ETCM MELANCARKAN NISSAN ALMERA NISMO PERFORMANCE PACKAGE

Nissan Almera NISMO 2013.01

Edaran Tan Chong Motor telah menambah satu lagi model sporty ke dalam rangkaian produknya menerusi pelancaran Nissan Almera NISMO Performance Package. Nissan ALMERA kini merupakan sedan dalam segmen B bukan nasional paling laris di Malaysia.

Nissan Almera NISMO Performance Package mengukuhkan lagi stratergi NISMO iaitu “Innovasi dan Keterujaan Memandu untuk Peminat Kereta”. Model ini disasarkan kepada mereka yang inginkan sebuah Almera yang lebih dinamik dan tersendiri.

Ketika memperkenalkan model baharu itu, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Nissan Almera NISMO Performance Package memberi fokus kepada keseronokan pemanduan dan aspek keselamatan. Pada masa yang sama memenuhi keinginan para peminatnya untuk tampil dengan gaya tersendiri.”

NISMO merupakan jenama sukan permotoran dan penala kereta berprestasi Nissan yang terkenal di peringkat global. Jenama itu juga berpegang kukuh kepada tagline “Innovation that Excites” Nissan. NISMO menawarkan teknologi inovatif dan berprestasi tinggi kepada rangkaian pelanggan untuk kegunaan di jalan biasa.

Nissan Almera NISMO 2013.02

Dipengaruhi oleh kepakaran NISMO dalam sukan bermotor, aerokit baharu yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri aerodinamik selain daripada estetik. Rim aloi NISMO unik bersaiz 16 inci dibalut dengan tayar Continental dan dipadankan bersama Sistem Suspensi Prestasi NISMO yang meningkatkan cengkaman serta menyerlahkan penampilannya di atas jalan. Kelengkapan NISMO disempurnakan lagi dengan peredam ekzos sport NISMO.

Varian Nissan ALMERA NISMO didatangkan dalam dua pakej iaitu NISMO Performance Package dan NISMO Aero Package. Ia ditawarkan untuk semua varian Nissan ALMERA yang hadir dalam empat warna iaitu putih (Brilliant White), hitam (Diamond Black), perak (Tungsten Silver) dan emas (Bronze Gold).

NISMO Performance Package terdiri daripada 5 bahagian Aerokit iaitu spoiler bampar hadapan dan belakang, skirt sisi serta trunk lid spoiler dan set rim aloi NISMO bersaiz 16 inci yang dibalut dengan tayar Continental dan Sistem Suspensi Prestasi NISMO. Varian NISMO Aero Package pula menawarkan Aerokit dan set rim aloi NISMO bersaiz 16 inci dengan tayar Continental.

Aksesori Nissan Almera NISMO Performance Package dijual pada harga RM13,000 manakala Nissan Almera NISMO Aero Package pula pada harga RM8,000.

Nissan Almera NISMO ETCM 2013.01

Menurut Naib Presiden Kanan NISMO yang bertanggungjawb dalam aspek Pembangunan Produk dan Kereta Lumba, Noboru Kaneko, “NISMO adalah jenama sukan bermotor Nissan. Ia juga merupakan jenama yang menyokong prinsip Nissan iaitu ‘Innovation that Excites’ (Inovasi yang Mengujakan). Melalui strategi baharu, kami telah mengembangkan barisan model NISMO dan memperkenalkan alat-alat ganti dan aksesori di pasaran Eropah, AS, Asia dan Jepun. Kami akan menawarkan produk NISMO untuk lebih banyak model, daripada alat ganti untuk pemanduan di atas litar sehinggalah alat ganti dan aksesori bagi kenderaan di jalanan buat mereka yang mahu menikmati pengalaman memandu kenderaan NISMO dalam kehidupan seharian masing-masing.”

Menerusi pelancaran Nissan Almera NISMO Performance Package, ETCM meletakkan sasaran untuk mengukuhkan lagi pengaruh Nissan ALMERA di Malaysia dengan menawarkan aspek individualiti dan keseronokan pemanduan.

Muhammad

Kata Anda//