Honda Accord 2013: Penerus Legasi Lagenda!

Seperti yang kita sedia maklum, Honda adalah nama yang besar di dalam industri automotif. Produknya pelbagai, bukan hanya setakat kereta dan motosikal bahkan bermula daripada sekecil generator pasar malam hinggalah ke pesawat peribadi. Nilai kejuruteraan yang ada pada syarikat itu sangat besar dan berjaya pula di dalam memasarkan produk-produk mereka. Jika Honda mempunyai universiti saya yakin ramai juga yang ingin belajar di sana. Produk kenderaan mereka sebenarnya banyak, ada yang kecil dan besar cuma untuk pasaran global hanya beberapa model sahaja yang dikenali umum. Antara model-model tersebut seperti Jazz, Civic dan Accord. Civic dan Accord misalnya sudah berpuluh tahun berada di dalam pasaran dan merupakan model pembuka jalan untuk pasaran Amerika Syarikat. Senang kata, kedua-dua model tersebut merupakan bread & butter untuk Honda.

Baru-baru ini di Thailand, Honda telah memperkenalkan kepada umum Accord generasi kesembilan. Model serba baharu itu menampilkan rekabentuk elegan sebagai refleksi kepada citarasa pelanggan dan untuk memenuhi kehendak pasaran yang mahukan kereta dengan ciri-ciri mewah, selesa, ada gaya dan sofistikated. Dengan rekabentuk baharu sepenuhnya, Honda Accord itu turut didatangkan dengan teknologi pemanduan pintar untuk prestasi yang lebih responsif, selamat dan cekap bahan api bagi memenuhi agenda hijau yang merupakan arus perdana di dalam dunia automotif hari ini.

Kata Encik Pitak Pruittisarikom, Naib Presiden Eksekutif, Honda Automobile (Thailand) Co.,Ltd. “Sejak pengenalannya pada tahun 1976 hingga penghujung 2012, Honda Accord telah berjaya menambat hati konsumer global dengan jualan terkumpul sebanyak 19 juta unit di 160 buah negara seluruh dunia, jualan di Thailand pula adalah sebanyak 138,229 unit sejak tahun 1984 hingga penghujung 2012”.

Dengan adunan ideal yang terdiri daripada kemewahan, elegan dan rekabentuk sporty serta ciri-ciri aerodinamik yang ditambah baik, permukaan Accord baharu ini tampak lebih sleek, garang dan elegan. Gril hadapannya diperkemaskan manakala lampu belakang LED pula nampak kontemporari dan korporat. Bahagian dalamannya pula nampak seperti ingin meraikan pemandu dan penumpang dengan keselesaan dan kemewahan. Kerusi yang besar memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Kabin yang lebih luas didatangkan dengan kerusi dengan kontur rekaan semula yang mana untuk bahagian pemandu boleh dilaras secara automatik dengan lapan pergerakan dan fungsi ingatan (memory seat). Kerusi sebelah penumpang boleh dilaras secara automatik dengan empat pergerakan. Kemudahan lain ialah Active Noise Control (ANC) yang menawarkan pemanduan yang senyap, kawalan suhu automatik dua zon, Adaptive Cruise Control (ACC) yang mampu mengawal kenderaan secara automatik mengikut kenderaan hadapan dan One Push Ignition System.

Sistem multimedia pula terdiri daripada skrin berwarna 8 inci Multi-Information Display 9i-MID) dan sistem navigasi. Dengan antaramuka pintar, pemandu boleh mengawal sistem audio dan Bluetooth telefon bebas tangan menggunakan On-demand Touch Panel.

Menguasakan Honda Accord serba baharu ini ialah enjin 2.4 liter i-VTEC itu berkuasa 174hp dengan tork 225 Nm. Enjin 2.0 liter i-VTEC pula berkuasa 155hp dengan tork 190Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi lima kelajuan automatik. Melalui Accord baharu ini juga Honda memperkenalkan sebaris teknologi keselamatan baharu yang biasanya terdapat pada kereta mewah buatan Eropah. Antara teknologi yang dipakejkan ialah Collision Mitigation Brake System (CMBS) yang berfungsi dengan memberi amaran kepada pemandu jika objek hadapan terlalu dekat seterusnya cuba untuk membrek bagi mengelak atau mengurangkan risiko kemalangan. Honda Lane Watch Blind Spot Display pula membantu dalam memerhatikan objek pada sisi kereta manakala Active Cornering Lights pula membantu pemandu sewaktu melalui selekoh pada waktu malam. Teknologi keselamatan lain ialah lampu LED siang hari, beg udara depan, i-side, sisi, Vehicle Stability Assist (VSA), Motion Adaptive Electric Power Steering (MA-EPS), Hill Start Assist (HSA), ABD, EBD, Emergency Stop Signal (ESS) dan cermin sisi tingkap depan dengan pengalir air serta cermin sisi hydrophilic untuk membantu penglihatan.

Apa yang ditawarkan Honda pada Accord generasi kesembilan ini sangat impresif. Dengan ciri sedia ada pada kenderaan Honda seperti penjimatan minyak dan kos pemilikan yang rendah kemudian digabungkan pula dengan teknologi yang ditawarkan pada kereta mewah Eropah. Ianya seperti kahwin campur antara pasangan Asia dan Eropah seterusnya menghasilkan suatu yang unik. Paling penting pelanggan tidak perlu lagi berhabis untuk menikmati teknologi yang canggih dan selamat. Senang cerita, spesifikasi Eropah tetapi pada harga Jepun. Tidak sabar rasanya untuk menunggu Accord spesifikasi Malaysia, jika sama hebat seperti Thailand nampaknya pengeluar lain dari Korea, Amerika Syarikat dan Eropah mungkin agak goyah. Apa guna inovasi dan teknologi jika tidak boleh dinikmati ramai.

Honda Asia

@muhd_gt

Silakan kongsi:

4 comments

Skip to comment form

    • maxmanx on 29/03/2013 at 9:36 PM
    • Reply

    mana gambar dari belakang?

  1. gambar belakang mcm E230 baru

    • speed on 01/04/2013 at 4:52 PM
    • Reply

    Lampu depan dah macam Proton Saga flx

    • megatputrakuning13 on 26/04/2013 at 3:09 PM
    • Reply

    giler ah lu punya komen speed..gua sure bunuh diri kalau gua ni engineer honda..hahahaha

Leave a Reply to maxmanxCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.