Kia Sorento Baharu: Sama Tetapi Berbeza!

Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, SUV popular Kia iaitu Sorento telah disemak semula. Bukan ubah sana sikit, sini sikit dan kemudian diwar-warkan sebagai facelift tetapi Kia langsung menukar platform yang digunakan pada SUV tersebut. Perubahan yang dilakukan daripada belakang sampai depan dan dari atas ke bawah yang hasil akhirnya menambah baik ciri-ciri keselamatan, keselesaan, kemewahan dan kedinamikan pemanduan. Perubahan tersebut juga menjadikan Sorento lebih jimat minyak, kurang emisi dan paling penting kos pemilikan yang lebih rendah. Kesemua varian Sorento kini menggunakan sistem pacuan semua roda kekal dan dikuasakan oleh enjin Kia 2.2 liter CRDi turbodiesel yang turut disemak semula.

Seperti yang dikongsi di atas, Sorento menggunakan platform serba baharu dengan kerangka badan yang lebih tegar dengan penambahan struktur pada bahagian depan, sisi dan belakang untuk mengalihkan tenaga impak sewaktu pelanggaran. Ketegaran torsi (torsional rigidity) juga telah ditingkatkan kepada 18 peratus berbanding model sebelum ini yang diperoleh melalui penggunaan 25% besi ultra high strength pada struktur kenderaan. Paling menarik Sorento lama telah pun mencapai rekod 5 bintang Euro-NCAP dan pastinya tiada masalah untuk Sorento baharu walaupun standard ujiannya telah ditingkatkan. Dari segi saiz, panjang dan lebar Sorento tidak berubah kecuali tingginya yang kurang 10mm berbanding model lama. Pengurangan tersebut menjadikan titik gravitinya lebih rendah dan mudah untuk akses keluar masuk barang-barang.

Mengikut Kia, Sorento baharu lebih asyik dipandu dan ini disumbangkan oleh perubahan major pada suspensi, stereng dan brek. Walapun rekaan suspensi MacPherson bahagian depan dan independent multi-link belakang masih sama namun penambahan rangka sub berbentuk H dan tetulang pada bahagian belakang telah memperbaiki kestabilan pada jalan lurus, keselesaan dan cengkaman yang lebih baik hasil daripada sentuhan tayar yang lebih banyak dengan permukaan jalan. Penggunaan penyerap hentak berprestasi pada ke empat-empat tayar, sesendal (bushing) suspensi yang lebih besar dan lengan mengekor (trailing arm) belakang yang lebih panjang turut menyumbang kepada lebih keselesaan pada Sorento baharu itu.

Teknologi stereng kuasa hidraulik pada model lama telah digantikan dengan sistem baharu Kia yang dipanggil Motor Driven Power Steering (MDPS) pada model baharu. Sistem tersebut mengurangkan penggunaan jimat dengan hanya mengguna kuasa dari enjin apabila kereta membelok dan turut memperbaiki pemanduan melalui nisbah gear stereng yang lebih rendah. Sistem Kia Flex-Steer pula memberi opsyen kepada pemandu untuk memilih tiga mode pemanduan iaitu Normal, Sport dan Comfort mengikut kesesuaian pemanduan. Sistem tersebut hanya tersedia pada varian paling tinggi iaitu KX-3 yang turut menggunakan roda aluminium 18 inci. Walaupun begitu, kesemua varian dipasangkan brek cakera depan yang lebih besar dan hasilnya pemberhentian daripada 100km/j ke sifar kurang 2.6 meter daripada model lama.

Kesemua varian Sorento baharu kini dikuasakan oleh enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel yang memacu kesemua roda melalui transmisi enam kelajuan manual atau enam kelajuan automatik. Versi automatik turut didatangkan dengan teknologi Active ECO yang mengubah operasi enjin dan transmisi bagi mengoptimumkan penggunaan minyak. Enjin 2.2 liter CRDi tersebut berkuasa 194 bhp pada 3,800 rpm dan tork yang tinggi iaitu 422Nm dari 1,800 rpm yang sangat besar untuk kegunaan jalan biasa atau pun off road. Prestasi daripada 0-100km/j pula mengambil masa 9.4 saat untuk transmisi manual manakala 9.5 saat untuk transmisi automatik. Kelajuan maksimumnya pula ialah 190km/j.

Apabila Kia merekabentuk Sorento generasi kedua ini, faktor yang diambil kira ialah pembeli SUV yang muda, wanita dan golongan bandar yang mewah yang mahukan kenderaan untuk famili berbanding kegunaan lasak. Bahagian depannya walaupun nampak sama dengan model lama tetapi lebih keras dengan penampilan yang lebih moden. Perincian pada permukaan badan juga turut mengurangkan seretan aerodinamik berbanding model lama dan kesemua varian didatangkan dengan lampu utama projektor dan lampu LED DRL (daytime running lamps). Jika ada perbezaan ketara yang boleh disembang dan jelas nampak pada Sorento baharu ialah rekaan lampu belakang yang nampak mirip Audi.

Daripada segi keselamatan pula, setiap model Sorento baharu didatangkan dengan ABS dan EBD yang membolehkan pemandu membrek dan pada masa yang sama mengelak daripada melanggar objek. Lampu LED Emergency Stop Signal (ESS) pula akan menyala apabila pemandu membrek dengan mengejut bagi memberi amaran kepada pemandu lain terutama sekali yang berada di belakang. Sistem keselamatan lain ialah ESC yang mempunyai Downhill Brake Control (DBC). Standard untuk kesemua varian ialah enam beg udara.

Memandangkan Sorento adalah model global dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri di pasaran tempatan, kemungkinan tinggi model baharu itu akan di bawa masuk. Lagi pula, Kia mempunyai misi besar untuk menjadi kuasa besar di dalam dunia automotif dan harga yang rendah dengan spesifikasi tinggi adalah strategi utamanya. Jika dalam masa beberapa bulan akan datang anda melihat model baharu ini berada di atas jalan, jangan lupa bahawa model itu bukan setakat tukar lampu belakang sahaja!.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

3 comments

    • Aizat on 06/01/2013 at 9:00 PM
    • Reply

    Bila ye agak2 kia sorento facelift nie nak sampai malaysia?.,

    • suka suv on 20/02/2013 at 8:26 AM
    • Reply

    Ye la memang menawan si kia sorento ni ye…
    Nak upgrade suv lama aku ni…bila nak masuk Msia ye?

    • zam3919 on 15/04/2015 at 11:59 AM
    • Reply

    tengah tunggu bank loan approve u Kia Sorento nih.. terbaik

Leave a Reply to zam3919Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.