesuaikan kepekaan pendikit dengan pemetaan transmisi untuk membantu mengoptimumkan prestasi. Mod pemanduan Sport diprogramkan dengan titik anjakan transmisi yang lebih tinggi dan daya pecutan yang lebih kuat. Anggaran penjimatan bahan api (kombinasi) dicatatkan pada 12.1km/L untuk varian Q70 2.5L, 11.8km/L untuk varian Q70 3.7L dan 14.5km/L untuk varian Q70 3.5 Hibrid.

Susun atur enjin depan-tengah Q70 dengan enjin diletakkan di belakang gandar, tetapi di bahagian hadapan pemandu, dapat mengagihkan berat kereta dari depan hingga belakang dengan baik. Dengan berat gandar depan yang lebih sedikit daripada gandar belakang, ia berkemampuan untuk mengoptimumkan respons dan halaan. Ia adalah sedan sport sepenuhnya.

Setiap jenis varian Q70 didatangkan dengan Vehicle Dynamic Conrol (VDC) bersama Traction Control System (TCS) Infiniti yang canggih. VDC dapat menyelaraskan tekanan brek dan tork enjin secara automatik pada keadaan tertentu semasa kenderaan hampir mencapai had pengendalian, agar membantu pemandu mengawal kenderaan dengan berkesan.

Infiniti Q70 2015.14

CIRI-CIRI KESELAMATAN

Infiniti Q70 dilengkapi dengan 6 beg udara; beg udara depan, dua beg udara tepi yang dipasang pada tempat duduk hadapan dan beg udara langsir standard yang dipasang pada bumbung kereta, memberikan perlindungan kepala kepada penumpang depan dan belakang.

Ia juga dilengkapi tali pinggang keledar Pre-Crash hadapan dengan pra-penegang dan pengehad beban yang akan menegang pada ketika brek, manakala Sandaran Kepala Depan Aktif membantu melindungi bahagian kepala daripada kecederaan jenis whiplash. Perlindungan untuk semua penumpang dan pemandu dengan binaan Zon Badan zon remuk hadapan dan belakang serta Sistem cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Penampilan Infiniti Q70 disempurnakan dalam lima warna pilihan: Hermosa Blue, Malbec Black, Liquid Platinum, Graphite Shadow dan Moonlight White dengan kemasan mutiara.

Harga jualan termasuk GST (tidak termasuk insurans):

  • Q70 2.5L : RM295,000
  • Q70 3.7L : RM375,000
  • Q70 3.5L Hibrid : RM420,000

Klik untuk galeri penuh Infiniti Q70

Silakan kongsi:

Infiniti Catat Rekod Jualan Global Pada April Dengan Jualan Sebanyak 16,700 Unit

Infiniti QX80 2015.07

Hong Kong, 15 Mei 2015– Dengan rekod jualan terbaik yang dicapai oleh Infiniti pada suku pertama 2015, syarikat dilihat meneruskan momentum tersebut ke bulan April. Bulan lalu, Infiniti berjaya menjual 16,700 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 1,700 unit atau 12% berbanding April 2014. Ini sekali gus menjadikan bulan April yang terbaik dalam sejarah Infiniti.

“Momentum memberangsangkan yang kami capai pada awal tahun diteruskan ke bulan April,” kata Presiden Infiniti, Roland Krueger. “Kami akan terus mengimplementasikan strategi pertumbuhan demi menjadikan Infiniti sebagai satu jenama premium utama dalam industri automotif. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan di seluruh dunia yang menjadikan Infiniti sebagai satu pembelian yang mereka yakini.”

Sekali lagi, keempat-empat rantau jualan global Infiniti menyumbang kepada pertumbuhan ini. Rantau jualan terbesar Infiniti iaitu Amerika Syarikat mencatatkan jualan lebih 11,000 unit kenderaan, kenaikan 8% sejak setahun lalu.

Di China, di mana Infiniti membuat penampilan signifikan di acara Shanghai Auto Show di bulan April, lebih 3,750 unit berjaya dijual dalam bulan itu sahaja. Ia merupakan peningkatan sebanyak 41% atau 1,100 unit kenderaan berbanding April 2014, sekali gus mencatat rekod bulanan terbaik dalam sejarah Infiniti di China.

Infiniti QX80 2015.08

Di rantau EMEA (Eropah, Asia Barat dan Afrika), Infiniti telah berjaya menjual lebih 1,450 unit kenderaan juga pada bulan April. Ia didorong oleh pertumbuhan kukuh yang dicatatkan di pasaran Eropah, Asia Barat dan Afrika berbanding tempoh sama tahu lalu.

Pasaran Asia dan Oceania juga mencatat rekod terbaik pada bulan April. Infiniti telah menjual kira-kita 400 unit kenderaan di rantau tersebut, rata-rata meneruskan pertumbuhan syarikat sebanyak 19% berbanding tahun 2014.

Jumlah jualan Infiniti di Malaysia juga telah meningkat dengan mendadak berikutan pengenalan sedan sports premium Q50. Ia mencatat peningkatan sebanyak 143% berbanding 9 bulan selepas dan sebelum pelancarannya. Pada Mac lalu, Infiniti Malaysia turut melancarkan SUV mewah lapan tempat duduk QX80. QX80 nyata diterima baik oleh pemimpin korporat dan kapten industri yang mahukan prestasi serta keselamatan terbaik daripada SUV mereka.

Silakan kongsi:

Perodua Melancarkan Pusat 3S Pertama Bernilai RM40 Juta.

Perodua 3S 2015.01

Perodua baru-baru ini melancarkan Pusat 3S (Jualan, servis dan alat ganti) pertama di Seksyen 19, Petaling Jaya. Pusat 3S itu merupakan sebahagian daripada program transformasi kepuasan pelanggan yang bermula pada tahun 2011. Pusat 3S yang dikenali sebagai Perodua Sentral merupakan penanda aras baharu untuk Perodua di dalam khidmat selepas jualan.

“Pusat baharu ini akan menetapkan standard dan penanda aras baharu untuk kesemua outlet kami di dalam negara dengan fokus kepada kepuasan pelanggan.”

“Ianya akan menjadi pencetus kepada usaha kami di dalam mengukuhkan jenama dan kedudukan di dalam pasaran domestik di samping meningkatkan kehadiran kami di dalam kawasan serantau,” kata Datuk Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua.

Menurut beliau, penambah baikan ini merupakan hasil daripada kajian selama 5 tahun di dalam inisiatif transformasi untuk menjadi kompetitif di peringkat global. Transformasi tersebut dikenali sebagai “Transformasi Produksi”, Transformasi Produk”, Transformasi Pembelian dan R&D dan “Transformasi Kepuasan Pelanggan”.

Menurut Datuk Aminar, tiga lagi inisiatif transformasi sedang dijalankan dengan Perodua Axia sebagai model pertama di bawah transformasi produksi.

“Fasiliti baharu ini akan mempunyai café Perodua yang tersendiri di dalam bilik pameran yang menawarkan hidangan istimewa yang bakal menarik perhatian orang ramai untuk datang berkunjung,” kata Datuk Aminar.

Pusat 3S itu yang berharga RM40 juta untuk dibina mempunyai 2 tingkat parkir tingkat bawah (184 petak parkir), bilik pameran, 37 ruang servis, 2 tingkat pusat jualan dan khidmat lepas jualan dan satu tingkat untuk ruang acara.

Menurut Datuk Aminar, Perodua sedang berusaha untuk membina Pusat 3S serupa di pasaran terpilih seluruh negara bagi memastikan transformasi menyeluruh di dalam meningkatkan kepuasan pelanggan.

Silakan kongsi:

Aksesori GearUp Untuk Perodua Axia

Perodua Axia GearUp 2015.06

Perodua baru-baru ini melancarkan jenama aksesori untuk kenderaannya yang dikenali sebagai GearUp. Opsyen ini memberi pilihan kepada pelanggannya untuk tampil dengan gaya tersendiri. Aksesori GearUp terdiri dari perkakasan dalaman dan luaran dengan harga permulaan dari RM260 hingga RM3,600.

“Aksesori ini adalah untuk pelanggan yang mempunyai citarasa unik dan boleh dipasangkan sebelum keluar bilik pameran,” kata Datuk Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua.

Menurut beliau, nama GearUp dipilih bagi menimbulkan rasa kepada pelanggannya untuk menaik taraf model kegemaran mereka mengikuti citarasa masing-masing. Aksesori GearUp akan mula ditawarkan kepada pelanggan Axia bermula dari bulan April disusuli Myvi pada bulan Mei 2015. Pemilik model lain akan ditawarkan secara berperingkat pada masa depan.

“Perodua turut menawarkan liputan waranti untuk aksesori GearUp kerana kualiti dan keselamatan adalah keutamaan kami,” kata Aminar.

Perodua Axia GearUp 2015.07

Aksesori tersebut juga boleh didapati melalui pakej istimewa. Pelanggan dapat menikmati harga yang menarik (termasuk pemasangan dan CBP) melalui pakej aksesori yang ditawarkan. Sehingga 31 Ogos tahun ini, pelanggan dapat menikmati harga pengenalan istimewa serendah RM2,200. Aksesori GearUp boleh dipesan di 182 pusat jualan dan 183 pusat servis seluruh negara mulai sekarang.

Setakat 31 Mac 2015, Perodua telah menyerahkan sebanyak 60 ribu unit Axia sejak dilancarkan pada September 2014 dengan jumlah tempahan dari 15 Ogos 2014 hingga 13 April 2015 sudah mencecah 100 ribu unit.

Silakan kongsi:

Boon Siew Honda Melancarkan Honda EX5 Dream FI

Honda EX5 Dream FI 2015.06 Boon Siew Honda baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharunya, Honda EX5 Dream FI yang merupakan generasi terkini siri EX5. Honda EX5 Dream FI kini lebih berkuasa, menawarkan prestasi dinamik, lebih pantas dan selamat, selain memiliki penampilan lebih sporty dan menarik. Ia turut mengekalkan ciri-ciri seperti praktikaliti, kualiti, penjimatan bahan api dan bernilai untuk wang. Ciri-ciri serba baharu dan dipertingkatkan pada Honda EX5 Dream FI telah direka khas untuk pasaran Malaysia. Model ini merupakan versi yang dinaik taraf daripada model EX5 Dream 110 yang dilancarkan pada tahun 2013. Ciri-ciri tersebut direka berdasarkan kepada maklum balas dan komen daripada pelanggan terhadap model EX5 Dream 110. EX5 Dream FI adalah edisi EX5 yang baharu dan telah ditambah baik. Ia merupakan model naik taraf daripada model EX5 110 yang dikenali dan telah dilancarkan dua tahun lalu. EX5 Dream FI ialah produk yang Boon Siew Honda boleh syorkan dengan penuh yakin kerana spesifikasinya direka berdasarkan kepada kehendak pelanggan. Honda EX5 Dream FI 2015.07 EX5 Dream FI ialah model cub pertama dalam kelasnya yang dipasang dengan teknologi baharu iaitu sistem enjin FI yang dibangunkan untuk meningkatkan kuasa serta penjimatan bahan api. Jadi, menunggang di lebuh raya dan jalan biasa pastinya lebih lancar berbanding sebelumnya. Menerusi penggunaan teknik kawalan elektronik, sistem pancitan bahan api (FI) membolehkan enjin hanya memerlukan nisbah udara-bahan api yang minimum. Hasilnya, ia mampu menawarkan prestasi yang mesra alam dan kualiti tunggangan lebih baik. Sistem FI biasanya digunakan pada motosikal berenjin lebih besar dan motosikal lumba seperti MotoGP untuk kawalan yang lebih efektif.

Menerusi kombinasi enjin 110cc dan sistem FI pada EX5 Dream FI, model baharu ini mampu menawarkan kuasa, pecutan dan penjimatan bahan api yang lebih tinggi. Tangki minyak berkapasiti 4.3L yang telah ditambah baik itu pasti dapat mengurangkan kekerapan mengisi petrol. Sekali gus menawarkan kemudahan kepada penunggang untuk perjalanan yang lebih jauh.   Boon Siew Honda turut menyatakan ciri-ciri keselamatan termaju yang ada pada model EX5 Dream FI. Rekaan yang mengasingkan lampu belakang dan lampu isyarat membelok membolehkan kenderaan lain dari arah belakang melihat penunggang EX5 Dream FI dengan lebih mudah. Panel meter dengan rekaan baru pula menampilkan tolok dan penunjuk yang lebih jelas dan mudah dilihat. Ciri ini memang berguna untuk mereka yang menunggang pada waktu malam dan di laluan yang gelap.

Honda EX5 Dream FI 2015.08

Dari segi penampilan pula, EX5 Dream FI direka agar kelihatan lebih moden dan bergaya. Penutup bahagian kepala yang tirus dengan logo krom memberikan tarikan yang menawan dan sporty. Penutup mufler krom pula bukan sahaja kelihatan lebih menarik, malah turut bertindak sebagai ciri keselamatan tambahan. EX5 Dream FI yang boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah metalik (Euphoria Red Metallic), biru metalik (Vital Blue Metallic) dan ungu metalik (Mariana Purple Metallic). Harga di bilik pameran (motosikal sahaja) ialah  RM4299 (penghidup kaki). Boon Siew Honda yakin bahawa harga yang menarik dan ciri-ciri hebat ini akan memacu jualan EX5 Dream FI untuk mencapai sasaran 37,200 unit pada tahun ini.

Silakan kongsi: