Skoda Octavia vRS Cecah 322km/j!

Skoda Octavia vRS 2011.01

Skoda Octavia vRS kini menjadi ahli terbaru kelab 200 bsj (322km/j) lagenda Bonneville. Kereta berkuasa 500bhp itu dibina sempena ulangtahun kesepuluh model berprestasi ikonik vRS. Rekod 200 bsj yang dicatat vRS di permukaan bersalji di Bonneville adalah empat hari lebih awal daripada jadual sebenar dan kereta yang turut digelar vRS Bonneville Special kini menjadi kereta Skoda paling laju.

Pada hari pertama kelajuan Octavia vRS mencecah 195.69 bsj dan pada percubaan rasmi keenam barulah kereta tersebut mencatat rekod kelajuan 202.15 bsj. Kereta itu dipandu oleh Richard Meaden yang merupakan seorang jurnalis.

Skoda Octavia vRS 2011.02

Skoda Octavia vRS yang digunakan pada cabaran ini adalah model standard dari kilang dengan beberapa modifikasi untuk aerodinamik dan prestasi. Perubahan yang dilakukan ialah dengan merendahkannya kepada 80mm rapat ke bumi dan sub frame yang memuatkan intercooler perlumbaan. Ianya masih menggunakan enjin petrol 2.0 liter TSI dengan turbo yang ditukar kepada jenama Garrett. Berkuasa 500bhp dan 30+ PSI tekanan boost, Skoda Octavia vRS ini menggunanakn minyak perlumbaan beroktana tinggi (dengan campuran water methanol) berbanding minyak tanpa plumbum (unleaded). Kereta itu juga dibina mengikut peraturan keselamatan Southen California Timing Association (SCTA) yang ketat iaitu wajib menggunakan rangka keselamatan yang diperkukuhkan, paracut, pemadam api dan sangkar tingkap.

Sejak dilancarkan pada tahun 2001, vRS berjaya menambat hati pemandu di UK yang sukakan pemanduan yang sporty. UK juga merupakan pasaran terbesar Skoda untuk model Octavia dan Fabia vRS dengan jualan sebanyak 12 ribu unit sejak pelancarannya.

Newspress

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

Volvo S60 – Pandu Uji Singkat

GT1

Kalau nak diajak berbicara tentang kereta jenama Volvo, pasti ramai yang menggeleng kepala tidak tahu idea apa yang hendak disembangkan. Kalau ada pun yang terlintas dalam fikiran, pasti model 240 sering kali terlintas dalam pemikiran dengan bentuknya yang kekotak dan besar tak ingat. Beberapa purnama yang lalu, saya telah berpeluang untuk menguji pandu model S60. Walaupun model keluaran tahun 2005 ini mungkin dianggap lama, namun kalau diletakkan sebelah menyebelah dengan Inspira, ternyata tarafnya masih boleh lagi dianggap mulia. Pemilik S60 ini merupakan suami kepada rakan pejabat saya. Beliau masih lagi muda dan bergaya, namun ternyata cenderung kepada selera Eropah berbanding ramai antara kita yang lebih berselerakan Jepun [kereta sahaja tau].

GT4

Ok, berbalik kepada cerita sesi uji pandu ini. Setelah selesai meletak 4 bagasi yang boleh tahan besar saya dan 3 orang rakan pejabat yang lain telah menaiki S60 tersebut menuju ke Gambang atas urusan rasmi. Memulakan perjalanan dari pejabat yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur pada waktu tengahari, memerlukan saya lebih berhati-hati sewaktu memandu. Dengan fizikal kereta yang memang panjang dan besar, saya terpaksa mencelah dengan lebih berhati-hati sewaktu ingin melepasi hiruk pikuk kota menuju ke arah Plaza Tol Gombak. Maklumlah, biasanya saya hanya memandu kereta buatan Rawang sahaja.

Sebaik sahaja mengisi petrol dan melintasi Plaza Tol Gombak, saya dah mula tersenyum lebar kerana bentangan Lebuh Raya Pantai Timur sudah berada di depan mata. Masanya untuk saya merasai kuasa turbo lembut [soft turbo] milik S60 ini. Walaupun menggunakan turbo lembut, ternyata S60 ini tidak pula pondan. Sebaik sahaja pendikit mula dikerah, tindak balas yang diberikan memang cepat terasa. Kuasa tork yang dihamburkan daripada enjin-lurus lima [straight-five engine] milik S60 ini memang tak dapat disangkal lagi kesedapannya sewaktu memecut. Namun dalam keadaan harga petrol yang tak berapa nak mesra pengguna pada ketika itu, saya segera melupakan hasrat untuk terus memandu dengan laju. Saya kembali memandu dengan kelajuan biasa-biasa. Pendikit pula hanya perlu ditekan sedikit sahaja. Sedar tak sedar, meter kelajuan saya telah pun mencecah ke angka 140, walhal jarum RPM saya masih lagi berada pada tahap sekitar 2500. Bila mana meter RPM tidak terlampau mengaum, maka secara tidak langsung RON97 pun tidak perlu diisi terlalu kerap ke dalam tangki petrol.

GT2

Memandangkan saya tak ingin mendapat sebarang surat daripada Encik Polis, maka meter kelajuan saya segera kembali kepada had kelajuan kebangsaan. Kemudian baru saya tersedar, sudah sampai masanya untuk saya menguji tahap kesedapan sewaktu mengambil selekoh. Sebelum memulakan perjalanan, mode Sukan [Sport] telah ditetapkan kepada sistem suspensinya. Walaupun sedikit keras, namun kesedapan talaan ini memang teruji ketika mula mendaki Genting Sempah. Kereta tidak langsung membuai walaupun meter kelajuan masih berada sekitar 110-120 km/j. Rakan di tempat duduk belakang pula masih lagi rancak berbual tentang hal-ehwal semasa dan langsung tidak menunjukkan ciri-ciri muka nak melekap di dinding cermin walaupun tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang [ok, yang ini memang biasa dilakukan oleh anda semua, sila jangan amalkannya].

Sebaik melepasi Genting Sempah, saya kembali memandu dengan biasa-biasa. Cuma sesekali ada juga sengaja pendikit ditekan secara paksa. Jelas penumpang yang lain tidak menunjukkan sebarang tindak balas yang mereka terkejut akibat daripada kuasa tarikan turbo lembut ini. Masing-masing masih berada pada tempat duduk dengan keadaan yang asal.

Sewaktu perjalanan pulang dari Gambang pula saya memilih gaya bos-bos dengan duduk di belakang bersama dengan seorang lagi kawan lelaki, membiarkan kawan saya, isteri kepada pemilik S60 tersebut memandu. Duduk di bahagian belakang agak luas juga. Kalau nak buat gaya silang kaki pun masih lagi nampak ok. Walau pun sedikit gusar kerana pemandunya wanita, namun saya beranikan juga untuk melelapkan mata walau seminit dua. Saya kembali lega apabila selamat sampai ke Rawat & Rehat Temerloh. Sambil membasahkan tekak, sempat juga pekena ikan patin yang rasanya macam tak berapa nak patin sangat. Menyambung kembali perjalanan, pada mulanya saya berhasrat untuk sambung tidur sahaja, dek kerana hembusan pendingin hawa yang turut mempunyai corong di tepi tiang antara pintu belakang dan pintu depan. Mujur perasan nak sampai ke Plaza Tol Gombak dengan selamat begitu kuat, saya memutuskan untuk turut berborak dengan pemandu dan rakan lain demi mengelakkan si pemandu berasa mengantuk dan hilang fokus.

GT3

Al-hamdulillah, akhirnya saya selamat tiba di Plaza Tol Gombak dalam masa yang dirancang. Tiada satu pun adegan yang tidak diingini berlaku. Apa pun, jutaan terima kasih saya berikan kepada pemilik kerana membenarkan untuk menguji pandu S60 ini. Kalau anda jenis yang bos-bos dan bukan jenis yang tipikal tentang kereta,  bolehlah dilaburkan sejumlah untuk mendapatkannya. Harganya pun tidaklah mahal mana dan tidaklah murah mana. Tapi harus diingat, sesekali S60 ni meragam, boleh sasau dibuatnya mana nak cekau duit.

-C27-

Silakan kongsi:

Hyundai i30 Generasi Baru

i30

Nampaknya, Frankfurt International Motor Show bakal menjadi medan buat pengeluar untuk menayangkan kereta mereka secara ekslusif. Kini giliran Hyundai pula bersedia untuk mempamerkan i30 generasi baru.

i30 serba baru ini direka bentuk dan kejuruteraan di Hyundai Motor Europe Technical Centre, Rüsselsheim, Jerman bakal memperlihatkan DNA terbaru mereka, “fluidic sculpture” berserta dengan rupa jeriji depan berbentuk heksagon. 

“Fluidic sculpture” menggunakan talian mengalir yang diilhamkan oleh alam semula jadi dan seni bina moden untuk memberikan kehadiran tiga dimensi malar untuk kenderaan Hyundai, dan telah diperkenalkan sebagai konsep Hyundai ix-onic pada Geneva Motor Show 2009. Sejak dari itu, “fluidic sculpture” telah dijadikan sebagai bahasa reka bentuk di sebalik semua model Hyundai baru yang dilancarkan di Eropah.

Thomas Bürkle,  Ketua Pereka, Hyundai Motor Eropah mengulas: “Apabila mereka bentuk baru i30, kita menggunakan kuat, garisan bendalir untuk mengukir sebuah kereta yang kelihatan olahraga sambil memancarkan rasa pergerakan yang berterusan, walaupun tidak bergerak. Dalam terjemahan, anda boleh lihat bagaimana kita berjaya untuk memberi kereta pendirian berani, menghantar sikap yakin melalui ciri-ciri sporty dan perkadaran yang dinamik”.

Ternyata dengan kehadiran i30 yang baru ini pasti akan memberikan saingan kepada kereta “hatchback” yang lain. Walaupun i30 sebelum ini kelihatannya seperti kereta yang tak berapa nak siap di bahagian belakanganya, namum tahukah anda bahawasanya kereta tersebut boleh dikirakan sebagai berjaya di Eropah. Cuma di negara kita sahaja agak sukar untuk melihatnya. Dengan pengenalan i30 yang baru ini kelak, sudah tentu ianya akan menambahkan keberjayaannya di Eropah. Kita tunggu sahaja, bilakah i30 ini bakal menjengah pasaran tempatan.

Sumber: Newspress

-C27-

 

Silakan kongsi:

XV, Crossover Baru Daripada Subaru

Subaru RV 2011.01

Fuji Heavy Industries Ltd. (FHI), pengeluar kenderaan Subaru akan mempamerkan kepada umum model terbaru Subaru XV di Jerman pada bulan depan. XV adalah generasi baru kenderaan crossover Subaru yang merupakan model produksi Subaru XV Concept yang dipamerkan di Shanghai pada April lepas.

Kereta konsep itu dikatakan menerima respon menggalakkan hasil daripada rekaan bergaya yang mengadunkan imej crossover dan urban di dalam satu pakej yang harmoni dan elegan. Di bawah penyataan jenama “Confidence in Motion”, Subaru sentiasa menginspirasikan keyakinan pada pelanggan dengan komitmennya dalam kecemerlangan kejuruteraan.

Model Subaru XV bakal dipasarkan bermula Januari 2012 dan khabarnya akan dipasang secara terurai (CKD) di Malaysia.

Subaru

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

Suzuki Swift Sport Baru Bakal Diperkenalkan Pada September Depan

Suzuki Swift Sport.01

Generasi baru Suzuki Swift Sport akan dipamerkan pada umum pada September depan di Frankurt, Jerman. Swift Sport baru ini adalah susulan daripada model baru sepenuhnya [fmc] sejak versi Sport diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2006.

Model baru ini mempunyai luaran yang agresif hasil daripada rekaan yang rendah yang turut menggambarkan kestabilan manakala gril depan yang besar menampakkan imej berprestasi dan sporty. Kabinnya pula menggabungkan ciri-ciri sporty dan kualiti yang bermutu tinggi serta ciri-ciri rekaan yang melambangkan keseronokan pemanduan.

Kuasa yang tinggi dengan penggunaan minyak rendah pula diperolehi melalui penggunaan enjin 1.6 liter M16A yang dibangunkan khas oleh Suzuki untuk Swift Sport. Enjin itu kemudiannya digabungkan dengan transmisi enam kelajuan MANUAL. Swift Sport baru ini dikatakan mempunyai kestabilan dalam mengambil selekoh yang mantap serta pengendalian yang lebih responsif hasil daripada penggunaan struts dengan internal rebound spring dan rekaan suspensi belakang yang eksklusif.

Tahap keselamatan yang tinggi pula diperolehi melalui badan yang ringan, tegar, menyerap hentakan, tujuh beg udara dan Electronic Stability Program.

Newspress

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

Mini: Kereta Yang Paling British

Mini

Berdasarkan penemuan terbaru yang dibuat oleh Manheim Auctions mendapati 60% rakyat Britain lebih menggemari kereta buatan tempatan. Tetapi apa yang menjadikan sebagai kereta British?Penemuan terbaru menunjukkan bahawa hampir satu daripada lima pemilik kenderaan mempertimbangkan di mana kereta dibina apabila memikirkan tentang ‘British-ness’, serta warisan dan hak milik syarikat itu.

Apabila ditanya kepada nama kereta yang paling British , Mini asal (sebelum 1980) menjadi pilihan utama, tetapi apa yang menariknya Ford Focus, sebuah kereta yang tidak pernah dibuat di UK dan dimiliki oleh gergasi kereta Amerika, turut berada di tempat kelima! Hanya tiga kereta yang benar-benar British yang tersenarai daripada tinjauan awam daripada 10 kereta ‘British’: Mini (sebelum 1980), Jaguar Type-E dan Rover 75.

10 teratas pungutan suara kereta ‘British’:

1. Mini (sebelum 1980)
2. Rolls Royce
3. Aston Martin
4. Jaguar Type-E
5. Ford Focus
6. Bentley
7. Ford Fiesta
8. Rover 75
9. BMW MINI
10.Vauxhall Astra

“Terdapat banyak kereta yang dikaitkan dengan Britain sedangkan pada hakikatnya mereka tidak ada kena mengena dengan British. Ford Focus tidak pernah dibina di UK, tidak dimiliki oleh syarikat British, tetapi jenama Ford yang merayakan 100 tahun di UK tahun ini adalah salah satu yang dianggap oleh ramai sebagai British,” kata Craig Mailey, Pengarah Pemasaran Manheim Auctions.

Kalau di tempat kita, saya yakin, jenama Myvi dan Saga pasti akan berada dalam carta utama untuk kereta yang paling Malaysia. Dan jangan terkejut kalau Vios pun boleh masuk carta sebagai kereta yang paling Malaysia.

Sumber: Newspress

-C27-

Silakan kongsi:

ETCM Perkenalkan Nissan Teana Dengan Aerokit Dan Sistem Multimedia Navigasi Binaan Dalam

Nissan Teana 2011.02

KUALA LUMPUR (8 Ogos 2011) – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd hari ini mengumumkan bahawa Nissan Teana yang memenangi pelbagai anugerah kini dilengkapi dengan Aerokit serta Sistem Multimedia Navigasi binaan dalam untuk kedua-dua varian 2.0L dan 2.5L.

Menerusi opsyen ini, Sistem Multimedia Navigasi Teana menggunakan teknologi GPS (Global Positioning System) dan peta-peta digital yang dipaparkan di atas monitor skrin sentuh LCD beresolusi tinggi bersaiz tujuh inci yang jelas. Ia menawarkan panduan perjalanan pintar 3D yang mudah difahami, lengkap bersama gambar laluan dan persimpangan jalan yang realistik. Sistem yang disokong oleh pelbagai bahasa itu menawarkan pilihan yang ringkas dan mesra pengguna untuk mengenal pasti destinasi yang ingin dituju.

Sistem navigasi itu juga berfungsi sebagai kamera mengundur bersama fungsi pandangan pada waktu malam. Kamera Pandang Belakang dengan sudut yang luas memberikan pemandangan jelas mengenai halangan-halangan yang ada di belakang kenderaan. Ciri itu membantu pemandu untuk mengelak daripada melanggar objek-objek kecil yang berada di bawah garisan bampar.

Klik untuk bacaan seterusnya >>

Silakan kongsi:

Mazda Demio Wajah Baru Popular Di Jepun

Mazda Demio 2011.01

Hiroshima, Jepun – Mazda Motor Corporation mengumumkan yang pesanan bulan pertama untuk Mazda Demio [Mazda2] wajah baru telah mencapai 13,500 unit, sekali ganda daripada sasaran bulanan sebanyak 6,000 unit sejak pelancaran jualannya di Jepun pada 30 Jun 2011.

Pendaftaran Mazda Demio pada bulan Julai pula melebihi 10,000 unit yang merupakan model pertama Mazda melebihi jumlah itu pada satu-satu bulan sejak bulan Mac 2004. Setakat ini 70 peratus tempahan adalah untuk model gred 13-SKYACTIV yang melepasi jangkaan awal sebanyak 60 peratus. Model itu cekap bahan api dengan jarak 30km untuk setiap liter (kiraan Jepun).

Kebanyakan pembeli terdiri daripada lelaki dan wanita bujang dan mereka yang berusia lebih 40 tahun yang beralih kepada kereta kompak. Daripada respon pelanggan, mereka memilih Demio kerana kecekapan bahan api, teknologi maju dan kabin yang senyap.

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi: