Seperti yang diketahui ramai, Proton Holdings Berhad sedang bersiap sedia untuk melancarkan Proton Compact Car (PCC) di dalam masa terdekat. Model yang lebih gemar dipanggil “Iriz” ini berada di dalam segmen super mini seperti Perodua Myvi, Honda Jazz, Kia Rio, Peugeot 208 dan Suzuki Swift. Disasarkan untuk bersaing diperingkat global, PCC bakal dilengkapi dengan sejumlah ciri-ciri keselamatan antaranya enam beg udara, kawalan cengkaman (TCS), ABS dengan EBD dan Hill Hold Assist. Lebih membanggakan apabila kereta nasional baharu ini mencatat skor 5 bintang di dalam ujian pelancaran ASEAN NCAP.
Terdapat dua nadi kuasa PCC iaitu 1.3 dan 1.6 dengan teknologi VVT dan opsyen transmisi manual dan CVT. Varian paling asas dikenali sebagai Standard manakala versi pertengahan dan spesifikasi penuh pula masing-masing dikenali sebagai Executive dan Premium. Bagi memenuhi pelbagai keperluan pasaran dan bersaing rapat di dalam segmen yang kompetitif, PCC ditawarkan pada paras harga dibawah RM45 ribu hinggalah setara kepada harga model pesaing paling premium.
PCC “Iriz” yang dievolusikan daripada model konsep Proton Emas dengan kos penyelidikan dan pembangunan melebihi RM500 juta memikul tanggung jawab besar untuk mengembalikan penguasaan pasaran Proton di dalam pasaran tempatan selain daripada penjenamaan semula syarikat tempatan ini di pasaran antarabangsa.
PCC “Iriz” bakal dilancarkan pada 25 September ini.