Honda CR-Z Mugen RR: Not For Sale!

Honda CR-Z Mugen RR 2013.01

Honda CR-Z adalah sebuah kereta yang menarik dan walaupun berada di dalam kategori kecil (niche) model itu tetap mendapat sambutan. Walaupun kereta sport dikaitkan dengan sifat maskulin dan berprestasi namun CR-Z mempunyai pengikut tersendiri di kalangan golongan wanita. Mungkin mengecewakan untuk sesetengah peminat Honda apabila syarikat itu hanya membekalkan hanya satu opsyen enjin iaitu hibrid.

Honda CR-Z Mugen RR 2013.02

Walau bagaimanapun itu tidak menjadi masalah untuk penggemar CR-Z serata dunia apabila ada yang memberontak dan membantah keputusan Honda dengan mengubahsuai enjin dengan kuasa yang berlipat kali ganda. Honda sendiri menggunakan CR-Z dengan enjin yang lebih berkuasa untuk perlumbaan Super GT.

SONY DSC

Sementara itu ada sebuah model yang gilakan kuasa yang dipanggil CR-Z Mugen RR dan muncul pertama kali di Festival Kelajuan Goodwood di United Kingdom pada 2011 dan kini sudah mendarat di Kuala Lumpur. Dilengkapi dengan bahagian-bahagian aerodinamik dan pengurangan berat menerusi bahan-bahan karbon, CR-Z Mugen RR memiliki keseluruhan bahagian bawah badan gentian kaca, ekzos tenaga berkembar, saluran pada bamper hadapan dan sistem gantungan dibangunkan khas untuk perlumbaan.

Honda CR-Z Mugen RR 2013.03

CR-Z Mugen RR dengan kuasa supercaj menonjolkan kesemua potensi yang ada pada model asas CR-Z, dan menjadi sebuah kereta yang diminati dan diidami ramai peminat kereta. CR-Z Mugen RR dipasang dengan 4-omboh angkup brek monobloc dan roda aloi 18 inci. Di dalam kereta, paparan maklumat mengenai perlumbaan merekodkan data chasis dan enjin yang pada masa sama berfungsi sebagai sistem audio dan navigasi satelit.

Silakan kongsi:

Previu Media KLIMS 2013

KLIMS 2013.01

Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (KLIMS13) membuka tirainya kelmarin untuk previu media. Pameran dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan YB Dato’ Hasan Bin Malek.

KLIMS dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan diuruskan oleh Interexpo (M) Sdn Bhd. KLIMS Edisi ke-8 bertema “Kecekapan Mobiliti” pasti akan membawa momentum baharu ke dalam usaha meningkatkan kecekapan penggunaan minyak dan revolusi mesra alam yang menjadi tumpuan semasa industri automotif.

KLIMS 2013.02

Beberapa pengeluar mengambil peluang untuk melancarkan dan mempamerkan model baharu antaranya Honda Odyssey, Lexus LF-A, Toyota Previa, Peugeot 2008, VW Polo Hatchback 1.6, Nissan Impul Nismo, Ford EcoBoost, dan Infiniti Q50. Turut mencuri perhatian ialah model-model konsep Perodua seperti Buddyz, Space, Myvi Advanced dan enjin 1KR.

Antara pengeluar yang terlibat di dalam KLIMS13 ialah Citroen, Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Lexus, Nissan, Perodua, Peugeot, Toyota, Subaru dan Volkswagen.

Beberapa entri susulan akan diterbitkan untuk pembaca blog dengan imej bersih, tanpa eksploitasi wanita.

KLIMS 2013.04

Silakan kongsi:

Pandu Uji Honda CR-V 2.0 2013: SUV Urban dan Praktikal!

Honda CR-V 2013.22

Honda tidak pernah kalah dalam mengeluarkan model-model hits antaranya Civic, Accord, Jazz, dan CR-V. Model-model tersebut jika ditanya di ceruk mana pun pasti akan dikenali, digemari dan diidam-idamkan. Baru-baru ini saya memandu uji Honda CR-V baharu yang dilancarkan pada Mac lepas. Mungkin ada yang tertanya apakah maksud di sebalik nama CR-V yang sebenarnya merujuk kepada Comfortable Runabout Vehicle seperti yang banyak ditayang pada kotak tayar gantian dibonet belakang model generasi lama. Di pasaran Amerika Syarikat (AS), CR-V begitu popular hinggakan pada tahun 2007 menjadi salah satu dari sepuluh kenderaan terlaris. Di pasaran tempatan apa kurangnya, setiap generasi CR-V yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1995 itu mendapat sambutan dan SUV itu sudah memasuki generasi yang keempat.

Honda CR-V 2013.09

Daripada pemerhatian dan pembacaan yang dibuat, ramai yang berkenan dengan CR-V kerana saiz dan praktikaliti yang ditawarkan. Model itu seolah-olah pilihan wajib untuk mereka yang ingin menaik taraf selepas puas memandu kereta penumpang atau mereka yang mahukan kenderaan keluarga dengan saiz sederhana. Dek kerana sambutan yang hangat, SUV itu menerima saingan yang sengit sama ada daripada pesaing tradisi seperti Nissan X-Trail atau pun pesaing baharu seperti Hyundai Tucson, Ford Kuga atau yang paling hampir dengannya iaitu Mazda CX-5. Jika anda berada di dalam pasaran tersebut pasti berbelah bahagi di antara Honda CR-V atau Mazda CX-5 di mana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

SONY DSC

Melalui CR-V generasi keempat nampaknya Honda telah lari jauh daripada tema asal CR-V yang nampak maskulin dan berkotak. Model generasi ketiga dan keempat sebenarnya sudah memasuki sempadan kereta bandar dengan rekabentuk yang lebih membujur dengan bucu dan sudut yang lembut. Posisi tempat duduk dan suasana dalaman seolah-olah berada di dalam sebuah kereta dengan jarak kelegaan kepala yang tinggi berbanding rekaan berkotak-kotak dan simetri yang lazim untuk pacuan empat roda. Mujur Honda tidak mengaplikasikan rekaan papan pemuka dua tingkat seperti Civic baharu yang sebenarnya banyak mendominasi ruang jika tidak, hilanglah ciri-ciri sebuah SUV. Walau bagaimanapun persamaan dengan kereta itu hanyalah mengikut citarasa pasaran dan peredaran zaman. Jika diperhatikan, berapa ramai sangat yang menggunakan SUV untuk masuk ke hutan atau alasan paling lemah pun berapa kerat sangat yang membelinya untuk pergi memancing.

SONY DSC

Memandu CR-V adalah tipikal sebuah kenderaan Honda, kerusinya selesa, penggunaan ruangnya optimum manakala suspensinya ditala sedikit keras untuk pemanduan yang lebih dinamik. Walaupun tidak mampu menyelurusi selekoh sepantas sebuah kereta namun ketepatan stereng serta olengan badan boleh dipuji untuk sebuah SUV. Sterengnya juga seimbang, ringan sewaktu keluar-masuk parkir dan sederhana sewaktu kelajuan tinggi cuma tipikal untuk kereta buatan Jepun ialah kenderaan terasa ringan pada kelajuan melebihi 120 km/j.

Seperti model-model baharu Honda yang lain, CR-V turut dibekalkan mode ECON untuk pemanduan lebih ekonomikal dengan menala semula pergerakan enjin. Berada di dalam mode tersebut, operasi enjin lebih melahu atau bergerak perlahan dengan hantaran kuasa yang rendah, karakter yang sesuai untuk pemandu yang sabar dan tenang.

Honda CR-V 2013.15

Turut dilengkapkan ialah ECO Assist dengan nyalaan latar belakang meter kelajuan berwarna hijau dan beransur ke warna putih sebagai indikasi pemanduan yang ekonomikal atau normal. Melengkapi info grafik pada papan pemuka ialah skrin i-MID yang memaparkan informasi penggunaan minyak, hiburan, jam dan kamera undur. Skrin itu sangat berfungsi seperti yang terdapat pada Civic Hybrid dengan pelbagai informasi namun terasa kosong untuk CR-V dan boleh diganti dan ditambah dengan pelbagai maklumat lagi seperti rekod servis atau pun sistem navigasi. Agak ralat, apabila Honda tidak menawarkan opsyen sistem navigasi dan sambungan bluetooth seperti yang terdapat standard pada model CR-V 2.4.

Bukan setakat itu, terdapat beberapa kekurangan lain seperti tiada opsyen kerusi kulit yang saya fikir wajib untuk kenderaan keluarga sebegini dan paling janggal ialah tiada sensor undur. Walau pun CRV didatangkan standard dengan kamera belakang namun sensor undur sudah menjadi kebiasaan pemandu tempatan. Setidak-tidaknya Honda boleh menawarkan kemudahan tersebut sebagai tambahan kepada barisan aksesori yang terdiri daripada tonneau cover (penutup bagasi) dan kit badan Modulo. Namun apa yang boleh dipuji ialah operasi lipatan kerusi belakang dengan satu pergerakan tunggal sama ada melalui tuil pada bahu kerusi atau pada dinding kargo. Saya berasa seronok dan seperti anak kecil apabila bermain-main dengan fungsi tersebut.

Honda CR-V 2013.20

Mengenai kuasa pula, jika dibuat kajian pasti akan menjumpai rungutan mengenai kuasa enjin 2.0 liter i-VTEC yang kurang bertenaga untuk menggerakkan CR-V generasi lama. Untuk model generasi keempat, Honda masih mengekalkan enjin yang sama tetapi dengan penambahan kuasa sebanyak 5ps kepada 155ps dengan tork 190Nm. Perubahan yang paling besar dirasakan ialah transmisi automatik lima kelajuan dengan nisbah yang lebih singkat supaya SUV ini dapat digerakkan dengan lebih tangkas. Namun untuk mereka yang biasa memandu kereta, perubahan itu masih tidak memadai ditambah pula jika di dalam mode ECON.

SUV ini sebenarnya tidak mempunyai masalah jika dipandu dengan teknik yang betul cuma pemandu perlu faham dan mahir dalam mengekstrak kuasa. Mungkin apa yang Honda boleh buat ialah menawarkan CR-V versi 2WD seperti negara jiran yang kurang peralatan mekanikalnya dan pastinya lebih ringan berbanding versi Real Time 4WD ini. Purata penggunaan minyak sepanjang pandu uji dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pula ialah sebanyak 10.7 km/l dan saya yakin penggunaan minyak lebih menjimatkan untuk versi 2WD.

Honda CR-V 2013.18

Setelah bersama selama lima hari empat malam, Honda CR-V generasi keempat ini mewarisi DNA generasi terdahulu seperti praktikaliti dan penggunaan ruang yang pintar. Cuma model ini telah dievolusikan menjadi lebih urban dengan karakter pemanduan seperti sebuah kereta. Jika dahulu, CR-V kurang saingan namun kini corak permainan sudah berubah dengan pesaing lain yang menawarkan lebih nilai dengan harga yang ditawarkan.

Walau pun CR-V masih mendapat sambutan hangat namun banyak jualan telah hilang kepada pesaing lain tambahan pula pelanggan hari ini lebih berhati-hati dan pandai membuat perbandingan. Buat masa sekarang dan dalam tempoh terdekat, Honda masih di depan terima kasih kepada rekod jenama dan perkhidmatan yang telah lama dibina. Kepercayaan dan hubungan itu adalah suatu yang berharga dan harus sentiasa dipelihara dan dipertahankan oleh Honda!

@muhd_gt

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Toyota Menduduki Tangga Tertinggi dalam Kepuasan Jualan di Malaysia – JD Power Asia Pacific

JD Power SSI 2013

 

Walaupun kepuasan pelanggan secara keseluruhan terhadap proses jualan kenderaan bertambah baik di Malaysia pada 2013, jurang kepuasan di antara pengeluar kereta domestik dan import telah bertambah besar, mengikut Kaji Selidik Indeks Kepuasan Jualan (SSI) J.D. Power Asia Pacific Malaysia 2013 (SM) yang diterbitkan pada September lepas.

Kini dalam tahun ke-11, kaji selidik tersebut mengkaji tujuh faktor yang meyumbang kepada keseluruhan kepuasan dengan pengalaman pembelian kenderaan baru (mengikut urutan keutamaan): proses penghantaran; inisiasi jualan; jurujual; kertas kerja; masa penghantaran; fasiliti pengedar; dan urus niaga. Prestasi dilaporkan sebagai markah indeks berdasarkan skala 1,000 mata dengan markah keseluruhan tertinggi menunjukkan kepuasan lebih besar terhadap jualan kenderaan baru dan proses penghantaran.

Keseluruhan kepuasan jualan di Malaysia menunjukkan purata 798 mata pada 2013, satu peningkatan 17 mata dari 2012. Keseluruhan kepuasan turut meningkat bagi semua faktor yang dipaparkan berbanding 2012 – fasiliti pengedar (+25 mata) dan proses penghantaran (+20 mata) menunjukkan peningkatan terbesar.

Walaupun keseluruhan kepuasan jualan telah meningkat pada 2013, jurang kepuasan jualan di antara pengeluar domestik dan import di Malaysia kini bertambah jauh kepada 30 mata pada 2013 berbanding 11 mata pada 2012. Perkara yang menyumbang kepada pembesaran jurang ini adalah catatan mata lebih rendah tahun demi tahun bagi faktor inisiasi jualan dan jurujual.

“Kualiti-kualiti sentrik-jurujual seperti memenuhi komitmen, memberi tumpuan kepada pelanggan, dan kesempurnaan dalam susulan pemintaan pelanggan adalah segmen-segmen utama yang perlu ditambahbaikkan,” kata Rajaswaran Tharmalingam, ketua bagi negara Malaysia di J.D. Power Asia Pacific. Singapura.

Kaji selidik ini telah mengenalpasti 19 standard jualan yang mampu meningkatkan pengalaman keseluruhan jualan pelanggan. Apabila para pembeli diberi senarai 19 standard jualan dan diminta untuk mengenalpasti standard-standard yang dituruti oleh jurujual mereka, 72 peratus pembeli kenderaan baru pada 2013 menyatakan jurujual mereka menuruti sekurang-kurangnya 14 standard, iaitu satu peningkatan daripada 70 peratus pada 2012.

Peningkatan dalam keseluruhan kepuasan jualan pada 2013 turut disebabkan oleh faktor-faktor luaran seperti penstabilan dalam rantaian bekalan bagi model popular di pasaran.

“Bencana alam seperti tsunami di Jepun dan banjir teruk di Thailand pada 2011 telah menyebabkan kekurangan inventori pada tahun 2012, dan ia telah menjejaskan penghantaran kepada pelanggan dan kepuasan pelanggan,” kata Tharmalingam.

Tharmalingam juga menyatakan bahawa garis panduan Bank Negara yang telah membuat ia lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman kenderaan pada tahun 2012 telah berkurangan pada 2013. Keadaan ini memudahkan pembeli kenderaan baru membuat pinjaman yang kini lebih tersedia untuk mereka.

“Pengeluar kereta perlu sedar dan mengambil kira pengaruh faktor-faktor luaran supaya mereka berupaya meletakkan diri mereka dalam keadaan lebih bersedia untuk menguruskan jangkaan dan harapan pembeli kenderaan baru,” tambah Tharmalingam.

Kaji selidik ini mendapati bahawa jurujual perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan produk yang mencukupi, termasuk semua maklumat-maklumat promosi jualan seperti diskaun untuk membantu menjadikan proses pembelian lebih bermakna buat para pembeli kenderaan baru. Walaupun 69 peratus daripada para pembeli menyatakan bahawa mereka tahu dan tekad mengenai jenis model yang ingin dibeli sebelum mereka menjejak kaki ke bilik pameran, 23 peratus pembeli pula menyatakan pengetahuan jurujual mengenai kenderaan adalah mengecewakan atau acuh tak acuh.

“Latihan produk berterusan untuk pasukan jualan akan membantu mereka mencapai perbincangan yang bermakna dengan para pembeli kenderaan baru yang amat berpengetahuan mengenai produk,” ujar Tharmalingam. “Pasukan jualan yang melangkau jangkaan pembeli akan mewujudkan satu pengalaman yang nyata positif. Susulan selepas jualan yang dibuat dengan pembeli turut menyumbang kepada peningkatkan kepuasan pelanggan.”

Buat masa ini, hanya 67 peratus pembeli yang dihubungi selepas penghantaran kenderaan baru mereka untuk memastikan mereka berpuas hati.

Di antara 12 jenama kenderaan yang termasuk dalam kaji selidik 2013, Toyota menduduki tangga teratas dengan skor 826 mata. Toyota telah meningkat prestasi dalam semua faktor dengan kenaikan terbesar tahun demi tahun bagi faktor jurujual, urus niaga, kertas kerja dan fasiliti pengedar.

Nissan menyusul di tangga kedua dengan 823 mata dan ini diikuti oleh Suzuki (821 mata), Mazda (813 mata) dan Ford (812 mata). Suzuki muncul sebagai jenama yang paling baik peningkatannya pada kenaikan 61 mata dalam markah keseluruhan dari 2012. Kiji Selidik SSI Malaysia 2013 adalah berdasarkan jawapan yang diterima daripada 2,622 pembeli kenderaan baru yang membeli kenderaan mereka di antara Ogos 2012 dan April 2013. Kaji selidik yang mengukur kepuasan pemilik kenderaan baru terhadap pengalaman proses jualan dan penghantaran di pengedar diiktiraf di Malaysia ini dijalankan di antara Februari dan Jun 2013.

Kedudukan Indeks Kepuasan Jualan

Berdasarkan pada skala 1,000 mata

Purata Industri

#Prestasi Kia merujuk kepada kenderaan yang dijual melalui Rangkaian NAZA KIA Malaysia.Turut termasuk dalam kaji selidik tetapi tidak diberi penyenaraian kerana saiz sampel yang kecil: BMW, Isuzu, Mercedes-Benz, Peugeot.

Sumber: Kaji Selidik Indeks Kepuasan Jualan (SSI) J.D. Power Asia Pacific Malaysia 2013 SM

J.D. Power Asia Pacific

Kaji Selidik Indeks Kepuasan Jualan (SSI) J.D. Power Asia Pacific Malaysia 2013 SM

Faktor-faktor Yang Menyumbang Kepada Keseluruhan Kepuasan

Urus Niaga 10%

Proses Penghantaran 20%

Inisiasi Jualan 17%

Jurujual 15%

Kertas Kerja 15%

Masa Penghantaran 13%

Fasiliti Pengedar 11%

Nota: Jumlah peratusan mungkin tidak mencapai 100 berikutan pembundaran nombor

Sumber: Kaji Selidik Indeks Kepuasan Jualan (SSI) J.D. Power Asia Pacific Malaysia 2013 SM

Silakan kongsi:

Saga SV Bantu Lonjakkan Jualan Proton dan Suprima S Kini Dijual Di Indonesia

Proton Saga SV 2013

Disokong oleh jualan Exora, Persona, Prevé, Suprima S dan khususnya Saga SV, prestasi jualan Proton pada suku ketiga 2013 melonjak 27 peratus berbanding suku yang sama pada 2012. Bukan setakat itu, prestasi suku ketiga juga meningkat 42 peratus berbanding suku kedua sebelumnya.

Peningkatan jualan itu disumbangkan oleh Proton Saga SV yang dilancarkan pada Jun lepas. Model itu mencatat peningkatan jualan sebanyak 72 peratus berbanding suku kedua 2013. Pengenalan Saga SV menepati permintaan pasaran yang ingin memiliki kereta pertama yang murah dan famili kecil serta solusi pengangkutan yang murah untuk pelajar institut pengajian tinggi. Dalam tempoh empat bulan, lebih 22,000 unit Saga SV telah didaftarkan di atas jalan raya.

“Saga SV telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat dan sangat menghargai sokongan rakyat Malaysia. Kami percaya Saga sentiasa mempunyai tempat di dalam hati dan minda rakyat dan dengan pakej yang ditawarkan seperti skor 3 bintang rating keselamatan ASEAN dan harga yang sangat kompetitif iaitu bermula dari hanya RM33,438, Saga SV akan terus menjadi pilihan konsumer untuk sedan asas,” kata Encik Hisham Othman, Ketua Pegawai Operasi (Komersil) Proton.

Sementara itu, Suprima S turut banyak menarik minat yang kuat daripada pelanggan sejak pelancarannya pada bulan Ogos dan pada penghujung Oktober Proton telah melancarkan model itu di Indonesia. Untuk pasaran eksport pertama model itu, Suprima S hanya ditawarkan di dalam versi Premium dengan pelbagai peralatan standard seperti Proton Infotainment yang berasaskan sistem operasi Android, lampu penunjuk belakang LED, DRL, Hill-Hold Assist dan Park Assist dengan sensor parkir depan. Sistem keselamatannya pula terdiri dari enam beg udara, tingkap kuasa anti perangkap, ABS dan ESC dengan Traction Control.

Proton Suprima S Indonesia

“Dengan pengenalan Suprima S di Indonesia, kami berharap untuk menawan hati dan minda penggemar kereta dan meyakinkan warga Indonesia bahawa Proton komited bagi memenuhi permintaan pelanggan dan terus menawarkan pelbagai produk yang memberi keseronokan memandu dan kepuasan dan paling penting kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan bernilai untuk wang,” kata Encik Hisham.

Serentak dengan pelancaran itu juga, Proton turut memperkenalkan Proton Exora Star FL, yang merupakan varian baharu MPV Exora yang didatangkan dengan lampu depan, lampu belakang, bampar depan dan belakang baharu.

Harga jualan Proton Suprima S di Indonesia ialah IDR275 juta di atas jalan dan satu lagi berita yang dikongsi Encik Hisham ialah Proton bakal memperkenalkan sebuah model baharu di dalam tempoh enam bulan akan datang.

Silakan kongsi:

VW Polo Sedan Kini RM85,888!

VW Polo Sedan CKD 2013.06

Volkswagen Group Malaysia baru-baru ini menganjurkan majlis pelancaran media bagi Polo Sedan 2014, German Engineered Malaysian Assembled yang turut disaksikan oleh rakan usahasama mereka, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) di Pusat Konvensyen Setia City.

Melambangkan komitmen berterusan Volkwagen di dalam usaha untuk menyemai inovasi dan teknologi Jerman di dalam pasaran tempatan, pelancaran Polo Sedan 2014 hari ini menandakan usaha gigih syarikat untuk menembusi segmen pasaran yang lebih luas dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan kereta berkejuruteraan Jerman yang mampu dimiliki. Ia turut mencerminkan langkah kukuh yang dilaksanakan oleh Volkswagen untuk memperkembangkan portfolio produknya.

VW Polo Sedan CKD 2013.01

Berucap di majlis pelancaran media tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Volkswagen Group Malaysia, Dr Zeno Kerschbaumer berkata, “Pengenalan Polo Sedan 2014 adalah amat penting bagi Volkswagen kerana ia merupakan model kereta kedua yang dipasang di dalam negara bersama rakan usahasama kami DRB-HICOM.”

“Walaupun dipasang di dalam negara, Polo Sedan ini memiliki 100% DNA Volkswagen yang mewarisi kehebatan kejuruteraan automotif Jerman. Kami yakin bahawa Polo Sedan 2014 yang memiliki ciri tercanggih di dalam kelasnya ini akan berupaya membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati kecanggihan teknologi Jerman yang tiada tandingannya pada harga yang mampu dimiliki. Sokongan padu daripada rakan usahasama yang kami hormati, DRB-HICOM melalui pengunaan kompleks produksi automotif mereka pastinya akan memperkukuhkan lagi pencapaian kami ini,” ulas Dr Kerschbaumer selanjutnya.

VW Polo Sedan CKD 2013.04

Pelancaran media pada hari ini merupakan kemuncak penting selepas langkah permulaan yang kami ambil pada bulan Disember 2010, di mana Volkswagen dan DRB-HICOM menandatangani perjanjian usahasama untuk melaksanakan pemasangan kenderaan Volkwagen di Malaysia. Pada bulan March 2012, Volkswagen AG bersama-sama dengan DRB-HICOM secara rasmi melancarkan Volkwagen Passat yang merupakan kereta pertama yang dipasang di dalam Negara, peristiwa bersejarah ini memeterai akur janji yang dibuat oleh Volkwagen untuk menawarkan lebih banyak pilihan untuk semua rakyat Malaysia.

Kecekapan Pengunaan Bahan Api dan Tork yang Terbaik-dalam-Kelas

Dilengkapi dengan enjin suntikan petrol 1.6-liter 105PS 16-Multi-Point Injection (MPI) dan transmisi automatik 6-kelajuan Tiptronic, Polo Sedan 2014 menawarkan tahap pengendalian yang paling cemerlang dan tork yang tertinggi di dalam kelasnya yang mampu menghamburkan kuasa output maksima 153Nm pada 3800 rpm. Disamping tahap pemanduan yang mantap, kadar kecekapan pengunaan bahan api bagi enjin ini adalah amat menakjubkan – kadar pengunaan bahan api secara gabungan sebanyak 6.5 liter bagi setiap 100km, yang membolehkan pemandu mencapai jarak perjalanan sejauh 15.4km bagi setiap liter bahan api.

VW Polo Sedan CKD 2013.02

Merupakan satu-satunya kereta di dalam segmennya yang menawarkan pelbagai pilihan hubung rangkaian kepada pelanggan, Polo Sedan 2014 dilengkapi dengan sistem Radio RCD320 baru yang disokong oleh pelbagai pilihan bahasa, USB (dengan sambungan iPod), slot kad SD, sambungan AUX-in dan Bluetooth. Yang membezakan kereta ini dari pesaingnya yang lain, ialah kereta ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri istimewa yang termaju dan bertaraf tinggi seperti sistem penghawa dingin automatik “Climatronic”, saluran keluar penghawa dingin di bahagian belakang dan tempat letak tangan bahagian tengah hadapan kereta boleh laras yang baru.

Ciri-ciri keselamatan yang tercanggih di dalam kelasnya

Sepertimana semua kenderaan Volkswagen yang lain, tahap keselamatan yang tinggi merupakan satu kewajipan bagi Polo Sedan 2014. Ia dilengkapi dengan dua beg udara hadapan dengan tambahan dua beg udara sisi, pemasangan Intelligent Crash Response System (ICRS) dan tingkap “anti-pinch” di kesemua empat pintu, menjadikan kereta ini sebagai satu-satunya kereta di dalam kelasnya yang menampilkan tahap keselamatan yang paling canggih.

Polo Sedan 2014 didatangkan dengan tali pinggang keledar 3-point untuk penumpang bahagian belakang, penambat tempat duduk kanak-kanak (sistem ISOFIX), sistem penggera anti-kecurian dan sistem brek anti-kunci (ABS).

Pemanduan & Kawalan

Polo Sedan 2014 memiliki tahap prestasi membrek dan kawalan yang tinggi, lantas memberikan tahap pemanduan yang terbaik di dalam segmennya. Kereta ini kurang berayun dan mempunyai jarak membrek yang lebih pendek, menjadikan ia lebih stabil dan mudah dikawal serta mempertingkatkan tahap keselamatan dan keyakinan pemandu dan juga penumpang.

VW Polo Sedan CKD 2013.10

Bahagian Luaran

Polo Sedan 2014 memiliki reka bentuk yang menawan dan menampilkan jaluran lengkungan yang halus dan indah di seluruh badan kereta, mempamerkan DNA Volkswagen yang sejati. Kereta ini didatangkan dengan rim aloi Riverside 15 inci, kemasan krom pada jeriji depan, dan penampan angin bahagian hadapan dan belakang dan disekeliling lampu kabusnya dengan lampu halogen boleh laras..

Di dalam elemen penggayaan pula, sinaran lampu hadapan halogen kini dipertingkatkan dengan kemasan putih yang menyeluruh berbanding kemasan hitam di dalam kereta CBU.

Kedudukan logo telah diolah semula – kini terdapat nama Volkswagen yang jelas kelihatan pada bahagian kiri lampu, dan logo Polo pula telah dipindahkan pada bahagian berlawanan but kereta. Kereta ini juga dilengkapi dengan wiper tempoh berselang.

Polo Sedan 2014 boleh diperolehi di dalam 5 variasi warna yang berbeza; White, Flash Red, Pepper Grey, Reflex Silver dan Deep Black.

Bahagian Dalaman

Menampil pengalaman mewah jenama Volkswagen yang terkenal, Polo Sedan 2014 yang selesa ini didatangkan dengan pakej dalaman berwarna krom (warna krom disekeliling radio, suis lampu, panel dan saluran AC dan juga pada jaluran stereng). Satu-satunya kereta di dalam segmennya yang memiliki ciri eksklusif, kereta ini turut menawarkan stereng pelbagai fungsi yang dilengkapi dengan kawalan luncur, tingkap kuasa automatik pada kesemua empat pintu dan mempunyai tombol gear serta pemegang brek tangan bersalut kulit yang memberikan pengalaman pemanduan yang mengujakan dan menyeronokkan.

VW Polo Sedan CKD 2013.09

Polo Sedan 2014 memiliki tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, tempat duduk pemandu dan penumpang dengan ketinggian boleh dilaras, upholsteri fabrik ‘Livon’ bagi tempat duduknya, paparan pelbagai fungsi, kunci pintu kuasa, stereng kuasa, radio RCD320 dengan empat pembesar suara serta stereng boleh laras teleskopik.

Pada bulan April 2012, Volkswagen Group Malaysia melancarkan Polo Sedan yang diimport sepenuhnya pada harga RM99,888. Polo Sedan 2014 yang dipasang di dalam Negara, berharga RM85,888 boleh didapati melalui semua pengedar Volkswagen bermula pada 1 November 2013

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Hyundai i10 2014: Gelombang Kedua Hyundai!

Hyundai i10 2013.07

Rasanya tidak perlu diulas panjang mengenai kehebatan kereta buatan Korea seperti Kia dan Hyundai kerana buktinya banyak boleh dilihat di atas jalan raya. Promosi yang dilakukan juga hebat dan paling penting produk yang mereka ada boleh jual, apa guna kalau promosi hebat tetapi produk yang ditawarkan lemah. Sesuatu yang pengeluar perlu dan sentiasa ingat ialah, produk yang bagus akan terjual dengan sendirinya. Melalui pemotongan kos anda mungkin boleh mencapai harga yang ideal namun kos yang dijimatkan itu akan ditimbal balas pula dengan kos pemasaran yang tinggi, paling merugikan apabila diskaun yang tinggi perlu dikeluarkan untuk melariskan produk. Sebab itu, kaedah pembelian tidak boleh asalkan paling murah sahaja tetapi perlu juga mengambil kira cita rasa pasaran, apa guna potong kos sana sini tetapi akhirnya dicemuh bakal pembeli atau pemiliknya bersumpah tidak akan membeli kereta daripada pengeluar yang sama lagi.

Hyundai i10 2013.06

Namun apabila senario itu berlaku bukanlah bermakna segalanya sudah terlambat, jika dikaji banyak model pengembalian keyakinan yang telah berjaya. Syarikat Jepun sendiri pun pada mula-mula memasuki pasaran global banyak dikritik pengguna tetapi mereka bangkit dan berdiri megah seperti yang kita lihat hari ini. Syarikat automotif Korea pun begitu bahkan formula sukses yang mereka gunakan hampir sama. Sekarang ini boleh dikatakan syarikat automotif Korea melancarkan gelombang kedua iaitu fasa meneruskan kejayaan. Pada gelombang pertama dahulu mereka melancarkan produk-produk yang segar dan konsep itu terus disinambungkan melalui generasi baharu. Hyundai i10 adalah salah satu generasi produk moden yang telah memasuki kitaran kedua dengan pelancaran model pengganti. Dilancarkan selepas lima tahun model lama berada di dalam pasaran, model itu dianggap sebagai ikon kemajuan Hyundai di dalam segmen kereta bandar dan memiliki peralatan dan ciri-ciri kereta segmen lebih tinggi.

Hyundai i10 2013.08

Model baharu itu mempunyai ukuran yang lebih luas dengan saiz ruang kaki pemandu dan penumpang berjumlah 1,890mm. Kapasiti bonet juga dapat ditingkatkan lebih dari 10% kepada 252 liter. Rahsia saiz yang lebih besar itu sebenarnya berpunca daripada penggunaan platform baharu yang mempunyai jarak roda 5mm lebih panjang. Suspensi belakang juga telah diubah kedudukannya untuk kawalan kereta yang lebih tepat untuk kesemua jenis permukaan jalan. Hyundai i10 baharu juga turut ditala untuk mempunyai dinamik pemanduan yang lebih baik dengan bunyi yang lebih rendah supaya standardnya sama dengan kereta segmen B.

Hyundai i10 2013.01

Berbeza dengan Kia yang terkenal dengan Peter Schreyer, Hyundai lebih merendah diri dengan perekanya. Pasukan pereka Hyundai Eropah yang diketuai oleh Ketua Pereka Thomas Bürkle telah berjaya menghasilkan bentuk yang dinamik menggunakan tema fluidic sculpture yang merupakan falsafah rekaan Hyundai bagi menyerlahkan ciri-ciri olahragawan (athletic) dan saiz luaran yang luas. Kia dan Hyundai sebenarnya mempunyai populariti silang iaitu Kia terkenal dengan perekanya tetapi tidak untuk falsafah rekaannya manakala Hyundai lebih terkenal dengan falsafah rekaan berbanding perekanya.

Untuk nadi kuasa pula, i10 bakal ditawarkan dengan dua opsyen enjin petrol bersesaran 1.0 liter dan 1.2 liter. Enjin 1.0 liter berkuasa 66ps dengan tork 94Nm manakala enjin 1.2 liter pula berkuasa 87ps dengan tork 120Nm. Dari segi chasis pula, sebanyak 29.2 peratus struktur menggunakan besi tegangan tinggi (HT steel) berbanding 9 peratus pada i10 generasi lama. Perubahan itu bukan sahaja mempengaruhi tahap keselematan kereta tetapi turut menambah baik bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH). Peralatan dalaman i10 tidak kurang hebatnya apabila dilengkapi dengan kawalan suhu automatik, stereng kulit dengan pemanasan, kawalan krus (cruise control), Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS), Kawalan Pengstabilan Elektronik (ESC) dan enam beg udara.

Hyundai i10 2013.05

Untuk pasaran Eropah, i10 baharu akan diproduksi di kilang Hyundai yang terletak Izmit di Empayar Uthmaniyah atau Turki. Untuk pasaran tempatan pula, mungkin model baharu itu akan mula dikilangkan pada tahun hadapan dan dengan rekabentuk yang meyakinkan rasanya tiada masalah untuk model itu dijual. Cuma produk penerus kecemerlangan itu perlu dikekalkan tahap harganya seperti sekarang atau lebih baik jika mampu untuk diturunkan lagi supaya boleh benar-benar bersaing dengan jenama tempatan.

Newspress

@muhd_gt

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Proton Preve Limited Edition (LE) & Warna Baharu Soft Lilac

Proton Preve LE 2013.01

Baru-baru ini di pelancaran Peraduan Pandu & Menang, Proton telah melancarkan varian baharu Prevé LE. Model itu dikeluarkan di dalam produksi terhad iaitu sebanyak 100 unit sahaja dengan warna tunggal iaitu putih solid. Membezakan Prevé LE dengan model standard ialah kit badan R3, kerusi kulit, roda R3 17 inci dan paling ketara ialah enam beg udara seperti Suprima S.

Proton Preve Lilac 2013.01

Pada masa yang sama, Proton turun melancarkan warna baharu iaitu Soft Lilac yang disasarkan kepada pembeli wanita. Mereka yang berminat sudah boleh menempah Prevé baharu tersebut dan harga untuk Prevé LE ialah RM79,688.00 termasuk insurans.

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi: