Balik Raya Punya Cerita 2013

GT

Ini merupakan tahun ketiga gua menulis berkenaan Balik Raya Punya Cerita. Tahun pertama, gua menulis dengan sepenuh hati dengan harapan ianya boleh dikongsikan dengan Sekutu semua. Manakala, tahun sudah gua sekadar membuat versi facelift sahaja. Maka, tak tergamak pula gua nak bagi versi facelift sahaja untuk tahun ni, serupa pengeluar kereta , tukar warna cat pun sudah dikira versi facelift. Mana aci kan. Gua tidak boleh jadi serupa itu.  Maka, tahun ini gua tulis baharu. Isinya masih lagi sama, tapi gua persembahkan semula. Kira serupa remaking jugalah.

  1. Perkara asas seperti penyelenggaraan berkala gua kira tak perlu untuk gua ingatkan sangat. Masing-masing dah besar panjang. Cukup masa, pergi bengkel tukar benda-benda asas. 
  2. Jikalau odometer kenderaan lu orang itu dah cecah sampai ke 75,000 ada eloknya gua fikir lu orang pergi tukar timing belt.  Walaupun sesetengah pengeluar memberikan jaminan bahawa tidak perlu ditukar sehingga ke 100,000 km, tetapi dengan corak pemanduan serupa pelumba rali gua fikir elok abaikan sehaja kata-kata tersebut. Melainkan lu orang jenis tak kisah nak menunggu kereta kena towing dinihari akibat timing belt putus tidak mengapalah.
  3. Kondisi tayar harus juga diperiksa keadaan getah & bunganya juga. Bimbang terdapat sebarang rekahan mahupun bunga tayar yang dah tak serupa bunga sangat. Pastikan keadaan angin mencukupi untuk menampung keseluruhan penumpang dan juga beg-beg serta berbotol-botol kerepek yang turut diangkut pulang beraya. Oh ya, tayar simpanan pun kena periksa juga kondisinya. Kalau jadi sesuatu tengah hutan di kawasan Gua Musang, tengok-tengok tayar simpanan pula kempis. Nak menangis tepi jalan pun memang elok sangatlah.
  4. Macam biasa, sebelum memulakan perjalanan, baca apa-apa yang patut minta dipermudahkan perjalanan.
  5. Tali pinggang kaledar itu pakailah sebelum memulakan perjalanan yakni sesudah membaca doa. Tabiat buruk hanya memakai tali pinggang kaledar sewaktu ternampak kelibat En. JPJ & En. Trafik silalah tinggalkan. Ingat, keselamatan itu penting.
  6. Sila pastikan juga terdapat sebotol air mineral bersaiz besar, mana tahu kalau-kalau suhu enjin kereta terasa panas macam nak demam. Kan berguna tu.
  7. Sewaktu membuat isian petrol di kawasan rumah, silalah membuat tambah nilai kad Touch n Go demi memastikan kelancaran sewaktu melepasi Plaza Tol. Tak kacak langsung jenis yang beratur mengambil tiket / kad transit.
  8. Bagi yang memandu pulang ke kampung di kala bulan mengambang pastikan cukup cergas dan tidak mengantuk untuk menempuh perjalanan jarak jauh. Sediakan minuman penambah tenaga ataupun kudapan bagi mengelakkan rasa mengantuk. Tapi kalau dah menguap sampai lima enam kali, eloklah berhenti sebentar di R & R yang disediakan.
  9. Sewaktu berhenti untuk tidur sebentar di R & R, pastikan anda mengunci semua pintu dan bukalah sedikit tingkap demi memastikan ada pengaliran udara yang segar dari luar. Tak sedap juga esok keluar berita ada yang lemas dalam kereta kan.
  10. Silalah hormati hati dan perasaan pengguna lebuhraya yang lain sama. Kalau dah rasa 110 km/j itu dah cukup laju di lorong kanan silalah beri lalun kepada jentera sukan buatan Jepun dan Malaysia seperti Evo X dan juga jelmaan Evo X  untuk memotong. Jangan buat perangai keras hati tidak mahu memberikan laluan hanya kerana kereta standard kilang yang dipandu telah pun menyamai had kelajuan kebangsaan. Tak ada salahnya beralah.
  11. Jika memandu laju di lebuhraya, pastikan kedua belah tangan kemas berada di stereng. Memegang stereng sebelah tangan sambil memandu laju boleh dianggap sebagai aktiviti ekstrem. Dibuatnya tayar depan sebelah pecah, impak yang terjadi memang lu orang tak sanggup nak bayangkan.
  12. Silalah berikan signal dengan sewajarnya untuk memotong / memasuki simpang. Tidaklah pula nanti si pereka kereta berasa kecil hati kerana penat mereka untuk mencipta stick signal tersebut tapi lu orang tidak mahu menggunakannya.
  13. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  14. Ingat lagikah peraturan dalam buku kecil sewaktu nak mengambil ujian JPJ dahulu, ada menyatakan kita hendaklah mengamalkan prinsip “tunda 4 saat” berbanding dengan kenderaan di hadapan. Jadi silalah amalkan. Sempatlah lagi nak mengelak kalau-kalau kenderaan di hadapan membuat perangai nak tekan-tekan brek.
  15. Jika memandu di lebuhraya, tolonglah juga jangan memandu dengan kelajuan basikal hanya kerana nak mengamalkan prinsip biar lambat asalkan selamat. Kalau dah boleh pandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah dengan kelajuan tersebut. Jangan nak mengada-mengada perlahan sangat. Ingat, ini lebuhraya. Pandu perlahan pun sebenarnya boleh jadi punca kemalangan juga.
  16. Dijangkakan lebuhraya juga bakal bergerak tak berapa nak laju akibat daripada pertambahan jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda. Jadi, silalah bersabar. Jangan buat perangai iblis dengan memotong barisan di laluan kecemasan. Geng penunggang motosikal yang guna laluan kecemasan itu jangan buat-buat tak perasan pula. Hormati hak pengguna yang lain.
  17. Bila berhadapan dengan kesesakan di lebuhraya, mulalah nak mengemaskini status FB masing-masing. Eloklah begitu, berkongsi maklumat dengan rakan-rakan yang lain. Tapi jangan sampai ralit sehingga menyebabkan kereta di hadapan dah jauh bergerak hingga menyebabkan kenderaan di belakang mula sakit hati. Itu hanya akan melambatkan perjalanan.
  18. Jika bertembung dengan kenderangan yang mengalami kemalangan / kerosakan , gua mohon sangat-sangat agar di doakan sahaja yang baik-baik buat mereka. Panjatkan doa agar kesulitan yang mereka alami dipermudahkan urusannya.
  19. Sewaktu menghampiri plaza tol, silalah sediakan tiket transit dan wang pertukaran seawal mungkin. Jangan buat perangai dah sampai depan kakak plaza tol baru terhegeh-hegeh nak cari itu ini.
  20. Jika menggunakan laluan persekutuan ataupun laluan lama, silalah pandu dengan penuh hemah dan tatasusila. Ada masa boleh potong, potonglah. Jikalau tidak, duduk sahaja di belakang lori tanah dengan penuh rasa sabar.
  21. Sewaktu selamat sampai di kampung halaman tercinta lagi dirindui, janganlah lupa untuk panjatkan rasa syukur. Ingat, apa pun pandu cermat jiwa selamat. Biar cepat asalkan selamat.

p/s: Kalau nak tolong kongsi dengan orang lain pun silakan. Dapat juga gua tambah pahala.

-min-

Silakan kongsi:

Pandu Uji Nissan Almera Impul: Muda dan Muda Di Hati!

Nissan Almera Impul 2013.09

Nissan Almera merupakan produk terlaris Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar dan pemasang rasmi kenderaan Nissan di Malaysia. Buktinya boleh dilihat di atas jalan raya di mana banyak sekali yang memandu Almera. Faktor penting jualannya adalah harga yang berpatutan, saiz yang besar dan keyakinan pengguna terhadap jenama Nissan itu sendiri. Faktor yang lain ialah Almera merupakan produk paling baharu jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti Toyota Vios, Honda City dan Proton Persona.

Nissan Almera Impul 2013.07

Sewaktu Almera mula diperkenalkan saya baru sahaja selesai memandu uji Nissan Grand Livina Impul. Pada waktu itu, saya sempat meminta pegawai ETCM untuk memberikan slot pandu uji Almera Impul berbanding Almera standard. Model talaan Impul sebenarnya lebih saya gemari memandangkan karakternya yang lebih sporty. Walau bagaimanapun, saya diberi peluang untuk memandu uji Almera standard dahulu dan ternyata ada hikmahnya. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, ETCM berjaya mengarus perdanakan aksesori sporty yang membuka satu lagi pasaran iaitu pemandu muda. Masakan tidak, melalui Nissan Grand Livina terdapat tiga aksesori rasmi iaitu Nismo, Impul dan Autech. Ketiga-tiga jenama tersebut bukan nama picisan kerana mereka sendiri terlibat di dalam perlumbaan besar seperti Super GT Jepun. Jika dahulu peminat peralatan prestasi perlu menjelajah kedai half-cut atau membeli aksesori ‘cap ayam’ untuk memberi kelainan pada kenderaan mereka kini mereka boleh senang-senang sahaja menempah di bilik pameran. Tambahan pula peralatan tersebut baru dari kilang dan telah terbukti diuji terlebih dahulu.

Nissan Almera Impul 2013.05

Daripada luar, sudah nampak kit badan Impul berjaya mengubah karakter standard dan ‘togel’ Almera. Peralatan Aero Kit Impul terdiri daripada gril, spoiler bawah bampar depan, spoiler bawah bampar belakang, spoiler bonet belakang dan skirt sisi. Jujurnya saya masih lagi gagal untuk menghadam bahasa rekaan Almera yang konservatif dan tidak sama dengan bahasa pengeluar Jepun lain yang tajam dan menangkap. Rekaan bahagian depan dan sisi nampak seperti ada konflik dengan wajah depan yang comel digabungkan dengan sisi yang berkotak. Dari sisi nampak seperti perahu yang sarat di dalam air. Tetapi Aero Kit Impul berjaya mengubah semua itu dan selepas merenung panjang baru saya nampak terdapat pengaruh rekaan Nissan 370Z (Fairlady 4 pintu?) pada badan Almera terutama sekali bagaimana bumbung dan tiang C mendarat ke bonet belakang. Selain daripada itu, Almera nampak seperti sebuah sedan kecil tetapi saiznya adalah besar dan jika diletakkan bersebelahan dengan Proton Persona, jelas Almera lebih besar. Bahasa rekaan Almera sebenarnya menarik untuk dikaji dan dibahas.

Nissan Almera Impul 2013.04

Memandu uji Nissan Almera talaan Impul sememangnya memberikan pengalaman berbeza. Masakan tidak, kereta itu dilengkapi dengan suspensi sport Impul yang terdiri daripada penyerap hentak dan spring yang merendahkan Almera sebanyak 25mm. Daripada segi pemanduan dan pengendalian, Almera standard sudah pun mempunyai set suspensi yang bagus dalam menyerap hentakan lopak dan bonggol cuma olengannya kurang mantap. Set suspensi Impul berjaya memadam talaan tersebut di samping mengekalkan keberkesanan menyerap hentak dan mampu memberi keyakinan yang lebih sewaktu mengambil selekoh. Cuma mungkin individu yang tidak biasa mungkin akan mengadu mengenai kekerasan suspensi sport. Hubungan di antara jalan raya dan kereta ditemukan oleh roda aluminium Impul HS-06 yang dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Directional 5 bersaiz 205/50 R16. Kombinasi rim dan tayar yang senyap dan tidak keras cemerlang dan sesuai untuk pemanduan sporty. Jurutera Impul boleh dipuji dalam mendapatkan keseimbangan di antara keselesaan dan prestasi dalam penalaan semula sedan keluarga ini.

SONY DSC

Mengenai kuasa pula, enjin Almera disegarkan semula dengan penggunaan peredam bunyi Impul Blast 2. Perubahan yang dirasakan tidak banyak selain daripada bunyi nota ekzos yang tidak ketara dan boleh dikatakan sekadar ada namun tetap diperlukan bagi mengubah sedikit karakter enjin 1.5 liter CVTC yang linear. Sewaktu memotong atau mendaki bukit di mana transmisi ditukar atau tertukar secara automatik, enjin terasa kasar dan seperti dijerkah dan bunyi yang kuat memasuki kabin. Semasa memandu dalam keadaan biasa, bunyi enjin langsung senyap dan berperwatakan baik seperti seorang budiman.

SONY DSC

Daripada segi dalaman, konsep rekaan yang tinggi menjadikan Almera terasa luas terutama sekali pada bahagian penumpang belakang. Kerusinya pula selesa untuk diduduki dan tiada masalah untuk membawa penumpang berjalan jauh. Bonet barangan juga boleh tahan dan senada dengan budaya rakyat kita yang suka pulang ke kampung. Daripada segi gajet pula, Almera ini didatangkan dengan sistem navigasi, kamera undur dan pemain DVD dengan paparan skrin sentuh. Cuma yang menjadi isu ialah paparan sistem navigasi yang tidak berapa intuitif dan boleh ditambah baik lagi. Almera yang dipandu uji juga dilengkapi dengan penyaman udara digital dan butang penghidup enjin (push start button).

Nissan Almera Impul 2013.11

Kesimpulannya, Nissan Almera talaan Impul ini berjaya mengubah karakter luaran dan pemanduan dan pengendalian standard terutama sekali untuk pelanggan muda atau yang muda di hati. Dengan saiz dalaman dan bonet yang luas menjadikan Almera kereta yang ideal untuk pasangan muda, keluarga yang kecil atau yang baru hendak berkeluarga. Dilema kebanyakan golongan ini ialah kereta yang nampak jauh lebih tua daripada usia pemandu itu sendiri dan di sinilah aksesori memainkan peranannya. Impul telah melakukan tugasnya untuk menambah ‘jiwa’ pada Almera standard supaya kereta itu seimbang di antara keperluan dan kehendak.

@muhd_gt

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Nissan SERENA S-HYBRID – MPV Hibrid Pertama di Malaysia!

Nissan Serena Hybrid 2013.13

Shah Alam, 23 Julai 2013 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini memperkenalkan Nissan SERENA S-HYBRID (“S” untuk “Smart” atau pintar) serba baharu yang ditunggu-tunggu – MPV hibrid pertama di Malaysia di Setia City Convention Centre di Shah Alam, Selangor.

Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu memiliki penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu 15.2km/L berdasarkan kepada ujian kitaran JC08 Jepun, bersama ruang dalaman luas yang menawarkan sehingga 14 konfigurasi tempat duduk. Ia nyata pilihan ideal untuk pengguna MPV yang menghargai kapasiti lapan tempat duduk, utiliti yang inovatif dan keselesaan terbaik.

Tema pelancarannya iaitu “Temui Si Hibrid – “Keluarga Zaman Baru, MPV Zaman Baru” (Meet The Hybrids – New Age Family, New Age MPV) menggambarkan Nissan SERENA S-HYBRID dengan sempurna. Ia menggambarkan imej hebat, versatil dan sofistikated yang dikaitkan dengan sebuah keluarga yang mempunyai gaya hidup penuh gaya.

Nissan Serena Hybrid 2013.08

Sewaktu pelancarannya, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk, Tan Keng Meng berkata, “Selari dengan polisi kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk mempromosikan kenderaan hibrid dan Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicles, EEV) di Malaysia, kami di ETCM sangat optimistik atas pelancaran Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu ini. Kami percaya bahawa MPV hibrid ini akan diterima baik oleh keluarga-keluarga yang mahukan sebuah MPV luas dengan pelbagai ciri berteknologi tinggi dan turut menawarkan penjimatan bahan api mendahului kelasnya.

Timbalan Presiden Nissan Motor Asia Pasifik, Shinichi Koyama berkata, “Melalui hasil usaha kami membangunkan teknologi-teknologi baru seperti XTRONIC CVT, Hibrid, Diesel Bersih dan Idling Stop (sistem melahu), konsep Pure Drive kami telah berjaya menghasilkan kenderaan-kenderaan rendah emisi karbon  yang sangat cekap. Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu adalah satu contoh mengenai apa yang boleh Nissan lakukan dalam teknologi hibrid. Saya yakin bahawa kenderaan ini mampu memenuhi keperluan para pelanggan Malaysia yang peka terhadap alam sekitar.”

Nissan Serena Hybrid 2013.01

Rangkaian kuasa Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu terdiri daripada satu sistem hibrid kompak yang terdiri daripada enjin petrol MR20DD empat silinder DOHC dengan pancitan terus Twin CVTC (Continuously Variable Valve Timing) dan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini bersama ciri Adaptive Shift Control (ASC). Motor elektrik ECO menawarkan sumber kuasa yang cukup untuk membantu enjin dan proses janaan semula tenaga.  Sistem hibrid ini memiliki satu bateri tambahan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi menguasakan  ECO Motor.

Sistem S-Hybrid juga menampilkan sistem Idling Stop yang mematikan enjin secara automatik apabila kenderaan berhenti dalam kesesakan trafik. Ciri ini membantu SERENA S-HYBRID mencapai penjimatan bahan api yang mengagumkan ketika memandu di bandar. Enjin akan dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila pedal brek dilepaskan. Enjin MR20DD ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 147ps pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 4,400rpm. Berdasarkan kepada kitaran ujian JC08 Jepun, SERENA S-HYBRID berupaya mencapai jarak 15.2km/liter – terbaik dalam kelasnya.

Nissan Serena Hybrid 2013.04

Sebagai tambahan, ruang dalaman SERENA S-HYBRID juga adalah yang paling luas dan fleksibel dalam kelasnya. Ia mampu menempatkan sehingga lapan orang dan menawarkan 14 konfigurasi tempat duduk yang berbeza. Versatiliti kabin ini ditingkatkan menerusi tempat duduk pintar (Smart Multi Centre Seat) yang boleh ditolak di sepanjang laluan tengah kenderaan. Ia boleh berfungsi sebagai ruang storan tambahan pada baris pertama, sebagai tempat duduk ekstra di baris kedua atau berperanan sebagai meja untuk dikongsi oleh penumpang di tempat duduk baris ketiga.

Urusan masuk dan keluar dari Nissan SERENA S-HYBRID juga sangat mudah dengan pintu gelongsor berkuasa di kedua-dua belah sisi kenderaan. Hanya satu sentuhan pada hendal pintu diperlukan untuk mengoperasikan pintu gelongsor yang menawarkan bukaan terbesar dalam kelasnya (selebar 802mm dan tinggi 1,308mm) demi memudahkan urusan keluar masuk. Operasi satu sentuhan ini juga diteruskan kepada kunci i-Key dan butang-butang yang diletakkan pada papan pemuka di bahagian pemandu.

Nissan Serena Hybrid 2013.12

Tidak seperti MPV konvensional, tempat duduk ketiga SERENA S-HYBRID boleh diakses melalui arah berbeza. Sama ada melalui bahagian tengah atau sebelah kiri, ini boleh dilakukan dengan melipat atau menolak kerusi kapten barisan kedua (sebelah kiri) ke arah tempat duduk sebelah kanan. Tempat duduk baris ketiga juga direka supaya mudah dilipat ke atas dan disimpan, sekali gus memberikan ruang kargo yang luas. Ini adalah tambahan kepada ruang storan yang terletak di bawah tray bagasi yang boleh menempatkan kereta tolak bayi atau sebuah beg golf tanpa sebarang masalah.

Ciri-ciri luaran yang eksklusif dan tersendiri Nissan SERENA S-HYBRID terdiri daripada lensa dalaman lampu utama berwarna biru, lampu kombinasi LED berkeamatan tinggi dan lampu berhenti LED yang diletakkan pada kedudukan tinggi. Di ruang kabin, pemandu dialu-alukan oleh reka bentuk papan pemuka yang futuristik dan kemas. Ia menampilkan Eco Driver Navigator sofistikated yang memberi panduan kepada pemandu untuk memaksimumkan kecekapan penggunaan bahan api.

Nissan Serena Hybrid 2013.09

Nissan SERENA S-HYBRID diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditawarkan pada harga cukup kompetitif iaitu RM149,500. Ia didatangkan dalam satu gred premium Highway Star sahaja bersama gril hadapan dan bampar yang unik. Selain rim aloi 16 inci yang dipadankan bersama suspensi sports dan kemasan dalaman berwarna gelap. Pilihan warna pula ialah ungu gelap (Dark Purple), hitam (Super Black), putih (Brilliant Pearl White) dan perak (Brilliant Silver). Ia hadir  bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Sepanjang tempoh promosi yang bermula pada hari ini, para pelanggan juga akan menerima Multimedia Navigator bersaiz 6.5 inci secara percuma dengan kamera pandang belakang, pemain DVD, ketersambungan iPod, USB & Bluetooth bernilai RM3,300 (sah sehingga stok masih ada). Aksesori pilihan termasuklah panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung, visor pintu, kombinasi kemasan dalaman kulit dan tinted cermin tingkap.

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Datsun Kembali Dengan GO!

Nissan GO 2013.05

Mac 2012 merupakan bulan dan tahun yang penting untuk Datsun apabila Nissan Motor Co. Ltd. mengumumkan pengenalan semula jenama klasik itu. Tugas Datsun ialah untuk merebut pasaran yang mempunyai potensi tinggi atau senang kata pasaran membangun. Datsun mempunyai khazanah 80 tahun kemahiran membuat kereta dan merupakan DNA penting jenama Nissan. Mengikut perancangan, kenderaan Datsun akan mula dipasarkan di India, Indonesia, Rusia dan Afrika Selatan pada tahun 2014. Datsun bermula dengan nama DAT-GO (kereta DAT) hampir sedekad lalu pada tahun 1914.

Perkataan DAT bermaksud sepantas kilat dan pada masa yang sama adalah ganti huruf pertama nama keluarga tiga pembiaya Datsun iaitu Den, Aoyama dan Takeuchi. Lebih menarik DAT juga boleh dirujuk sebagai Durable, Attractive dan Trustworthy. Pada tahun 1933, pengasas Nissan iaitu Yoshisuke Aikawa mengambil alih bisnes Datsun dengan visi untuk menjadikannya sebagai mobiliti untuk semua. Selepas itu model baharu dengan nama Datson yang ringan, ekonomikal dan tahan lasak bagi memenuhi kehendak orang muda Jepun diperkenalkan. Model itu adalah gabungan nama Son of Dat yang kemudiannya ditukar kepada Datsun. Kejuruteraan tempatan dan produksi besar-besaran menjadikan mimpi pengasasnya sebagai realiti.

Nissan GO 2013.03

Selepas berpuluh tahun jenama Datsun direhatkan, sekali lagi sejarah tercipta pada 15 Julai lepas bertempat di India apabila Datsun Go dipertontonkan secara rasmi kepada umum. Model itu sebenarnya adalah sebuah janji ditepati Nissan yang dibuat lebih dari setahun lalu yang ingin membawa semula jenama Datsun ke medan arus perdana. Datsun sebenarnya jenama ketiga kumpulan Nissan selepas Infiniti yang ditumpukan kepada pasaran mewah. Datsun akan memainkan peranan penting di dalam pelan bisnes Nissan Power 88 untuk jangka masa sederhana.

“Hari ini merupakan hari bersejarah Nissan Motor Company dan pelanggan serta rakan-rakan kami di beberapa pasaran dunia yang berkembang pantas. Ianya juga momen yang menarik buat pelanggan kami di India yang pada hari ini menjadi lebih hampir bagi merealisasi impian untuk memiliki sebuah kereta,” kata Carlos Ghosn, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan semasa memperkenalkan Datsun Go.

Nissan GO 2013.04

Kereta hatch-back lima pintu dengan enjin 1.2 liter itu dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan dan katanya ruang dalaman adalah luas hasil daripada saiz yang lebar, jarak tiitik roda yang besar dan ruang kepala yang memadai serta kerusi depan yang boleh diubah kepada beberapa konfigurasi. Datsun Go disasarkan untuk menjadi sahabat yang boleh dipercayai untuk sesebuah keluarga serta dapat memuatkan dengan selesa lima orang penumpang dan lincah di dalam trafik yang sesak. Lebih menarik model itu mempunyai Mobile Docking Station yang boleh disambungkan denga telefon pintar.

Kereta serba baharu ini dibina bagi memenuhi kehendak golongan di dalam pasaran yang pantas berkembang yang mahukan kereta dengan nilai tinggi. Golongan tersebut pengangkutan yang dapat memenuhi kehendak harian dan pada masa yang sama mempunyai cita-cita yang tinggi untuk masa depan. Mereka kebiasaannya sentiasa bergerak dan mahu meningkat maju dan itu diimbas oleh kenapa nama GO dipilih. Selain daripada itu, nama GO juga diinspirasikan daripada model pertama Datsun iaitu DAT-GO yang dilancarkan hampir sedekad lalu di Jepun. Pada waktu itu, DAT-GO merupakan jawapan untuk mereka yang belum pernah memiliki kereta. Jenama Datsun yang dihidupkan semula dan model GO yang dilancarkan ini bakal mengambil alih tugas yang ditinggalkan dahulu. Datsun GO adalah sebuah kereta yang bergaya dan moden dan memberi pengalaman pemanduan yang meyakinkan untuk rata-rata pelanggan.

Nissan GO 2013.02

“Apabila seorang pelanggan membeli kereta pertamanya di negara seperti India, Indonesia, Rusia dan Afrika Selatan, pertama sekali ialah mereka akan mengimpikannya. Untuk menjadikannya sebagai realiti, pelanggan memerlukan akses dan rasa pemilikan terhadap sesebuah jenama. Memandangkan pembelian itu akan melibatkan sebahagian daripada pendapatan maka sangat penting untuk sesebuah jenama dan produk dipercayai. Maka jenama Datsun dibangunkan berdasarkan tiga perkara tersebut iaitu Impian, Akses dan Kepercayaan,” kata Vincent Cobee yang mengetuai Datsun.

Model-model Datsun akan dibangunkan secara individu untuk pasaran berbeza tetapi konsepnya akan mengikut inspirasi yang sama. Datsun GO akan menjadi model pertama barisan produk Datsun yang akan mula dilancarkan pada tahun 2014 di Indonesia, Rusia dan Afrika Selatan. Rekabentuk Datsun GO dilakukan di Nissan Motor Jepun manakala pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pembangunan kejuruteraan dibuat oleh tenaga kerja dan vendor tempatan bagi memastikan produk tersebut memenuhi kehendak, citarasa dan keperluan setempat serta mampu milik dari segi harga. Projek Datsun GO diawasi dan kawal selia oleh kemahiran membuat kereta Nissan global dan kawalan kualiti. Datsun GO akan diproduksikan di kilang baharu Renault-Nissan di Oragadam, Chennai, India.

Nissan GO 2013.01

Jika ada yang tertanya adakah Datsun GO akan dibawa masuk ke dalam negara? Saya pun kurang pasti kerana jika diikutkan pasaran kereta Malaysia sudah hampir tepu dan matang, walaupun saiz pasaran semakin meningkat tetapi perkembangannya agak sederhana tambahan pula citarasa rakyat Malaysia agak tinggi. Struktur cukai pula tidak menggalakkan persaingan sebenar walaupun sudah ada usaha ke arah pembukaan pasaran. Apa pun, Datsun GO adalah bukti yang syarikat Jepun tidak leka dan lalai dalam mempertahankan pasaran yang sudah dan mula dibanjiri oleh produk Korea Selatan dan China.

Nissan Media

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Mazda3 2014: Pencabar Segmen C Dunia!

Mazda3 2013.01

Di kalangan penggemar kereta, nama Mazda cukup kuat dengan model sport seperti Miata, RX7 dan RX8. Tetapi bagaimana dengan model massa seperti kereta sedan, kereta bandar atau SUV? Sejak kebelakangan ini senario itu semakin berubah dengan kebanjiran produk-produk baharu Mazda. Model Mazda6 adalah pembuka jalan kepada populariti kendaraan Mazda. Dengan rekabentuk cantik dan pakej yang lain daripada lain telah berjaya membuka banyak mata terhadap jenama Mazda. Begitu juga dengan Mazda3 yang memberi alternatif kepada mereka yang bosan dengan jenama Jepun lain. Produk lain seperti Mazda2 yang memenangi Anugerah Kereta Dunia pada tahun 2008 juga tidak kurang hebatnya cuma yang menjadi masalah dengan Mazda ialah penjenamaan tempatan yang tidak berapa kuat sedangkan potensinya tinggi untuk bersaing dengan produk Jepun, Korea Selatan, Eropah atau Amerika Syarikat.

Mazda3 2013.02

Walau bagaimanapun, senario itu sudah mula berubah dengan pengenalan model boleh jual seperti SUV CX5. Pada awal pengenalan, CX5 menerima sambutan hangat dengan tempoh menunggu berbulan lamanya, untuk lebih kompetitif, pengedar tempatan iaitu Bermaz telah memasangnya di dalam negara dan telah mula menganggu kedudukan Honda CR-V yang tidak terusik sejak sekian lama. Momentum tersebut diteruskan pula dengan pengenalan Mazda6 baharu dengan nilai spesifikasi yang tinggi pada harga yang berpatutan untuk sebuah kereta yang diimport sepenuhnya dari Jepun. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding pesaing lain namun tinggi bukan sebarang tinggi, lihat pada spesifikasi yang ditawarkan dan saya yakin ianya berpatutan.

Mazda3 2013.05

Berita baik untuk mereka yang mahukan kelainan dan tidak mahu tergolong dengan memandu kereta sejuta umat, Mazda Motor Corporation pada penghujung Jun lepas telah memperkenalkan model baharu Mazda3 hatchback. Model tersebut merupakan produk ketiga yang menggunakan tema rekabentuk KODO – Soul of Motion dan teknologi SKYACTIV. Mazda3 hatchback kemudian akan disusuli oleh model sedan dan bakal dipasarkan di serata dunia bermula lewat tahun ini. Model ini masih baharu dan Mazda dilihat agak ‘kedekut’ dalam memberi maklumat lanjut mungkin kerana ianya belum dilancarkan sepenuhnya atau mungkin juga kerana ingin menambah sedikit keseronokan sementara dipasarkan.

Mazda3 2013.03

Sejak model pertama dilancarkan pada tahun 2003, lebih 3.5 juta unit Mazda3 telah terjual diserata dunia yang membuktikan sambutan hangat terhadap model ini walaupun falsafah rekaannya lebih menjurus ke arah sporty. Satu lagi fakta ialah Mazda3 merupakan model cari makan yang merupakan produk terlaris Mazda dengan satu pertiga jualan global Mazda. Mazda3 digemari kerana rekabentuk yang beremosi, pemanduan yang menyeronokkan, ciri-ciri keselamatan dan alam sekitar dan kualiti tinggi. Rekod Mazda3 lebih cemerlang dengan 136 anugerah dimenangi di serata dunia.

Rekaan Mazda3 baharu memang emosional, terima kasih kepada tema gayaan KODO yang jika sekali imbas nampak seperti kereta yang seronok untuk dipandu. Ditambah pula dengan teknologi SKYACTIV yang memberi pengalaman “jinba-ittai” iaitu penyatuan di antara kereta dan pemandu yang semakin jauh dipandu semakin mendalam perasaannya. Selain daripada itu, buat pertama kalinya diperkenalkan ialah Human Machine Interface (HMI) yang direka dengan penekanan yang tinggi terhadap aspek keselematan. Sistem keselamatan dipakejkan sekali di dalam teknologi i-ACTIVESENSE yang dapat membantu pemandu di dalam mengesan dan mengelak daripada bahaya. Mazda dengan falsafah zoom-zoom nya sentiasa konsisten untuk memberi keseronokan pemanduan dan semestinya tidak terkecuali melalui Mazda3 baharu.

Mazda3 2013.04

Pada bahagian janaan kuasa pula, untuk pasaran global Mazda bakal memperkenalkan enjin SKYACTIV-G 1.5 liter petrol baharu selain daripada enjin 2.0 liter dan 2.5 liter serta 2.2 liter diesel. Barisan enjin tersebut akan ditentukan untuk setiap pasaran dengan pelbagai keperluan di serata dunia. Menariknya, model Mazda3 sedan akan menggunakan enjin hybrid elektrik tetapi yang tidak berapa menarik ialah model itu akan dipasarkan di Jepun dan masih tiada berita untuk pasaran global lain. Apa pun, untuk pasaran tempatan lazimnya kita akan menerima produk global di antara enam bulan sehingga setahun selepas pelancaran global. Jika dicongak ringkas, boleh jadi Mazda3 baharu bakal dibawa masuk tahun depan.

Persaingan biasanya memberi kebaikan kepada pengguna dan tidak sabar rasanya untuk menunggu reaksi pasaran. Nampaknya segmen C bukan lagi pasaran yang selamat untuk dua lagi jenama dari Jepun.

Mazda Media

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Video: Teknologi Parkir Tanpa Pemandu Volvo

Volvo yang terkenal sebagai peneraju teknologi keselamatan kereta kini melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan teknologi parkir tanpa pemandu (autonomous). Teknologi tersebut menggunakan sensor bagi mengesan petak parkir yang kosong kemudian mengemudi kereta secara automatik ke dalam petak parkir. Menariknya kemudahan tersebut diaktifkan melalui telefon pintar.

Teknologi itu masih lagi di peringkat penyelidikan dan paling awal akan dipasarkan ialah pada penghujung tahun 2014. Beberapa teknologi stereng autonomous akan digunakan pada model XC90 baharu.

Antara teknologi yang sudah boleh dinikmati melalui model semasa ialah Adaptive Cruise Control yang mengikut kelajuan kenderaan hadapan secara automatik, Collsion Warning yang memberi amaran jika terdapat ancaman kemalangan secara berdepan dan City Safety yang mampu membrek secara automatik semasa kelajuan perlahan.

Volvo Malaysia dijangka melancarkan model V40 baharu di dalam masa terdekat.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Honda Brio Amaze: Sedan Comel Mesra Alam!

Honda Brio Amaze 2013.07

Tahukah anda Honda sebenarnya bermula sebagai kereta rakyat? Sebelum dikenali sebagai jenama premium Honda sebenarnya mengeluarkan kereta-kereta rakyat seperti Civic dan City yang ekonomikal dan praktikal. Selang berpuluh tahun kedua-dua model tersebut berada di dalam segmen premium. Lihat sahaja harga Civic yang melebihi seratus ribu dan begitu juga City yang bermula daripada RM85 ribu hingga RM90 ribu. Faktor cukai juga adalah faktor kenapa kedua-dua model itu menjadi premium namun adat orang bisnen takkan hendak biarkan senario itu berlaku begitu sahaja. Untuk bersaing terutama sekali di pasaran negara membangun seperti Asean adalah penting untuk mempunyai model entry-level yang mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.

Di Thailand, kerajaannya menggalakkan pengeluar menghasilkan model kereta yang menjimatkan atau lebih dikenali sebagai Eco Car yang kemudiannya melayakkan mereka untuk mendapat insentif cukai dan sebagainya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pengeluar Jepun seperti Mitsubishi, Suzuki dan Nissan masing-masing menghasilkan kereta Eco seperti Mirage, Swift dan March. Tidak ketinggalan ialah Honda dengan model Brio Amaze.

Honda Brio Amaze 2013.08

Pada November tahun lepas di Thailand, Honda telah melancarkan Brio Amaze bersesaran 1.2 liter. Jiran kita itu adalah negara pertama di Asia yang menerima model tersebut. Kata Encik Pitak Pruittisarikorn, Naib Presiden Eksekutif Honda Automobile (Thailand) Co. Ltd. “Sejak kembali beroperasi sepenuhnya selepas lapan bulan, Honda telah mencatat rekod baharu di dalam industri automotif Thailand daripada segi pelancaran model baharu. Pelancaran Brio Amaze adalah yang kesepuluh untuk tahun 2012 dan merupakan kereta Eco kedua Honda. Diasaskan daripada model Brio hatchback, Brio Amaze merupakan pencapaian penting apabila ianya merupakan projek kerjasama di antara jurutera Jepun dan Thailand yang berpusat di Pusat Penyelidikan dan Pembangungan (R&D) Honda Asia Pasifik yang terletak di Thailand khusus untuk memenuhi kehendak pasaran di Thailand dan Asia. Brio Amaze adalah model yang tepat untuk pelanggan Thailand yang mahukan kereta pertama yang menarik dengan harga berpatutan,” kata Encik Pitak.

Rekabentuk Brio Amaze menggunakan konsep Smart Micro dan tidak dilupakan ialah DNA Honda iaitu Man Maximum Machine Minimum yang meletakkan prioriti terhadap pemandu dan penumpang. Gayaan diluar diserlahkan dengan garisan badan yang bermula dari depan hingga belakang. Muka depan diceriakan dengan gril krom manakala lampu belakang yang nampak seperti Honda City juga dikemaskan dengan lid krom. Dikuasakan oleh enjin SOHC i-VTEC bersesaran 1.2 liter, 4 silinder, 16 injap dengan output 90hp, Brio Amaze dikatakan hanya menggunakan 1 liter petrol untuk perjalanan sejauh 20km. Model itu benar-benar kereta Eco yang mengikut piawaian Euro 4. Untuk lebih mesra pemandu dan juga standard untuk kereta bandar ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) dengan radius pusingan yang kecil iaitu 4.6 meter. Sistem keselamatan kereta cili padi itu terdiri daripada struktur badan G-CON, ABS, EBD, beg udara pintar (i-SRS) untuk pemandu dan beg udara (SRS) untuk penumpang yang mematuhi standard UNECE yang memberi perlindungan impak depan dan sisi. Antara ciri utama lain ialah kunci kawalan, sistem audio 2 DIN, sambungan USB dan AUX, perehat lengan penumpang belakang dan sembilan pemegang cawan.

Honda Brio Amaze 2013.09

Brio Amaze menawarkan penyelesaian yang ideal untuk mobiliti daripda Honda. Kereta itu menawarkan keharmonian di dalam sifat yang berlawanan seperti kelincahan tetapi dengan keluasan dan keselesaan, keseronokoan pemanduan tetapi dengan penjimatan minyak dan kereta Eco dengan sistem keselematan yang komprehensif. Brio Amaze ditawarkan melalui empat varian dengan harga yang bermula dari sekitar RM47 ribu hingga sekitar RM53 ribu.

Untuk mereka yang berkenan, sukar untuk saya memberi kepastian sama ada Honda akan membawa masuk Brio Amaze ke pasaran tempatan. Rasanya mustahil memandangkan posisi Honda yang berada di dalam segmen sederhana mewah dan produk murah hanya akan menjejaskan reputasi tersebut. Walau bagaimanapun tiada yang mustahil cuma Honda harus menyelesaikan isu struktur cukai terlebih dahulu. Lagi pun, Mitsubishi telah membuktikannya dengan membawa masuk Mitsubishi Mirage!

Honda Asia

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Nissan Almera Nismo Performance Package Concept

Nissan Almera Nismo 2013.09

Sepang, 16 June 2013 – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) hari ini memahat satu lagi pencapaian bersama Nissan Motorsports International Co., Ltd. (Nismo) apabila melakukan prebiu global model Nissan Almera Nismo Performance Package Concept yang dipertontonkan kepada umum pada acara Super GT International Series Malaysia 2013.

Menerusi pengenalan Nissan Almera Nismo Performance Package Concept, para peminat kereta di Malaysia bakal berpeluang untuk memiki sebuah Nissan Almera dengan pakej Nismo’spassion tidak lama lagi. Pakej menarik ini dijadual dilancarkan di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

Model Nissan Almera Nismo Performance Package Concept diinspirasikan oleh teknologi-teknologi sukan bermotor Nismo. Ia menampilkan reka bentuk aerodinamik yang dioptimumkan secara khusus untuk Almera. Di samping karekter pengendalian yang telah dipertingkatkan dan lincah untuk pengalaman pemanduan lebih dinamik.

Nissan Almera Nismo 2013.08

Ciri menarik pada bahagian luaran Nissan Almera Nismo Performance Package Concept ialah bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang serta rim aloi bersaiz 17 inci. Semua komponen ini dibangun menggunakan teknologi perlumbaan Nismo yang sudah terbukti. Suspensi sports menawarkan pengendalian yang selesa dan stabil. Sementara peredam ekzos Nismo (Nismo Exhaust Muffler) pula memberikan bunyi yang lebih sporty.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ David Chen berkata, “Meneruskan kejayaan kolaborasi pertama di antara ETCM dan Nismo pada tahun 2005, kami kini berbesar hati untuk memperkenalkan model prebiu global ini. Nissan Almera Nismo Performance Package Concept merupakan bukti kepada hubungan dan kerjasama rapat yang telah wujud di antara ETCM dan Nismo. Kami harap dapat menawarkan pakej Nismo ini kepada semua pelanggan Almera tidak lama lagi!”

Nissan Almera Nismo 2013.07

“Nissan Almera Nismo Performance Package Concept diperkenalkan buat pertama kali di dunia bersama Edaran Tan Chong Motor, rakan kami sejak sekian lama di Malaysia. Kami berbangga kerana mempunyai jenama Nismo pada model-model arus perdana Nissan. Ia menawarkan sesuatu yang istimewa dari segi teknologi sukan bermotor termaju, kemampuan prestasi dinamik dan reka bentuk sporty tersendiri yang terkandung dalam Nismo, jenama sukan bermotor, prestasi dan personalisasi Nissan,” kata Presiden NISMO, Shoichi Miyatani.

Nismo merupakan jenama sukan bermotor dan prestasi untuk kenderaan Nissan yang terkenal di peringkat global. Ia juga dikenali sebagai salah satu organisasi sukan bermotor premium yang wujud daripada semangat tagline “Inovasi yang Mengujakan” (Innovation that Excites) Nissan. Nismo menawarkan teknologi inovatif dan berprestasi tinggi untuk rangkaian pelanggan lebih luas bagi kegunaan di jalan biasa.

Silakan kongsi: