Dahulu, orang sibuk bercerita Proton akan bekerjasama dengan Volkswagen AG. Macam-macam khabar angin timbul. Kereta Proton akan dilengkapi dengan enjin VW, kereta VW akan jadi jauh lebih murah dan macam-macam lagi.
Harapan itu bagaimanapun tidak kesampaian. Proton dan VW membuat pengumuman bahawa mereka tidak akan bekerjasama antara satu sama lain. Bukan sekali, tetapi kedua-dua entiti sudah dua kali cuba untuk memanfaatkan kekuatan yang dimiliki, demi memperoleh manfaat daripada pasaran tempatan dan Asean. Malangnya, tiada persetujuan yang dapat dicapai. Tidak ada jodoh agaknya.
Pengumuman itu nyata mengecewakan ramai orang. Saya, tidak terkecuali. Impian untuk memiliki ‘Proton Golf’ nampak gayanya terpaksa dilupakan. Namun, harapan tersebut menyala semula setelah pihak DRB Hicom menandatangani perjanjian untuk menghasilkan kenderaan jenama Volkswagen pada Disember 2010.
Tetapi, model-model yang dipilih untuk dipasang tempatan (CKD) ialah model sedan seperti Jetta dan Passat, sebelum diperluaskan kepada model lain, misalnya Polo.
Setakat ini, model Golf memang tidak berada dalam senarai untuk CKD. Keputusan itu dibuat mungkin kerana Golf sudahpun dijual oleh pihak pengedar Volkswagen untuk pasaran tempatan, Volkswagen Group Malaysia (VGM) sejak generasi kelimanya lagi. Jadi, dua kali kecewa. Apa pun, terkini DRB Hicom sudah pun dipilih untuk menjadi pemilik baharu Proton.
Dalam rangkaian model keluaran Volkswagen, Golf merupakan satu nama besar. Golf bertanggungjawab membuatkan jenama pengeluar kenderaan dari Jerman itu popular di seluruh dunia. Ia menjadi model pertama yang berjaya mencuri populariti model Beetle.
Disifatkan sebagai model terlaris Volkswagen dan ketiga paling laku di dunia, sebanyak 25 juta unit Golf telah dihasilkan sehingga tahun 2007. Jentera itu lazimnya dikenali menerusi varian hot hatch. Sama ada tiga atau lima pintu, ia bergantung kepada pasaran yang disertainya.
Bagi pasaran Malaysia, Golf dipopularkan oleh versi berkuasa tinggi yang dikenali sebagai GTI. Sejak diperkenalkan, Golf GTI sememangnya menjadi impian ramai anak muda profesional yang mahukan sebuah jentera berkuasa, tetapi masih praktikal untuk dipandu setiap hari ke pejabat. Pada harga melepasi takat RM200,000 seunit, memang tidak ramai yang mampu memilikinya.
Situasi itu bagaimanapun berubah selepas VGM mengambil keputusan bijak dengan memperkenalkan versi Golf yang lebih murah. Lebih murah bukan bermakna kurang laju atau sebagainya. Sebaliknya, ia menjadi bukti kenapa Volkswagen merupakan pengeluar kenderaan yang cukup disegani di dunia.
Terimalah Golf 1.4 TSI. Sebagaimana namanya, varian tersebut dipasang dengan unit enjin bercekapan tinggi bersesaran 1.4 liter. Jangan main-main, enjin kecil yang mengaplikasikan teknologi twincharge (supercharge dan turbocharge) itu berupaya menjana kuasa hampir sama dengan enjin bersesaran 2.0 aspirasi biasa (Naturally Aspirated).
VGM menawarkan dua varian untuk Golf 1.4 TSI. Bezanya ialah Light & Sound Package yang dipasang padanya. Saya cadangkan anda pilih sahaja pakej itu. Sebabnya, dengan beza harga tidak sampai RM10,000 ia dipasang dengan beberapa ciri tambahan. Misalnya, lampu utama jenis Bi-xenon, lampu terarah ketika mengambil selekoh, lampu kabus, sistem pembersih lampu utama serta paparan media antara muka (interface) untuk USB dan iPod.
Saya diberi peluang untuk memandu uji dan Golf TSI menjadi teman saya pulang ke kampung. Laluan lebuh raya Karak dan LPT (Lebuh Raya Pantai Timur) menuju ke Kuantan Pahang sememangnya boleh menjadi trek ujian terbaik untuk menguji prestasinya.
Tidak hairanlah kenapa enjin 1.4 TSI dinobat sebagai antara enjin terbaik di dunia. Responsif kuasanya dapat dirasa dengan pantas biarpun pedal minyak ditekan perlahan. Jadi, pemandu boleh memotong kenderaan lain dengan yakin dan tidak teragak-agak.
Enjin 1.4 TSI dan kotak gear automatik tujuh kelajuan Direct Shift DSG nyata satu padanan yang sempurna. Kotak gear jenis klac kering dan tidak memerlukan penyelenggaraan itu menukar kedudukan gear dengan cukup efisien dan cepat. Sehinggakan anda malas atau rasa tidak perlu lagi menukar gear secara menual. Sama ada menerusi paddle shifter atau pada tuil gearnya.
Memegang stereng Golf 1.4 TSI, perkara paling sukar untuk dibuat ialah memandu perlahan. Kombinasi kuasa enjin, transmisi dan kualiti pengendalian ketika mengambil selekoh membuatkannya sebuah hot hatch yang cukup seronok untuk dipandu.
Paling menarik, biarpun pedal minyak ditekan keras tahap penggunaan bahan apinya tetap memuaskan. Untuk satu tangki penuh (55 liter), jarak yang dapat dicatat ialah sejauh 630 kilometer. Saya yakin angka itu boleh ditambah jika pemanduan dilakukan secara lebih santai.
Penampilan Golf 1.4 TSI nampak seperti kereta budak baik. Tidak ada skirting pada bahagian sisi atau sebagainya. Apa yang ada cuma ada spoiler pada bahagian belakang. Rim aloi ‘Atlanta’ itu pun bersaiz 16 inci sahaja.
Kalau mahu lebih menyerlah, mungkin set lampu utama dan belakangnya perlu ditukar. Maksud saya, lampu yang lengkap dengan Daytime Running Lights (DRL) untuk lampu hadapan dan butiran LED pada lampu belakang. Kalau tidak cukup, ada senarai panjang aksesori yang boleh anda pilih untuk dipasang pada Golf.
Berbeza dengan versi GTI, ruang dalaman jentera itu agak asas. Sekali pandang seperti tidak padan sahaja dengan harganya yang menghampiri takat RM160,000. Papan pemukanya ditata ringkas. Bingkai pendingin hawa dipasang dengan kemasan krom. Sementara stereng tiga jejarinya menempatkan butang kawalan audio dan setting bacaan maklumat pada paparan meter.
Unit audio dengan paparan berwarna biru itu mudah dioperasi. Memandangkan ini adalah varian Light & Sound Package, ia dipadankan bersama lapan pembesar suara. Kualiti penerimaan frekuensi radionya juga bagus.
Walaupun saiznya tidak sebesar mana, jentera itu dilengkapi dengan alat pengesan di setiap bucunya. Halangan yang ada di sekeliling kereta dipaparkan pada skrin audio. Ia nyata amat membantu, terutama bagi mereka yang selalu gagal mengagak ruang ketika hendak memarkir.
Disalut dengan fabrik berwarna hitam, tempat duduk yang dilaras secara manual itu agak selesa. Untuk tempat duduk belakang, ruangnya agak sempit jika dihuni oleh tiga orang dewasa.
Dengan semua teknologi terbaik daripada Volkswagen, Golf 1.4 TSI ditawarkan pada harga RM155,888 seunit (Light & Sound Package). Ia hadir bersama jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Anda boleh pilih antara warna putih, hitam, biru, perak dan kelabu.
-Syuk-
Kredit: Garaj Kosmo
13 comments
Skip to comment form
Antara kereta idamanku…tp apakan daya …kurang berkemampuan
1.4 tsi fuhhhhhhh..terbaik..
gu pikir gua mampu beli tapi gua pikir balik mampu beli bila gua jadi ceo kompeni GLC..sedey
gua dah test Pug 308 turbo, nanti gua bg artikelnya. hehe
wahhh……..ni je gua mampu setakat ni…hehehe
tak best langsung… saga 1.6 lagi bagus…. speapart murah….. kalau ada duit lebih, bagi mak ayah naik haji dulu…..
syoknyer layan golf gti wa pernah try sebijik gti mark V 2.0 turbo. perghh… power der. bunyi ekzos time tukr gear aduhh.. tersembur power dia
syuk
itu PUG 306 turbo apsal interest dalam 1.x aje? gua heran jugak .. gua saspek itu sales pug manyak slow maa.. sudah kawtim baiks ama bank.. minggu lpeas test drive 3008.. fuhhh kalaripayat!!
nasib baik aku tak minat main kete…
gua pun nak test drive gak la….
kereta neh memang trbaek….cuma hrga dia je jd penghalang dan tk padan ngan ciri yg ditawarkan……trpikir apsal proton tkjd join venture ngan VW neh….
sape yg ckp xbest tuh??saga 1.6 lg best???sama ada die **** atau ***** ataupon die da beli saga pastu xpuas aty kt owner golf..wakakaka get a life la bro..
Aku sokong zzzz… yang pasti golf mmg power klu x mmpu beli tunggu scond pn ok berbaloi dari beli inspira baru…. fuh golf oh golf