Kuala Lumpur (29 September 2011) – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan Nissan Latio baharu yang telah dipertingkatkan untuk kedua-dua varian iaitu hatchback lima pintu dan sedan empat pintu. Ia menawarkan penampilan baru dan pengalaman pemanduan yang memuaskan kepada semua pelanggan Nissan.
Latio baharu dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder aluminium sepenuhnya keluaran Nissan yang sudah terbukti, iaitu MR18DE 1.8L (93kW/126ps pada 5,200rpm; 174Nm pada 4,800rpm) untuk model hatchback dan enjin HR16DE 1.6L (80kW/109ps pada 6,000rpm; 153Nm pada 4,400rpm) bagi model sedan yang menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan tanpa menjejaskan aspek prestasi, iaitu 7.1L/100km bagi model sedan dan 7.8L/100km bagi model hatchback.
Dianugerahkan taraf enam bintang dalam aspek keselamatan oleh Program Penilaian Kereta Baru Jepun (Japanese New Car Assessment Program, JNCAP), Latio dijangka mampu mengukuhkan reputasinya melalui keluasan kabin dan keselesaan yang mengagumkan.
“Latio baharu ini akan memberi lebih banyak nilai kepada para pelanggan kami dengan penampilan dan ciri-ciri yang telah diperbaharui,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng.
Secara visualnya, Latio baharu dapat dibezakan menerusi rekaan baru gril dan bampar hadapan yang memberikan kesan mewah dan moden. Nissan Latio Hatchback baharu juga menampilkan reka bentuk bampar belakang yang memberikan rasa berkaitan pergerakan dan tenaga. Lampu utamanya yang baru dengan gaya kontemporari unik dilihat sepadan dengan lampu belakang model hatchback untuk menawarkan impresi kemas serta sporty.
Untuk ruang dalaman, Latio Hatchback baharu kini tampil dengan kawalan audio pada stereng dan unit pemain audio bersama input Auxiliary untuk peranti audio mudah alih. Di samping meter berwarna putih dengan bacaan purata penggunaan bahan api. Latio Hatchback turut dilengkapi dengan sistem penghawa dingin automatik bersama paparan digital.
Harga di atas jalan (termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran tuntutan pemilikan) untuk Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:
Nissan Latio (Sedan) : 1.6 AT – RM89,800.00 (Comfort)
Nissan Latio (Hatchback) : 1.8 AT – RM99,800.00 (Comfort)
Latio baharu mempunyai jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (yang mana tiba dahulu). Selain itu, pembeli-pembeli Latio juga akan menerima pakej filem cermin Solar Gard Armorcoat bernilai RM1,400.00.
Klik untuk galeri gambar