Toyota Prius v. V Untuk Versatiliti

Toyota Prius v 2011.03

Wagon seperti Toyota Wish, Perodua Alza dan Nissan Grand Livina memang popular di dalam pasaran domestik. Walaupun kenderaan jenis itu lebih glamor dikenali sebagai multipurpose vehicle [MPV] hakikatnya ianya tetap wagon iaitu kereta yang bumbungnya dilabuhkan sehingga ke belakang. Terus terang cakap ianya lebih ideal untuk keluarga kecil kerana format kerusinya adalah 5+2 dan bukan tujuh tempat duduk penuh. Paling menarik di Jepun Honda Stream RSV dipasarkan hanya dengan lima tempat duduk sahaja, barisan ketiga dibiarkan kosong untuk pengisian barang. Saya pun buntu memikirkan kenapa wagon begitu masyhur sedangkan kerusi barisan ketiganya sempit dan harganya pula tidak murah, mungkin faktor gaya, saiz yang kompak dan ekonomikal berjaya mengimbangi saiznya.

Toyota Prius v 2011.04

Bercakap mengenai ekonomikal, Toyota tampil dengan model yang saya kira sebagai idea yang bijak. Toyota Prius memang popular sebagai kereta yang menjimatkan bahan api, tetapi apa akan jadi jika enjin hibrid Prius disumbatkan ke dalam wagon seperti Toyota Wish? Hasilnya ialah Toyota Prius v, sebuah kenderaan yang bersaiz lebih kurang Toyota Wish dan dengan enjin hibrid yang pasti menjimatkan. Huruf v pada pangkal nama model merujuk kepada versatility atau dalam bahasa Melayu bermaksud serba boleh.

“Prius v membawa teknologi hibrid canggih kepada pelanggan yang mahukan ruang dan kargo yang lebih besar,” kata Pengurus Besar Toyota Amerika Syarikat, Bob Carter. “Dan kerana ianya Prius, emisinya lebih rendah daripada kenderaan lain serta penggunaan bahan api yang lebih baik daripada SUV, crossover atau wagon yang dijual di Amerika. Pada kami, ianya situasi menang-menang untuk semua,” tambah Bob.

Toyota Prius v 2011.02

Prius v menggunakan sistem Hybrid Synergy Drive sama seperti Prius generasi ketiga dengan beberapa kelebihan seperti penjimatan bahan api, emisi yang kurang dan tidak perlu pengecasan semula. Sistem hibrid itu menggunakan dua motor output tinggi, unit utama berkuasa 60 kw [80 hp] yang menguasakan transgandar yang kompak dan ringan manakala sebuah lagi motor yang lebih kecil berfungsi sebagai sumber tenaga elektrik. Pek bateri nickel-metal hydride sama seperti Prius generasi ketiga kecuali salur penyejukan diletakkan di bawah kerusi belakang.

Toyota Prius v 2011.07

Seperti Prius, Hybrid Synergy Drive ialah sistem yang mampu menggerakkan kenderaan sama ada melalui enjin atau motor atau kedua-duanya sekaligus. Komputer kawalan hibrid menguruskan sistem supaya kuasa optimum dapat dijanakan mengikut pilihan pemandu. Ianya menggunakan sistem start/stop dan brek jana semula [regenerative] yang dapat menjimatkan bahan api dan mengecaj semula bateri semasa nyah pecutan. Hybrid Synergy Drive berpaksikan kepada enjin 1.8 liter berkuasa 98 hp kitaran Atkinson dengan kuasa total 134 hp. Komponen utamanya ialah pam air elektrik tanpa pemasa [belt] dan sistem exhaust gas recirculation [EGR] yang membantu memanaskan enjin dengan pantas dan mengurangkan penggunaan bahan api semasa enjin sejuk. Kompak dan ringan, enjin itu turut mengeluarkan bunyi dan getaran yang minimum.

Standard untuk kereta hibrid, Prius v mempunyai beberapa mod pilihan pemanduan seperti Standard, Eco, EV dan Power. Dalam mod Power, kuasa digunakan untuk membantu kenderaan dalam keadaan jalan yang curam dan tinggi. Dalam mod EV, Prius v bergerak dengan kuasa bateri untuk perjalanan singkat dengan kelajuan perlahan dalam jarak kira-kira sebatu. Dalam mod Eco, sistem pengurusan enjin mengutamakan penjimatan bahan api, menguruskan respon pendikit dan menghadkan penggunaan kuasa daripada penyaman udara.

Toyota Prius v 2011.01

Selain daripada enjin yang ekonomikal, Prius v turut mengutamakan keluasan dan keanjalan untuk keluarga yang aktif. Ruang interior yang selesa dan penglihatan yang bagus dibantu oleh kedudukan kerusi yang tinggi, ruang kepala yang lega dan ruang kaki penumpang yang luas. Kerusi baris kedua pula boleh laras untuk memudahkan keluar dan masuk kereta dengan keupayaan untuk dibaringkan sehingga 45 darjah untuk lebih keselesaan. Kerusi baris ketiga pula adalah jenis boleh lipat 60/40 yang boleh disimpan ke lantai untuk lebih ruang barangan.

Toyota Prius v 2011.06

Toyota menggunakan bahan baru untuk kerusi Prius v iaitu SofTex yang direka supaya senang dicuci, kalis tumpahan dan susah rosak yang sangat sesuai untuk kereta keluarga kegunaan keluarga. Dengan keseimbangan antara keluasan, gaya dan aerodinamik, Prius v mempunyai pekali seret yang rendah iaitu 0.29, faktor yang penting untuk kereta hibrid. Harus tahu Prius v bukan versi Prius yang dipanjangkan tetapi kenderaan baru yang direka daripada kosong dengan bentuk yang dievolusikan daripada Prius. Prius sudah sinonim sebagai simbol kenderaan Toyota yang menjimatkan jadi kenapa tidak dieksploitasikannya, tambahan pula Prius sudah terjual sebanyak dua juta unit sejak ianya mula diperkenalkan 14 tahun lalu.

Toyota Prius v 2011.05

Toyota Prius v bakal dipasarkan di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun ini dan saya optimis ianya bakal dipasarkan ke serata dunia bagi mengembangkan pengaruh teknologi hibrid Toyota. Harganya pasti premium tetapi usah risau kerana banyak negara memberi rebat bagi membolehkan kenderaan mesra alam dapat dirasai segenap lapisan masyarakat.

Jika ditanya tentang pasaran domestik pula saya tiada jawapan kerana rebat cukai untuk kereta hibrid bakal luput pada penghujung tahun ini. Kepada staf kementerian Tok Pa, statistik penjualan kereta hibrid seperti Honda Insight yang kukuh serta harga bahan api yang tidak menentu adalah bukti jelas kenapa kerajaan perlu melanjutkan rebat cukai hingga ke tahun-tahun seterusnya. Jika Toyota Wish bersepah-sepah di atas jalan raya saya dapat bayangkan senario yang sama untuk Prius v.

Foto: Toyota USA

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

7 comments

Skip to comment form

    • Sekeru Longgaq on 15/06/2011 at 8:37 AM
    • Reply

    Red hot chili peppers…

  1. Kalo masuk Mesia berape pulok regenyer?…harap2 rebat cukai akan berterusan sampai biler2

  2. cc?

    • jabroni on 15/06/2011 at 10:17 AM
    • Reply

    kereta hybrid yang mengujakan…. tapi sayangnya JPJ masih suka tangkap brader tinted gelap… keh!keh!keh!

    • aula nizan on 15/06/2011 at 12:27 PM
    • Reply

    like3…

    • audi on 15/06/2011 at 9:35 PM
    • Reply

    mmg ada pengaruh wish

    • kete_hitam on 16/06/2011 at 12:00 AM
    • Reply

    I like. Tp boleh like jer la, nk beli insight yg regenye 99.8k tuh pon blom mampu,ini plak yg nih. Kalu prius 139k, yang nih paling keji pon mau 159k….

Leave a Reply to sepatCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.