Pandu Uji: Volvo V40 T5 Dengan Kit R-Design

SONY DSC

Volvo V40 telah pun berjaya menarik minat peribadi lama sebelum ianya dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2013. Model itu begitu menyerlah sewaktu mula-mula dipertontonkan di Geneva pada tahun 2012. Tarikan utamanya ialah reka bentuk era baharu Volvo yang lebih beremosi dan jenis badan hatch back yang begitu sporty serta berlawanan dengan tradisi reka bentuk jenama dari Sweden itu. Harus tahu, model V40 sebelum ini dikenali dengan jenis badan wagon manakala S40 pula untuk jenis badan sedan. Lazimnya siri V digunakan pada model wagon dan kali ini Volvo mengubah tradisi dengan menggunakannya pada model hatch back. Lebih menarik, siri 40 kali ini hanya didatangkan dengan jenis badan hatch back manakala jenis badan sedan masih tidak kedengaran untuk diperkenalkan dan mungkin dipengaruhi oleh selera Eropah yang menggemari model hatch back berbanding sedan. Volvo Car Malaysia memasarkan tiga varian V40 iaitu T4, T5 dan Cross Country yang masing-masing berharga RM174,178, RM191,460 dan RM200,888. Perbezaan ketara ketiga-tiga model tersebut ialah saiz enjin dan spesifikasi serta gayaan dengan sasaran pasaran untuk lebih dimiliki oleh rakyat tempatan.

SONY DSC

Setelah lama dipasaran global dan Malaysia, saya akhirnya berpeluang untuk memandu uji atau lebih tepat menyambut Aidil Fitri lepas ke Pantai Timur dengan Volvo V40 T5. Lebih menarik model itu dilengkapi dengan kit aksesori penggayaan badan R Design yang terdiri daripada penutup cermin sisi, roda aluminium Ixion II 17 inci, peresap bampar belakang dan muncung peredam bunyi. Walau pun model R-Design sinonim dengan warna Rebel Blue namun warna Ice White pada model pandu uji ini berjaya menonjolkan rekaan badannya yang seksi dan beralun. Bahasa rekaan V40 menggunakan falsafah baharu iaitu “Designed Around You” yang melambangkan posisi tinggi pelanggan kepada Volvo. Walau pun begitu gayaan V40 masih mengekalkan pengaruh yang sama dengan model Volvo lain seperti XC60 dan S60/V60. Jika diamati lama, persamaan V40 dengan model V60 semakin ketara ibarat sebuah wagon yang dipendekkan terutama sekali pada bahagian sisi. Memberi ekspresi lebih segar ialah wajah depan yang menggunakan signatur korporat baharu dengan bampar yang lebih berlekuk dan lampu utama tunggal yang turut akan diulang pada model Volvo baharu lain. Lampu LED DRL pada bawah bampar pula memperlihatkan lagi keanggunan reka bentuk V40.

SONY DSC

Diadili dari luar, memang jelas V40 dipengaruhi gayaan coupé dengan bumbungnya yang tirus ke belakang dan lazimnya rekaan begitu akan membuatkan pemandu dan penumpang cepat terasa lemas. Pereka Volvo berjaya mengimbangi di antara rekabentuk dan fungsi melalui manipulasi ruang kabin dengan merendahkan paras dan ketebalan kerusi seterusnya memberi kelegaan pada bahagian kepala. Secara visualnya terasa kepala hampir dengan bumbung tetapi apabila disukat dengan tangan ternyata masih ada lagi ruang selesa dan secara peribadinya tidak menganggu konsentrasi pemanduan atau pun berasa lemas. Namun, kompromi pada ruang bawah kabin mengakibatkan papan pemuka terasa tinggi dan kadang-kala badan pemandu perlu dilonjakkan sedikit untuk meninjau luar kereta terutama sekali semasa melalui ruang sempit atau parkir. Lama-kelamaan kejanggalan itu diatasi dengan bantuan sensor undur yang mesra pemandu dan sensitif serta visual grafik pada paparan LCD. Semestinya lebih lengkap jika kamera undur dijadikan peralatan standard untuk model kemas kini pada masa akan datang. Sementara itu, ketiadaan kamera undur ditimbal balas dengan sistem yang lebih mahal dan canggih iaitu Park Assist Pilot yang boleh mengemudi kereta secara automatik untuk memasuki ruang kanan atau kiri parkir. Untuk mengaktifkannya, pemandu hanya perlu menekan suis Park Assist dan menolak tuil isyarat kanan atau kiri. Sistem akan membuat imbasan bagaimana untuk memasuki ruang parkir dan setelah selesai biarkan sahaja stereng berputar secara automatik dan pemandu hanya perlu mengawal pedal minyak dan brek di kaki. Teknologi ini ternyata menyenangkan cuma masa imbasan yang diambil sedikit lama dan mungkin tidak akan kerap digunakan oleh pemandu yang sudah mahir dan berpengalaman.

SONY DSC

Selain dari perbezaan pada aras bumbung gayaan coupé, interior V40 saling tidak tumpah dengan model lain seperti XC60 dan S60/V60. Rekaan papan pemuka dengan panel kawalan tengah yang nipis dengan ruang simpanan pintar dibelakang masih dikekalkan. Kulit pintu pula ringkas anggun dan diolah supaya peha dan lengan mempunyai lebih ruang. Kerusi pemandu dan penumpang depan dibalut kulit dan boleh dilaras secara elektronik dengan bentuk dan kontur yang kemas menangkap badan selari gayaan sporty yang dibawa. Kerusi belakang pula sedikit keras dibentuk khusus untuk dua penumpang di mana ruang tengah dikhaskan untuk perehat lengan dan pada hujung sudut tengah kerusi disorokkan dua pemegang cawan. Ruang bagasi pula agak sederhana sesuai dengan saiz sebuah hatch back. Ciri baharu yang ketara diperkenalkan Volvo ialah paparan meter digital sepenuhnya yang dipanggil Adaptive Digital Display. Segala informasi seperti meter kelajuan, minyak, odometer dan sebagainya dipaparkan melalui format digital dan lebih menarik pemandu boleh memilih tiga paparan berbeza dengan fungsi tersendiri. Dengan memilih mode Sport, pemandu akan diserikan dengan latar belakang meter berwarna merah yang garang dan kontra dari seleksi tersebut ialah mode Eco yang akan memberi segala indikator bagaimana untuk mencapai pemanduan yang ekonomikal. Untuk seleksi Elegance pula, pemandu boleh kembali ke dunia normal dengan grafik yang tenang dan ringkas tanpa perlu menghiraukan soal pemanduan berprestasi atau penjimatan. Pemandu turut diberikan kemudahan untuk menala sistem audio, keselamatan dan pemanduan melalui skrin 5 inci pada papan pemuka.

SONY DSC

Memandu V40 T5 sememangnya menyeronokkan dan terasa begitu sebati sekali. Volvo mengguna pakai semula enjin lima silinder 2.0 turbo dan dibekalkan transmisi enam kelajuan automatik. Cuma kelemahan yang agak terasa ialah lengahan turbo (turbo lag) yang menggangu prestasi sewaktu kuasa diperlukan, selebihnya kuasa yang dibekalkan begitu bertenaga sekali. Kepada yang bosan memandu dengan mode automatik, anda boleh memilih transmisi mode S yang melonjakkan lagi putaran enjin (rpm) secara standard. Dari segi dinamik pula, pemanduan yang jitu bukanlah kubu kuat Volvo. Para jurutera dilihat cuba untuk menjadikan kedinamikan pemanduan V40 T5 sesuai dengan reka bentuknya yang sporty namun lebih banyak usaha diperlukan. Sistem suspensi terasa keras dengan tayar Pirelli Cinturato 225/45 R17 yang agak bising. Memandu di dalam kelajuan tinggi pula masih lagi tidak setanding BMW begitu juga dengan keupayaan sewaktu mengambil selekoh yang terasa begitu ‘artificial’ dek kerana sejumlah bantuan elektronik yang tersedia. Senarai sistem elektroniknya mengagumkan seperti DSTC (Dynamic Stability and Traction Control) yang digabungkan dengan Advanced Stability Control dan Corner Traction Control by Torque Vectoring and Sport Mode.

SONY DSC

Sistem elektronik tersebut mengambil alih pengemudian kereta sewaktu melalui selekoh atau gelinciran dan fungsi tersebut harus difahami bersama dengan konsep keselamatan yang diutamakan oleh Volvo. Tidak semua pemandu mahir dan berpengalaman dan tidak semestinya pemandu di dalam kategori tersebut sentiasa berada di dalam keadaan bersedia dan alasan tersebut mungkin justifikasi kenapa Volvo tidak memberi fokus besar kepada pemanduan yang dinamik secara semula jadi. Seperkara yang menyeronokkan memandu uji Volvo ialah fungsi auto cruise yang mudah digunakan. Iya, kebanyakan kereta lain juga mempunyai sistem tersebut namun simbol fungsi suis pada stereng mudah dan praktikal untuk digunakan dan ada ketikanya saya tidak menggunakan langsung pedal minyak pada laluan lurus mahu pun selekoh. Cukup bermain-main di antara suis on, melahu dan nyah aktif tetapi teknik tersebut tidak wajar dicontohi kerana ianya berisiko tinggi jika salah digunakan.

Walaupun V40 tidak dilengkapi dengan sistem Adaptive Cruise Control dan Collision Warning with Full Auto Brake yang menjadi kemegahan Volvo dan kenapa semua orang patut membeli Volvo tetapi sistem asas seperti City Safety akan memberhentikan kenderaan secara automatik sehingga kelajuan 50 km/j yang dapat membantu sewaktu kecemasan. Tidak ketinggalan ialah Blind Spot Information System (BLIS) yang sangat diperlukan untuk memberi indikator objek pada sisi kereta terutama sekali di dalam hiruk-pikuk kesesakan trafik di pusat bandar. Lebih canggih dan membantu di dalam mencapai pemanduan ekonomikal, V40 T5 dibekalkan sistem Start/Stop dengan operasi yang agak cekap di dalam mematikan dan menghidupkan semula enjin sewaktu trafik henti dan jalan. Efek menghidupkan semula enjin secara automatik tidak terasa mana. Memandangkan cuaca negara kita yang panas, sistem tersebut tidak akan diaktifkan di dalam keadaan suhu yang tinggi. Kecekapan sistem brek V40 T5 patut dipuji dan benar berkerja di dalam menghentikan kereta sehingga saya merasakan pakejnya yang terdiri dari ABS, EBD, Ready Alert Brake, Emergency Brake Assist dan Fading Brake Support lebih berkuasa dari kuasa enjin itu sendiri. Tidak dilupakan ialah sejumlah beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan, buku lali pemandu dan tingkap.

SONY DSC

Secara kesimpulannya, saya gembira dapat memandu uji V40 yang ditunggu-tungu sejak pelancarannya. Bagaimana kereta ini direka dan dibangunkan adalah refleksi bagaimana Volvo ingin dilihat disamping membawa konsep keselamatan yang harus ditiru oleh pengeluar lain. Sokongan pasaran diperlukan di dalam memberi signal tentang apa yang dibawa oleh Volvo ini berbaloi dan harus dipertahankan. Iya, dinamik pemanduan V40 T5 mungkin tidak setara dengan pesaing premium sekelasnya namun merit harus diberikan terhadap gayaan beremosi dan sistem keselamatan yang menerajui kelasnya. Volvo Car Malaysia boleh dipuji di mana sasaran baharu mereka ialah untuk memasarkan barisan model Volvo pada harga yang mampu dijangkau oleh pasaran yang lebih luas. Cuma mungkin beberapa sistem seperti Park Assist Pilot dan Start/Stop boleh dikompromikan untuk sistem keselamatan yang menjadikan Volvo sebuah Volvo seterusnya memberi lebih kelebihan bersaing di dalam pasaran kereta hatch back premium. Pembeli Mercedes A-Class dan BMW 1 Series memilih kerana jenama dan prestij, VW Golf GTi pula kerana prestasinya manakala Volvo V40 pula kerana sistem keselamatannya. Jika ditanya mana satu pilihan peribadi, tanpa berlengah saya akan memilih V40 kerana falsafah dan idea disebaliknya di samping ikatan emosi yang menebal dan kini sudah tiba masanya usaha yang dilakukan oleh Volvo ini diberi perhatian serius. Simply put, I just love this car!

@muhd_gt

Silakan kongsi:

1 comment

    • hasang on 19/08/2014 at 11:23 PM
    • Reply

    Steady…

Leave a Reply to hasangCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.