ETCM Memperkenalkan NISSAN NV350 URVAN

KUALA LUMPUR, 31 OKtober 2014 – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) memperkenalkan Nissan NV350 Urvan (bumbung tinggi) serba baharu, sebuah bas mikro dengan kapasiti 14 tempat duduk.

Nissan NV350 Urvan serba baharu ialah model gantian Nissan Urvan sedia ada. Ia merupakan salah satu kenderaan komersial paling laris di Malaysia berikutan sifatnya yang versatil dan boleh dipercayai. Nissan NV350 Urvan serba baharu kini menawarkan prestasi lebih berkuasa dan menjimatkan bahan api, selain hadir dengan gayaan moden.

ETCM berbesar hati untuk memperkenalkan Nissan NV350 Urvan serba baharu di Malaysia. Kenderaan komersial pelbagai guna ini menawarkan pengangkutan untuk tujuan perniagaan atau bersiar-siar. Ia kini dilengkapi enjin diesel baharu yang lebih berkuasa dan penjimatan bahan api yang telah dipertingkatkan sebagai tambahan kepada gayaan moden, keselesaan serta ciri-ciri keselamatannya. Nissan NV350 Urvan serba baharu diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan produk Edaran Tan Chong Motor, Tan Ken Meng.

Enjin 2.5L YD25DDTi dengan pengecas turbo yang baru dibangunkan itu memiliki teknologi diesel bersih. Ia dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan untuk menawarkan prestasi terbaik dalam kelasnya dan penjimatan bahan api luar biasa. Sebagai tambahan, tahap bunyi bising enjin, getaran dan kekasaran (NVH) Nissan NV350 Urvan serba baharu telah ditambah baik. Ini bagi memberikan ruang kabin yang lebih senyap dalam usaha mengurangkan kepenatan pemandu dan memastikan pengalaman pemanduan serta perjalanan yang selesa.

02_NV350 Urvan_2.5L Diesel Direct Injection with Variable Geometry System (VGS) Turbo Intercooler

Nissan NV350 Urvan serba baharu mengetengahkan gayaan luaran baharu yang dinamik. Rekaan itu diintegrasikan dengan gril hadapan krom tiga dimensi baharu yang dipadankan bersama lampu utama, sekali gus menghasilkan reka bentuk yang kontemporari dan menarik perhatian. Dari arah tepi, garis karekternya menyerlahkan panel sisi yang luas. Lakaran baharu ini membantu memastikan kestabilan dapat dipertingkatkan menerusi tapak roda yang telah ditambah.

Melihat ke bahagian dalaman pula, Nissan NV350 Urvan serba baharu hadir dengan bumbung tinggi, sekali gus memberikan ruang luas untuk proses keluar masuk yang lancar. Sistem pendingin hawa di hadapan dan belakang menawarkan kesan penyejukan yang pantas kepada pemandu dan para penumpang demi memberikan pemanduan yang selesa. Bar penstabil berdiameter besar di bahagian hadapan dan suspensi belakang dengan lejang lebih panjang pula memastikan prestasi pemanduan berprestasi dan perjalanan yang selesa.

Kabin Nissan NV350 Urvan serba baharu mempunyai panel instrumen yang moden dan ringkas dengan satu paparan pelbagai fungsi bersaiz 3.5 inci. Ia memaparkan maklumat penjimatan bahan api pada masa sebenar, indikator penukaran gear untuk memberitahu pemandu bilakah mereka perlu menukar gear bagi mengoptimumkan penjimatan bahan api, selain data odometer dan meter perjalanan.

03_NV350 Urvan_14-Seater

Keselamatan adalah aspek penting dalam reka bentuk Nissan NV350 Urvan serba baharu. Ia dilengkapi sistem brek ABS (sistem brek anti-kunci), BA (Brake Assist System), Lampu Berhenti yang dipasang pada kedudukan tinggi, Kunci Keselamatan Kanak-kanak dan Zon Binaan Badan (Zone Body Construction). Gabungan semua sistem ini menjadikan perjalanan bukan sahaja selamat, malah selesa.

Harga Nissan NV350 di atas jalan dengan insurans ditawarkan pada harga RM109,800 (Semenanjung Malaysia), serta jaminan selama tiga tahun atau perbatan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu. Tempahan kini sudah dibuka di semua bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Muhammad

Kata Anda//