Sekadar untuk berkongsi, semasa saya kecil dahulu ada sebuah kereta yang langsung saya tidak gemar. Rekabentuknya kurang cantik, berkotak dan rasanya tiada ruang langsung untuk saya menyukai kereta tersebut. Tidak berapa lama kemudian kereta itu berada di bawah bumbung parkir rumah saya selepas seorang saudara meminjamkannya. Sempatlah juga menjadi kenderaan rasmi famili saya untuk beberapa bulan. Nama kereta tersebut ialah Range Rover, masa itu tidak wujud lagi terma SUV. Pada waktu itu Range Rover adalah sebuah SUV yang canggih dan mewah, saya yang masih lagi hingusan begitu kagum dengan teknologi yang ada pada SUV itu. Kagumnya saya hinggakan siap bertanya pada guru bahasa Inggeris maksud Range Rover.
Land Rover yang menjadi pengeluar model tersebut kemudiannya melalui zaman peralihan pemilik, daripada satu ke satu syarikat hinggalah sekarang ini dimiliki oleh Tata Motors, India. Selepas letusan yang berjaya dizahirkan oleh Range Rover Evoque, kini Land Rover memperkenalkan pula Range Rover Sport yang katanya merupakan model Land Rover yang paling pantas, lincah dan responsif. Dibangunkan bersama-sama dengan Range Rover standard, model Sport itu mempunyai ciri pemanduan dinamik dan masih mengekalkan kemampuan untuk meredah permukaan off-road. Interiornya pula lebih mewah dan menariknya Range Rover Sport mempunyai konfigurasi tempat duduk 5+2. Bukan itu sahaja malah model baharu ini lebih ringan berbanding model Sport lama hasil daripada penggunan struktur yang diperbuat daripada aluminium.