NISSAN ALMERA TERUS MENGUNGGULI PASARAN

Hanya selepas tiga bulan Nissan ALMERA dilancarkan dengan jayanya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini yakin bahawa sedan global Nissan paling laris itu berada di landasan terbaik untuk menjadi ikon baharu di atas jalan raya Malaysia. Ini berdasarkan kepada tempahan terkini sebanyak lebih dari 15,000 unit sehingga 31 Januari 2013.

Nissan ALMERA terus menerima maklum balas memberangsangkan daripada para pelanggan sejak ia dilancarkan November lalu. Terima kasih kepada poin jualan uniknya (USP) yang mengagumkan dan diletakkan dalam satu pakej harga berpatutan. Nissan ALMERA benar-benar mengotakan janjinya untuk menjadi lebih lagi. Ini kerana anda boleh menikmati rekaan tubuhnya yang aerodinamik, ciri-ciri teknologi premium dan ruang luas yang biasanya ada pada kenderaan lebih premium.

Nissan ALMERA ditawarkan pada harga cukup kompetitif bermula RM66,800.00 selari dengan komitmen Tan Chong untuk menawarkan pemilikan kenderaan yang lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng nyata gembira dengan maklum balas positif dan minat yang berterusan terhadap Nissan ALMERA.

“Walaupun pembeli kereta mempunyai banyak pilihan di pasaran, kami benar-benar berbesar hati kerana mereka memilih Nissan ALMERA. Ini merupakan petunjuk kukuh mengenai keyakinan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya.

Dalam tempoh sebegitu pendek, Nissan ALMERA sudahpun mencipta gelombang. Bukan sahaja dalam kalangan pembeli kereta, malah dalam industri automotif dan kitaran perniagaan SME. Ini terbukti apabila Nissan ALMERA baru-baru ini dinamakan sebagai penerima anugerah Best Value for Money Passenger Car 2012 pada Autoworld Car of the Year Awards 2012 (COTY). Sebagai tambahan, Nissan ALMERA turut dianugerahkan Jenama Paling Diutamakan (Most Preferred Brand) oleh The BrandLaureate-Master Awards 2012-2013 selepas diundi oleh kalangan pengusaha SME.

Sehingga kini, tempahan Nissan ALMERA terus menggalakkan. Tan Chong Motor Group mengambil segala langkah misalnya memastikan bahagian operasi bekerja sepanjang masa untuk memastikan penghantaran dapat dilakukan secepat mungkin kepada para pelanggan. Pada masa yang sama mengekalkan standard kualiti produk dan perkhidmatan cemerlang Nissan.

Silakan kongsi:

Kisah APV Si MPV

Di tempat kita, Suzuki APV ni bolehlah dianggap sebagai antara jenama MPV yang tidak dianggap sebagai calon pilihan pengguna. Barangkali, dengan rekabentuk yang agak konservatif APV ini seringkali dipinggirkan. Kalau tengok dalam Mudah sekalipun, memang payah nak jumpa apatah lagi nak jumpa atas jalanraya. Hakikatnya, dengan rekabentuk susuk tubuh APV yang kelihatan sasa bak badang perkasa, ianya jelas merupakan kenderaan yang cukup cocok untuk dijadikan sebagai MPV pilihan mak mertua sewaktu pergi bercuti musim perayaan ini.

Baru-baru ini gua telah berpeluang mengunjungi  bandar ketiga terbesar di Indonesia, Bandung. Memandangkan gua ke sana untuk berlibur sambil membawa ahli keluarga seramai enam orang, maka sudah tentu pilihan gua sewaktu berada di Bandung adalah merupakan MPV. Gua telah ditawarkan dengan Avanza genarasi terbaharu atau pun Kijang @ Innova dengan kapasiti 5 orang dewasa dan seorang anak kecil. Namun hati gua terdetik untuk memilih APV  berdasarkan ramalan gua bahawasanya beg yang gua bawa ke Bandung dijangkakan beranak-pinak akibat membeli-belah.

Sewaktu Supir mengambil gua di Bandara, gua memilih untuk di kerusi barisan kedua. Peluhan gua sewaktu mengusung bagasi segera hilang dek kerana corong penghawa dingin yang turut terletak di bahagian belakang. Duduk di kerusi barisan kedua memang dianggap cukup selesa walaupun dihuni oleh 3 orang dewasa dan tak lupa juga anak kecil gua yang dipangku.

Apabila beralih ke kerusi penumpang di hadapan, lu orang akan terasa sedikit seperti menaiki lori kerana ketinggiannya. Namun, jelas itu merupakan satu kelebihan kepada sang Supir sewaktu membelok untuk memarkir / memasuki lorong walaupun dalam keadaan ruang yang agak sempit kerana kadar penglihatan yang cukup jelas di atas kerusi pemandu. Manakala, sewaktu gua memilih untuk duduk di barisan ketiga, lutut gua tidak terjejas teruk berlipat dan apa yang boleh gua simpulkan, ianya masih selesa untuk dihuni oleh orang dewasa. Gua naik Exora duduk di barisan belakang tu pun dah cukup kebas kepala lutut gua.

Dari segi kesedapan dan keselesaan APV  ini, gua rasa pengedaliannya masih boleh dianggap baik. Gua duduk di bahagian belakang tidaklah terasa terhoyang-hayang tercampak ke tingkap sewaktu Supir memandu menuju ke puncak Gunung Tangkuban Perahu yang mana jalanrayanya memang sedap untuk dibuat lumba rali.

Kepelbagaian fungsi APV ini cukup terserlah sewaktu gua berangkat pulang di mana kesemua beg ahli rombongan  berjaya dimuatkan tanpa menghadapi sebarang masalah. Kalau gua menyewa Avanza, dah tentu gua terpaksa meminta Supir untuk memasang Thule di atas bumbung. Dah serupa bas persiaran dua tingkat pula dia punya tinggi nanti.

Suka untuk gua kongsikan dengan Sekutu yang lain, APV ini bolehlah dianggap sebagai popular juga di sana. Senang betul nak jumpa. APV yang jenis pick-up tu pun bersepah buat angkut barang di Pasar Baru. Sebelum terlupa, suka juga untuk gua kongsikan, di pasaran Indonesia APV ini turut dijenamakan semula oleh Mitsubishi sebagai Maven. Penjenamaan semula untuk kenderaan yang sama jantina ini bukanlah perkara asing di Indonesia kerana selain Toyota Avanza, Daihatsu Xenia turut ditawarkan kepada pembeli di sana. Amacam? Betapa luasnya pasaran kenderaan di Indonesia secara amnya dan pasaran MPV secara khususnya. Lu orang sebut sahaja nak jenis yang macam mana. Avanza ada, Xenia ada, Luxio ada, Gran Max ada, Ertiga ada, Evalia (NV200), Exora pun ada. Apa?? Alza?? Maaf, tak masuk senarai.

-Min-

Silakan kongsi:

Fiat Panda 2013: Comel Macam Panda!

Fiat Panda bukanlah model yang asing untuk kita, mungkin ada yang tidak pernah mendengar namanya namun harus tahu Panda generasi kedua pernah dipasarkan di dalam negara. Semasa menulis artikel ini, saya membuat carian di dalam laman web jual beli dan menjumpai dua buah Panda untuk dijual. Kedua-dua buah kereta masih lagi kelihatan elok dengan harga yang saya kira mampu milik. Panda tidaklah besar mana, saiznya lebih kurang Perodua Kenari. Mungkin kerana rekabentuknya yang comel mampu menarik pembeli tempatan.

Fiat Panda 4×4 yang dipaparkan ini adalah pengganti kepada model laris yang telah 29 tahun berada di dalam pasaran. Model generasi ketiga ini telah mula dipasarkan di Eropah sejak Januari lalu. Model itu dikatakan mempunyai karakter yang sama seperti model sebelumnya iaitu menyeronokkan, versatil, bergaya dan mempunyai ruang yang luas. Model itu turut dibekalkan dengan ciri-ciri standard semasa seperti teknologi, kualiti, keselesaan dan keselematan. Fiat Panda 4×4 dilihat sebagai solusi kepada pemandu yang mahukan sifat-sifat kereta bandar tanpa mengabaikan saiz, keselesaan beserta keupayaan sebuah SUV.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Lexus IS Baharu: BMW 3 Series Beater?

Pasaran kereta mewah walaupun berada di dalam kategori niche sebenarnya mempunyai persaingan tersendiri. Bahkan pasaran itu merupakan lubuk mencari duit di mana margin keuntungannya lebih tinggi. Hairannya, bagaimana mahal sekali pun harga sesebuah kereta masih ada yang mampu membelinya. Lihat sahaja jumlah kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Audi dan lain-lain yang setara menjalar di atas jalan raya. Hairan juga dari mana pemiliknya mempunyai duit sebanyak itu. Namun kebelakangan ini suasana kereta mewah yang banyak didominasi oleh pengeluar Eropah dihakis sedikit demi sedikit oleh pengeluar Jepun. Lexus dan Infiniti yang masing-masing dimiliki oleh Toyota dan Nissan mempunyai produk yang bersaing secara terus dengan model-model mewah keluaran Eropah. Kereta mewah Jepun mempunyai tarikan tersendiri iaitu ketahanan dan kelasakan yang sudah terbukti dan diperakui oleh umum. Tambahan pula, kos penyelenggaraan kereta Jepun lebih murah.

Baru-baru ini Lexus mengumumkan model IS baharu yang dilihat sebagai pesaing utama BMW 3 Series. Lebih menarik ada dua varian iaitu IS 300h yang merupakan model hibrid penuh dan IS 250 yang dikuasakan olehl enjin petrol. Kedua-dua varian tersebut adalah pacuan roda belakang dan bakal dipasarkan di dalam pakej F-Sport. Pemilik kereta mewah kebiasaannya tergolong di dalam kategori yang sukakan pemanduan menyeronokkan dan menyedari hakikat itu, Lexus membangunkan IS supaya sedap dipandu selain daripada rekabentuk yang sangat menonjol.

“Setiap aspek di dalam IS baharu ini telah dibangunkan dengan fokus kepada prestasi, pengendalian, tindak balas yang tepat untuk pemandu dan komunikasi yang berkesan di antara pemandu dengan kereta,” kata Junichi Furuyama, Ketua Jurutera IS.

Dalamannya mempamerkan kualiti Lexus dan perincian dan ciri-ciri yang banyak fokus kepada pemandu. Bukan setakat itu, IS baharu juga mempunyai bonet belakang yang lebih mesra pengguna dan ruang penumpang belakang yang didakwa sebagai terbaik di dalam kelasnya.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

PEUGEOT 2008: CROSSOVER URBAN!

Antara perasan atau tidak, kereta jenama Eropah semakin mendapat tempat di kalangan pembeli tempatan. Jika dahulu kereta jenama Eropah hanya dikaitkan dengan produk mewah buatan Mercedes atau BMW kini pasaran mula mengenali jenama pertengahan seperti Volkswagen. Namun ada sebuah jenama yang kini sedang meningkat naik dengan produk kereta entry-level hinggalah kepada premium. Hasil penjenamaan semula oleh Kumpulan Naza, Peugeot yang satu masa dahulu pernah gah dan melalui zaman-zaman suram meningkat kembali. Bermula dengan Naza Bestari atau Peugeot 206, jenama dari Perancis tersebut semakin hari semakin kuat, bukti mudah ialah kenderean Perancis tersebut yang berada di atas jalan. Agak senang untuk berselisih dengan Peugeot baharu seperti 208, 308, 3008 dan 5008. Mungkin kebanjiran semula model-model tersebut adalah kerana faktor harga yang setara dengan model buatan Jepun serta rangkaian khidmat lepas jualan yang nampak meyakinkan.

Terkini Peugeot melancarkan model baharu 2008, crossover yang berada di dalam segmen B. Kemajuan dunia yang semakin cepat berkembang melahirkan generasi baharu yang sentiasa bergerak. Mereka mahukan produk yang mewakili personaliti diri.

“Dengan 2008, Peugeot mempunyai sebuah produk yang akan menerajui segmennya di pasaran Eropah dan seterusnya akan memenangi pelanggan baharu di Asia dan Amerika Latin”, kata Maxime Picar, Pengarah Besar Peugeot.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

ŠKODA Octavia Generasi Ketiga!

Bagi mereka yang selalu mengikuti perkembangan rali tanah air pasti tahu mengenai penyertaan Proton Satria Neo S2000 di dalam rali antarabangsa seperti World Rally Championship (WRC), Intercontinental Rally Challenge (IRC) dan Asia Pacific Rally Championship (APRC). Proton memasuki pertandingan tersebut bukan saja-saja untuk makan angin bahkan berkali-kali menaiki podium. Proton bersaing dengan jentera-jentera hebat dunia seperti Mitsubishi, Subaru, Ford dan Fiat. Walaupun begitu, ada sebuah jenama kereta yang selalu menyekat kemaraan Proton terutama sekali di dalam IRC dan baru-baru ini di APRC iaitu ŠKODA Fabia S2000. Kereta itu memang pantas dengan nilai kejuruteraan tinggi dan melayakkannya bergelar juara.Perlu diketahui bahawa ŠKODA sebenarnya adalah firma yang dibawah naungan Volkswagen. Jenama itu juga merupakan alternatif terdekat untuk mereka yang mahukan teknologi VW tetapi dengan harga yang lebih rendah.

Baru-baru ini ŠKODA melancarkan model “bread and butter” mereka iaitu Octavia generasi ketiga. Model tersebut katanya mempunyai ruang yang luas, praktikal, ciri-ciri keselamatan dan keselesaan yang inovatif, jimat penggunaan minyak dan dengan harga yang munasabah iaitu suatu yang sinonim dengan ŠKODA.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Pandu Uji Proton Exora Bold 1.6 CFE (KL – Kedah – KL)

Walaupun sudah lama dilancarkan, Proton Exora Bold sebenarnya antara entri yang tertinggi mendapat carian di dalam geartinggi.com, mengalahkan Proton Preve. Kesimpulan mudah yang boleh dibuat ialah, kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut ‘makan dalam’. Walaupun sudah lama dilancarkan popularitinya sentiasa konsisten. Tambahan pula Proton Exora Bold dilihat sebagai MPV yang didatangkan di dalam satu pakej yang menarik iaitu luas, bekuasa, ada gaya dan pada harga yang berpatutan.

Pandu uji ini sebenarnya sudah lama dilakukan bahkan sesi pandu uji paling lama pernah saya rasai. MPV ini dipandu ke Sintok hingga ke sempadan Thailand selama seminggu dengan jarak perjalanan melebihi 1000 km. Sewaktu Exora Bold CFE dilancarkan, saya sempat memandu uji dalam masa yang singkat. Waktu itu, apa yang melekat di dalam kepala ialah sistem suspensinya yang lembut dan macam perahu. Selang beberapa bulan saya berkesempatan duduk semeja dengan jurutera yang bertanggung jawab dalam membangunkan sistem suspensinya. Kata beliau, dalam banyak-banyak reviu yang dibaca, hanya GearTinggi.com tidak berkenan dengan sistem suspensi Exora Bold. Memandangkan saya masih lagi berada di dalam kategori Mat Belia yang biasa dengan kereta ‘slammed’ jadi beliau faham citarasa peribadi tersebut.

Pandu uji kali kedua ini merupakan peluang kedua untuk saya mengenali dengan lebih mendalam MPV nasional itu. Memasuki Exora Bold, ambiennya adalah seperti mana-mana kereta Proton, rekaannya cantik tetapi dengan penjimatan kos. Ruang interior yang besar menjadikan banyak bahagian terdedah menampakkan material yang dipilih. Walaupun bahagian utama  seperti stereng, kerusi dan panel pintu dibalut dengan kulit namun plastik keras masih lagi mendominasi ruang interior. Apa boleh buat, material tersebut adalah standard industri yang digunakan pada kebanyakan kenderaan. Interior yang sedap disentuh mungkin adalah objek mewah sekarang ini.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Honda Gold Wing, CB500F, CB500X, CBR500R – 2013!

Dua tahun kebelakangan ini industri motosikal berkuasa tinggi tempatan semakin meriah. Ledakannya bermula dengan penjualan Kawasaki ER-6 dan Ninja 250 yang masing-masing ditawarkan pada harga kompetitif, iaitu sekitar RM30 ribu dan RM18 ribu. Susulan itu, beberapa model motosikal yang sebelum ini tidak terjangkau oleh kebanyakan rakyat dipasarkan dengan stratergi harga yang lebih masuk akal. Harga-harga tersebut boleh ditawarkan kerana ianya dipasang di negara Asean dengan duti cukai yang lebih rendah. Selain daripada itu, kemudahan pinjaman peribadi juga adalah salah satu faktor yang diperhatikan sebagai punca ledakan motosikal berkuasa tinggi. Walau bagaimanapun, fenomena ini bukanlah suatu yang baharu kerana musim motosikal berkuasa tinggi pernah melanda negara sekitar tahun 90 an. Pada waktu itu, Kawasaki juga yang bertanggung jawab, diyakini masih ramai yang mengingati model seperti ZZR, Vulcan dan Ninja. Jenama lain tidak kurang hebatnya seperti Yamaha Virago dan Honda Shadow. Kemudiannya pengeluar motosikal nasional iaitu Modenas juga ingin tumpang sekaki dengan memperkenalkan model Jaguh bersesaran 175 cc.

Pada tahun 2013, dijangka pasaran motosikal berkuasa tinggi akan lebih meriah. Jika 2012 boleh dianggap sebagai tahun Kawasaki maka pada tahun ini, pengeluar jenama lain akan memberi saingan yang lebih sengit. Honda misalnya telah mengumumkan sejumlah model baharu antaranya Gold Wing F6B, CB500F, CB500X dan CBR500R. Model-model tersebut telah dirangka untuk merebut bahagian pasaran peminat motosikal berkuasa tinggi.

Honda Gold Wing F6B

Siapa yang tidak kenal dengan Honda Gold Wing? Motosikal ini antara puncak tertinggi (selain Harley Davidson) di dalam segmen motosikal cruiser atau easy rider. Tidak sempurna jika Gold Wing hanya dikategorikan sebagai berkuasa tinggi malah perlu ditambah label mewah dihujungnya. Sama ada untuk menjelajah antara negeri atau merentasi dunia motosikal ini mempunyai pelbagai ciri-ciri sokongan yang diperlukan. Enjin yang menguasakannya bersesaran 1832 cc enam silinder yang didatangkan dengan teknologi suntikan bahan api. Enjin tersebut adalah satu keunikan Honda di mana bentangan silindernya melintang dan berdepan seterusnya menjadikan titik gravitinya rendah. Rekabentuk tersebut dengan rangka aluminium dan sistem suspensi yang sofistikated membolehkan Gold Wing F6B senang untuk ditunggang. Bahagian motosikal yang diwarnakan hitam dengan garisan yang panjang dan rendah pula memberi imej agresif. Beg tepi yang besar, pelana gayaan penembak dan sistem audio premium pula memberi nilai tambah kepada motosikal itu. Honda Gold Wing F68 didatangkan dengan dua varian iaitu standard dan deluxe dengan dua warna iaitu merah atau hitam. Pembeli juga boleh memilih pelbagai lagi aksesori yang ditawarkan Honda. Harganya bermula dari USD19,999 untuk model standard dan USD20,999 untuk model deluxe.

Honda CBR500R

Jika diikutkan, permintaan motosikal mewah seperti Gold Wing tidaklah setinggi mana di tempat kita. Pasaran besar berada di dalam kategori motosikal sport seperti Honda CBR500R. Dengan pengenalan model itu, dakwa Honda, mereka telah mendefinisikan semula motosikal kelas pertengahan dan menambah keterujaan penunggang yang mencari motosikal yang menyeronokkan dengan nilai tinggi. Motosikal ini katanya dibangunkan untuk mereka yang mahu menaik taraf daripada model asas seperti CBR250R dan juga penunggang yang lebih berpengalaman untuk merasai kelincahan dan berat yang ringan yang terdapat pada CBR500R. Motosikal itu dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api 500cc parallel-twin DOHC. Fairing CBR500R diinspirasikan daripada dua model Honda iaitu CBR600RR dan CBR1000RR. Badan yang aerodinamik pada motosikal itu memboleh aliran udara diuruskan dengan berkesan untuk tunggangan yang lebih selesa selain daripada pekali seretan yang rendah dan penyejukan enjin yang efektif. Chasis dengan suspensi belakang tunggal Pro-Link(R), fork 41mm, rim 17 inci, cakera roda brek depan berukuran 320mm dan cakera roda brek belakang berukuran 240mm pula menyempurnakan pakej yang ditawarkan Honda. Honda CBR500R standard ditawarkan pada harga USD5,999 manakala model ABS pula pada harga USD6,499.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi: