Perodua Sumbang 50 buah Myvi Kepada Bomba dan 25 IPT  

Perodua akan menyumbang 50 buah Myvi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak serta 25 institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk kegunaan mereka dalam latihan dan penyelidikan, menjadikan ia antara penyerahan kenderaan terbesar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

“Kami menyumbang tujuh buah Myvi generasi terbaharu dan 43 buah Myvi generasi sebelumnya kepada organisasi-organisasi ini dengan harapan ia dapat dimanfaatkan di dalam penyelidikan, latihan dan pembelajaran mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Datuk (Dr) Aminar menyerahkan kenderaan-kenderaan tersebut secara simbolik kepada wakil-wakil organisasi masing-masing dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin, di satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh semalam.

25 institusi pendidikan tinggi tersebut merangkumi universiti serta institusi vokasional, teknikal, latihan industri dan kemahiran belia.

“Sebagai syarikat People First, Perodua gigih memperkasakan golongan belia melalui pendidikan, kerana merekalah bakal pemimpin Malaysia dan peneraju masa hadapan industri automotif tempatan.

“Inisiatif-inisiatif pendidikan kami termasuk Perodua Eco Challenge dan Perodua Youth Training Programme (PYTP). PYTP merupakan program Tanggungjawab Korporat yang paling lama telah kami laksanakan, menghasilkan lebih 630 graduan sejak 1999,” kata Datuk (Dr) Aminar.

Awal tahun ini, Perodua telah mengadakan majlis konvokesyen untuk 141 belia yang dilatih dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, melayakkan mereka untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan kecekapan teknikal and vokasional.

Lebih 70% daripada mereka akan berkhidmat di pusat servis dan fasiliti Badan & Cat (Body & Paint)  Perodua di seluruh negara.

“Dengan lebih sejuta unit dijual sejak kelahirannya pada tahun 2005, Myvi merupakan model kenderaan terlaris di Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.

“Justeru itu, Myvi sangat sesuai untuk tujuan penyelidikan dan latihan tempatan kerana ia adalah model yang paling dekat mewakili kenderaan di Malaysia,” kata Datuk (Dr) Aminar.

Baru-baru ini, Perodua Myvi telah memenangi segmen Aras Mula (Entry-Level) di Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018, anjuran Malaysia Automotive Institute (MAI).

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.