Volvo S60 T6 Dilancarkan – Lebih Berkuasa Dengan Enjin Drive-E dan Transmisi 8 Kelajuan Baharu

Volvo S60 T6.2016.06

Setelah beberapa tahun di pasaran Volvo Car Malaysia baru-baru ini telah merasionalisasi model S60 dengan menawarkan enjin dan transmisi baharu. Model mewah itu kini ditawarkan dengan varian tunggal iaitu T6 2.0 Turbo berbanding dua varian sebelum ini iaitu T4 dan T5 yang masing-masing dikuasakan oleh enjin 1.6 Turbo dan 2.0 Turbo.

Walaupun bersesaran 2.0l seperti varian T5 namun enjin T6 merupakan siri baharu dari famili teknologi Drive-E. Enjin tersebut berupaya menghamburkan 306 metrik kuasa kuda dengan tork setinggi 400 Nm. Enjin Drive-E T6 menggunakan dua nadi utama iaitu supercaj yang berfungsi pada kelajuan rendah dan kemudiannya diambil alih oleh pegecas turbo pada kelajuan yang lebih tinggi. Dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan automatik baharu, S60 T6 berupaya memecut dari pegun hingga ke 100km/j hanya dalam 5.9 saat. Selain daripada perubahan mekanikal, model itu turut dilengkapi beberapa peralatan yang menjadikannya relevan mengikut peredaran semasa dan ke hadapan berbanding pesaing mewah lain. Perincian Volvo S60 T6 adalah seperti berikut:

Lane Keeping Aid:  Memberi amaran jika stereng tersasar secara tiba-tiba dan membetulkan kembali kenderaan secara automatik jika tiada respon dari pemandu. Sistem ini berfungsi pada kelajuan di antara 65km/j sehingga 200km/j.

Park Assist Pilot: Kereta akan memarkir ke ruang sisi yang kosong secara automatik tanpa pemandu bersusah payah untuk memulas stereng ke kiri dan kanan.

Tuil penukar gear stereng: Untuk kecekapan dan gaya pemanduan yang lebih sporty.

Auto Stop/Start: Enjin direhatkan sewaktu melahu dan dihidupkan semula apabila pedal minyak ditekan.

Volvo S60 T6.2016.07

Pengawalan dan Pengendalian yang ditambah baik: Nisbah gear stereng kini memberi respon lebih pantas dan ‘tajam’. Balutan gegelung pada batang stereng kini lebih tebal dengan sesendal ekstra pejal seterusnya meningkatkan kekejalan kilasan sebanyak 100 peratus. Di antara hasilnya ialah ‘rasa’ yang lebih jitu pada tayar dan permukaan jalan.

Adaptive Digital Display: Paparan informasi meter secara digital menjadikan komunikasi lebih interaktif dan pelbagai. Terdapat tiga tema iaitu Elegance, Eco dan Performance.

Sensus Connect: Tema Digital Display yang berwarna turut disambung dengan sistem informasi hiburan Sensus Connect. Khidmat pengumpulan data (cloud-based) memberikan nilai tambah kepada pemandu seperti restoran pada lokasi yang dituju, strim musik kegemaran dan keupayaan untuk membaca mesej secara bebas tangan.

Ciri Bluetooth turut memberi sambungan kepada penstriman musik dari telefon bimbit.

Lampu Puncak Dengan Tahap Nyalaan Automatik: Terganggu apabila kenderaan hadapan tidak merendahkan lampu puncak? Volvo prihatin dengan keadaan itu dan memperkenalkan Active High Beam Control yang memudahkan dan tidak menganggu kenderaan hadapan apabila pemandu tidak perlu bersusah payah menukar kepada mod lampu rendah. Sistem ini berfungsi apabila cahaya dimalapkan secara automatik pada kenderaan mendatang dengan bantuan modul projektor yang terletak pada kelongsong lampu.

Volvo S60 T6.2016.04

Teknologi Pengesanan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal: Sistem ini membolehkan kenderaan Volvo mengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal seterusnya mengelak dari pelanggaran. Melalui radar yang dipasang, kereta akan mengesan kedua-dua kategori bahaya itu dan jika wujud pemandu akan diberi amaran dan kereta akan dihentikan secara automatik.

City Safety – Kini sehingga 50km/j: S60 dilengkapi sistem City Safety sehingga kelajuan 50km/j berbanding 30km/j sebelum ini. Kereta akan diperlahankan secara automatik dan dihentikan apabila kenderaan di depan memperlahankan kelajuan atau berhenti. Sistem yang sama akan diaplikasi apabila kereta yang dipandu bergerak laju menghampiri kenderaan yang tidak bergerak.

Cornering Light: Sistem ini adalah tambahan kepada Active Bending Light di mana lampu utama turut sama ‘membelok’ mengikut darjah pusingan kenderaan. Cornering light pula membantu dengan memberi pencahayaan pada kelajuan rendah.

Cross Traffic Alert: Teknologi ini berfungsi dengan menggunakan radar pada belakang kereta untuk memberi amaran kepada pemandu jika ada objek sewaktu keluar dari parkir.

Road Sign Information: Paparan papan tanda jalan raya akan disiar semula pada instrumen meter. Sistem ini boleh digabungkan dengan fungsi Speed Alert yang membolehkan amaran visual dipaparkan pada meter kelajuan jika dipandu melebihi had yang ditetapkan.

Volvo S60 T6.2016.05

Electrical Power Assist Steering (EPAS): Sistem EPAS menggunakan motor elektrikal dan pemandu boleh memilih tiga mod kuasa iaitu Low yang menjadikan stereng ringan untuk dipulas, mod Medium untuk kuasa bantuan yang lebih rendah terutama sekali pada kelajuan yang lebih tinggi manakala mod High pula untuk pemandu tegar yang cenderung kepada prestasi dan pengendalian dinamik.

Selain dari teknologi di atas, Volvo S60 T6 turut dilengkapi sistem standard seperti BLIS (Blind Spot Information System) untuk mengesan objek pada titik buta yang kini sudah sinonim dengan jenama Volvo.

Volvo S60 T6 merupakan model premium yang sarat dengan ciri-ciri keselamatan canggih dan ianya boleh dimiliki pada harga RM280,888 (dengan GST, tanpa insurans). Model terhad ini ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Ice White, Seashell. Ember Black, Saville Grey dan Bright Silver.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.