18 Poin Informasi Awal Proton Compact Car “Iriz”

Proton Iriz Teaser 2014.04

Beberapa minggu sebelum pelancaran Proton Compact Car (PCC) “Iriz yang dijadualkan pada 25 September ini, Proton telah menjemput pihak media untuk sesi pra tonton model terbaharu itu. Sesi yang berlangsung lebih dari dua jam itu diadakan di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Shah Alam, Selangor. Persembahan dan taklimat produk yang saya hadiri dilakukan oleh Encik Abdul Rashid, Ketua Pegawai Teknikal Proton Holdings dan Encik Azlan Othman dari Proton | Design.

Berikut adalah 18 poin utama mengenai PCC “Iriz”

1. Proses pembangunan mengambil masa selama 4 tahun. Pengesahan reka bentuk dibuat 2 tahun lepas. Masa yang panjang itu memberikan pereka Proton lebih masa untuk meneliti hasil kerja mereka.

2. Kos pembangunan ialah sekitar RM560 juta di mana banyak penjimatan berjaya dicapai hasil daripada penggunaan teknologi realiti maya.

Proton Iriz Teaser 2014.13

3. PCC “Iriz” berjaya mencatat skor 5 bintang Asean NCAP dan direka bentuk untuk mencapai lima bintang Australian NCAP yang merangkumi ujian pelanggaran depan dan sisi. Varian premium dilengkapi enam beg udara setanding dengan pengeluar asing lain untuk segmen sekelasnya.

4. Kesemua varian PCC “Iriz” dilengkapi sistem kawalan cengkaman (ECS dan TCS), ABS dengan EBD dan BA dan Hill Hold Assist (HHA).

5. Proton pertama kali menggunakan teknologi Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) Pintar pada model buatannya, PCC “Iriz” dan berat stereng berubah mengikut kelajuan. Stereng lebih ringan semasa pemanduan perlahan dan bertambah berat sesuai dengan kelajuan semasa.

Proton Iriz Teaser 2014.08

6. Jarak pemberhentian kereta lebih pendek dan cekap berbanding pesaing lain yang lebih ringan. Berat PCC “Iriz” adalah sekitar 1.1 tan.

7. Terdapat dua pilihan enjin yang ditawarkan iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter. Kedua-dua enjin tersebut mempunyai opsyen transmisi manual atau CVT. Enjin 1.6 CamPro VVT lebih berkuasa dari enjin aspirasi normal Proton sedia ada dan pada sektor tertentu lebih berkuasa daripada enjin CamPro CPS. Enjin ini juga paling menjimatkan di dalam famili CamPro. Membandingkan dengan kereta yang lebih kecil, ringan dan bersesaran 1.0 liter adalah suatu yang melucukan.

8. Proton | Design sudah bergerak atau berevolusi dari falsafah tidak lupus masa “Timeless” yang dipegang sekian lama dan menjurus kepada tarikan emosi melalui beberapa elemen yang dipakejkan di dalam gaya bahasa Reka Bentuk Progresif. Bahagian depan kereta yang menampilkan “sayap Proton” dan wajah tunggal “single face” kini diserlahkan lagi dengan reka bentuk lampu utama dan gril yang lebih jelas disepadukan.

Proton Iriz Teaser 2014.05

9. Garisan bahu kini dilembutkan namun garisannya secara halus tetap bersambung di sekeliling kereta.

10. Corak trapezoid berbentuk 3D pada bahagian bawah sisi kereta merupakan di antara identiti baharu Proton yang akan diteruskan untuk model masa depan. Corak tersebut dibina menggunakan kaedah “stamping” dan bukan plastik terpisah yang dilekatkan pada pintu.

11. Proton pertama kali mengarus perdanakan reka bentuk “chamfer” atau bingkai bonet belakang. Sebelum ini chamfer tersebut sudah pun wujud pada Gen.2, Saga, Persona, Prevé dan Suprima S.

12. Reka bentuk, material dan kemasan dalaman kereta tampak lebih menarik, berkualiti dan selari dengan trend semasa.

A Pillar Look

13. Rasa atau “feel” kabin terasa seperti kereta buatan Eropah dengan kerusi pemandu dan penumpang bersaiz penuh yang selesa. Walau bagaimanapun ruang kaki penumpang belakang terpaksa dikompromikan.

14. Kecuali lelangit bumbung, warna hitam pada bahagian dalaman dipilih melalui kaji selidik orang ramai.

15. Terdapat tiga varian PCC “Iriz” iaitu Standard, Executive dan Premium. Varian paling asas tidak terasa murah dan kosong seperti kereta sekolah memandu atau chasis rali kerana reka bentuk keseluruhan yang menarik selain daripada pemadanan pakej. Varian asas mempunyai dua beg udara dan seperti poin sebelum ini ESC dan TCS, ABS dengan EBD dan BA dan lebih menarik Hill Hold Assistant (HHA) turut dikekalkan.

Proton Iriz Teaser 2014.07

16. Proton sedang berunding dengan PIAM bagi mendapatkan kadar premium insurans yang lebih rendah. Sistem keselamatan PCC “Iriz” dibangunkan mengikut piawaiaan Thatcham. Fokus tidak sahaja diberikan kepada kebolehcurian malah kecurian dari dalam (pecah tingkap dan sebagainya).

17. Tanpa mengambil kira khidmat lepas jualan, PCC “Iriz” merupakan kereta yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

18. Datuk Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Operasi Proton Holding mengelak untuk bertemu media kerana beliau sibuk turun padang memastikan ittisoq dan itqan (konsistensi dan kesempurnaan) PCC “Iriz”.

Poin Bonus

1. Fokus kini tertumpu kepada projek lain yang berkait dengan PCC “Iriz”

2. Proton akan mempamerkan sesuatu yang istimewa pada hari terbuka hujung minggu ini.

3. R3 turut akan mempunyai varian PCC “Iriz” yang tersendiri.

Nota: Informasi di atas tidak boleh dianggap sebagai fakta tepat dan hanya boleh disahkan selepas PCC “Iriz” dilancarkan dan maklumat rasmi diterima.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

    • Datsun Buah Kana on 24/09/2014 at 6:11 PM
    • Reply

    Kita tunggu…

    • hasang on 04/10/2014 at 9:50 AM
    • Reply

    aiseh3… gua teruja gila ni mat.. steady lah.

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.