Tiket MotoGP Malaysia 2012 di Stesen Shell Terpilih

Kuala Lumpur, 26 September 2012 – Berita baik untuk mereka yang merancang untuk menyaksikan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang dari 19 hingga 21 Oktober 2012 tetapi malas nak beli tiket jauh-jauh atau beratur macam nak beli tiket bas.

Sebabnya, tiket untuk menyaksikan MotoGP kini dijual di 37 stesen Shell terpilih, bermula dari 1 September hingga 21 Oktober 2012, sementara stok masih ada.

Daripada 37 stesen Shell terpilih itu, 22 terletak di Lembah Klang, tujuh di Johor, empat di Pulau Pinang, dua di Melaka dan masing-masing satu di Pahang dan Negeri Sembilan.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapat diskaun istimewa sehingga 27 peratus untuk harga tiket Grandstand biasa. Tetapi, diskaun tu hanya diberi kepada mereka yang memilih untuk membayar menggunakan kad kredit Maybank.

Sebagai rakan teknikal Pasukan MotoGP Ducati dan pembekal minyak enjin motosikal Shell Advance dan minyak Shell V-Power, Shell adalah satu-satunya rangkaian stesen minyak yang dilantik oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menjual tiket MotoGP Malaysia tahun ini.

Pengarah Urusan, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail memberitahu, pihaknya gembira kerana dapat bersama-sama menjayakan MotoGP Malaysia 2012.

“Shell sudah sekian lama terlibat dalam sukan motor di peringkat global menerusi pakatan perkongsian dengan Ducati dalam MotoGP dan Ferrari dalam perlumbaan F1.  Pakatan perkongsian dengan SIC ini meluaskan penglibatan kami dalam sukan motor tempatan. Kami pasti akan melakukan yang sebaik mungkin untuk menarik paling ramai penonton ke Sepang pada hari perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran & Jualan Runcit SIC, Sarinda Satria menyatakan  bahawa pakatan dengan Shell bertujuan untuk menyenangkan lagi peminat MotoGP mendapatkan tiket mereka.

“Ini adalah tahun kedua kami bekerjasama dengan Shell selepas pakatan perkongsian pertama tahun lalu membabitkan 18 stesen mendapat sambutan memberangsangkan. Kami berharap untuk menjual sekurang-kurangnya 1,200 tiket tahun ini menerusi rangkaian stesen Shell yang kebanyakannya terletak di lokasi strategik,” katanya.

Shell Advance akan membuat penampilan lebih menonjol pada MotoGP Malaysia kali ini. Peminat boleh memenangi pek minyak enjin motosikal Shell Advance dan banyak hadiah menarik lain apabila mengambil bahagian dalam cabaran yang menyeronokkan di gerai pameran Shell Advance dari 19 hingga 21 Oktober 2012.

-Syuk-

Silakan kongsi:

1 comment

    • Miri Yeo on 27/09/2012 at 3:18 AM
    • Reply

    Wahhh!! HEBAT!! Semakin cemerlang blog geartinggi ni dgn updates yg lebih kerap…Keep it up!

Leave a Reply to Miri YeoCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.