Pandu Uji Volvo V60 T4: Wagon Bergaya!

Tahun lepas saya memandu uji beberapa buah model keluaran Volvo. Dengan Volvo V60 T4 di dalam artikel ini maka sudah lengkap sesi pandu uji saya bersama model-model moden jenama dari Sweden itu. Bukan semua varian tetapi model-model yang di pandu uji mewakili apa yang ingin disampaikan Volvo. Pandu uji pertama ialah sebuah sedan iaitu Volvo S60 T5 kemudian sebuah SUV Volvo XC60 T5 dan akhir sekali ialah sebuah wagon Volvo V60 T4.

Ada suatu yang saya kira mengejutkan untuk diceritakan iaitu wagon Volvo ini dikuasakan oleh enjin yang hanya bersesaran 1.6 liter. Boleh percaya? Sebelum apa-apa jenama mewah seperti BMW, Mercedes atau Audi bising-bising mengenai enjin kecil mereka, Volvo secara senyap-senyap (terima kasih kepada Ford) juga mempunyai enjin yang kecil dan berkuasa. Bukan lagi rahsia tetapi disebalik strategi enjin kecil tetapi berkuasa itu ialah pengecas turbo generasi baharu. Terdapat dua varian enjin 1.6 turbo untuk pasaran global iaitu T3 yang berkuasa 148hp dan T4 yang berkuasa 177hp. Masing-masing mempunyai tork sebanyak 240Nm.

Secara peribadi wagon bukanlah kegemaran saya, minat itu ada tetapi tidak sampai ingin membelinya dan saya fikir begitu juga dengan rata-rata rakyat Malaysia. Kenderaan jenis ini bukan tidak bagus, cuma mungkin memerlukan promosi yang kuat untuk lebih popular. Memandu Volvo V60 adalah sesi pandu uji pertama saya dengan sebuah wagon.

V60 bukanlah wagon biasa, model ini mempunyai rekabentuk yang cantik dan terma yang saya selalu guna ialah ianya nampak sleek. Untuk rujukan mudah, bayangkan Toyota Caldina dan anda boleh faham falsafah rekaannya. Volvo era baharu sudah berubah, imej berkotak sudah ditinggalkan dan sudah lari daripada rekaan kotak dan garisan selari yang membosankan. Jika anda pernah dengar perkataan soccer mom atau biasa menonton filem Amerika Syarikat saya pasti imej Volvo sangat kuat.

Dari sisi, bumbungnya semakin rendah ke belakang dan tingkap yang mengecil menyerlahkan lagi imej sporty manakala bonet belakang pula direka dengan kemas. Bahagian tersebut nampak lebih cantik berbanding model sedan S60. Rekabentuk V60 nampak segak dan kacak jika terma itu saya boleh gunakan. Mengadili dari gambar mungkin wagon itu nampak konservatif tetapi lebih tepat jika disimpulkan sebagai rekaan yang mempunyai ciri-ciri klasik Volvo tetapi dengan elemen moden.

Volvo V60 juga sebuah kenderaan yang versatil. Katalah anda mempunyai keluarga kecil, kira-kira dua orang anak dan inginkan sebuah kereta keluarga premium. Anda banyak opsyen seperti BMW, Mercedes atau pun Audi tetapi tidak ada satu pun model daripada pengeluar tersebut menawarkan wagon. Anda juga tidak gemarkan SUV atau MPV. Di situlah V60 berperanan dengan mengisi vakum yang ditinggalkan. Ruang bonetnya agak luas dan dengan kerusi barisan kedua yang dijatuhkan pelbagai barang boleh dimasukkan. Sekadar berkongsi, sewaktu pandu uji wagon ini, saya memuatkan dua buah basikal bersaiz penuh dan pada masa yang membawa seorang penumpang di belakang.

Dari segi kuasa pula, Volvo Malaysia bermain dengan opsyen T5 dan T4. T5 merujuk kepada  enjin bersesaran 2.0 liter turbo manakala T4 pula adalah kod enjin 1.6 liter turbo. Saya memang menunggu untuk memandu uji varian T4 untuk membandingkannya dengan enjin T5. Keputusannya ialah, memang ada kehilangan kuasa tetapi tidak signifikan bahkan memandu T4 lebih seronok sebenarnya. Kuasanya cukup-cukup dan apabila prestasi dituntut maka pengecas turbo sedia membekalkannya tanpa lelah, dibantu dengan transmisi powershift enam kelajuan, pengalamannya memandu V60 ini sangat menyeronokkan. Kata orang, kuasa tanpa kawalan tidak berguna.

Untuk ciri-ciri keselamatan, varian T4 hadir tanpa spesifikasi penuh seperti varian T5. Walau bagaimanapun ciri-ciri seperti City Safety, Torque Vectoring, BLIS didatangkan standard. Namun saya berharap benar kalau Volvo turut memasukkan Adaptive Cruise Control yang berfungsi dengan mengikuti kelajuan kenderaan hadapan secara automatik sebagai ciri-ciri standard ke dalam semua varian Volvo. Lagi pula itu antara ciri keselamatan utama yang dikempen Volvo.

Bagi yang berkenan, varian V60 ditawarkan pada harga permulaan sekitar RM230 ribu. Walau pun tinggi namun jika dikelaskan di dalam segmen premium harga tersebut biasa-biasa sahaja malah dikira amat berpatutan jika dibandingkan dengan spesifikasi yang ditawarkan. Walaupun ciri-ciri keselamatannya tidak sepenuh varian T5 tetapi saya berpuas hati dengan stail, kuasa, saiz dan kebolehgunaannya. This is the Volvo that I would buy.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

  1. tolong review m6 versi estate yang baru tu huhu

    • rempeyek on 08/04/2013 at 2:54 PM
    • Reply

    bro v60 ni ade spare tyre tak? maklumlah s60 hanya ada tyre repair kit..

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.