NISSAN SYLPHY DAN LIVINA X-GEAR SERBA BAHARU TALAAN IMPUL

SEPANG (10 Jun 2012) – Sempena acara Autobacs Super GT Series 2012 (Pusingan 3) yang bakal diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 10 Jun 2012, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan melancarkan dua varian sporty Nissan Talaan IMPUL yang menarik. Impul merupakan syarikat talaan Nissan yang terkenal berasal dari Jepun.

Dua varian itu ialah Nissan Livina X-Gear Talaan IMPUL dan Nissan Sylphy Talaan IMPUL yang menampilkan aksesori-aksesori eksklusif serta dihasilkan khas untuk model-model Nissan popular tersebut.

“Kami amat teruja untuk menawarkan varian-varian Nissan Livina X-Gear dan Nissan Sylphy yang lebih sporty ini kepada peminat. Ia telah ditala dan dibangunkan khas oleh rakan perniagaan ETCM, iaitu IMPUL dari Jepun. Varian-varian ini khusus untuk mereka yang ingin memandu kenderaan lebih sporty dan eksklusif,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng.

Tambah Dato’ Dr. Ang Lagi, sejak IMPUL diperkenalkan di Malaysia empat tahun lalu, varian-varian yang ditala oleh IMPUL cukup popular dan telah menyumbang kira-kira 10% daripada jualan setiap model. Beliau turut memberi jaminan bahawa aksesori-aksesori tersebut adalah berkualiti tinggi dan dipasang secara profesional oleh kakitangan berpengalaman.

NISSAN LIVINA X-GEAR TALAAN IMPUL

Peredam Ekzos IMPUL Blast 2 – Peredam ekzos yang diperbuat daripada besi tahan karat dengan kemasan berkilat dan logo IMPUL ditempa pada hujung paip ekzos. Selain daripada meningkatkan penampilan kenderaan, peredam ini turut menawarkan maklum balas enjin lebih baik dan bunyi lebih sporty.

Rim Aloi IMPUL Aura SX-20 – Dengan kemasan berwarna hitam berkilat, rim bersaiz 17 inci ini memberikan sentuhan sporty dan mewah kepada kenderaan. Proses tuang Super Cast yang digunakan oleh IMPUL membuatkan rim 20% hingga 30% lebih ringan berbanding proses tuang konvensional. Ini meningkatkan prestasi kereta tanpa menjejaskan kualiti, kekukuhan dan lebih penting lagi, keselamatan.

Sistem Suspensi IMPUL Sports – Terdiri daripada penyerap hentak dan pegas gegelung, sistem suspensi sports ini telah ditala khas oleh para jurutera IMPUL demi memberikan pengendalian lebih sporty. Ketinggian pemanduan telah dikurangkan dengan cara meningkatkan sokongan daya sisi apabila mengambil selekoh. Ia juga mampu menambah ciri-ciri membelok secara semula jadi yang ada pada Nissan Livina X-Gear. Keselesaan pemanduan dikekalkan bagi memastikan perjalanan jauh yang lebih menyeronokkan.

Aerokit Lengkap Wing Spoiler Belakang IMPUL – Wing spoiler yang menjadi tanda IMPUL memastikan laluan angin dioptimumkan ketika melalui bebayang bentuk (silhouette) maskulin kenderaan.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Proton Saga 1.5s CAE 3240 Hilang!

Salam skru GT.

Gua nak mintak tolong kat korang untuk kali kedua berkaitan kereta hilang. Kereta Proton Saga 1.5s warna biru yang hilang ni kepunyaan mak mertua gua. Gua yang jaga dan belai kereta ni. Kereta ni hilang kat depan Mentari Kondominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Sedar kereta hilang pagi semalam.

Spek kereta:

Proton Saga 1.5S Sedan 1990.

Plat No CAE 3240.

No plat depan cicir nombor ‘0’ (mean dari depan nampak CAE 324 je).

Warna biru pekat.

Tinted kaler perang.

Dalaman 99% standard Proton Saga (kecuali player ngan speaker je yg lain).

Seat pemandu ada koyak sket kat bahagian punggung.

Stereng standard balut dengan PU kaler hitam.

Ada gear lock Eontech (yang macam Iswara 95-97 banyak pakai tu).

Luaran 99% standard Proton Saga (kecuali sport rim dan lowered).

Enjin 100% standard Proton Saga 1.5.

Atau dengan erti kata lain gua dah restore kereta ni hampir standard kilang kerana gua ni pencinta Saga. Side mirror die kaler lain sebelah kanan (kaler biru cair Saga 1.5i tahun 88) sebab gua swap side mirror ni ngan Saga 1.5i Aeroback gua. Gua amat berharap kereta ni dijumpai semula sebab mak mertua gua sangat sayang kereta ni. Gua pun sayang kereta ni. Kereta ni ada sentimental value untuk family mertua gua dan gua.

Terima kasih semua…

Klik untuk lebih gambar

Silakan kongsi:

ETCM ADAKAN KEMPEN PENYELENGGARAAN UNTUK NISSAN URVAN

KUALA LUMPUR (11 Jun 2012) – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah diberitahu secara rasmi oleh pihak Nissan Motor Ltd Japan bahawa beberapa unit Nissan Urvan yang dikeluarkan dan dijual ETCM mungkin terlibat dalam kempen penyelenggaraan baru-baru ini. Alat-alat ganti yang terjejas ialah hub bearing (galas hab) bahagian hadapan (dipasang oleh ETCM sejak Mei 2007 hingga Mac 2011) dan pendakap pedal klac (dibuat di Jepun sejak 7 Mei 2001 hingga 25 Januari 2007).

Kempen penyelenggaraan ini merupakan satu langkah pencegahan untuk memeriksa galas hab dan pendakap pedal klac. Sekiranya perlu, alat-alat yang terjejas akan diganti untuk model ini.

Pusat Servis Express Auto Tan Chong akan menghubungi pemilik Nissan Urvan yang terlibat untuk proses penukaran alat ganti. Para pelanggan Nissan juga boleh menghubungi Hotline Perkhidmatan Pelanggan di talian Tol PERCUMA: 1800-88-8368 untuk mendapatkan bantuan. Semua kos buruh dan penggantian alat adalah percuma.

@muhd_gt

ps: Gambar GT-R tu saja gua buat penyeri.

Silakan kongsi:

Aslam Farikullah Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Operasi Group Lotus

Dany Bahar (gambar bersama Akio Toyoda), Ketua Pegawai Eksekutif Lotus yang bertanggungjawab dalam projek Lotus New Era telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Lembaga Pengarah Group Lotus.

Dany Bahar mempunyai cita-cita tinggi untuk mengembalikan kegemilangan Lotus dengan memperkenalkan lima model konsep (Elise, Elan, Esprite, Elite dan Eterne) sekaligus dan telah meletakkan semula Lotus ke habitat asalnya iaitu di litar lumba. Beliau juga telah berjaya menarik beberapa nama besar ke dalam Lotus antaranya Donato Coco, Gino Rosato dan Claudio Berro dari Ferrari dan Wolf Zimmerman dari AMG.

Serentak dengan pemberhentian itu, syarikat melantik Aslam Farikullah sebagai Ketua Pegawai Operasi berkuat kuasa serta merta. Aslam berusia 51 tahun dengan 26 tahun pengalaman bekerja yang mana majoritinya di dalam bidang automotif di dalam dan luar negara. Beliau merupakan graduat Universiti Bath, England di dalam jurusan Sains (Kep) di dalam Kejuruteraan. Aslam adalah pemegang kerakyatan Britain dan telah berkahwin dengan warga Britain selama 27 tahun dan mereka mempunyai tiga orang cahaya mata.

Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom dan Pengerusi Lotus memberi jaminan bahawa mereka komited dengan pelan masa hadapan Lotus dan akan membawa syarikat itu ke tahap seterusnya dan kekal relevan di dalam industri automotif global.

Silakan kongsi:

Sejak 9/6/9 – GearTinggi.com Kini Tiga Tahun!

Beberapa hari sebelum ini gua memang ada mencongak tarikh ulang tahun GearTinggi. Apabila pengehosan blog tamat dan digantung sementara disebabkan terlupa bayar (lame reason) maknanya tarikh ulang tahun GT semakin dekat.

Dan hari ini gua ada terima emel ucap Selamat Ulang Tahun GT yang buat gua sentap sekejap sebab boleh lupa tarikh penting blog kesayangan gua ini dan percaya lu orang punya blog kesayangan juga.

Hari ini GT genap tiga tahun sejak dari 9/6/9 dan boleh dikatakan gua agak gembira dengan pencapaian GT.  Tujuan utama gua tulis blog GT ialah supaya ianya dapat menginspirakan rakyat dan membantu negara kita supaya lebih kuat dengan industri automotifnya dan paling penting sekali gua harap sumbangan gua ini dikira sebagai ibadah dan sentiasa diredhai Allah.

Gua yakin lu orang pun ada nak cerita dan komen pasal GT, ruangan kat kotak komen tu untuk lu orang have fun dan gua akan balas komen lu orang.

Terima kasih sebab menjadikan GT sentiasa di hati lu orang!

@muhd_gt

ps: Kat atas tu alamat twitter gua kalau lu orang nak follow.

Silakan kongsi:

Cerita Perodua Saya

Kepada Sekutu yang baru tahu dan dah memang tahu, Perodua telah melancarkan satu kempen, pada perkiraan gua salah satu bentuk promosi jugalah sebenarnya. Lu orang boleh hantar dalam bentuk 3gp mahupun jenis yang bertulis. Bagitahu sajalah apa yang lu orang rasa. Nak puji ke, nak kutuk ke Perodua akan tetap menerimanya dengan hati yang redha, cheewah. Jadi silalah ke laman sesawang berikut http://peroduastory.com.my/story/ . Sekarang jom baca apa yang gua beritahu sama itu MD Perodua.

Cerita Perodua Saya

Saya adalah keluarga Perodua. Maksud saya, kesemua ahli keluarga saya memiliki kenderaan berjenama buatan Rawang ini. Kisah saya dan Perodua bermula pada 2004, dimana pilihan hati saya pada waktu itu adalah Kenari Aerosport berwarna Merah. Walaupun agak ramai yang mengutuk kerana membeli mesin basuh bergerak, tetapi saya tetap memilihnya kerana saya sukakan keserbagunaannya / kepelbagaian penggunaannya waima untuk mengangkut mesin basuh sekalipun pernah dibuat orang ke dalam Kenari ini.

Rentetan daripada itu, abah saya juga telah membeli Kenari Aerosport Silver pada 2007 kerana terpengaruh dengan dakyah yang saya berikan. Melengkapkan lagi keluarga Perodua, adik saya turut membeli Viva Elite berwarna Jingga yang sungguh terang walaupun dilihat di waktu malam kala bulan tidak mengambang sekalipun apatah lagi jika dilihat di waktu siang di bawah sinaran pancaran matahari. Oh ya, sebelum terlupa, isteri saya turut memiliki Viva EZ untuk memudahkannya berulang alik ke tempat kerja. Kelihatannya keluarga saya memang begitu gembira memiliki jentera buatan Rawang ini.

Namun, kegembiraannya tidak berakhir begitu sahaja, dengan rasa berat hati saya telah melepaskan Kenari Merah saya pergi. Namum, patah tumbuh hilang berganti. Saya telah menggantikannya dengan Alza. Walaupun saya boleh memilih kereta Sedan lain pada harga yang sama lebih kurang Alza, tetapi saya masih tetap gemarkan kepelbagaian kegunaannya. Maka, sebab itulah saya memutuskan, Alza harus berada dalam ruangan parkir pangsapuri rumah saya. Saya cuma berharap agar, dalam tempoh lima atau enam tahun lagi barulah Perodua akan memperkenalkan kereta serupa Alza lagi, ataupun MPV bersaiz penuh supaya saya boleh membelinya kerana saya memang sukakan Perodua walaupun saya tidak tahu, entah Perodua sukakan saya ataupun tidak. Sekian.

-C27-

Silakan kongsi:

Harga Petrol RON97 Turun 10 Sen Seliter

Berita baik untuk pengguna minyak RON97, selepas beberapa siri kenaikan harga, kerajaan pada semalam mengumumkan harga bahan api tersebut turun 10 sen bermula hari ini.

Menurut laporan, petrol RON97 dijual mengikut harga pasaran dunia dan dengan penurunan itu harganya adalah sebanyak RM2.80 seliter.

Walaupun nilai penurunan tersebut tidak seberapa namun ianya sudah mampu membuatkan pemilik Mitsubishi Evolution, Subaru Impreza, Nissan Skyline mahu pun Proton R3 Satria Neo tersenyum.

Bukan sahaja kereta berprestasi tinggi, malah Honda Cub C70 saya turut menggunakan petrol RON97. Nikmat menggunakan petrol RON97 memang menggamit perasaan dan nostalgia sebelum kerajaan mengatakan petrol RON95 tidak apa-apa untuk kenderaan rakyat, selepas lama rakyat menikmati petrol gred tinggi. Apa pun harus ada gerakan untuk mengingati petrol RON97 supaya generasi muda tidak lupa mereka yang lebih senior, mewah menggunakan petrol tersebut sebelum ini.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Selamat Maju Jaya Dato’ Seri Syed Zainal!

Khabar angin Dato’ Seri Haji Syed Zainal Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (DSSZ), Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad meletakkan jawatan sudah lama bertiup kencang ibarat daun pokok kelapa dihayun oleh angin tepi pantai.

Dan baru-baru ini khabar tersebut disahkan oleh Proton sendiri. DSSZ telah pun menghantar surat perletakan jawatan yang berkuat-kuasa 6 Julai nanti dan kini beliau telah pun mula bercuti.

Dalam beberapa pertemuan, DSSZ adalah seorang yang mudah didekati dan merendah diri seperti mana yang boleh dibaca melalui komen-komen di blog. Beliau juga amat terbuka dengan saranan dan paling penting mengakui kelemahan Proton seperti khidmat pelanggan, tingkap kuasa serta pelbagai lagi yang telah dan sedang diambil tindakan.

Bermula daripada zaman Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad hinggalah ke zaman Dato’ Seri Syed Zainal masing-masing mempunyai karakter tersendiri, membawa Proton ke satu arah yang lebih tinggi. Jawatan tersebut merupakan kerusi panas dan berada di bawah mikroskop jutaan rakyat Malaysia.

Banyak yang boleh ditulis mengenai prestasi DSSZ, pro dan kontra namun suka untuk saya kongsi perbualan di bawah semasa program pandu uji Proton Prevé di Cherating, Pahang baru-baru ini.

___________________________

GT: “Dato’ Seri, bila Dato’ Seri pergi nanti gapo legasi hak Dato’ Seri tinggal di Proton?”

*Bila DSSZ berhenti nanti, apakah legasi yang ditinggalkan di Proton?

DSSZ: (Diam seketika….) “The Islamic values…”

____________________________

@muhd_gt

Silakan kongsi: