Sep 03
Range Rover 2012: Model Ikonik Sepanjang Zaman
Range Rover generasi keempat merupakan buah tangan baharu syarikat Land Rover dan merupakan model paling mewah dan berkeupayaan di dalam senarai produk syarikat daripada United Kingdom (UK) itu. Model baharu tersebut lebih ringan, kuat dan dengan perincian yang lebih tinggi mengukuhkan lagi posisinya sebagai SUV mewah dunia. Walaupun fizikalnya nampak lebih kurang sama sahaja dengan model sebelum ini, seolah-olah ditukar lampu depan dan belakang sahaja namun model itu dibangunkan daripada ‘ground up’ sempena dengan semangat inovatif dan rekabentuk ikonik generasi pertama yang menggegar industri automotif sewaktu ianya dilancarkan lebih dari 40 tahun lepas.
Range Rover baharu mencatat rekod apabila menjadi SUV pertama di dunia menggunakan badan monocoque daripada aluminium. Hasilnya, berat badan 39 peratus lebih ringan daripada badan besi pada model sebelum ini dengan angka yang sangat signifikan iaitu sebanyak 420kg. Platform aluminium yang ringan turut menyumbang kepada prestasi serta pemanduan yang lebih baik di samping penjimatan minyak dan emisi C02. Penggunaan aluminium tidak terhenti setakat badan sahaja malah rekaan casis depan dan belakang daripada aluminium turut dibangunkan bersama suspensi udara yang direkabentuk semula. Sementara keselesaan SUV itu dikekalkan, pengendalian dan kelincahannya pula bertambah baik hasil semakan semula sistem suspensi. Rekaan sistem suspensi itu menjadikan Range Rover lebih meyakinkan sewaktu melalui selekoh dengan rasa stereng yang lebih natural dan intuitif.
Aug 30
Honda Malaysia Mengingatkan Pemandu Supaya Berhati-hati Di atas Jalan Raya
Keselamatan jalanraya adalah tanggungjawab bersama. Pihak Pengurusan dan staf Honda Malaysia baru-baru ini mengagihkan 10,000 keping pek Kempen Keselamatan Jalan Raya Honda Malaysia kepada pemandu di Plaza Tol Ampang (AKLEH). Honda turut mengedarkan pamplet keselamatan jalan raya kepada penganut agama Islam di dua buah masjid berhampiran pejabat Jualan dan Pemasaran di Petaling Jaya.
Objektif kempen tersebut adalah untuk mendidik para pemandu dengan tips keselamatan jalan raya secara ringkas dan berguna.
Pengurus Pemasaran Kanan Honda Malaysia, Encik Akkbar Bin Danial turut hadir dan bersama-sama mengagihkan pek keselamatan kepada pemandu-pemandu di Plaza Tol AKLEH.
“Memastikan jalan raya Malaysia selamat adalah komitmen jangka masa panjang Honda buat pelanggan kami sebagaimana kami mahu menjadi syarikat yang masyarakat perlukan. Kempen ini juga untuk menyokong usaha kerajaan bagi memastikan keselamatan jalan raya. Dengan pamplet “Keselamatan Jalan Raya di Tangan Anda”, kami harap pemandu dapat bersedia lebih awal dan sentiasa memastikan keselamatan mereka dan penumpang sewaktu berada di atas jalan raya.
Encik Akhbar dan rakan-rakannya daripada Honda Malaysia menyerahkan pek keselamatan yang mengandungi pamplet, manisan dan air mineral.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, syarikat juga turut menggalakkan pelanggan Honda untuk pemeriksaan berkala dan biasa di Pusat Servis Honda terdekat sebelum memandu jauh. Terdapat 61 pengedar Honda di seluruh negara dengan 58 daripadanya beroperasi sebagai pusat 3S dengan menawarkan pakej servis dan kemudahan lain kepada pelanggan.
Selain daripada mengandungi tips keselamatan, pamplet tersebut juga menekankan aspek berguna lain seperti memeriksa suhu dan paras air, mengekalkan jarak selamat dengan kereta lain, pematuhan undang-undang trafik dan nombor kecemasan.
Pamplet “Keselamatan Jalan Raya di Jari Anda” turut diedarkan di pengedar Honda di seluruh negara.
Aug 29
Kempen Turunkan Harga Kereta
Nah. Selamat Hari Kemerdekaan ke 55. Janji Ditepati. Lu orang jangan memain kutuk, kang gua masuk ke dalam. Kes akta online ni.
Sekian. Terima kasih. Sampai jumpa lagi, gua nak google cara nak bisnes lemang.
Kah kah kah gua copy paste aje entri semalam. Ini lah dinamakan work smart. Hnnnns hnssss hnnsssss.
-Matpon-
Aug 15
Honda Jazz S – RM99,800
Honda Jazz ialah kereta idaman wanita dan boleh dikatakan antara faktor pembelian ialah kerana rekabentuknya yang comel. Walaupun lucu bunyinya namun mata adalah deria yang memainkan peranan yang penting dalam membuat keputusan, apatah lagi dalam memilih pasangan hidup. Dari mata turun ke hati katanya. Bahayanya permainan mata apatah lagi di bulan buasa. Atas faktor rekabentuk yang menarik boleh dikatakan Honda Jazz GD (generasi pertama) laris jualannya. Dek kerana sambutan yang hangat Honda memperkenalkan pula generasi kedua. Di Jepun Jazz GE (generasi kedua) menerima sambutan yang sama seperti Jazz GD.
Namun senario itu berbeza dengan negara kita. Mungkin kerana strategi harga yang tidak masuk akal, Jazz gagal mendapat sambutan. Honda Freed juga senasib. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini Jazz GE kembali mendapat sambutan selepas model hibrid diperkenalkan. Jadi, mereka yang meminati kereta ini namun masih waras tidak membeli model biasa kini mempunyai alternatif untuk memiliki Jazz idaman.
Terkini, menambahkan lagi pilihan, Honda Malaysia memperkenalkan Honda Jazz S. Harga mengarut sebelum ini disemak semula dan berjaya diturunkan sehingga RM99,800. Selari dengan penurunan harga, beberapa peralatan turut ditiadakan antaranya paddle shift, lampu signal pada cermin sisi dan spoiler bumbung. Peralatan keselamatan masih lagi dikekalkan antaranya, VSA, dua beg udara, ABS, EBD dan BA.
Aug 13
Balik Raya Punya Cerita 2012: Versi AngkatMuka [facelift]
Entri ini gua dah siarkan menjelang Raya tahun sudah. Kali ini gua keluarkan versi angkat muka [facelift] untuk buat pedoman nak balik raya minggu ini. Mana yang rasa elok, silalah praktikkan.
- Sebelum lu orang terfikir nak ke Sogo mahupun ke jalan TAR, ada eloknya duit yang ada tu gunakan dahulu untuk servis kereta masing-masing. Minyak hitam dalam enjin tu pun rasanya dah tak berapa nak hitam sangat dah.
- Mohon juga periksa keadaan bunga tayar tu. Jangan kata bunga, entah-entah daun aje yang tinggal kat tayar tu. Er, tarikh luput tayar pun lu orang wajib juga semak. Jangan pakai tayar yang sudah tamat tarikh luputnya waima bunganya masih lagi setebal buku teks Sejarah.
- Sebelum memulakan perjalanan, adalah afdal untuk lu orang membaca doa menaiki kenderaan. Kalau yang jenis tak berapa nak hafal, baca Bismillah pun memadai.
- Pemandu wajib berada dalam keadaan cukup cergas untuk memandu dalam keadaan yang mencabar. Mencabar bererti rohani dan jasmani harus bersedia dengan sebarang kebarangkalian menempuh kesesakan lalu lintas yang maha luar biasa. Leceh juga kalau mengantuk waktu-waktu macam ni.
- Untuk mengelakkan rasa mengantuk, ada eloknya juga orang yang duduk di sebelah pemandu adalah jenis yang Deejay Radio, banyak cakap. Boleh juga buat teman sembang. Tapi jangan sembang jenis mengumpat pula bimbang ditambah dosa pula.
- Sebelum bertolak pulang ke kampung, pastikan tahap petrol berada pada tahap yang paling cemerlang dan terbilang. Buat isian petrol sebelum memasuki lebuhraya di kawasan yang berdekatan dengan rumah. Dah tentu tak payah nak buang masa beratur sewaktu nak mengisi petrol.
- Jangan lupa juga membuat isian semula kad Sentuh & Pergi [Touch N Go] awal-awal. Jangan dah nak masuk lebuhraya, baru terhegeh-hegeh nak buat isian semula di kaunter tol. Tahukah anda betapa ramainya umat sibuk beratur waktu itu. Nak lebih afdal, gunakan saja Tag Pintar [Smart Tag].
- Kalau yang jenis sukakan cara konvensional, pastikan anda menyediakan tiket tol dan duitnya sebelum menghampiri Plaza Tol. Ramai sangat yang suka bila dah sampai depan Kakak Plaza Tol baru terhegeh-hegeh nak cari tiket sama beg duit. Yang duduk beratur kat belakang nak membayar pun boleh tahan banyak keretanya.
- Kalau dah beratur panjang sewaktu berada di Plaza Tol, jangan nak mengada-ngada menukar lorong. Tolong hormati sama hak asasi sesama manusia untuk beratur.
- Sewaktu memandu dengan laju di lebuhraya, cuba perhatikan sama kenderaan di hadapan dan yang lebih hadapan. Mana tahu, tiba-tiba tertekan brek kecemasan, sempat jugalah anda nak menekan brek sama. Tidaklah nanti sibuk penumpang sebelah nak kena brek pakai mulut.
- Kepada yang tidak tahu, Automated Enforcement System [AES] telah pun dipasang di sepanjang lebuhraya mahupun jalanraya yang berpotensi untuk dibuat kutipan saman secara besar-besaran. Jadi, silalah mematuhi had laju kebangsaan yang dibenarkan.
- Sewaktu memandu laju di lebuhraya, sila jangan memandu dengan sebelah tangan sahaja kerana dibimbangi jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan terhadapa tayar, kemungkinan untuk berlaku kemalangan berskala besar amatlah tinggi.
- Jikalau anda sedang memandu dengan had kelajuan kebangsaan dan berada di lorong paling kanan, mohon untuk beri laluan sekiranya ada kenderaan di belakang 8 batu lagi dah bagi lampu tinggi minta diberikan laluan. Jangan cuba jadi hero tak mahu beri laluan hanya kerana kenderaan tersebut dah mecapai had kelajuan ERL.
- Tali pinggang keledar tu jangan dah nampak sekatan jalanraya baru terhegeh-hegeh nak pasang. Tapi kalau anda jenis yang suka tercampak ke luar tingkat hadapan, tak pakai pun tak mengapa.
- Bagi yang menggunakan Jalan Persekutuan, tahap keberhati-hatian amat-amat diperlukan. Diulangi, amat-amat diperlukan! Jalan Kuala Lipis-Merapoh tu memang selalu masuk carta kemalangan ngeri. Jangan pernah pasang niat nak masuk carta tersebut.
- Tolong juga sedar diri dan sedar kemampuan kereta. Kalau setakat memandu Saga FLX, bubuh pula rim sukan bersaiz sampai berbelas-belas inci, penumpang mengalahkan MPV jangan cuba pasang niat untuk memotong bas bersaiz dua tingkat di hadapan. Kalau dah bertembung dengan kenderaan di hadapan, nak ingat Wad Kecemasan pun tiada gunanya lagi.
- Mana-mana kenderaan yang dah nak sampai kampung, sewaktu nak keluar masuk simpang, dengan rasa rendah diri gua memohon agar janganlah diacah-acah kepala kereta anda seperti hendak ke tak hendak keluar simpang. Kalau kenderaan lain masih lagi berada pada laluannya, berikan sahaja kerana anda yang harus mengalah. Jangan ikut amalan nak keluar simpang tapi kepala kereta terjulur keluar sampai makan setengah jalan. Ingat, mengambil hak orang lain itu berdosa.
- Ada orang berkata, sewaktu memandu tu ingatlah yang tersayang. Sesekali tu, ingatlah sama insan yang ada tak berapa nak sayang, Doktor sama pemandu Ambulan misalannya. Tapi sebenarnya, ingatlah Allah itu paling afdal sebenarnya.
- Dalam kereta pastikan sekurangnya ada sebotol dua air mineral, bimbang kalau-kalau suhu enjin kereta mendadak naik tahap kepanasannya di kala menempuh jem yang menggila.
- Kalau ada yang bertembung dengan kereta yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas yang luarbiasa, janganlah dihina dan dicaci. Sesungguhnya, tiada siapa yang mahu mengalami sebarang masalah sewaktu nak balik raya ni. Ada baiknya lu orang berdoa, moga-moga kereta yang mengalami masalah tersebut dipermudahkan urusannya.
Kalau semua perkara yang di atas lu orang dah amalkan tetapi masih juga mengalami sebarang kecelakaan, anggap sahaja ianya takdir dariNya. Yang penting kena Redha.
p/s: Kalau nak tolong kongsi dengan orang lain pun silakan. Dapat juga gua tambah pahala.
-C27-
Aug 12
NISSAN ALMERA SERBA BAHARU MEMASUKI PASARAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR (10 Ogos 2012) – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mempamerkan model terbaharu dalam sedan segmen B, Nissan Almera dalam satu pratonton eksklusif kepada media di Pavilion Kuala Lumpur. Nissan Almera akan diperkenalkan pada suku keempat 2012. Ia merupakan model pemasangan komponen terurai (CKD) yang bakal dipasang di Malaysia, iaitu di kilang Tan Chong yang terletak di Serendah.
Nissan Almera serba baharu akan ditawarkan menerusi varian 1.5 liter bertransmisi automatik dan manual yang telah direka secara khusus untuk memberikan pemanduan lancar serta penjimatan bahan api mengagumkan. Nissan Almera serba baharu merupakan Sedan Global paling laris bagi Nissan dan telah terjual lebih 460,000 unit sejak dilancarkan pada 2010. Sedan itu cukup berjaya di pasaran seluruh dunia terutama di China dan Thailand.
“Nissan Almera serba baharu memiliki gaya kemewahan dan ruang yang luas berbanding pesaing lain dalam segmen sama. Ia juga menampilkan teknologi baru yang biasanya ditemui dalam segmen lebih mahal,” kata Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Dato’ Dr Ang Bon Beng,
“Dengan keluasan ruang dalaman mengagumkan dan tahap keselesaan yang tidak diduga, kami yakin bahawa Nissan Almera akan menjadi model terlaris di Malaysia,” tambah Dato’ Dr Ang.
Orang ramai boleh melihat secara dekat sedan global itu di pusat membeli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Ogos. Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Nissan Almera, mereka boleh mendaftar di Pavilion dan di semua lokasi siri jelajah Nissan Almera. Almera turut dipamerkan di:
Dataran Pahlawan, Melaka
10 – 12 Ogos 2012
Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang
16 – 21 Ogos 2012
Paradigm Mall, Kelana Jaya, Selangor
23 – 26 Ogos 2012
Autocity, Juru, Pulau Pinang
30 Ogos – 2 September 2012
East Coast Mall, Kuantan, Pahang
31 Ogos – 2 September 2012