Suzuki Swift Sport 2012

Varian berprestasi Suzuki Swift sama ada model lama seperti Cultus GTi atau model baharu seperti Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian saya. Masih segar dalam fikiran beberapa tahun lepas pengalaman menyaksikan kelajuan Cultus GTi yang ibarat lipas kudung, paling menarik enjin model itu hanyalah bersesaran 1.3 liter. Selepas itu kemasyhuran Cultus GTi terganggu dek kerana akronim GTi sebenarnya adalah milik VW. Hasil perbincangan luar mahkamah Suzuki mengugurkannya dan menggunakan nama GT dan kini model berprestasi Swift lebih selesa menggunakan nama Swift Sport. Jika kelajuan Cultus GTi ibarat lipas kudung, Swift Sport pula membuat saya kagum dengan ciri-ciri keselamatannya, bayangkan sebuah kereta kompak dengan enam beg udara sebagai ciri standard, tidakkah anda akan turut berasa kagum? Berbeza dengan kebanyakan kereta yang dipasarkan di dalam negara dengan hanya dua beg udara.

Baru-baru ini Suzuki telah melancarkan model pengganti Swift Sport yang bakal dijual bermula tahun depan di pasaran terpilih global. Swift Sport adalah model flagship untuk varian Swift yang menawarkan tahap penalaan serta prestasi pengendalian dan pemberhentian lebih tinggi berbanding model standard. Dek kerana ciri-ciri sporty dan praktikaliti hariannya Swift Sport mempunyai ramai peminat sejati di lebih kurang 40 buah negara serata dunia. Swift Sport baharu mempunyai DNA yang sama seperti model sebelumnya cuma kali ini model itu lebih ekonomikal dan mesra alam sekitar bagi memenuhi kehendak semasa. Rekaan luaran Swift Sport adalah refleksi kepada evolusi ke arah rupa yang lebih sporty. Peralatan aerodinamik yang eksklusif untuk Swift Sport baharu mengawal aliran udara, menahan daya angkat dan memberi imej yang lebih rendah ke bumi. Lampu utama jenis High-Intensity Discharge (HID) dengan lapisan warna kelabu metalik serta rekaan lampu kombinasi baru menyerlahkan lagi kedinamikan rekaan luaran model itu.

Rekabentuk interior yang sporty di dalam model itu dibantu oleh kerusi sport dengan corak fabrik eksklusif dan kluster lima meter yang mudah dibaca dengan susunan yang kemas. Toe dan Camber yang tegar untuk torsion beam dan ketegaran lateral yang lebih pada sesendal torsion beam serta bearing yang lebih besar pada roda belakang pula membantu kestabilan pada bahagian belakang kereta sewaktu selekoh yang mencabar. Kekenyalan yang ditingkatkan pada spring depan dan belakang serta penambahan lantunan pada spring hadapan pula secara signifikannya menyumbang kepada kestabilan melalui kurangnya olengan badan kereta. Modifikasi yang dilakukan pada peralatan stereng dan kotak gear, rangka suspensi dan bearing yang lebih besar pada roda hadapan pula menjadikan pengendalian Swift Sport baharu itu lebih baik daripada model sebelumnya.

Enjin M16A Swift Sport baharu sebenarnya adalah sama dengan model lama tetapi kali ini disemak semula dengan penambahan kuasa dengan emisi yang lebih rendah. Pencapaian itu adalah hasil penggunaan sistem masukan boleh ubah (variable), penggunaan VVT (Variable Valve Timing) yang lebih optimum dan valve lift yang ditingkatkan dan hasilnya kuasa maksimum naik dari 123bhp kepada 136hp. Tork maksimum pula meningkat dari 148Nm kepada 160Nm pada kelajuan enjin yang sedikit rendah iaitu 4,400rpm seterusnya membolehkan pemandu menikmati prestasi merentasi julat kelajuan enjin. Emisi enjin model baharu turut mengalami penurunan sekitar sepuluh peratus iaitu 165g/km kepada 147g/km dan sistem ekzos yang disemak semula pula menghasilkan bunyi yang lebih sporty. Transmisi manual Swift Sport baharu secara spesifiknya dibangunkan untuk mengambil kesempatan penuh terhadap prestasi enjin M16A. Penggunaan gear enam kelajuan menyumbang kepada pemanduan yang lebih sporty dan menjimatkan minyak.

Daripada segi keselamatan pula, Swift Sport baharu mempunyai tujuh beg udara dan Electronic Stability Program sebagai peralatan standard. Penggunaan keluli tegangan tinggi yang ekstensif dan analisis struktur berkomputer membolehkan badan kereta menjadi ringan serta selamat. Tiang-tiang kereta pula mengandungi material yang menyerap hentak yang dapat mengurangkan kesan hentakan kepala penumpang.

Dengan segala ciri-ciri di atas tiada sebab mengapa penggemar kereta berprestasi tidak boleh jatuh hati kepada model dari Jepun itu. Swift Cultus GTi atau Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian. Model itu biasa-biasa sahaja tetapi menyeronokkan. Ibarat seorang kawan harian tetapi penuh dengan ilmu yang membuatkan kita tidak serik untuk berkawan dan berborak. Suzuki Swift Sport, sentiasa di hati.

Newspress

-Md Uia-

Muhammad

6 Comments

Kata Anda//