Pandu Uji Nissan X-Trail 2.0 2015

SONY DSC

Pengenalan

Nissan X-Trail mempunyai legasi yang terpahat di kalangan pemilik dan pemerhati SUV. Model pertama bersaing rapat dengan Honda CR-V. Memilih antara keduanya pula tidak sukar jika anda tahu tujuan pembelian sama ada untuk rekreasi atau meredah hutan bandar. Jadi tidak hairanlah jika X-Trail lebih digemari agensi kerajaan atau firma swasta yang cenderung kepada kegunaan separa lasak. CR-V generasi pertama walaupun mempunyai sistem 4WD tetapi lebih digemari orang persendirian untuk membawa keluarga atau bisnes umum.

Memasuki generasi kedua, X-Trail tidak begitu popular walaupun masih mengekalkan imej maskulin dan utilitarian. Boleh jadi selera pengguna sudah beralih kepada SUV dengan imej urban manakala agensi kerajaan pula mempunyai lebih pilihan seperti Toyota Fortuner, Ford Explorer atau pun Mitsubishi Pajero Sport. Mengambil kira kelebihan yang ada pada model pesaing lain dan perubahan selera pengguna, Nissan melancarkan X-Trail generasi ketiga (T-32) sebagai peluru baharu supaya lebih tepat menembusi pasaran global seterusnya menyaingi Honda, Mazda dan barisan SUV buatan Korea.

Edaran Tan Chong Motors (ETCM) melancarkan Nissan X-Trail T-32 pada Januari lepas dan pada Aidil Fitri baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji varian 2WD. Sewaktu mula dilancarkan, di antara kelengkapan yang menarik perhatian ialah konfigurasi kerusi 5+2 yang tidak dimiliki oleh pesaing terdekat seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5. Kita tinggalkan ciri tersebut sebentar.

SONY DSC

Luaran

Jauh meninggalkan Almera, rekabentuk luaran Nissan generasi baharu seperti Sylphy, Teana lebih dinamik dengan permukaan beremosi dan beralun. X-Trail tidak terkecuali dengan terus menyingkirkan reka bentuk bersegi dan berkotak yang terdapat pada model terdahulu. Bahagian sisi depan mengekalkan arca seperti Sylphy dan Teana yang saya perhatikan mula diperkenalkan pada Nissan 370z. Bahagian sisinya pula turut beralun dari depan yang secara keseluruhannya menampakkan imej harmoni dan tidak berkelahi. Dengan permukaan yang diadun begitu, Nissan berjaya menampilkan imej X-Trail sebagai sebuah SUV bertenaga, segar, dinamik dan athletic. Jika diparkir sebelah menyebelah di antara pesaing lain seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5, SUV buatan Nissan ini tampil gah bahkan tampak lebih besar berbanding CR-V dan tidak kalah dengan rekabentuk luaran CX-5.

Tampil lewat di antara kedua pesaing terdekat tadi, X-Trail dibekalkan lampu DRL berbentuk Boomerang yang menyala dengan jelas di atas jalan raya, turut menjadikannya kompetitif ialah lampu utama nyalaan automatik. Wajah depan X-Trail pula menampilkan gril korporat V baharu Nissan manakala bahagian belakangnya pula biasa sahaja bahkan bentuk lampu mempunyai iras Toyota Harrier. Untuk kombinasi roda, X-Trail dipasangkan rim bersaiz 17 inci dengan tayar Dunlop Grandtrek 225/65. Memandangkan X-Trail ini agak tinggi, terasa ralat apabila ianya tidak dibekalkan dengan pemijak kaki sisi sama ada standard atau aksesori pilihan. Kanak-kanak terpaksa memanjat atau memerlukan bantuan orang dewasa untuk memasuki SUV ini. Seperti juga Nissan Serena S-Hybrid, X-Trail tidak ditawarkan opsyen aksesori keluaran Impul atau Nismo yang khabarnya masih di dalam proses pembangunan. Berbeza dengan Honda yang sudah bersedia dengan aksesori Modulo semasa pelancaran.

SONY DSC

Dalaman

Kecuali Almera dan Sylphy (berlainan segmen), interior Teana dan juga X-Trail boleh dipuji bahkan melebihi standard yang ditawarkan pesaing terdekat. Papan pemuka dan kulit pintu dibalut dengan material sentuhan lembut menjadikannya nampak dan terasa premium. Rekabentuknya juga kontemporari dengan pengaruh jenama mewah Infiniti. Varian yang dipandu uji dipasangkan sistem multimedia dengan fungsi navigasi. Namun yang menariknya serta tidak ada pada CR-V dan CX-5 ialah 360° Around View Monitor, dengan paparan bermula dari depan, sisi dan belakang. Sistem ini sangat membantu dan insya Allah dapat mengelakkan geseran dan kemalangan sewaktu keluar dan masuk parkir. Cuma yang menjadi masalah ialah paparan visualnya yang tidak berapa jelas dan lebih kelam pada waktu malam. Kualiti pembesar suara pula tidak berapa syok dan harus dipertingkatkan lagi. Walau bagaimanapun pakej kamera 360 AVM harus dipuji dan pertama seumpamanya apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan CR-V pra-facelift yang tidak didatangkan dengan sensor undur. Grafik sistem talaan kenderaan juga canggih yang dikombinasikan di dalam Advanced Drive Assist Display, (ADAD) bersaiz lima inci yang diletakkan di tengah gugusan meter rpm dan kelajuan. Juga standard ialah sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.

Kecemerlangan pakej interior diserlahkan lagi dengan jumlah tempat duduk 5+2 di mana barisan kedua mempunyai cangkup ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. Dilema mengenai kerusi barisan ketiga ialah kegunaannya yang tidak relevan dek kerana ruang kecil namun fungsi tersebut merupakan bonus dan boleh dilipat simpan jika tidak digunakan. Walaupun terbatas namun kerusi barisan kedua boleh digerakkan ke depan membolehkan penumpang kanak-kanak mempunyai ruang tersendiri sementara melayan tablet mereka. Ciri tersebut nyata memberikan kelebihan bersaing yang tidak dimiliki SUV sekelas dengannya. Walau bagaimanapun, saya kurang selesa dengan dudukan kerusi barisan kedua yang terasa agak tinggi manakala bahagian pelapik peha kerusi pemandu pula terasa sedikit kecil dan mengambil masa untuk membiasakannya.

SONY DSC

Pengalaman Pemanduan

Posisi pemanduan dan suasana dalaman X-Trail mengekalkan DNA yang sama seperti Sylphy dan Teana. Kecuali kerusi pemandu yang mengambil masa untuk membiasakannya dan selain itu saya tidak mengalami masalah besar. ETCM juga berkompromi dengan tidak menawarkan kerusi larasan automatik yang saya fikir bukanlah masalah utama. Selain daripada itu, butang kawalan mudah dicapai dan ergonomik, sentuhan tangan pada bahagian interior terasa premium. Saya juga tidak mengambil masa yang lama untuk membuat capaian bluetooth dengan telefon bimbit yang kadang-kala boleh menjadi rumit.

X-Trail yang dipandu uji adalah versi 2.0L dengan enjin Twin CVTC yang berupaya menghasilkan kuasa mencecah 144PS @ 6,000rpm dan tork maksimum 200Nm @ 4,400rpm. Kuasa enjin baharu dengan teknologi sistem pancitan terus itu dialihkan ke jalan melalui transmisi Xtronic CVT mode manual 7 kelajuan dan mode ECO bagi penggunaan penjimatan bahan api yang lebih baik. Mungkin ada yang tidak gemar dengan transmisi CVT berbanding transmisi automatik konvensional namun lama-kelamaan saya dapat membiasakannya dan harus tahu penggunaan transmisi CVT sudah meluas sekarang ini sehinggakan Subaru turut menggunakannya pada WRX baharu. Dalam tempoh pandu uji, prestasi X-Trail agak bagus dan tidak terasa seperti menunda besi yang besar dan berat. Faktor itu antaranya disumbangkan oleh pacuan dua roda (2WD) hadapan yang lazimnya menggunakan pacuan empat roda. Beban mekanikal dan seretan menjadi kurang dan agak bertenaga jika dibandingkan dengan SUV dengan pergerakan empat roda. Jika ditanya secara peribadi, konfigurasi seperti ini lebih sesuai untuk pemanduan urban dan jarang benar kita lihat pemilik SUV seperti ini menggunakannya untuk meredah hutan atau pun ke tapak pembinaan.

Dengan teknologi canggih yang menjadi standard kepada kebanyakan kereta hari ini, gelinciran roda dapat dikurangkan dengan sistem cengkaman elektronik dan sebagainya. Menyedari keperluan itu, Nissan menggunakan teknologi yang dipanggil Active Chassis Control yang terdiri daripada tiga sistem iaitu Active Ride Control yang mengawal kuasa enjin dan brek supaya pemandu lebih yakin dan selesa di dalam keadaan jalan yang tidak rata. Active Engine Brake pula menambah kuasa membrek enjin dan mengurangkan beban kepada pemandu sewaktu mengambil selekoh atau membrek. Active Trace Control pula berfungsi dengan mengawal kuasa brek pada setiap roda berdasarkan corak pemanduan yang diukur dari pergerakan stereng, pecutan dan brek sewaktu melalui jalan berliku atau sama ada memasuki atau menyusur keluar dari lebuh raya. Teknologi ini membantu pemandu dengan mengekalkan laluan yang optimal sewaktu menyelusuri selekoh. Lebih teruja apabila aplikasi sistem Active Ride Control dimaklumkan kepada pemandu melalui paparan skrin digital (ADAD) pada meter.

Tidak cukup dengan sistem yang saya nyatakan tadi, X-Trail turut dibekalkan dengan barisan teknologi keselamatan seperti  Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS) dengan Active Brake-Limited Slip (ABLS), Anti-Lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake Force Distribution (EBD) dengan Brake Assist (BA). Saya jarang teruja dengan pemanduan dan pengendalian kereta buatan Nissan tetapi saya boleh memuji X-Trail ini, kesemuanya secukup rasa, suspensi tidak terasa terlalu keras atau lembut, kejituan sewaktu selekoh juga memuaskan manakala suasana dalaman juga senyap. Terasa seperti memandu sebuah kenderaan buatan Eropah.

Di sebalik sebaris ciri-ciri canggih yang dibekalkan, saya rasa ramai yang kecewa apabila ETCM memutuskan untuk memasang hanya dua beg udara. Kesemua teknologi canggih yang dipasangkan terpaksa berkompromi dengan setidak-tidaknya tambahan dua lagi beg udara yang kini sudah menjadi standard kebanyakan kereta di pasaran.

Kesimpulan

Berada lewat dipasaran, ETCM mengambil kesempatan yang ada untuk menawarkan pakej yang menawan dan lengkap dengan pelbagai ciri-ciri praktikal, canggih dan selamat. Paparan kamera yang memudahkan pemandu, material dalaman yang setanding dengan harga dan kerusi tambahan pada barisan ketiga menjadikan bakal pembeli di dalam segman ini berada di dalam dilema untuk membuat keputusan. Pemanduan dan pengendalian yang boleh dipuji dan penggunaan purata minyak 10.5km/l menyempurnakan lagi pakej X-Trail generasi ketiga ini. ETCM memasarkan Nissan X-Trail 2.0 2WD pada harga di atas jalan RM141,320.01 dan tambahan sekitar RM6,765 diperlukan untuk skrin multimedia 8″ dengan sistem navigator dan interior kombinasi balutan kulit.

Pada harga yang tidak jauh berbeza dengan pesaing lain, saya percaya Nissan X-Trail boleh memberi ancaman serius kepada Honda CR-V dan menjadi pilihan popular di dalam segmen ini. Nissan dan Honda pula boleh mengikuti bagaimana Mazda memasarkan CX-5 dengan strategi berbilang harga dengan varian paling asas di atas jalan sekitar RM130,000. Buat mereka yang tidak kisah dengan jumlah bilangan beg udara dan percaya kepada sistem keselamatan sedia ada, Nissan X-Trail ini adalah pilihan yang tepat. Kekurangan yang ada ditebus dengan ciri dan keistimewaan lain yang tidak ada pada pesaing dan beginilah cara persaingan berfungsi. Lebih kompetitif lebih menguntungkan pengguna.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Notis Panggilan Semula Kenderaan Global Toyota Yang Diperbuat Dari Januari 2006 hingga Disember 2011

Toyota Yaris GT-S Club Racer.01

Toyota Motor Corporation (TMC) mengumumkan panggilan semula global pada 4 Ogos 2015 untuk 2.3 juta unit model serata dunia yang diperbuat dari Januari 2006 hingga Disember 2011. Tujuan panggilan semula itu bagi menggantikan peledak beg udara sebelah pemandu. Serentak dengan itu, TMC serta pengedar dan wakil peniaga akan menghubungi para pelanggan setelah alat ganti tersebut tersedia dan akan menukarnya tanpa sebarang kos kepada pemilik. Untuk makluman, model yang terliba ialah Yaris, Hilux, Corolla dan Fortuner. Wilayah yang terlibat ialah Eropah, China, Asia, Oceania, Timur Tengah, Afrika, Mexico, Latin dan Amerika.

Walau bagaimanapun, panggilan global itu tidak melibatkan kenderaan yang dijual di Malaysia oleh UMW Toyota Motors.

 

Silakan kongsi:

PUSAT 4S UTAMA ETCM DIBUKA SECARA RASMI DI GLENMARIE

Nissan 4S Glenmarie 2015.01

GLENMARIE, 12 Ogos 2015 – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) secara rasminya melancarkan Pusat 4S Nissan utama di Glenmarie hari ini. Majlis itu menandakan satu lagi pencapaian bersejarah buat ETCM yang hanya minggu lalu telah mengadakan majlis pembukaan besar-besaran Pusat 3S Taiping.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang diiringi oleh Presiden Tan Chong Motor Holdings, Yang Berbahagia Dato’ Tan Heng Chew. Nissan diwakili oleh Naib Presiden Kanan Nissan Motor Asia Pacific Co., Ltd., Encik Kenji Naito, manakala ETCM pula diwakili oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Yang Berbahagia Dato’ Dr Ang Bon Beng.

Pusat 4S serba lengkap baharu ETCM ini memiliki ruang binaan seluas 165,318 kaki persegi. Ia dilengkapi sebuah Bilik Pameran, Pusat Servis, Pusat Alat Ganti dan Pusat Badan dan Cat. Malah, Pusat 4S ini turut memberi perkhidmatan sebuah pejabat dan ruang pameran Kenderaan Terpakai Nissan yang Bertauliah MUV, Divisyen Sewa Beli dan Insurans serta Pusat Pengedaran Kenderaan.

Ruang pameran yang luas itu mampu mempamerkan sehingga 15 buah kenderaan Nissan dengan 28 kakitangan Nissan profesional yang bertauliah untuk memenuhi keperluan pelanggan. Pusat servis yang canggih pula dikendalikan oleh 22 orang juruteknik berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Dengan 27 ruang servis, ia mempunyai kapasiti untuk menyelenggara sehingga 100 buah kenderaan setiap hari dan purata 3,000 kereta sebulan. Sementara itu, Pusat Badan and Cat pula menawarkan servis pembaikan dan penjajaran badan kenderaan, menyiapkan permukaan kereta untuk dicat serta mengecat.

Nissan 4S Glenmarie 2015.02

Kemudahan ini juga dilengkapi dengan lounge moden dan ruang minuman dan ketika menunggu, para pelanggan boleh menikmati ketersambungan WIFI. Bagi memberi kemudahan kepada pelanggan yang membawa anak-anak, ruang Kid’s Corner ada disediakan untuk mereka berhibur.

Berucap pada majlis pembukaan tersebut, Dato’ Dr Ang berkata, “Kami berpegang kepada falsafah untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan di seluruh rangkaian kami. Sama ada Pusat 1S atau 3S, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan sebaik sahaja mereka melangkahkan kaki ke dalam bilik pameran. Dengan pelaburan keseluruhan mencecah RM20 juta, Pusat 4S utama ini adalah lambang perkhidmatan yang kami bayangkan bagi pelanggan kami di ETCM dan Nissan. Lokasinya yang strategik, berada di tengah-tengah hab industri automotif terkenal di Glenmarie membuatkannya amat mudah untuk diakses oleh para pelanggan kami.”

Sejak 12 bulan lalu, kami cukup agresif dalam menaik taraf rangkaian dan kemudahan demi memenuhi permintaan para pemilik kenderaan Nissan di seluruh negara. Aspek ini amat penting kerana dengan barisan model Nissan yang telah kami perkenalkan, kami juga cuba untuk memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas dan bijak menilai. Tambahan pula dengan set baru ini, kami menawarkan peluang pekerjaan sehingga 120 orang pekerja baharu di Pusat 4S Utama ini apabila ia beroperasi sepenuhnya,” tambah Dato’ Dr Ang.

Demi meningkatkan lagi kemudahan Pusat 4S ini, ETCM buat pertama kalinya telah memperkenalkan konsep peruncitan unik dengan menempatkan sebuah butik sukan bermotor dan butik V-Kool untuk para pelanggan mengubah suai kenderaan mereka; dan Zen Lounge. Bagi mereka yang mempunyai kecenderungan sporty yang menghargai pemanduan dinamik yang dipertingkatkan, produk rasmi NISMO dan IMPUL boleh dibeli dari butik sukan permotoran. Produk-produk, aksesori dan perkhidmatan V-Kool yang ekstensif boleh didapati di butik V-Kool. Ini termasuklah pemasangan filem automotif, perincian, produk penjagaan kereta dan balutan badan kenderaan yang ditempah khas. Bagi mereka yang ingin bersantai, mereka boleh berbuat demikian di Zen Lounge yang dilengkapi kerusi urut Gintell.

Sehingga kini, ETCM memiliki rangkaian ekstensif melibatkan 100 buah bilik pameran termasuk pengedar dan 60 buah Bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara.

Silakan kongsi:

ETCM LANCAR PUSAT 3S NISSAN DI TAIPING

Nissan 3S Taiping 2015.01

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) baru-baru ini melancarkan secara rasmi Pusat 3S Nissan di Taiping, pusat 3S ke-19 ETCM di Malaysia.

Ia menjadi Pusat 3S Nissan kedua yang dibuka pada tahun ini selepas pelancaran Pusat 3S Mega Johor Jaya, Mei lalu. Kedua-dua pelancaran tersebut – bersama satu lagi Pusat 4S Glenmarie yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, jelas membuktikan komitmen ETCM untuk meningkatkan rangkaian jualannya serta memastikan pengalaman pemilikan kenderaan pelanggan dapat dicapai di semua peringkat.

Pusat 3S Nissan ETCM di Taiping memiliki ruang binaan seluas lebih 17,846 kaki persegi. Ia terletak di lokasi strategik untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitarnya. Pusat sehenti ini menawarkan pelanggan kemudahan untuk memandu uji, membeli model-model terbaharu Nissan, servis kenderaan dan mendapatkan alat ganti untuk kereta Nissan mereka, semuanya di bawah satu bumbung.

Menelan kos pengubahsuaian sebanyak RM800,000, susun atur biik pameran yang baru itu boleh mempamerkan sehingga lapan (8) buah kenderaan Nissan pada satu-satu masa. Pusat servisnya pula mempunyai lapan (8) ruang penyelenggaraan dengan kapasiti menyelenggara sehingga 30 buah kenderaan sehari. Pusat 3S ini dikendalikan oleh 14 orang kakitangan jualan profesional Nissan serta enam (6) juruteknik yang mahir dan berpengalaman luas.

Pusat 3S Nissan Taiping menawarkan kemudahan dan keselesaan kepada para pelanggan ketika mereka menunggu. Antara kemudahan yang disediakan termasuklah sebuah ruang rehat dan ruang minuman, lengkap bersama ketersambungan WiFi serta Sudut Kanak-kanak, khas buat pelanggan yang datang dengan anak masing-masing.

Berucap pada majlis pembukaannya, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng berkata, “Taiping sememangnya mengalami pertumbuhan yang cukup pesat. Di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, kami dapat melihat perkembangan Bandar Taiping. Ia bukan sahaja berjaya menarik minat pelancong, malah pelabur tempatan dan asing. Dengan meningkatnya peluang perniagaan dan infrastruktur yang lebih baik, permintaan terhadap kenderaan penumpang dan komersial juga bertambah. Justeru, adalah penting untuk kami memastikan kehadiran kami di Taping dirasai. Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberi sokongan kepada para pemilik kenderaan Nissan dan komuniti di sini menerusi sebuah Pusat 3S Nissan.”

Sehingga kini, ETCM mempunyai rangkaian ekstensif melibatkan 100 buah bilik pameran termasuk pengedar dan 60 buah Bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara. ETCM mensasarkan untuk memiliki 20 buah Pusat 3S di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Silakan kongsi:

UMW Toyota Motor Memanggil Semula 29,985 Unit Vios, Corolla Altis dan Yaris Untuk Pemeriksaan Peledak Beg Udara

Toyota Camry 2013.05Pada penghujung bulan Jun 2015, Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengumumkan kempen panggilan semula model terpilih di seluruh dunia. Lanjutan daripada itu, UMW Toyota Motor turut mengumumkan langkah serupa setelah menerima pengesahan dari TMC untuk 29,985 unit model Vios, Corolla Altis dan Yaris yang diproduksi dari April 2007 hingga Disember 2008.

 

Bagi menjamin keyakinan dan keselesaan pelanggan, UMWTM akan menghubungi kesemua pelanggan yang terjejas bagi mengambil langkah yang wajar dan akan menggantikan peledak beg udara jika diperlukan tanpa sebarang cas ke atas pemilik kereta. Setakat ini model-model Toyota yang dijual UMWTM dengan tarikh produksi selepas Disember 2008 tidak terjejas. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Toyota bernombor 1800-88-69682.

Berikut adalah maklumat mengenai model yang terjejas.

Untitled

Silakan kongsi:

Proton Iriz R3 Touring – Khusus Untuk Perlumbaan!

Proton Iriz R3 MCS 2015.07

Projek Proton Iriz R3 sebenarnya sudah lama dibayangkan di dalam media sosial Proton Motorsports (R3). Nampaknya projek ini semakin menghampiri realiti. Mengikut perancangan, Proton Iriz R3 Touring dibina untuk berlumba di dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) dan berkemungkinan dapat menyertai pusingan keempat yang dijadualkan pada penghujung bulan Ogos 2015 dan Perlumbaan Sepang 1000km.

Di antara spesifkasi Proton Iriz R3 Touring adalah seperti berikut:

1. Enjin CamPro IAFM 1.6 (+/- 190hp) dengan transmisi manual perlumbaan ‘dog’

2. Rangka keselamatan 6 poin

3. Brek Alcon

4. Radiator Forged

5. Kerusi perlumbaan Recaro

6. Suspensi Ohlins

7. Stereng Sparco

8. Roda aluminium R3 15″

Menariknya, Iriz R3 Touring ini adalah model perlumbaan pertama menggunakan torsion beam yang merupakan spesifikasi standard Iriz. Model Proton lain yang terlibat di dalam MCS ialah Proton Preve, Suprima S manakala Satria Neo pula digunakan untuk Kejohanan Rali Malaysia (MRC). Prestasi pasukan R3 di dalam perlumbaan tidak boleh disanggah lagi dengan pelbagai kejayaan podium dan kejuaraan.

Untuk pengguna massa, khabarnya Proton bakal menawarkan varian enjin baharu untuk Proton Iriz dan juga model lain. 2016 hingga 2017 mungkin tahun yang mengujakan untuk Proton, insya Allah.

Silakan kongsi:

PENDAFTARAN KARNIVAL KESELAMATAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA TIMUR KINI DIBUKA

04 Kids Safety Carnival ‘My First Safety Program with Nissan’

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan bahawa pendaftaran bagi Karnival Keselamatan Kanak-kanak anjurannya sudah dibuka untuk para pelanggan Nissan di Malaysia Timur.

Merupakan lanjutan kepada Kempen Keselamatan Nissan anjuran ETCM yang popular – Karnival Keselamatan Kanak-kanak ‘Program Keselamatan Pertama Saya Bersama Nissan’ akan diadakan di Sabah dan Sarawak pada Ogos 2015.

Sehingga kini, ETCM telah menjalankan satu siri Karnival Keselamatan Kanak-kanak di Johor Bahru (Wilayah Selatan), Kuantan (Wilayah Pantai Timur) dan Butterworth (Wilayah Utara), dengan jumlah kehadiran lebih 600 orang peserta. Karnival Keselamatan Kanak-kanak 2015 dikendalikan oleh Pengasas Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, Kapten K. Balasupramaniam.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng berkata, “Kempen Keselamatan Nissan kami dibangunkan dengan matlamat menggalakkan keselamatan jalan raya dan tabiat pemanduan yang lebih berhemah. Tahun ini, fokus kami adalah untuk mendidik generasi muda dengan asas pengetahuan keselamatan jalan raya menerusi aktiviti-aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan.”

“Keselamatan pengguna jalan raya adalah sangat penting. Selaku salah satu pemain dalam industri, ETCM komited untuk menawarkan kenderaan yang dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif kepada para pelanggan. Bagaimanapun, sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, kami juga mempunyai peranan penting dalam mempromosikan aspek keselamatan jalan raya. Jumlah kemalangan melibatkan kanak-kanak yang kian meningkat sememangnya membawa aspek keselamatan golongan itu ke tahap lebih serius – terutama amalan menggunakan tempat duduk kanak-kanak. Ini merupakan antara mesej-mesej yang ingin kami tekankan dalam Kempen Keselamatan Nissan dan menjadi salah satu fokus utama kami ke atas generasi muda,” tambah beliau.

Jadual Kempen Keselamatan Nissan Malaysia Timur 2015:

Untitled

Penyertaan Karnival Keselamatan Kanak-kanak adalah terhad dan para pemilik kenderaan Nissan yang ingin mengambil bahagian diseru menghubungi Jabatan Khidmat Pelanggan ETCM di talian 03-4047 8788 atau hantarkan e-mel ke crd@tanchonggroup.com untuk mendaftar. Pendaftaran akan ditutup pada 12 Ogos 2015 untuk Sabah dan 19 Ogos bagi Sarawak.

Silakan kongsi:

Harga Minyak Ogos 2015: RON95, RON97, Diesel Turun 10 Sen

Minyak

Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun sebanyak sepuluh sen bermula 1 Ogos 2015. Harga baharu minyak adalah seperti berikut:

RON 95/l: RM2.15 turun kepada RM2.05

RON 97/l: RM2.55 turun kepada RM2.45 – Termasuk 6% CBP

Diesel/l: RM2.05 turun kepada RM1.95

Sejak Julai 2015, sebarang perubahan harga tidak lagi dihebahkan kepada umum sebelum bermulanya hari pertama bulan baharu. Penurunan harga minyak ini juga bertentangan dengan khabar angin yang tersebar di kalangan umum.

Silakan kongsi: