“Ideanya adalah untuk menjadikan Track’ster nampak gagah, seperti seekor anjing bulldog tetapi pada masa yang sama mudah didekati. Kami mahukan kereta itu diasaskan daripada model sedia ada supaya orang ramai boleh mengesan model asasnya iaitu Soul tetapi dengan lebih karakter. Ianya patut menjadi terjemahan berani yang akan menukar persepsi orang ramai mengenai apa yang boleh dilakukan untuk kereta sport Kia,” Itu adalah kenyataan Tom Kearns, Ketua Pereka Kia Motors America (KMA).
Kata kuncinya adalah seekor anjing bulldog dan sememangnya badan Track’ster yang rapat ke bumi tampak seperti seekor anjing bulldog dengan muka yang garang. Merujuk rupa atau anggota haiwan adalah suatu yang normal buat pereka kereta. Ada yang menggunakan harimau, ikan jerung, ular sawa, kumbang dan ada juga kereta yang berbentuk seperti katak. Hakikatnya kaedah rujukan itu bukanlah suatu yang pelik di dalam dunia rekabentuk kerana kecantikan adalah perkara yang subjektif. Banyak model yang cantik seperti kereta keluaran Alfa Romeo namun pengeluar kereta Itali itu tidaklah berjaya mana jika hendak dibandingkan dengan Toyota ataupun VW. Di negara kita pula, Toyota Vios dan Perodua Myvi bolehlah dianggap sebagai kacak dan jelita jika jualan tinggi kedua-dua model itu diambil sebagai ukuran. Jika ada di antara pembaca yang kurang bersetuju dengan kecantikan Vios atau Myvi, suka untuk saya merujuk kenyataan hidup berpasangan iaitu, kecantikan itu bukanlah suatu yang abadi.