Proton Persona SV – RM44,938!

Proton Persona SV 2013.17

Pengeluar automotif nasional Proton Holdings Berhad telah melancarkan model Super Value (SV) terbaru iaitu Proton Persona SV. Model tersebut dilancarkan oleh Dato’ Lukman Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Campro IAFM, Persona SV ditawarkan di dalam dua varian iaitu manual dengan harga atas jalan bermula dari RM44,938 manakala versi automatik pula berharga RM47,938.

Proton Persona SV 2013.14

Kata Dato’ Lukman, seperti Proton Saga SV, Persona SV menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kereta yang menawarkan nilai untuk wang seperti kualiti yang ditambah baik, praktikaliti, stail dan harga mampu milik.

“Kami mendapat sambutan hangat dengan Proton Saga SV dan kami berharap untuk menarik minat rakyat Malaysia sekali lagi dengan harga menarik Persona SV. Berita baiknya ialah selain daripada spesifikasi Persona standard, kelengkapan keselamatan telah ditambah dan ini menunjukkan komitmen kami untuk menawarkan kereta yang berbaloi untuk wang yang berkualiti dan paling penting selamat.”

SONY DSC

“Pada masa yang sama juga, ini juga adalah komitmen kami terhadap usaha kerajaan dalam menurunkan harga kereta”, tambah beliau.

Peralatan standard Proton Persona SV ialah dua beg udara, empat brek cakera dan ABS dengan EBD. Persona SV boleh didapati di dalam tujuh warna iaitu Solid White, Bronze Garnet, Tranquility Black, Genetic Silver, Fire Red, Chiffon Green dan warna baharu iaitu Atlantic Blue. Persona SV mempunyai liputan waranti selama dua tahun atau 50,000km (yang mana dahulu).

Silakan kongsi:

Pandu Uji Subaru XV: Semangat Baharu Subaru!

Subaru XV 2013.08

Jenama Subaru di dalam pasaran tempatan sebelum ini tenggelam timbul, hanya aktif apabila ada model baharu dan kemudian senyap kembali. Subaru adalah nama besar di dalam dunia rali, cuba sebut jenama itu di depan peminat rali, pasti ada yang diam sekejap dan cuba mengimbas kehebatannya. Walaupun begitu, kekuatan jenama di dalam sukan rali tidak berjaya mempengaruhi pelanggan tempatan untuk melabur wang mereka bagi membeli produk Subaru. Motor Image selaku pengedar tempatan telah cuba pelbagai cara namun masih gagal untuk mendapat kepercayaan pasaran. Rakyat Malaysia sebenarnya lebih gemarkan Mitsubishi iaitu seteru utama Subaru di dalam sukan rali. Motor Image selaku pengedar rasmi lebih berjaya menjual Subaru di negara jiran iaitu Singapura. Jika ada jolokan yang boleh diberi, Malaysia layak digelar Mitsubishi land manakala Singapura pula sebagai Subaru land.

Subaru-XV-2013

Namun segala-galanya berubah apabila Toyota membeli saham di dalam Fuji Heavy Industries (FHI) yang merupakan pemilik Subaru. Produk usaha sama pertama di antara kedua syarikat tersebut ialah pembangunan dan pengeluaran model legenda moden iaitu Toyota GT86 dan di sebelah pihak Subaru pula dikenali sebagai BRZ. Penjualan model itu seolah-olah membuka kembali mata ramai tentang Subaru dan merupakan peristiwa yang penting di dalam sejarahnya. Para peminat kereta kembali kagum dan dengan meledaknya kembali jenama Subaru, syarikat itu mensusuli pula dengan produk global baharu iaitu Subaru XV. Suatu yang bijak dan menarik ialah apabila Subaru tidak memperkenalkan kereta sedan yang sudah terlalu banyak penawarannya tetapi melancarkan sebuah crossover. Tan Chong International Limited (TCIL) yang merupakan pemilik Motor Image pula tidak menunggu lama dan mengambil kesempatan itu untuk membina kembali jenama Subaru dengan memasang XV di kilang Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur. Serentak dengan itu banyak bilik pameran baharu telah dibuka sebagai tanda kempen agresif telah pun bermula.

SONY DSC

Baru-baru ini, saya diberi peluang untuk merasa sendiri produk global terbaru Subaru XV yang dilancarkan pada penghujung 2012. Sebelum itu, XV memang sudah menarik perhatian saya kerana kerap terserempak di atas jalan dengan demografi pembeli yang berbeza seperti usia, bangsa dan turut dipandu oleh kaum hawa. Untuk sebuah jenama yang baru dihidupkan kembali ternyata senario itu suatu yang menakjubkan. Semasa mengambil XV di pejabat korporat Subaru, tiada apa yang saya fikirkan kecuali tertanya-tanya bagaimana karakter sebuah jenama yang sangat sinonim dengan teknologi pengecas turbo kini mengeluarkan kereta aspirasi normal (normal aspiration) secara arus perdana.

Subaru XV 2013.07

Sewaktu pertama kali merehatkan badan di dalam XV, ingatan mengimbas kembali kualiti yang makin lama makin terhakis daripada pengeluar kereta Jepun lain. Saya dapat rasakan bahawa reka bentuk interior dan pemilihan material dipilih oleh pasukan pembangunan senior yang setia dengan cara lama. Reka bentuknya kemas manakala material lembut yang membaluti papan pemuka pula memberi makna kualiti, sesuatu yang berbeza daripada pengeluar lain yang mengalah kepada kos dan bertukar kepada plastik keras. Susun atur alat kawalan dan suis-suis mudah dicapai cuma dari segi persembahan grafik meter seolah-olah kurang input orang muda apabila tiada benda yang menarik untuk dilihat dan dimain-mainkan. Meter informasi kereta juga biasa-biasa saja dan boleh dikatakan agak ketinggalan berbanding produk masa kini. Subaru XV juga tidak didatangkan dengan sistem akses tanpa kunci dan butang penghidup enjin yang sudah menjadi kelaziman kebanyakan kereta. Reka bentuk kunci dan set penggera juga tidak sepadan dengan imej XV yang ranggi. Mujur stereng XV mengikut trend apabila dibekalkan dengan kawalan audio dan telefon serta auto cruise. Sistem audio yang dibekalkan Kenwood agak canggih dengan fungsi skrin sentuh, sistem navigasi Garmin yang mudah digunakan, kamera undur, dan sambungan telefon bebas tangan. Selain daripada itu, bonet barangan XV tidak berapa luas dan berlawanan dengan rekaan luaran kereta yang nampak besar dan tegap.

Walau bagaimanapun kekurangan itu ditebus kembali dengan prestasi enjin. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, saya dapat rasakan enjin Boxer bersesaran 2.0 liter dibina, ditala dan diharmonikan oleh pasukan yang berpengalaman dan rasanya inilah antara faktor kenapa ramai yang terpikat dengan XV sebaik sahaja memandu uji di bilik pameran. Para jurutera telah menala enjin supaya cepat memberi respon dan bertenaga, sedikit sahaja pedal ditekan, XV terus melonjak ke hadapan tanpa bertangguh dan talaan ini sangat sesuai untuk pemanduan bandar. Talaan seperti itu sebenarnya digunakan pada kereta rali yang ingin cepat keluar selepas melalui selekoh yang mencabar. Namun talaan transmisi Lineartronic CVT kurang mengujakan selepas kereta dipandu laju di mana putaran enjin menjadi lebih perlahan. Apa pun, pemandu boleh kembali berseronok dengan bermain paddle shift sehingga enam kelajuan dan lebih menarik Subaru turut membekalkan indikator untuk pemandu menaikkan atau menurunkan gear seolah-olah ganti kepada shift light kereta lumba.

SONY DSC

Di dalam aspek pemanduan dan pengendalian pula, semestinya Subaru cemerlang dengan sistem symmetrical AWD dan dibantu pula dengan chasis yang tegar terasa seolah-olah kereta melekat di atas jalan walaupun hakikatnya XV mempunyai jarak kelegaan bumi yang tinggi. Walau bagaimanapun, untuk mereka yang sudah biasa dengan kereta Jepun pasti terasa stereng XV agak berat, mungkin ianya sengaja ditala begitu untuk memadankan dengan karakter enjin yang senang dipecut itu. Satu perkara lagi yang boleh dipuji ialah sistem suspensi yang benar-benar bekerja di dalam menyerap hentak lopak jalan raya dan turut mengimbangi tekanan sewaktu mengambil selekoh dengan agresif. Saya rasakan talaan tersebut adalah daripada input bertahun-tahun penglibatan Subaru di dalam sukan rali. Selain daripada itu, pereka Subaru juga masih menggunakan prinsip lama dan berkesan di dalam mereka bentuk XV, cermin tingkap sisinya luas dan tidak terhalang oleh tiang A di mana pemandu bebas untuk melihat keluar sewaktu mengambil selekoh.

Subaru XV 2013.12

Motor Image memasarkan Subaru XV pada harga yang setara dengan Honda CR-V dan lebih tinggi berbanding Mazda CX-5. Pastinya pelanggan berbelah bahagi dan buat masa sekarang terdapat tawaran harga istimewa iaitu sekitar RM130 ribu yang saya kira sepadan untuk XV. Saya sukakan bagaimana Subaru menala dan memposisikan XV cuma perlu beberapa penambahan lagi yang dirasakan dapat menarik lebih banyak perhatian pelanggan di antaranya menyemak semula pakej dan menambah aksesori popular seperti butang penghidup enjin, akses tanpa kunci, lampu HID dan penambahan beg udara sisi sebagai tambahan kepada beg udara berkembar dan buku lali yang didatangkan standard. Orang kata, tawaran dan pakej yang sukar untuk ditolak.

Apa pun, saya gembira apabila Subaru kembali ke pasaran arus perdana kerana produknya bagus dan menawarkan sesuatu yang segar untuk pasaran tempatan dan Gred A untuk keseronokan pemanduan. Kepada yang tertanya bila Subaru akan mengeluarkan model popularnya iaitu Impreza, harus tahu di Amerika Syarikat, kit badan XV ditanggalkan dan chasisnya direndahkan dan itulah dia Subaru Impreza!

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Chana Era Star, Campervan Custom!

Chana Era Campervan 3 2013.01

Amboi, bukan main skema tajuk entri gua kali ini Patuh Kamus Dewan orang kata. Beberapa purnama sudah gua pernah paparkan berkenaan spesis kenderaan yang telah mengalami mutasi, daripada sebuah lori kecil  menjadi sebuah Campervan. Ianya telah dibuat secara dalaman (in house) oleh insan yang menaruh minat begitu mendalam terhadap aktiviti kembara sebegini. Lori Chana yang gua paparkan ini bukanlah yang pertama dan bukanlah yang terakhir hasil kerja tangan beliau. Kini beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya (eceh..ayat serupa Majalah3 pula gua rasa) terhadap kerja-kerja merestorasi semula mana-mana kenderaan yang sesuai untuk disumpah menjadi Campervan.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Perodua GMB Advanced: Modifikasi Perodua Myvi dan Teknologi Telematik

Perodua GMB Advanced 2013.06

Perodua GMB (Global Model B – Segment) Advanced dibina selari dengan minat mereka yang gemarkan modifikasi. Perodua Advanced adalah contoh modifikasi yang boleh dilakukan pada Perodua Myvi. Beberapa perubahan estetik dilakukan pada lampu depan dan belakang serta bampar depan dan juga belakang (Myvi facelift?).

Silakan masuk ke dalam kereta dan anda akan temui pelbagai gajet dan paling menarik menggunakan teknologi telematik. Dengan bantuan teknologi komunikasi tanpa wayar, pemandu yang sentiasa sibuk dan selalu bergerak ke sini dan sana  mampu untuk berhubung dengan kereta dan mereka di sekeliling melalui informasi yang berguna dan terkini. Lebih menyenangkan teknologi tersebut dioperasikan melalui aplikasi pada telefon pintar.

SONY DSC

Telematics Dashboard Features

Infotainment

  • Get stock, weather, flight and live traffic updates as you drive.

Notification

  • Appointments are saved on calendar.

OTA (Over the Air) Map Update

  • Enables automatic map updates via wireless delivery.

Guided Navigation

  • Avoid congested area using live traffic reports.

Car Maintenance

  • Provides car maintenance history and the next maintenance appointment.

Telematics Smartphone App

Geo-fence

  • Receive notification on your mobile when the car leaves a designated area.

Remote Lock / Unlock

  • Lets you lock or unlock your car with the use of your smartphone, anytime, anywhere.

Car Break-In Alert

  • The app warns you whenever the car alarm goes off.

Location Tracking

  • Track your car’s location through this app.
Silakan kongsi:

Perodua GMA Space: Interior Model Pengganti Perodua Viva?

Perodua GMA Space 2013.01

Dengan  “Building Cars, People First” sebagai slogan menunjukkan bahawa Perodua meletakkan pelanggan sebagai fokus paling utama. Perkara itu ternyata menjadi keutamaan melalui kereta konsep yang dipamerkan seperti Perodua Buddyz dan Perodua GMA (Global Model – A Segment) Space.

Perodua GMA Space 2013.02

Model segmen A Perodua iaitu Viva sudah beberapa tahun berada di dalam pasaran dan khabarnya model pengganti akan dipasarkan pada tahun hadapan. Sebagai syarikat yang mendengar, Perodua mengambil input daripada pelanggan dan juga keperluan rakyat Malaysia yang mahukan ruang luas untuk pelbagai kegunaan. Untuk itu, pasukan penyelidikan dan pembangunan Perodua telah membina model konsep Space dengan memberi perhatian dalam memaksimumkan penggunaan ruang interior samada untuk penumpang dan bagasi .

Perodua GMA Space 2013.03

Reka bentuk badan Space juga suatu yang berbeza untuk Perodua dengan tiang A yang lebih landai dan bonet enjin yang panjang berbeza dengan reka bentuk Perodua Viva yang tinggi dan langsing.

Silakan kongsi:

ETCM Melancarkan Kereta Elektrik Nissan Leaf – RM168,800!

Nissan Leaf 2013.05

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pada Khamis minggu lepas melancarkan kereta elektrik 100% yang sudah lama ditunggu-tunggu iaitu Nissan LEAF pada Nissan LEAF yang merupakan Kenderaan Elektrik (EV) paling laris dengan jualan mencecah 87,000 di seluruh dunia (berdasarkan pada akhir bulan Oktober 2013), kini ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Ekonomikal untuk dimiliki dan diselenggara, ia mendefinasikan kembali semua tanggapan mengenai sebuah kereta tradisional, di samping menjadi galakan ke arah menjadi pemandu yang bertanggungjawab.

“Kami amat komited kepada eko-mobiliti dan percaya EV adalah masa depan. Pelancaran Nissan LEAF 100% Elektrik menjadi bukti kepada komitmen kami terhadap matlamat ini. Ia bukan sekadar sebuah kenderaan emisi sifar yang bergaya, malah mampu menawarkan prestasi pemanduan mengagumkan yang direalisasikan menerusi teknologi Nissan. Kami percaya ia akan diterima baik oleh pengguna yang peka terhadap alam sekitar. Selain sedang mencari-cari kereta yang dinamik serta memberi impak minimum kepada alam sekitar,” kata Pengarah Pemasaran & Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.

Nissan Leaf ETCM 2013.01

Ketua Pakar Produk untuk Nissan LEAF 100% Elektrik, Tooru Abe memberitahu, “Nissan LEAF ialah sebuah kereta yang praktikal dan boleh digunakan setiap hari. Ia juga boleh memuatkan lima orang dewasa dengan selesa, selain menawarkan prestasi pemanduan, walaupun di atas lebuh raya.”

Nissan LEAF 100% Elektrik menampilkan bonet enjin yang kompak, spoiler bumbung, bampar belakang dengan peresap udara dan garis sisi ikonik yang digabungkan bersama rekaan lampu belakang yang nyata menyumbang kepada aspek aerodinamiknya. Rekaan lampu hadapan LED yang tersendiri (dengan biasan warna biru) dan lampu belakang LED menambahkan lagi gayanya. Boleh menempatkan lima orang penumpang dewasa tanpa sebarang masalah, ia tampil dengan ruang kabin dibalut kulit dan suede. Di samping kluster tengah yang mesra peranti terkini dan ‘bebas dial’. Terdapat juga Meter Digital Berkembar yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, kuasa bateri Li-ion, anggaran jarak pemanduan dan meter-eko untuk mengukur status pemanduan eko anda.

Di bahagian belakang, ruang kargo seluas 370 liter (VDA method) tersedia. Tempat duduk belakang boleh dilipat untuk mendapatkan ruang seluas 720 liter. Tempat duduk belakang juga dilengkapi tali pinggang keledar tiga poin dan ISOFIX demi memastikan keselamatan para penumpangnya. Memiliki teknologi tercanggih, Nissan LEAF 100% Elektrik dilengkapi Pemasa Kawalan Cuaca, Pemasa untuk Pengecasan, sistem pengurusan jarak termaju serta satu Penunjuk ECO yang memaparkan pemanduan ECO semasa dan jangka masa panjang (pokok ECO).

SONY DSC

Jentera ini menawarkan maklum balas dan pecutan lancar secara serta-merta sebaik sahaja pendikit minyak ditekan. Ia nyata sepadan dengan pengalaman pemanduan yang amat senyap. Memandangkan ia hanya dikuasakan oleh satu unit motor elektrik, maka kereta ini adalah sifar emisi dan tiada impak terhadap alam sekitar. Melakukan nyahpecutan atau memandu menuruni bukit akan menukar tenaga kinetik daripada kuasa tork roda menjadi tenaga elektrik menerusi sistem brek janaan semula yang inovatif, sekali gus mengecas pek baterinya. Empat mode pemanduan disediakan – mode D biasa, mode D-ECO, mode B dan mode B-ECO bagi disesuaikan dengan kondisi pemanduan. Dalam keadaan caj penuh, Nissan LEAF 100% Elektrik mempunyai jarak jangkaan sejauh 195 kilometer, berdasarkan kepada Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC).

Lebih menarik lagi Nissan LEAF 100% Elektrik adalah ekonomikal untuk digunakan, 75 peratus lebih murah berbanding kos bahan api kenderaan yang dijana oleh enjin petrol (berdasarkan kepada kadar elektrik di Malaysia) sekarang. Penyelenggaraannya juga murah, penjimatan sebanyak 80 peratus dalam tempoh lima tahun jika dibandingkan dengan kenderaan konvensional.

Pemandu Nissan Leaf tidak perlu pergi ke stesen petrol dan tidak perlu risau mengenai kenaikan harga minyak. Setiap Nissan LEAF 100% Elektrik didatangkan bersama unit pengecasan di rumah yang membolehkan ia dicas ketika tidak digunakan. Alat pemasa membolehkan pengecasan dilakukan dengan selamat pada sepanjang malam dan turut dilengkapi sistem ketetapan awal masa mengecas. Tempoh mengecas semula pek bateri yang kehabisan tenaga adalah sekitar empat jam dengan menggunakan unit pengecasan di rumah berkuasa 6.6kWh. Terdapat juga panel solar yang dipasang pada spoiler bumbung yang terus mengecas bateri berkuasa12V untuk mengoperasikan lampu, penggilap cermin, audio dan aksesori lain. Sebagai tambahan, kini terdapat 15 pusat pengecasan EV awam yang terletak di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru. Tambah menarik lagi, kesemua stesen pengecas EV ini ditawarkan secara percuma kepada orang ramai.

SONY DSC

Aspek keselamatan Nissan LEAF 100% Elektrik terjamin dengan enam beg udara, selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Hill Start Assist (HSA) dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC). Ia juga menawarkan tahap perlindungan yang tinggi, terima kasih kepada binaan Zon Tubuh Nissan yang mengekalkan kekukuhan kompartmen penumpang dan mengurangkan kecederaan pejalan kaki. Mendapat rating tinggi dalam ujian pelanggaran, Nissan LEAF 100% Elektrik telah menerima penarafan lima bintang oleh Euro NCAP.

Nissan LEAF 100% Elektrik hadir dalam 5 pilihan warna – putih (Pearl White), biru (Blue Ocean), perak (Brilliant Silver), metalik (Metallic Slate) dan hitam (Super Black). Ia ditawarkan pada harga RM168,800.00 di atas jalan.

Silakan kongsi:

Toyota NS4 Plug-in Hybrid: Bayangan Kereta Hibrid Masa Depan!

Toyota NS4 Plug-in Hybrid 2013.01

Toyota NS4 Plug-in Hybrid adalah kereta konsep dengan agenda hijau. Antara ciri-ciri canggih yang terdapat pada model itu ialah Pre-collision system (PCS) dengan Collision avoidance assist dan reka bentuk menarik yang menghubungkan manusia dengan teknologi dan masyarakat pada keseluruhannya. Kereta itu menggunakan teknologi Plug-in Toyota yang menggabungkan tenaga hibrid dan elektrik. NS4 Plug-in Hybrid juga adalah lambang program penyelidikan dan pembangunan (R&D) Toyota dan mempertontonkan kenderaan mesra alam pada masa depan.

Silakan kongsi:

Galeri: Subaru WRX STI, Subaru BRZ

Subaru WRX STI 2013.01

Silakan kongsi: