Baru-baru ini seorang rakan telah menjual Honda Odyssey miliknya dan ingin menaik taraf kepada kenderaan yang lebih besar. Beliau di dalam dilema sama ada ingin membeli MPV bersaiz penuh seperti Honda Elysion, Nissan Elgrand atau Toyota Vellfire. Kemudian beliau mengalih minat kepada SUV bersaiz penuh seperti Audi Q7 dan Mazda CX-9. Pelik? Harus tahu SUV bersaiz penuh sebenarnya dilengkapi dengan tujuh tempat duduk, jika kenderaan sekecil Perodua Alza atau Nissan Grand Livina boleh dipasang dengan tujuh tempat duduk apatah lagi SUV yang bersaiz besar. Sebenarnya terdapat beberapa buah lagi SUV yang didatangkan dengan tujuh tempat duduk seperti Mitsubishi Pajero Sport, Kia Sorento, Land Rover Discovery, Volvo XC90 dan paling baharu ialah Hyundai Santa Fe. SUV bersaiz penuh itu sebenarnya sesuai untuk mereka yang tidak redha dilihat memandu MPV besar yang kadang kala nampak seperti kotak empat segi dengan roda.
Sejarah SUV sebenarnya sudah lama dengan nama asalnya 4X4. Perubahan citarasa dan keperluan semasa menyebabkan kenderaan itu dievolusi ke arah gaya hidup urban dan diberi beri gelaran baharu iaitu sport utility vehicle. Sebelum itu terdapat beberapa raja 4X4 seperti Range Rover dan Toyota Land Cruiser. Tahukah anda Toyota Land Cruiser sebenarnya sudah berada di pasaran lebih daripada 60 tahun? Sepanjang tempoh tersebut, Land Cruiser telah ditambah baik dengan pelbagai teknologi bagi mengasah lagi keupayaannya sama ada di atas permukaan jalan biasa dan lasak dan pada masa yang sama menarik daripada segi penampilan, peralatan, keselesaan dan prkatikaliti. Baru-baru ini Toyota telah memperkenalkan Land Cruiser 2014 dengan gayaan baharu, interior yang ditambah baik dan pengendalian yang telah disemak semula. Rekaan baharu itu tetap mengekalkan identiti Land Cruiser dengan kelengkapan dalaman yang dipertingkatkan kualiti dan penggunaannya.
Pada bahagian depan, jeriji depan yang terdiri daripada lima batang yang menegak lebih menonjol dan nampak begitu gah sekali. Lampu utama kini digabungkan sekali dengan lampu LED siang hari (DRL) dan kedudukan set lampu tersebut dipasang lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan semasa memandu di jalan luar (off-road). Bamparnya pula direka dengan dua lapis atau tingkat yang turut berfungsi bagi melindungi lampu utama. Standard untuk dua varian berbeza ialah dua jenis saiz rim iaitu 17 atau 18 inci. Saiz tersebut memang kecil untuk sebuah SUV besar dan untuk kaki modikasi gayaan bandar pasti rim itu bakal diganti dengan rim paling kecil pun bersaiz bersaiz 20 inci.
Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka diganti baru dengan fokus kepada bacaan yang lebih mudah untuk pemandu. Konsol tengah diberi panel suis baharu untuk teknologi kawalan kenderaan semasa di atas jalan biasa dan luar. Tombol tersebut terdiri daripada lima mode Multi-Terrain Select dan lima jenis Crawl Control. Turut disekalikan ialah suis untuk pacuan semua roda dan Adaptive Variable Suspension. Untuk lebih mudah dan mesra pengguna, Toyota memasangkan skrin berwarna TFT 4.2 inci. Fungsi yang dipaparkan ialah meter kecuraman, operasi kawalan cengkaman (traction control) pada setiap roda dan status differential locks. Pemandu boleh membuat seleksi kawalan melalui butang pada stereng dan opsyen tambahan seperti amaran tekanan tayar, larasan lampu utama, pengesahan nyah aktif kawalan cengkaman dan amaran titik buta (blind spot). Selain daripada itu, akses kepada kerusi barisan ketiga diperbaiki dengan mengubah sudut baring kerusi barisan kedua dari 33.8 darjah kepada 46 darjah.
Mengemudi sebuah SUV yang besar bukanlah tugas yang mudah dan menyedari hakikat itu Toyota melengkapi Land Cruiser dengan Blind Spot Monitor dan sistem Rear Cross Traffic Alert. Kedua-dua sistem tersebut menggunakan radar yang sama bagi mengesan kenderaan yang semakin hampir sama ada dari sisi yang tidak mampu dilihat melalui cermin belakang atau cermin sisi. Jika terdapat sebarang kenderaan yang mendekati, sistem itu akan memberi amaran melalui nyalaan pada cermin sisi dan mengeluarkan bunyi amaran.
Dari segi casis pula, Land Cruiser mengekalkan teknologi klasik badan di atas rangka (body on frame) yang telah teruji semasa pemanduan luar (off-road). Teknologi tersebut walau bagaimanapun tidak mengorbankan pemanduan harian di mana Toyota telah menimbal balas melalui talaan pada sistem suspensi standard dan Kinetic Dynamic Suspension (KDSS) pada varian yang lebih mahal. Pada suspensi standard, prestasi mendapan (damping) telah dioptimumkan manakala untuk KDSS pula, ketebalan dan diameter pada beberapa komponen telah ditingkatkan dan begitu juga pada bar anti oleng depan supaya pengendaliannya lebih lancar dengan semakan semula pada pemindahan berat dari depan ke belakang sewaktu mengambil selekoh.
Untuk kuasa pula, Land Cruiser masih dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo diesel berkuasa 188hp dan 420Nm tork yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan. Enjin empat silinder, 16 injap itu kini mematuhi piawaan emisi Euro 5+ tanpa penurunan kuasa enjin. Untuk yang berminat, Land Cruiser sebenarnya tidak dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan kecuali model yang diperbaiki semula (recondition). Walaupun Land Cruiser jarang dilihat di atas jalan raya namun senario itu berbeza sama sekali di Sabah dan Sarawak yang begitu popular seolah-olah di situlah habitatnya!
Newspress
@muhd_gt
ps: Selamat Hari Raya Haji!
2 comments
mampu pakai pajero lama je lah…7 seater juga
LC ni mau ratus ratus riban punya harga
Belakang dia ada design cues Avanza baru.