Pada awal bulan Jun lalu, VW Group Malaysia telah melancarkan Golf R iaitu varian terpantas model popular Golf. Model keempat Golf R itu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem pancitan terus (TSI) yang menghasilkan 380Nm tork dan kira-kira 290hp dengan pecutan dari sifar ke 100 dalam masa 5 saat. Untuk memastikan kuasa tersebut tertawan di atas jalan raya, Golf R dipasangkan sistem pacuan kesemua roda 4MOTION dengan coupling generasi kelima Haldex.
“Golf R baharu ini adalah kombinasi di antara teknologi perlumbaan, kuasa dan pemanduan harian yang menghasilkan ciri-ciri sporty. Varian ini dibangunkan oleh VW R GmbH bagi memenuhi kemahuan peminat permotoran yang mencari-cari sebuah kereta dengan prestasi pemanduan menggagumkan,” kata Christoph Aringer, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia.
Golf R baharu meneruskan legasi model sebelumnya di dalam pemindahan teknologi perlumbaan VW di dalam siri kenderaan yang kini boleh di dapati di Malaysia dengan pelbagai ciri baharu dan diperkemaskan.
“Dibangunkan untuk perlumbaan tetapi praktikal untuk pemanduan harian, Golf R adalah kemuncak kereta yang diinspirasikan dari perlumbaan dan ianya mengujakan untuk dipandu. Ianya adalah gabungan ciri-ciri yang sporty, keselesaan dan keselamatan dan kami yakin Golf R baharu ini akan memenangi ramai penggemar kereta sport di Malaysia,” tambah Aringer.
Golf R turut ditampilkan dengan teknologi penjimatan seperti sistem Stop-Start dan janaan semula bateri di mana ianya mengguna semula kuasa yang dihasilkan semasa memandu atau membrek untuk mengecas semula bateri kenderaan. Brek Parking Elektronik dengan Auto Hold pula mengekalkan Golf R di dalam keadaan statik tanpa memerlukan brek ditekan dan memberi lebih keselesaan sewaktu kesesakan trafik. Sistem Dynamic Chassis Control (DCC) dengan 5 mode Driving Profile Selection (tech pack) pula memberi lebih kebebasan kepada pemandu untuk memilih profail pemanduan yang bersesuaian dengan pilihan dan keperluan peribadi.
Untuk ciri-ciri keselamatan pula, Golf R dilengkapi Multi-collision Brake System yang dapat membrek secara automatik apabila pelanggaran awal dikesan. Terdapat tujuh beg udara pada Golf R ini selain daripada sistem stereng progresif, ABS dengan ESC 2 peringkat dan TPMS. Jika ada yang mahukan situasi yang lebih luar, sistem ESC boleh dinyahkan dengan menekan butang lebih dari 3 saat yang mana ciri ini hanya ditawarkan untuk model Golf R berbanding siri Golf yang lain.
Kepada yang berminat, VW Golf ditawarkan pada harga permulaan dari RM245,888 hinggalah RM285,888 untuk model Tech Pack dengan pelbagai ciri tambahan seperti bumbung panoramik, roda 19 inci Cadiz dan kamera bantuan belakang . Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Lapiz Blue Metallic, Tornado Red, Pure White dan Deep Black Pearl.