Kia Cee’d Generasi Kedua!

Sebagai penulis automotif, saya banyak menerima infomasi terkini daripada pengeluar kereta. Setiap hari pelbagai berita yang diberi seolah-olah pengeluar kereta mengeluarkan model baharu setiap hari. Ada yang menarik dan ada juga yang tidak berbaloi hendak ditulis memandangkan model tersebut diluar kemampuan rakyat kebanyakan atau tidak dijual di negara kita. Tetapi yang pastinya sektor automotif dunia sangat rancak dengan pelbagai falsafah, teknologi dan rekabentuk. Perkembangannya sangat pantas sampai kita tidak hairan pun apa yang ditawarkan sedangkan pasukan pembangunannya mengambil masa bertahun dan berbilion ringgit bagi menghasilkan sesebuah produk. Pengguna masa kini spoilt for choice, di dalam model kereta bandar misalnya, pelbagai jenis model yang ditawarkan, ada Proton Saga, Perodua Myvi, Hyundai i10 atau pun yang paling murah Perodua Viva. Itu baru daripada pengeluar tempatan, Jepun dan Korea dan jika pengeluar Eropah dan China melambakkan produk mereka pasti pening kepala hendak membuat pilihan. Cuma apa yang menghadkan nafsu atau keperluan ialah citarasa atau tebal atau nipis poket kita.

Reviu-reviu jenama Kia seperti yang banyak ditulis di dalam entri-entri sebelum ini memang menggagumkan. Syarikat Korea yang ditubuhkan pada tahun 1944 itu tidak pernah sepi daripada berita, ada saja yang hendak diberitahu seolah-olah mereka ini ahli politik yang ingin meraih undi. Jika tidak berita pelancaran produk baharu mereka akan berkongsi tentang produk konsep untuk masa depan. Secara tidak langsung, ianya mewujudkan kesedaran jenama (brand awareness) supaya jenama Kia lekat di minda kita. Itu belum lagi diambil kira kebanjiran kereta-kereta Kia moden yang semakin ‘menjadi-jadi’ di atas jalan raya.

Terkini di Geneva nanti mereka bakal mempamerkan kepada umum model Kia cee’d generasi kedua. Entah berapa banyak model terbaharu Kia pun saya tidak pasti. Seolah-olah setiap minggu mereka mengeluarkan kereta baharu. Cee’d adalah gabungan rekaan yang dinamik, sofiskated dan matang. Berbanding model generasi pertama, cee’d baharu lebih panjang, lebar dan rendah tetapi dengan jarak titik roda yang sama. Selain daripada itu cee’d juga mempunyai perkadaran (proportion) seperti kereta coupe hasil daripada tiang A dengan darjah ke dalam, garisan ‘pinggang’ depan yang rendah serta tingkap sisi yang dipanjangkan.

Bahagian depan cee’d pula adalah wajah korporat terkini Kia dengan gril hidung harimau serta bentuk lampu utama yang agresif dengan lampu LED siang hari (DRL). Pada pandangan sisi, ‘sayap’ depan dan belakang menonjolkan kelebaran trek kereta dengan posisi yang tegap. Selain daripada itu, luaran kereta mempunyai banyak perincian kecil tetapi jelas yang menambah kepada rasa prestij dan premium tanpa merosakkan keaslian dan keanggunan keseluruhan rekaan. Perincian tersebut terdiri daripada lencana baharu Kia yang sofistikated dan lebih jelas, bingkai cermin krom dan lampu belakang dengan bentuk aerodinamik.

Cee’d baharu juga mempunyai interior yang lebih premium pada visual dan sentuhan, kualiti yang lebih baik, tekenologi skrin sesentuh serta ergonomik posisi pemanduan yang lebih elok. Tata atur papan pemuka pula diinspirasikan daripada kokpit pesawat dengan fasia yang berorientasikan pemandu. Panel kawalan utama dikelompokkan pada stereng yang mana mudah untuk dicapai pemandu manakala suis lain seperti audio dan penghawa dingin dipisahkan untuk menjadikan interior lebih premium, mewah dan seolah-olah kereta yang lebih besar.

Perincian pada kabin menjadikan cee’d baharu lebih berprestij berbanding model terdahulu. Penggunaan material soft touch memberikan nilai sentuh yang tinggi pada kualiti interior. Instrumen dan alat kawalan mempunyai jaluran krom yang nipis manakala pemegang pintu diperbuat daripada material berkualiti tinggi. Pembuka pintunya pula berbentuk cengkerang yang meneruskan tema premium yang ingin ditonjolkan Kia.

Harus tahu, Kia cee’d tidak pernah dipasarkan di dalam negara kita dengan fokus utamanya untuk pasaran Eropah. Jika diikutkan skala ekonomi, setiap pengeluar perlu menjual sebanyak unit yang boleh bagi mendapatkan balik modal dan membuat keuntungan. Tetapi handal sungguh Kia kerana mereka seperti kebanyakan pengeluar kereta utama dunia lain sudah mampu mengeluarkan model eksklusif untuk sesebuah pasaran.

Newspress

-Md Uia-

Silakan kongsi:

3 comments

  1. cantik..

    • blue rollA on 08/03/2012 at 9:09 AM
    • Reply

    makin hebat kia sekarang ni…

  2. hanya mampu dilihat dari alam maya jer…

Leave a Reply to sepatCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.