VW Kini Di Batu Pahat – Pusat 3S Pertama Di Utara Johor

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan SP Supreme Autohaus telah membuka Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat dan ia adalah satu-satunya Pusat 3S Volkswagen di bahagian utara Johor. Dengan keluasan sekitar 25,000 kaki persegi, bilik pameran Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat mampu mempamerkan sehingga lima buah kenderaan dan enam ruang penyelenggaraan. 

Pusat 3S itu juga dilengkapi peralatan diagnostik dan selepas jualan terkini yang telah diluluskan oleh pihak Volkswagen Jerman dan dikendalikan oleh staf selepas jualan terlatih dan berpengalaman.

Bagi kemudahan pelanggan, lounge Pusat 3S ini dilengkapi perkhidmatan WiFi, sebuah kafe dengan minuman ringan dan TV untuk hiburan semua.

SP Supreme Autohaus telah melabur sebanyak RM6.5 juta untuk Pusat 3S ini. Cawangan itu dibina untuk khidmat jualan dan perkhidmatan selepas jualan kenderaan Volkswagen di kawasan Batu Pahat, Muar, Kluang, Yong Peng, Segamat dan kawasan-kawasan berhampiran.

Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter mengalu-alukan pembukaan Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat ke dalam rangkaian Pusat 3S Volkswagen yang semakin berkembang di seluruh negara.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami dengan rakan pengedar untuk terus menambah baik kemudahan, kami harap penambahan pusat 3S ini akan dapat meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan kami di Batu Pahat dan kawasan sekitarnya. Tahniah kepada SP Supreme Autohaus atas pelancaran pada hari ini dan terima kasih atas komitmen anda terhadap jenama Volkswagen,” kata Winter.

Pengarah Urusan SP Supreme Autohaus, Sia Chai Lim menyatakan bahawa kerjasama di antara SP Supreme dan VPCM yang bermula sejak lebih dua tahun lalu akan terus berkembang.

“Kami telah berusaha keras sejak bilik pameran pertama kami dilancarkan pada tahun 2014. Kami benar-benar komited ke atas peniagaan dan kepuasan pelanggan. Dengan sokongan VPCM serta keyakinan kami ke atas jenama ini, kami merancang untuk terus mengembangkan perniagaan dan akan melancarkan satu lagi Pusat 3S di Permas Jaya bulan depan,” katanya.

Bilik pameran dan jualan Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat beroperasi setiap hari mulai jam 9:00am hingga 6:00pm. Manakala perkhidmatan selepas jualan pula beroperasi dari Isnin hingga Jumat dari jam 9:00am hingga 6:00pm dan mulai 9:00am hingga 4:00pm pada Sabtu.

Bahagian jualan dan selepas jualan akan ditutup pada cuti umum.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.