Video: Ujian Pra Musim Proton Satria Neo S2000 di San Remo

httpv://www.youtube.com/watch?v=fgihGiCsPJ4&feature=player_embedded

Gua ni memang dah rindu dengan bunyi kereta rali. Haih. Video di atas ialah Giandomenico Basso, juara musim pertama IRC. Proton panggil dia untuk ujian di San Remo sebagai persedian rali musim 2011. Basso adalah juara musim pertama IRC.

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

Proton Tandatangani MoU Dengan Nissan

Logo Proton

Pada 2 Mac lepas Proton mengumumkan mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman [MoU] dengan Nissan bagi mengkaji peluang-peluang baharu dalan mengukuhkan kebersaingan bersama dalam pasaran global.

Berdasarkan kajian ini yang akan mengambil masa selama 3 bulan, kenderaan generasi baharu Proton akan menggunakan teknologi dan kepakaran pembuatan terpilih Nissan.

“Kerjasama ini akan mengurangkan masa pembangunan produk baharu dengan signifikan serta penjimatan dalam pembangunan produk, dan memberi fleksibiliti bagi menghasilkan varian kenderaan dari set komponen yang sama,” kata Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad, Dato’ Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

-Mak/d Uia-

Klik untuk siaran akhbar >>

Silakan kongsi:

Proton R3 Satria Neo – Pandu Uji Singkat

Proton R3 Satria Neo 2011 Shah Alam.01

Tengah hari semalam dalam cuaca mendung saya ke kilang Proton Shah Alam untuk pandu uji Proton R3 Satria Neo. Ikutkan skru GT boleh tahan sibuk tetapi memandangkan ramai yang teruja dan hits carian R3 Satria Neo tinggi tak sampai hati rasanya nak lepaskan kereta ini, tambahan pula kereta hac memang sentiasa di hati. Baru-baru ini saya PAS [pandu uji singkat] Honda Insight serius rasa macam Proton Wira Aeroback, sebabnya dah terbiasa dengan kereta kompak dan pendek macam Proton Satria, Myvidsi dan lain-lain. Sekali pandu kereta sedan rasa macam rugi ruang dan panjang di belakang.

Proton R3 Satria Neo 2011 Shah Alam.17

Sampai di trek oval Proton, pihak media diberi penerangan ringkas oleh Tengku Djan sebab cuaca mendung berarak hujan. Selesai penerangan, perkara yang paling saya takut ialah gagal untuk rakam gambar, dulu Baii dah kena masa PAS Satria Neo R3 Lotus Racing, gambar kereta dalam hujan, takut nanti sekutu tak puas tengok. Walaupun saya calon awal dan boleh terus pandu uji kereta tapi sabar menanti sebab kereta boleh pandu dalam hujan tetapi gambar, apa barang rakam dalam hujan!

Proton R3 Satria Neo 2011 Shah Alam.13

Sesudah merekod barang sekeping dua gambar, sedang elok pelumba terkenal negara Faidzil Alang [FA] sampai, saya pun terus masuk kereta dan menyapa beliau. Duduk saja atas kerusi memang rasa solid, memang sedap-sedap badan sebab kerusi ini diprofail semula, lebih rendah dan memeluk badan, paling penting kepala tak terhantuk pada bumbung. Tapi terhantuk juga sikit-sikit sebab pakai topi keledar dan kalau banding dengan kerusi Neo biasa memang lebih baik. Sedapnya posisi kedudukan Neo ialah ianya memang direka dengan sporty, maknanya kedudukan stereng, gear, paha, larasan badan memang dah ala perlumbaan, tegap ke hadapan.

Proton R3 Satria Neo 2011 Shah Alam.02

Mula memandu saya rasa agak gigil jugalah FA ada sebelah dan beliau suruh saya tekan, laju lagi, dan masuk selekoh pertama memang dah rasa kereta ini melekat dan seterusnya di atas jalan lurus memang rasa bertenaga, kuasa sentiasa ada dan memang tak putus, tekan saja kereta akan pergi tanpa nak ada lengahan kuasa atau senang kata lembab. Nota ekzos kereta ini bassy dan kuat. Masuk pusingan kedua dan seterusnya, FA minta saya laju saja, dan saya tekan sajalah, masuk selekoh, keluar selekoh, pandu lurus, kereta ini memang tidak mengecewakan, sangat setia di atas jalan, melekat saja macam dilekat gam pada permukaan tayar, diikutkan Neo ini tak guna suspensi boleh laras pun, cukup hanya spring R3 dan beberapa talaan penjajaran resepi R3 yang mana pelanggan boleh tala balik mengikut spesifikasi yang disediakan R3.

Proton R3 Satria Neo 2011 Shah Alam.07

Selesai laluan oval, saya beralih untuk ujian suspensi dengan lebih spesifik, yang pertama adalah laluan bonggol, memang lulus berwarna-warni, rasa padu dan tak rasa macam pakai spring sport biasa-biasa yang rasanya macam besi keras, bunyi pun sedap, berdegup. Kemudian saya uji pula pada laluan kon [slalom], olengan memang sangat kurang, stereng tepat dan menuju ke mana yang dihalakan. Keseronokan bukan sahaja datang dari kereta yang laju tetapi kereta yang sedap dikawal.

Momen yang agak menarik dalam sesi pandu uji ini ialah apabila FA sendiri yang pandu uji, baru betul. Beliau pandu laju keliling oval, brek lambat dan tunjuk bagaimana kereta belaan beliau didera, pandulah ekstrem mana pun, R3 ini sentiasa patuh pada pemandu, kalau dipandu dalam trek pun rasanya penumpang sebelah boleh lena tidur sebab ianya selesa dan tidak tercampak ke sana ke mari.

Proton R3 Satria Neo 2011 Shah Alam.16

Proton R3 Satria Neo dijual bawah sedikit daripada RM80 ribu dan jika ditanya adakah saya hendak beli kereta ini? Jawabnya iya jika saya berkira-kira hendak beli Suzuki Swift, Mazda2 atau Ford Fiesta.  Jika ada yang rasa dengan RM80 ribu lebih baik beli Proton Inspira, Toyota Vios atau Honda City senang cerita anda bukan dalam sasaran pembeli R3 Neo. Kereta ini ialah untuk pemandu, yang mana ada MPV di rumah untuk keluarga dan perlukan kereta harian untuk ke tempat kerja dan bonusnya ialah ianya boleh dipandu senang-senang dalam keadaan standard ke litar Sepang.

Jika VW ada Golf GTi, Honda ada Civic Type R Euro, Suzuki ada Swift Sport, Proton pula ada R3 Neo, kereta yang sangat seimbang, tidak ekstrem dan tidak juga lembut. Kereta pukul keliling atau all rounder. Bak kata Djan, beliau sendiri sedang berkira-kira nak beli kereta ini buat pandu hari-hari.

-Mak/d Uia-

Klik untuk galeri gambar >> >>

Silakan kongsi:

DIJUAL: Subaru Forester

DIJUALSubaruForester.02

Amid nak jual kereta. Sapa nak beli Forester boleh la interkom dia. Gua dengar dia nak beli Skyline. Sapa ada buyer gua tak bagi komisyen ekekeke. RM55k aje der.

Sekian.

-Matpon-

Klik untuk spek dan gambar ye brader >>

Silakan kongsi:

Toyota Prius+: Wish Hibrid

Toyota Prius+01

Diikutkan Toyota Wish bukanlah MPV bersaiz penuh sebab kerusi barisan ketiga boleh tahan sempit. MPV ada 2 kategori, bersaiz penuh atau sederhana. Saiz penuh ialah konfigurasi kerusi selesa untuk 7 atau 8 penumpang, MPV sederhana pula jenis kerusi 5 + 2, maknanya selesa untuk 5 penumpang dan azab untuk penumpang barisan ketiga. Kalau kanak-kanak macam Shin Chan boleh la duduk selesa.

Toyota Prius+03

Di Geneva Toyota mempertontonkan kepada umum Prius+, famili terbaru Prius. Ianya adalah model hibrid penuh pertama yang menawarkan tujuh tempat duduk untuk pasaran Eropah dengan menggabungkan ciri-ciri mesra keluarga serta teknologi termaju dan mesra alam sekitar.

Toyota Prius+02

Prius+ mempunyai ruang yang lebih besar dari Prius biasa. Kerusi barisan kedua terdiri dari tiga tempat duduk berasingan boleh lipat manakala kerusi barisan ketiga boleh lipat penuh atau bahasa industri kerusi 50:50. Walaupun bertambah besar, Toyota yakin Prius+ dengan teknologi hibrid sama seperti Prius biasa adalah MPV tujuh tempat duduk paling efisyen bahan bakar dalam pasaran.

Toyota Prius+04

Prius+ akan ditawarkan kepada pasaran Eropah pada separuh pertama 2012.

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

Proton R3 Satria Neo

Proton R3 Satria Neo 2011.07

Dijuruterakan untuk pemanduan yang dinamik, Proton pada semalam memperkenalkan kereta hac eksklusif Proton R3 Satria Neo. Dibina oleh Divisyen Permotoran Proton di bawah jenama Race, Rally, Research [R3] kereta ini mudah dikenali dengan warna Fire Red dengan bumbung hitam.

Enjin 1600cc Campro CPS yang digunakan pada Satria ini dipertingkatkan lagi dengan peralatan Stage 2 R3 yang meningkatkan kuasa dari 125 bhp dan tork 150 Nm kepada 145 bhp @ 7000 rpm dan tork 168 Nm @ 5000 rpm dan digabungkan dengan transmisi 5 kelajuan nisbah rapat [close ratio].

Proton R3 Satria Neo 2011.01

Luaran Satria dipasangkan kit badan CPS dengan penambahan spoiler bumbung dan lips depan R3. Badan kereta direndahkan sebanyak 10mm dengan penggunaan gegelung R3 untuk mengurangkan olengan dan untuk tindak balas stereng lebih tepat, jajaran, toe & camber disemak semula. Traksi pula diperkemaskan dengan roda R3 16 inci warna gunmetal dan tayar bunga lembut Bridgestone Potenza RE001R 205/45.

Pada bahagian interior, R3 Satria diwarnakan matte red dan hitam dwi tona. Kerusi R3 edisi terhad dibalut dengan kulit nappa, efek karbon PVC dan sulaman benang merah. Warna red matte digunakan pada papan pemuka, konsol gear, tuil brek tangan dan trim pintu. Peralatan lain ialah karpet, pedal kaki aluminium dan tombol R3. Selain dari kunci, kereta juga boleh dihidupkan dengan butang penghidup enjin.

Proton R3 Satria Neo 2011.08

Ciri-ciri keselamatan tidak dilupakan, sistem sama seperti CPS iaitu dua beg udara dikekalkan, brek ABS dengan EBD ditambah baik dengan pad brek 400 darjah selsius. Kereta ini juga didatangkan dengan filem penebat haba dan keselamatan Ecotint serta sistem audio 2 DIN dengan navigasi 3D.

Proton R3 Satria ini dijual pada harga RM79,797 di atas jalan dan dipamerkan di COE Shah Alam, Juru dan Plentong. Yuran tempahan hanya RM2,000 dan pelanggan dijangka memperolehi kereta mereka 4 minggu selepas pinjaman diluluskan.

-Mak/d Uia-

Klik untuk siaran media rasmi dan galeri gambar >>

Silakan kongsi:

MRC 2011: Cabaran Bakal Bermula

aprc2010_LEG1 Proton

Sejumlah nama-nama besar dijangka akan menyertai pusingan pembukaan APRC yang juga sebahagian dari MRC 2011 di Plaza Angsana Johor Bahru dan Estet Tai Tak di Kota Tinggi bermula 1 hingga 3 April. Buat pertama kalinya juga, peringkat istimewa pendek berjarak 2km dibina di kawasan bersebelahan Plaza Angsana untuk menyuntik lebih kesedaran umum terhadap sukan rali.

aprc2010_winners

Mendahului senarai ialah juara bertahan dari Jepun iaitu Katsu Taguchi di bawah pasukan MRF dan rakan sepasukan iaitu naib juara Guarav Gill di mana mereka berdua menamatkan kejuaraan 1-2 pada MRC tahun lepas. Cabaran negara akan dipikul oleh juara MRC 2010 iaitu Muhammad Rafiq Udhaya dan pemandu arah Sean Gregory dengan kereta Subaru Impreza dan pasangan GSR Pennzoil Racing Team dengan kereta Suzuki Swift Sport dalam kategori 2WD. Seorang lagi pemandu Jepun yang memenangi pusingan APRC 2010 di China, Yuya Sumiyama akan turut bersaing di bawah pasukan Cusco.

aprc2010_leg2 Katsu

Pengeluar kereta nasional, Proton turut berlumba dengan dua buah kereta Satria Neo S2000 yang bakal dipandu oleh Alister McRae dan Chris Atkinson. Setakat ini sebanyak 19 penyertaan diterima dari pelbagai negara termasuk United Kingdom.

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

Toyota Verso-S

Toyota Verso-S.03

Toyota kembali ke segmen B-MPV [mini MPV] dengan model baharu iaitu Verso-S. Menariknya Toyota mengakui Verso-S antara yang terkecil di antara pesaing dalam segmen tetapi macam biasa, benda-benda kecil tetapi rasa besar adalah kepakaran Toyota dan sekutu mereka iaitu Daihatsu dan Perodua dan kini mungkin juga Subaru.

Toyota boleh diberi kredit kerana mereka adalah pelopor segmen B-MPV dengan melancarkan Yaris Verso dan kini masuk semula ke pasaran dalam masa yang agak tepat. Jualan pasaran Eropah meningkat 3 kali ganda sejak 2002 memandangkan lebih ramai pemandu memilih kenderaan yang lebih kecil dan menjimatkan.

Toyota Verso-S.05

Kesemua versi Verso-S dikuasakan oleh enjin 1.33 liter VVT-i berkuasa 98 hp dengan dua opsyen transmisi iaitu 6 kelajuan manual dan Multidrive S CVT. Untuk sistem hiburan pula, Verso-S dilengkapi Toyota Touch iaitu sistem multimedia skrin sesentuh untuk mengawal fungsi audio dan komunikasi. Ianya dipasangkan standard untuk semua varian dengan kemudahan Bluetooth untuk telefon bebas tangan, streaming audio serta soket USB untuk menghubungkan pemain muzik peribadi. Toyota Touch juga mempunyai fungsi untuk memaparkan masa dan jarak perjalanan, penggunaan minyak dan lain-lain informasi.

Verso-S mempunyai 2 gred iaitu TR dan T Spirit. TR dipasangkan aksesori seperti Toyota Touch, Gigibiru, kamera undur, lampu kabus depan, 7 beg udara dan kerusi belakang boleh lipat dengan 1 sentuhan. Gred T Spirit mempunyai tambahan roda 16 inci, tingkap elektrik depan dan belakang, bumbung panorama dan cermin belakang gelap.

Toyota Verso-S.01

Selain 2 gred berbeza, pembeli juga boleh memilih 3 pakej opsyen lain iaitu Style Pack dengan tambahan peralatan krom untuk bahagian luaran, Protection Pack dengan sensor undur, liner bonet dan plat scuff. Leather Pack pula diberikan balutan kulit 2 tona.

Sempena dengan pelancaran Verso-S, Toyota menawarkan harga pengenalan iaitu GBP 13,995 untuk model TR manakala model T Spirit pula bermula dengan GBP 14,995. Transmisi Multidrive S pula boleh dipilih dengan tambahan GBP 1,150.

-Mak/d Uia-

ps: Gua minta maaf, GT cuti panjang bermula esok sebab skru ada projek lain. Kalau jadi, lu orang dapat baca tulisan kita orang dalam medium yang lebih besar.

Klik untuk galeri gambar >>

Silakan kongsi: